Jun 27, 2010

Syariat Dari Langit..=)

DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA MENGASIHANI
Subhanallah..Alhamdulillah..Astaghfirullah..

Apa khabar iman kita pada hari ini..?? semoga kita sentiasa berada dalam keredhaan Allah swt..hari ini nak share sikit cerita mengenai seorang wanita mulia Islam, yang juga merupakan isteri Rasulullah saw yang mana kisahnya banyak diceritakan di dalam Al-Quran dalam surah Al-Ahzaab. beliau telah diangkat oleh Allah sebagai orang yang bakal menerangkan hukum perkahwinan dan anak angkat dalam Islam..jom kita baca kisah syariat dari langit....(n_n)..V!

"Zainab binti Jahsy sering membanggakan kedudukanku di sisi Rasulullah. Padahal aku tidak pernah melihat seorang wanita yang lebih baik agamanya selain Zainab. Dia juga lebih bertakwa kepada Allah, lebih jujur perkataannya, paling banyak menyambung hubungan kekeluargaan, paling banyak sedekahnya dan paling banyak berkorban untuk hal-hal yang mendekatkan dirinya kepada Allah Subhanahu wa Taala.
[Saidatina Aishah radhiallahu anha]

Ummul Mukminin yang mulia ini menghimpun segala sisi keutamaan, kebajikan dan kemurahan hati yang menjadi kebanggaan bagi beliau melebihi isteri Rasulullah lainnya. Anak kepada bapa saudara beliau adalah hamba Allah paling mulia, iaitu Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam. Datuknya dan datuk Rasulullah adalah satu. Bapa saudaranya adalah pemimpin para syuhada’, asaduLlah (Singa Allah), dan penunggang kuda Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam, iaitu Hamzah bin Abdul Muthalib. Saudaranya adalah pembawa bendera Islam yang pertama kali dikibarkan dan orang yang pertama digelar dengan sebutan Amirul Mukminin, juga salah seorang syuhada’, iaitu Abdullah bin Jahsy radiallahu anhu. Sedang ibunya, merupakan ibu saudara Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam yang diberi makanan oleh baginda sebanyak empat puluh wasaq, berupa kurma dari Khaibar, iaitu Umaimah binti Abdul Muthalib.

Zainab binti Jahsy radiallahu anha adalah satu-satunya wanita yang dinikahkan oleh Allah Subhanahu wa Taala dari atas langit ketujuh, manakala malaikat Jibril menjadi dutanya. Beliau dikenali sebagai wanita yang diberkati kerana lebih dahulu masuk Islam, ikut berhijrah dan berjihad, selain terkenal atas kesabaran dan kezuhudannya. Beliau dilahirkan tiga puluh tahun sebelum kerasulan, iaitu pada 590 Masihi di Makkah. Nama asalnya adalah Barrah (wanita yang baik). Hanya ketika Rasulullah menikahinya, baginda menamakannya Zainab. Beliau membesar di tengah-tengah Bani Asad dengan kemuliaan, kecantikan dan kedudukan yang terpandang lantaran keturunannya yang mulia.

Saksi Syariat Dari Atas Langit Ketujuh

Setelah datangnya Islam, di antara tujuannya ialah untuk menghilangkan perbezaan di antara manusia. Menghapuskan kebanggaan dan kelebihan yang didasarkan kepada fanatisme dan kebutaan jahiliyah. Hanya takwa yang menjadi timbangan dan tolok ukur darjat manusia di sisi Allah. Firman Allah Subhanahu wa Taala:

Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kalian di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kalian
(QS Al-Hujurat:13)


Mulialah Zainab binti Jahsy yang menjadi pilihan Allah dan RasulNya demi memberi petunjuk kepada sekalian umat Muhammad. Lamaran Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam kepadanya buat maula (bekas hamba) baginda, Zaid bin Haritsah menjadi sebuah kesempitan kepada wanita ini. Fikirannya terkeliru dengan pelbagai persoalan yang datang satu persatu.. Bagaimana mungkin dia harus menerima pernikahan yang tidak seimbang ini? Bagaimana mungkin dia harus melangsungkan pernikahan dengan salah seorang maula padahal dia seorang wanita terhormat serta memiliki keturunan yang sangat mulia?. Lantas, beliau bersuara, ”Wahai Rasulullah, aku tidak meredhainya bagiku, kerana aku seorang wanita Quraisy yang belum bernikah”. Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam bersabda, ”Tetapi aku meredhainya bagimu”. Atas peristiwa ini, turunlah wahyu dari langit:

Dan tidaklah patut bagi lelaki yang mukmin dan wanita yang mukminah, apabila Allah dan RasulNya telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka. Dan, barangsiapa menderhakai Allah dan RasulNya, maka sungguhlah dia telah sesat, dengan sesat yang nyata
(QS Al-Ahzab:36)


Ketaqwaan dan keimanan yang teguh meleburkan perbezaan darjat antara manusia. Atas dasar itu, Zainab tidak mempunyai alasan untuk menyalahi perintah Allah dan RasulNya. Namun, kehidupan suami isteri di antara keduanya hanya berlangsung dalam tempoh setahun. Kemudiannya, muncul perselisihan di antara keduanya, khususnya setelah Islam menghapuskan anak angkat melalui Firman Allah:

Panggillah anak-anak angkat itu dengan ber"bin"kan kepada bapa-bapa mereka sendiri; cara itulah yang lebih adil di sisi Allah. Dalam pada itu, jika kamu tidak mengetahui bapa-bapa mereka, maka panggillah mereka sebagai saudara-saudara kamu yang seagama dan sebagai "maula-maula" kamu dan kamu pula tidak dikira berdosa dalam perkara yang kamu tersilap melakukannya, tetapi (yang dikira berdosa itu ialah perbuatan) yang disengajakan oleh hati kamu melakukannya dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani
(QS Al Ahzab:5)


(Sebelumnya, Zaid merupakan anak angkat Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam).

Hubungan yang semakin tidak harmonis menghantarkan kepada pertemuan antara Zaid dengan Rasulullah untuk mengadu permasalahan rumahtangganya. Berkali-kali Zaid meminta persetujuan baginda untuk menceraikan Zainab, tetapi dijawab oleh baginda dengan sabdanya, ”Tahanlah isterimu dan bertaqwalah kepada Allah!”. Pada saat yang sama, Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam sebenarnya menyedari bahawa perceraian tersebut pasti akan terjadi dan Allah akan memerintahkan baginda untuk menikahi Zainab dalam rangka untuk menghapuskan bid’ah anak angkat. Perkhabaran tersebut telah disampaikan melalui Jibril, bahawa Zainab akan menjadi isteri baginda dan Allah Subhanahu wa Taala akan menggugurkan pernikahan Zainab dan Zaid. Hal ini menimbulkan keresahan di hati baginda Sallallahu Alaihi wa Sallam sebagai manusia biasa yang pasti akan berhadapan dengan celaan masyarakat jahiliyyah ketika itu lantaran baginda akan menikahi bekas isteri kepada ’anak’ baginda.

Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui hikmah di sebalik segala yang terjadi. TujuanNya tidak lain untuk menghapus segala tradisi anak angkat dan hukum-hukum jahiliyyah yang berakar di dalam masyarakat ketika itu. Teguran Allah Subhanahu wa Taala kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam berkaitan hal ini terkandung di dalam ayat 37 surah Al-Ahzab:

Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika engkau berkata kepada orang yang telah dikurniakan oleh Allah (dengan nikmat Islam) dan yang engkau juga telah berbuat baik kepadanya: Jangan ceraikan isterimu itu dan bertakwalah kepada Allah, sambil engkau menyembunyikan dalam hatimu perkara yang Allah akan menyatakannya; dan engkau pula takut kepada (cacian) manusia padahal Allah jualah yang berhak engkau takuti (melanggar perintahNya). Kemudian setelah Zaid selesai habis kemahuannya terhadap isterinya (dengan menceraikannya), Kami kahwinkan engkau dengannya supaya tidak ada keberatan atas orang-orang yang beriman untuk berkahwin dengan isteri-isteri anak-anak angkat mereka, apabila anak-anak angkat itu telah selesai habis kemahuannya terhadap isterinya (lalu menceraikannya) dan sememangnya perkara yang dikehendaki Allah itu tetap berlaku.”
(QS Al-Ahzab: 37)


Begitulah perintah dari Allah, lalu Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam melaksanakan perintah tersebut tanpa sedikit pun keberatan di dalam hati baginda. Zainab binti Jahsy memperolehi kemuliaan yang besar dari Allah Subhanahu wa Taala kerana menjadikannya salah seorang Ummahatul Mukminin. Tatkala tamat tempoh iddah Zainab, Rasulullah mengutuskan Zaid untuk melamarnya bagi diri baginda. Ibnu Abbas radhiallahu anhu berkata, ” Setelah Zainab diberitahu bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam ingin menikahi beliau, maka dia pun bersujud” [Tahdzibul-asma’ wal-lughat, 2/345]

Seperti yang diduga, pernikahan tersebut telah mencetuskan kekecohan di kalangan orang-orang munafik dan kaum kafir, “Bagaimana mungkin Muhammad melarang menikahi bekas isteri anak, namun dia sendiri menikahi bekas isteri anaknya, Zaid?”. Perkara ini kemudian disanggah oleh Allah Subhanahu wa Taala melalui firmanNya:

Tidaklah ada sebarang keberatan yang ditanggung oleh Nabi dalam melaksanakan perkara yang telah ditetapkan Allah baginya. (Yang demikian itu) adalah menurut peraturan Allah yang tetap, yang berlaku juga kepada Nabi-nabi yang telah lalu. Dan (ingatlah) perintah Allah itu adalah satu ketetapan yang ditentukan berlakunya. Nabi-nabi yang telah lalu itu ialah orang-orang yang menyampaikan syariat Allah serta mereka takut melanggar perintahNya dan mereka pula tidak takut kepada sesiapa pun melainkan kepada Allah dan cukuplah Allah menjadi Penghitung (segala yang dilakukan oleh makhluk-makhlukNya untuk membalas mereka).”
(QS Al-ahzab: 38-39)

Allah Subhanahu wa Taala juga menjelaskan kedudukan tentang anak angkat dan hak-hak yang menyertainya, serta melestarikan (keturunan) keluarga berdasarkan asas yang pasti dan jelas, mengembalikan hubungan nasab ke hubungan darah dan ayah, serta menolak untuk menjadikan anak angkat setaraf dengan anak kandung.

Muhammad itu sekali-kali bukanlah bapa dari seorang laki-laki di antara kamu, tetapi dia adalah Rasulullah dan penutup nabi-nabi. Dan adalah Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.”
(QS Al-ahzab: 40)


Allah sekali-kali tidak menjadikan bagi seseorang dua buah hati dalam rongganya; dan Dia tidak menjadikan isteri-isterimu yang kamu zhihar itu sebagai ibumu, dan Dia tidak menjadikan anak-anak angkatmu sebagai anak kandungmu (sendiri). Yang demikian itu hanyalah perkataanmu di mulutmu saja. Dan Allah mengatakan yang sebenarnya dan Dia menunjukkan jalan (yang benar).”
(QS Al-ahzab:4)


Di antara rahmat pernikahan Zainab ini juga ialah turunnya ayat berkenaan hijab. Hal ini terjadi pada hari walimahnya dengan Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam. Ketika baginda menikahinya, maka dilaksanakan majlis jamuan yang tidak pernah dilakukan sebelumnya. Ayat hijab ini diturunkan sebagai pengajaran dan petunjuk bagi manusia agar mereka tidak masuk ke rumah Nabi Sallallahu Alaihi wa Sallam tanpa izin dan jika diundang untuk menikmati jamuan, mereka boleh memasukinya. Setelah itu, hendaklah mereka pergi tanpa berlama-lamaan di situ dan berbincang-bincang. Selain itu, turunnya ayat berkenaan hijab ini merupakan permulaan kepada kewajiban hijab terhadap Ummahatul mukminin sekaligus barakah agar menjadi petunjuk kemuliaan, kesucian dan kebersihan mereka.

Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu masuk ke rumah Nabi (menunggu makanan masak kerana hendak makan bersama), kecuali kamu dijemput untuk menghadiri jamuan, bukan dengan menunggu-nunggu masa sajiannya; tetapi apabila kamu dijemput maka masuklah (pada waktu yang ditetapkan); kemudian setelah kamu makan maka hendaklah masing-masing bersurai dan janganlah duduk bersenang-senang dengan berbual-bual. Sesungguhnya yang demikian itu menyakiti dan menyusahkan Nabi sehingga dia merasa malu (hendak menyatakan hal itu) kepada kamu, sedang Allah tidak malu daripada menyatakan kebenaran dan apabila kamu meminta sesuatu yang perlu diminta dari isteri-isteri Nabi maka mintalah kepada mereka dari sebalik tabir. Cara yang demikian lebih suci bagi hati kamu dan hati mereka dan kamu tidak boleh sama sekali menyakiti Rasul Allah dan tidak boleh berkahwin dengan isteri-isterinya sesudah dia wafat selama-lamanya. Sesungguhnya segala yang tersebut itu adalah amat besar dosanya di sisi Allah
(QS al Ahzab:53)

Keagungan Peribadi

Di antara kelebihan Zainab binti Jahsy ialah kesaksian Rasulullah baginya, yang berupa kekhusyukan. Kesaksian baginda inilah yang mengangkat kedudukan Zainab sehingga ke tingkatan yang tertinggi di dalam ibadah.Rasulullah Sallahu Alaihi wa Sallam sendiri pernah menuturkan,

Sesungguhnya Zainab binti Jahsy adalah wanita yang khusyuk lagi merendah diri”.

Zainab jugalah yang mempertahankan kesucian Aisyah radiallahu anha ketika terjadinya mehnah hebat berupa fitnah kaum munafik yang menimpa ummahatul mukminin. Al-Bukhari meriwayatkan kesaksian kebaikan ini di dalam salah sebuah hadis Aisyah yang panjang tentang kes fitnah tersebut. Sebahagian perkataan Aisyah dinukilkan sebagai berikut,

Rasulullah Sallahu alaihi wa Sallam bertanya kepada Zainab binti Jahsy tentang urusanku. Baginda bertanya,’Wahai Zainab, apa yang engkau ketahui atau apa pendapatmu berkaitan Aisyah’. Beliau menjawab, ’Wahai Rasulullah, aku memelihara pendengaran dan penglihatanku. Aku tidak mengetahui kecuali yang baik

Di dalam kisah lain, Aisyah turut berkata,

Dialah yang membanggakan aku dari kalangan para isteri Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam, lalu Allah memeliharanya dengan wara’. Saudarinya, Humnah binti Jahsy juga turut melakukan serangan ke atas peribadi Aisyah, sehingga akhirnya dia binasa bersama-sama orang yang terlibat dalam berita bohong itu

Semoga Allah Subhanahu wa Taala meredhai Ummul Mukminin, Zainab binti Jahsy yang membenci fitnah. Beliau sentiasa memohon kepada Allah agar dirinya dijauhkan dari orang-orang yang dengki dan suka berbuat kerosakan. Beliau tidak mengatakan sesuatu kecuali kebaikan dan tidak memberi kesaksian kecuali secara benar, baik dan adil.

Ummul Mukminin, Ummu Salamah radiallahu anha turut tidak ketinggalan memberikan pujian ke atas sahabiyah ini. Beliau memuji ketakwaan dan ibadahnya dengan berkata,

Dia adalah wanita yang solehah, banyak berpuasa dan solat malam

Beliau juga termasuk salah seorang perawi hadits, yang meriwayatkan dari Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam sebelas buah hadits, sebahagian darinya telah ditakhrij di dalam Ash-Shahihain, dua buah hadith disepakati oleh Bukhari dan Muslim. Hadith beliau disebut di dalam kutubus-sittah (Adz-Zahaby r.a)

Ummul Mukminin Zainab binti Jahsy bukanlah orang yang suka mengumpulkan harta dan kesenangan dari perbendaharaan dunia. Beliau biasa melakukan sendiri pekerjaannya seperti menyamak kulit dan menjahit lalu menjualkan hasil kerjanya untuk disedekahkan ke jalan Allah. Kemuliaan beliau di sisi Allah adalah lantaran kezuhudan pada kehidupan dunia. Barzah binti Rafi’ pernah menceritakan perihal peribadi Zainab radiallahu anha ini. Ketika Umar Al-Khattab mengirim utusan untuk memberikan bahagian harta yang menjadi milik Zainab, beliau lantas berkata,

Semoga Allah mengampuni Umar. Saudari-saudariku yang lain lebih memerlukan bahagian ini berbanding diriku”.

Beliau segera membahagi-bahagikan harta tersebut kepada beberapa orang kerabat yang miskin dan anak-anak yatim kaum Muslimin. Sehinggalah yang tersisa di tangannya hanya lapan puluh dirham. Lalu, beliau menadahkan tangannya ke langit dan berdoa,

Ya Allah, semoga aku tidak lagi menerima pemberian Umar setelah tahun ini”.

Maka, doanya dikabulkan oleh Allah Subhanahu wa Taala. Beliau meninggal dunia pada tahun itu juga.

Perginya Seorang Serikandi

Pada tahun 20 Hijrah bersamaan 641 Masihi, Zainab Ummul Mukminin mula merasakan dekatnya ajal beliau, dan dia sentiasa menyiapkan diri untuk pertemuan tersebut. Maka ketika ajalnya menghampiri, beliau berkata

Aku sudah menyiapkan kain kafanku, dan boleh jadi Umar akan mengirimkan kain kafan kepadaku. Jika dia mengirimkan kain kafan, maka sedekahkanlah salah satu di antaranya. Jika kalian mampu menjulurkan kain kafan hingga menutupi jasadku, lalu kalian menyedekahkan kain selimutku, maka lakukanlah” (Thabaqat Ibn Sa’ad, 8/109)

Zuhud di dunia dan dalam kesenangannya, sedekah dan kebajikan masih tetap mengalir pada saat-saat sakaratul maut mengintai dirinya. Benarlah gelaran buatnya sebagai Ummul masakin (ibu kepada orang-orang miskin). Ummul Mukminin Zainab binti Jahsy radhiallahu Anha menjalani kehidupan jauh dari kemewahan dunia. Beliau lebih mengutamakan kehidupan akhiratnya, lantas menjadikan kehidupan dunia sebagai ladang untuk bercucuk tanam. Beliau sangat menyedari bahawa dunia ini tidak akan menyamai satu sayap lalat pun di sisi Allah kelak.

Ummul Mukminin Zainab binti Jahsy telah mendapatkan khabar gembira sebagai penghuni syurga dari Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam, kerana beliaulah isteri yang pertama yang menyongsong kewafatan baginda. Hal ini turut diungkapkan oleh Saidatina Aisyah radhiallahu anha, sebagai berkata,

Semoga Allah merahmati Zainab binti Jahsy, kerana dia telah menerima kemuliaan di dunia ini, yang tidak dapat ditandingi oleh kemuliaan lainnya. Allah Subhanahu wa Taala menikahkannya dengan NabiNya di dunia dan menurunkan Al-Quran tentang hal tersebut. Sesungguhnya Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam pernah bersabda kepada kami (para isteri Rasul) ketika kami berada di sekeliling baginda, ”Orang yang lebih dahulu bersua denganku (di syurga) ialah orang yang paling panjang lengannya (paling banyak bersedekah) di antara kalian”. Sesungguhnya dialah Zainab binti Jahsy, Ummul masakin.

Wallahu a’lam..(n_n)..V!

Jun 20, 2010

Anak Singa seperti Anak Kijang?


Pemuda-pemuda kini umpama kijang-kijang yang terhincut-hincut jika dibandingkan dengan dahulunya adalah anak-anak singa.

Lihat sahaja pada pemuda berumur 17 tahun yang sudah ke medan perang, Zaid bin Harithah iaitu anak angkat kesayangan Rasulullah s.a.w 14 ratus tahun lalu.

Dalam mengimbas kembali jihad mukminin yang tiada henti, tidak lengkaplah tanpa menyebut tentang pembebasan Constantinople oleh Khalifah Uthmaniyah yang ketujuh pada tahun 857H.

Sabda Rasulullah s.a.w ketika menggali Parit Khandaq; “Constantinople (kini Istanbul) akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, tenteranya adalah sebaik-baik tentera.” [Hadis riwayat Imam Ahmad]

As-Syahid Abu Ayyub Al-Ansari, sahabat besar Rasulullah SAW telah dimakamkan di bawah dinding kubu Kota Constantinople, dan apabila ditanya mengapa beliau mewasiatkan sebegitu, beliau menjawab, “Kerana aku ingin mendengar derapan tapak kaki kuda sebaik-baik raja yang mengetuai sebaik-baik tentera semasa mereka membebaskan Constantinople nanti.” Sungguh, rijal itu benar-benar bakal mengotakan impian menawan Kota Constantinople dengan mengimamkan hampir 150,000 orang tenteranya.

Apakah kelebihan dan rahsia Baginda Sultan Muhammad atau lebih masyhur dengan gelaran Muhammad The Conqueror?

Baginda telah menerima asuhan dari kecil sehingga baginda yakin bahawa bagindalah raja yang disebut dalam hadis Rasulullah. Dengan sentuhan tarbiah menyeluruh oleh ayahanda baginda Sultan Murad II dan guru-gurunya termasuk Syeikh Amad Shamsuddin yang mengajar ilmu agama dan berkaitan dunia pemerintahan. Baginda juga menguasai dan fasih berbahasa Turki, Arab, Latin, Greek, Serbia (bahasa ibu Baginda), Parsi dan Hebrew.

Baginda dilatih supaya mahir memanah, menunggang kuda dan menyusun taktik perang. Kepintaran baginda dalam mengatur strategi dan mencipta peralatan termoden diperakui oleh sejarawan barat setelah melihat kehebatan Sultan Muhammad di medan perang.

Peperangan terhadap Kota Constantinople berlaku disebabkan Raja Rom yang memerintah pada waktu itu enggan menyerahkan kota tersebut. Maka tentera Uthmaniyah dengan diketuai oleh baginda Sultan Muhammad mula menyerang kubu dari segenap penjuru. Baginda sebelum itu menyampaikan khutbah melarang gereja, tempat-tempat ibadah lain diroboh dan tidak mengapa-apakan paderi, orang kurang upaya dan yang sudah tua serta mereka yang tidak membunuh.

Apabila sebuah rantai besar dibina menghalang kapal-kapal merentasi Selat Bosphorus, baginda mendapat akal untuk melancarkan kapal perang melalui jalan darat dan gunung sejauh hampir enam batu. Alangkah terkejut Raja Byzantine keesokan harinya, bukan sahaja Teluk El Qarn El Zahabi (The Golden Horn) dipenuhi kapal-kapal muslimin bahkan armada bantuan dari Ketua Paderi Rom kesemuanya musnah terbakar. Rentetan daripada itu kubu pertahanan menipis sehingga akhirnya dengan izin Allah pihak tentera Uthmaniyah berjaya menawan Kota Constantinople pada 28 Mei 1453 bersamaan 857H.

Baginda dengan tawaduk penuh kesyukuran atas kejayaan membebaskan Kota Constantinople. Setelah itu Baginda menukar namanya kepada Islambol (Islam keseluruhan) dan memerintahkan agar separuh Gereja besar St. Sophies diubahsuai menjadi masjid yang terkenal Aya Sofiya. Gelaran ‘Al-Fatih’ amat sesuai kerana Baginda telah menang membuka Constantinople. Sebuah pembukaan agung yang ditunggu sejak 800 ratus tahun sebelumnya.

Sejak baligh Baginda tidak pernah meninggalkan solat fardhu, Solat Sunat Rawatib dan Solat Tahajjud. Inilah hasil didikan Syeikh Amad Shamsuddin. Inilah dia sebaik-baik raja yang telah diisyaratkan oleh Rasulullah s.a.w di dalam hadisnya itu.

Masha Allah. Satu contoh rijal hebat pernah tercatat dalam sejarah dunia. Hanya pada usia 21 tahun mampu merealisasikan cita-cita tingginya, juga cita-cita seluruh umat sejak berzaman sebelum itu. Cerita Sultan Muhammad Al Fatih mengajar muslimin beberapa tips kejayaan antaranya ‘al-akhzu bil asbab‘(mengambil sebab) dengan usaha gigih dan strategi bijak serta persiapan dan peralatan tercanggih. Membina meriam besar yang mampu membedil kubu sejauh satu batu dan menara bergerak tiga tingkat, diperbuat daripada kayu, tingginya melebihi dinding kubu dan memuatkan ratusan tentera merupakan seni peperangan yang amat hebat.

Sebagai raja yang mengimamkan ribuan muslimin, baginda sentiasa tenang, sabar, peka dan prihatin terhadap tentera bawahannya. Baginda sentiasa merujuk kepada guru-gurunya baik dalam urusan agama atau permasalahan negara. Baginda juga sentiasa menghembus semangat kepada para tenteranya dengan kemenangan yang telah Allah janjikan.

Mari, kita pertingkatkan diri. Kita, Pemuda & pemudi sekalian adalah manusia-manusia yang hebat. Adakah kita masih mahu menjadi seekor anak singa yang bersifat seekor kijang?

Jun 11, 2010

Menuju Ustaziatul Alam


Digosok-gosok lagi matanya. Dia seakan-akan tidak percaya apa yang dilihatnya. Apakah aku kembali ke zaman unta, ke zaman kolot dan purba? Begitulah detik hatinya. Dikesat hidungnya yang berair dengan kertas tisu. Kertas itu kemudiannya dicampakkannya ke tepi jalan.

"Assalamualaikum, pakcik.. tolong kutip kertas itu. Nanti pakcik rugi di Akhirat. Kebersihan itu separuh daripada iman." Bunyi satu suara di belakangnya.

Ia bingkas berpaling. Siapa berani menegurku? Aku Datuk Dr. Johar, orang besar negara ini.

"Pakcik, biarlah saya tolong kutip,sebelum Penguatkuasa Iman dan Islam datang. Nanti didendanya pakcik," kata budak kecil berpakaian putih dengan serban yang melilit kepalanya.

Datuk Dr. Johar membetulkan tali lehernya. Ah, kalau dia datang biar aku sogok dengan duit ini. Siapa yang tak kelabu mata tengok duit merah, biru berlapis-lapis. Namun, Datuk Dr. Johar terus hairan. Bangunan pencakar langit dengan wajah pembangunan yang sofistikated. Ada helikopter bersimpang-siur bergerak di udara. Railbus bercerakah ke sana sini. Bullet train meluncur bagaikan panah dilepaskan dari busurnya. Kesibukan yang layak dipikul oleh manusia-manusia moden. Namun peliknya, pakaian mereka, tingkah-laku mereka. Ah, di mana aku sekarang ini, gerutu hati Datuk Dr.Johar.

"Hoi budak, Aku dimana sekarang ?" soalnya kepada budak yang menegurnya tadi. Budak itu tersenyum. Mukanya cerah dan indah. Tenang dan bersuara lunak. Apakah ini Aladdin, budak Arab dengan lampu ajaibnya, teka-teki itu terus menerjah kepala dan kotak fikir Datuk Dr. Johar.

Budak itu membuka mulut hendak menjawab. Belum sempat, tiba-tiba datang sebuah kereta jenis Ferrari, merah dan bercahaya. Keluar dua orang lelaki dengan pakaian yang hebat dan segak. Serban mereka berwarna hitam berjalur biru. "Assalamualaikum. Maaf, pakcik. Kami terpaksa mendenda pakcik. Kesalahan membuang sampah ini sudah belasan tahun tidak berlaku di Darul Taqwa ini. Kami terpaksa mendenda pakcik. Kebersihan itu lambang iman. Negara ini menitikberatkan iman. Pakcik didenda, 30 kali subhanallah, 30 kali astaghfirullah dan selawat 100 kali." Kata pegawai penguatkuasa itu dengan lembut.

Datuk Dr. Johar tersentak. Apa namanya undang-undang ini. Tak ada dewan bandaraya di seluruh pelusuk dunia mengamalkannya. Dia tercengang-cengang. Namun egonya membumbung tinggi. Apa? Dia nak marahkan aku?

"Ni duit lima ratus. Saya tak mahu buat apa yang kamu minta. Kita selesaikan di sini saja. Berapa gaji yang kamu dapat sebulan?" tanyanya angkuh.

"Pakcik, kita bekerja kerana Allah, bukan kerana gaji. Lagipun duit bukan ada harga lagi di zaman ini. Semuanya dipandang sebagai alat, bukan matlamat," kata pegawai berjanggut dan berjambang itu dengan tenang.

"Oh, oh maafkan kami, pakcik. Kami nak tanya sikit, kenapa pakcik pakai pakaian zaman dulu? Mana pakcik dapat pakaian macam itu ?" Tanya pegawai itu pula.

Aku yang gila, atau dia yang gila? Detak hati Datuk Dr. Johar. Dia berjalan ke arah kereta Ferrari yang berkilat itu. Melalui cerminnya dia nampak perawakannya dengan jelas. Tak ada yang salah. Tali leher, kemeja dan kotnya masih kemas dan segak. Daripada jenama yang mahal pula-Pierre Cardin. Kasutnya hitam berkilat daripada jenis Bally. Ah! Aku masih unggul. Lelaki tampan, lambang status dan kejayaan. Dia yang kolot, dia yang ketinggalan zaman.

"Anak muda, pakaian pakcik ni pakaian pemimpin. Pakcik orang besar di negara ini. Pakcik dah keliling dunia dengan pakaian ni."

"Pakcik, itu pakaian puluhan tahun yang lampau. Ketika Islam belum berdaulat di Darul Taqwa ni. Moyang-moyang kami dulu saja yang pertahankan pakaian macam itu. Itu pakaian orang kuno di Barat. Sekarang, kami hanya dapat lihat gambar-gambarnya saja. Itu pun dalam buku sejarah zaman peralihan Islam. Orang Barat zaman moden ini dah berpakaian macam yang kami pakai. Tak ada orang yang pakai macam tu kecuali orang-orang bukan Islam yang dijamin kebebasannya dalam sebuah negara Islam seperti Darul Taqwa."

Datuk Dr. Johar termanggu-manggu kebingungan. "Di mana aku sebenarnya ni?" Dia bertanya lagi kepada pegawai penguatkuasa dan budak kecil di tepi jalan. Dia masih kenal, ini Jalan Chow Kit di tengah bandar Kuala Lumpur. Masih ada Masjid Pakistan dan Masjid Kampung Baru di sebelah sana. Tetapi itu sahaja, yang lain tak ada.

"Pakcik di bandar Mutmainnah. Ini jalan Mujahadah, namanya. Saya Haji Din, Pegawai Penguatkuasa Iman dan Islam. Diberi amanah untuk memastikan kebersihan lahir batin bandar ini."

Apa? Bandaraya Kuala Lumpur dah jadi Bandaraya Mutmainnah? Jalan Chow Kit dah jadi Jalan Mujahadah? Apa dia mutmainnah? Apa dia mujahadah tu? Apa yang terjadi ni? Soalan-soalan itu terus menyerang benak Datuk Dr. Johar. "Pakcik, kami rayu pakcik membayar denda tadi. Kalau tak boleh sekarang, lepas sembahyang nanti pakcik laksanakanlah. Demi kebaikan pakcik dunia dan Akhirat."

Tiba-tiba terdengar suara orang memberi salam dari jauh. Nyaring dan jelas. Seorang lelaki pertengahan umur berlari kepada seorang pegawai penguatkuasa. "Tuan, hukumlah saya. Saya mengumpat tadi. Ya Allah! Seksa neraka amat pedih..Tolonglah, tuan. Hukum saya di dunia sebelum saya dihukum di Akhirat!" rayu lelaki itu.

Pegawai tadi berpaling ke arah lelaki yang baru datang, dan kesempatan itu diambil oleh Datuk Dr. Johar. Ia lari sekuat-kuat hati.Peliknya mereka tidak mengejarnya. Ia terlepas. Lega. Dahaga , lapar mula menggigit tekak dan perutnya. Dia mesti makan. Dia perlu minum. Tapi di mana? Tiba-tiba ia terdengar suara komputer dari sound system di tepi-tepi jalan, "Assalamualaikum, kepada seluruh penduduk Kota Mutmainnah. Syed Al Abrar, hartawan besar berada di jalan Uwais Al Qarni. Dia merayu fakir miskin supaya sudi menerima sedekahnya. Hari ini ia menjamu nasi dan minuman. Sila datang!"

Datuk Dr. Johar orang besar Darul Ghurur itu tidak akan mencemar duli menagih nasi. Dia ada duit, mampu membelinya sendiri. Dia pun masuk ke sebuah restoran di tepi jalan. Di situ penuh dengan pelanggan. Semuanya berserban dan berjubah. Matanya tak betah lagi melihat semua itu.Tapi kerana lapar ia masuk juga. "Maaf tuan, itu pintu masuk untuk wanita. Di sini untuk lelaki". "Ceh! Diskriminasi, double-standard, lelaki dipisahkan daripada perempuan".

Mukanya dicemekkan kepada tuan kedai yang menegurnya. "Ada restoran lain yang mengamalkan persamaan taraf antara lelaki dan perempuan?
Saya tak suka pemisahan-pemisahan macam ni!".

Lelaki itu tersenyum.
"Empat puluh tahun yang lalu adalah. Sekarang ni kita sudah bebas dan merdeka. Zaman penjajahan fikiran dan jiwa sudah berlalu. Tak ada diskriminasi wanita di sini, tuan. Amir Muhammad, pemimpin Darul Taqwa telah menaikkan taraf wanita tanpa Women's Libs. Kalau tuan ada isteri dan membawanya bersama, sila masuk ke sana. Di sana ada tempat khusus untuk makan bersama isteri dan anak perempuan", terangnya. Mukanya jernih.Serban dan jubahnya serba putih.

"Ini bertentangan dengan prinsip demokrasi. Sistem pemerintahan kapitalis, sosialis, nasionalis malah komunis sekalipun tak macam ni!" "MasyaAllah pakcik, jangan disebut lagi nama-nama ideologi tu. Semuanya telah termaktub sebagai ajaran-ajaran sesat dalam perlembagaan Darul Taqwa ini. Tak ada orang lagi yang berpegang dengan fahaman jahiliyyah tu... Subhanallah. ..." Keluh tuan restoran itu sambil mengurut-ngurut dadanya. Ekor serbannya bergoyang-goyang ketika ia manggeleng-gelengkan kepalanya.

Ah! Persetankan semua itu. Perut aku lapar. Datuk Dr. Johar pun duduk. "Nasi beriani sepinggan!" ujarnya kepada pelayan. "Dalam pinggan, tuan?" tanya pelayan itu kehairanan. "Ya! Apa peliknya?". "Baik, tuan. Tapi semua orang berebut- rebut pahala makan berjamaah. Tuan makan seorang?" tanya pelayan berkulit hitam itu. Dia tambah geram. Direnung ke hadapan, iaitu ketempat orang menikmati makanan.Tidak ada meja makan hanya hamparan permaidani tebal dengan dulang-dulang indah yang tersusun rapi. Mereka makan satu dulang. Yek! Jijiknya. Ah! Aku tetap aku. Aku ada pendirian! Nasi beriani dengan ayam goreng kegemarannya terhidang di atas kain putih khas.

"Jemput makan dengan nama Allah yang memberi rezeki," kata pelayan itu dengan sopan. Datuk Dr. Johar makan dengan seleranya. Dewan makan itu berhawa dingin lengkap dengan alat TV dan pita videonya sekali. Dia makan seorang diri bagai kera sumbang.

"Ya Allah, apa musibah yang menimpa ana Subuh tadi. Ana masbuk dalam sembahyang jemaah Subuh, " ujar seorang lelaki muda dengan wajah yang kecewa. Suapnya perlahan.

"Macam tak lalu makan saja, anta tak cuba tampung dengan amal makrufat yang lain?" tanya sahabatnya di sebelah. Dia nampak simpati. Datuk Dr. Johar pasang telinga saja.

"Ana nak sedekahkan lima ribu ringgit. Malang nasib ana. Ana tunggu lima jam di tepi jalan tadi, seorang pun tak mahu terima sedekah ana " Keluhnya."Susah kita sekarang. Orang miskin yang bolot pahala redha, pahala sabar. Mereka patutnya bantulah kita. Tolonglah terima sedekah kita. Ah, susahnya jadi orang kaya macam kita ini. Dahlah nanti di Akhirat banyak hisabnya, di dunia orang tak sudi pula terima sedekah kita", keluh seorang yang sama-sama makan dengan lelaki muda tadi.

"Kalaulah kita hidup zaman moyang kita dulu, kan dapat kita korbankan harta yang banyak ini. Ana pun dapat harta ni melalui warisan daripada bapa, yang diwarisi oleh datuk ana daripada moyangnya. Kita tunggulah bila kerajaan nak bangunkan projek negara atau nak gunakan duit untuk kemaskinikan kementerian-kementeriannya, saya nak labur habis-habisan. Biar jadi saham Akhirat," kata pemuda itu menutup perbualan. Mereka pun makan dengan perlahan-lahan.

Datuk Dr. Johar makin pelik. "Tambah nasi sepinggan lagi!" ujarnya kepada pelayan restoran. "Demi kesihatan tuan, saya nasihatkan, berhentilah sebelum kenyang. Maaf tuan saya terpaksa mengatakan demikian. Saya pelayan kedai merangkap pegawai perubatan....," kata pelayan itu lagi. "Apa? Awak pegawai perubatan? Seorang doktor ke? Kelulusan luar negeri atau dalam negeri? Awak sepatutnya bertugas di hospital, bukan di restoran!" bentaknya. Marah campur geram. "Tuan, mana ada hospital sekarang. Yang ada khusus untuk bayi, kanak-kanak dan wanita, juga para mubaligh dan mujahid yang cedera ketika berjuang. Tuan, kalau tuan amalkan makan hanya bila lapar dan berhenti sebelum kenyang, tuan akan sihat, insyaAllah. Kita tak perlu hospital."

"Bodoh, kalau macam tu, macam mana nak rawat pesakit kencing manis macam aku ini ?" leternya perlahan-lahan. "Penyakit kencing manis? Tuan menghidapnya? Saya ada baca buku perubatan edisi tahun 1990 dulu. Sekarang penyakit tu dah tak ada siapa menghidapnya."

"Batalkan saja order saya tadi, banyak sangat cakap, boring. Saya perlu hiburan sekarang. Di mana boleh saya dapati ?" tanyanya. "Di sana, tuan. Melalui butang pada sistem komputer di sebelah sana, tuan boleh dapat apa saja hiburan yang menyegarkan. Tak payah risau pasal bil. Percuma.

Datuk Dr. Johar, orang besar negara, melangkah hebat ke tempat yang ditunjukkan. Berbagai-bagai butang dengan bermacam warna berkelip-kelip. Sangat rumit tapi kekeliruan itu dapat disembunyikannya. Dia malu kalau-kalau dengan pakaian jenama Pierre Cardinnya ia masih kelihatan kolot.. Entah di mana falsafah moden Datuk Dr. Johar. Pada pakaiannyakah atau otaknya? Diberanikan hatinya; satu butang warna hitam ditekan. Dalam skrin timbul tajuk besar-KHAUF. Apa bendanya ni? Kemudian menyusul nama-nama lagu: MATI ITU TERLALU SAKIT, ALAM BARZAKH YANG PASTI, MIZAN NOKTAH PENYESALAN , IZRAEL DATANG TIBA-TIBA Oh... Oh ... seram sejuk tubuhnya. Apa nama lagu macam ini? Biarlah menaruh harapan sikit. Hatiku macam kristal, boleh pecah dengan lagu-lagu macam tu. Aku belum nak mati lagi, protes hati Datuk Dr.Johar.

Dia beralih ke butang hijau tanpa lengah terus menekannya. Tertera di atas skrin komputer, 'RAJA'. kemudian tersembul tajuk-tajuk lagu. Dibacanya dengan teliti... FIRDAUSI MELAMBAIMU, DEMI CINTA DAN RAHMAT-NYA, KEINDAHAN JANNAH YANG ABADI.. Kepala Datuk Dr. Johar makin pusing. Semuanya tentang Akhirat. Apa nak jadi ni?

"Tak ada lagu yang hot sikit ke?" tanyanya kepada seorang anak muda berjubah coklat di sebelahnya. "Nanti ya pakcik . Saya pilihkan lagu yang paling hot sekarang ni.Top-hit anak-anak muda sekarang..." "Ya, ya saya setuju," balas Datuk Dr. Johar. Telinganya dihalakan kepada sistem suara di dinding restoran itu. Dia ingin dengar lagu-lagu kegemaran muda-mudi daerah asing itu. Ayat suci Al-Quran... "Eh ...ni suara orang mengaji," "Nanti dulu pakcik,selepas ni ada terjemahannya kemudian baru menyusul lagunya," kata pemuda berjubah cokat itu sambil matanya di tutup rapat-rapat. Asyik sekali dia. Kemudian getaran suara bergema, "Cintaku berlabuh di persada rahmat-Mu mendamba kasih yang tidak berhujung mengutip sayang di hamparan cinta suci. Inilah getaran hatiku memburu cinta, stanza hati merindu Ilahi..."

Datuk Dr. Johar tak tahan lagi. Ia merengus dan pergi ke kaunter bayaran. "Maaf tuan, duit ini duit lama. Kalau tuan tak mampu bayar kami halalkan sajalah" Datuk Dr. Johar makin geram. Dia menderam dan berkata "Saya bayar dengan kad kredit saja!" Dia hulurkan kad kredit warna keemasannya. "Maaf sekali lagi, tuan. Kad kredit ini bukan yang boleh kami terima, kami halalkan sajalah." "Tak, pantang saya minta sedekah. Saya ada harta simpanan berbungkal-bungkal emas di bank. Takkan saya nak bawa, nanti disambar pencuri."

"Darul Taqwa tak ada pencuri, tuan. Pencuri terakhir telah dipotong tangannya 30 tahun yang lalu ketika minta dihukum di hadapan hakim kerana takutkan seksa Neraka." "Ah, aku tak nak dengar semuanya. Makin gila aku dibuatnya," pekik Datuk Dr. Johar lantas meluru keluar dari restoran itu.

Di luar, semua pandangan menyakitkan hati. Mengapa orang kolot ini mentadbir teknologi begini tinggi. Pemandu bullet train berserban merah tersenyum kepadanya. Juruterbang helikopter dengan tulisan 'MAKRUFAT AIR TRANSPORT' sibuk dengan urusannya. Di seberang jalan tertegak papan iklan dengan tulisan yang jelas : "KELUARGA BAHAGIA GEMBIRA DENGAN SUNNAH ". Di papan itu terpampang gambar seorang lelaki dan perempuan berserta anak-anak meraka. Semuanya berserban, berjubah dan berpurdah. Isy, meluatnya! Di jalan-jalan raya suasana meriah dengan salam dan senyum. Baginya, semua itu seolah-olah menyindir dan mengejek.

Kenapa jadi begini? Kenapa? Kenapa? Kenapa? Mengapa? Mengapa? Mengapa? Datuk Dr. Johar tiba-tiba menjerit. "Kenapa?". Tekanan dalam jiwanya yang kian tersumbat itu tiba-tiba meletus.

"Datuk..! Datuk! Bangun, Datuk. Ada berita buruk !" Datuk Dr. Johar bangun. Dia tertidur sewaktu menunggu keputusan pilihanraya hari itu. "Kenapa? Parti kita kalah? Aku kalah?" tanya Datuk Dr. Johar. "Tidak, Tuk. Rakyat bangun memprotes. Mereka tak mahu demokrasi. Mereka tak mahu pilihanraya.." "Habis, mereka mahu apa?". "Mereka mahu Islam, Datuk!". "Islam? " keluh Datuk Dr. Johar. Digosok-gosok lagi matanya terlihat sepanduk di hadapan tertulis, "ISLAM KAN TETAP DIJULANG WALAUPUN IA DITENTANG.. ITULAH JANJI ILAHI". "Pasakkan Sabat Teguhkan Istiqamah!".

"Tak mungkiiinnnn!!!". Datuk Dr. Johar jatuh pengsan.

by : Generala Zajaczka

Jun 5, 2010

Alaf 21 vs zaman jahiliyyah

1400 tahun yang lalu, Rasulullah saw menyeru manusia ber'ilah'kan hanya kepada Allah; tiada lagi Latta dan Uzza..

La ilaha illa Allah

Zaman sekarang zaman milenium. Rata2 umat Islam seluruh dunia tahu dan mampu mengucapkan dengan lisan kalimah Tiada Tuhan Selain Allah, tapi..

"Maka pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai ILAHnya?"
(QS 45:23)

Bukannya masyarakat Arab jahiliyah tak kenal Allah dan tak tahu bahawa Allah ialah Tuhan sekalian manusia, tapi mereka TAK NAK meninggalkan 'para tuhan' mereka yang lain.

Bukannya masyarakat Muslim zaman milenium tak kenal Allah dan tak tahu bahawa Allah ialah Tuhan sekalian manusia, tapi kita TAK NAK 'mengingkari' kehendak nafsu yang tenggelam dalam lautan perhiasan dunia.

Apabila kita tak mahu dan teragak2 untuk meninggalkan perkara sia2 demi menjaga hak Allah beserta tuntutanNya, iman check-up has to be done.

Jun 3, 2010

Do We Really Care

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh & Hello Everyone~!



Bakal doctors!




Do u ever realize being a doctor (or becoming one), means we r abide by the Hippocratic Oath...


In among which, kita berikrar that...


We will treat patients equitably and support a FAIR* and HUMANE* distribution of health resources.


We will try to influence positively authorities whose policies HARM* public health.


We will OPPOSE* policies which BREACH* internationally accepted standards of human rights.


We will STRIVE* to change laws which are contrary to patients' interests or to your professional ethics.


*pay extra attention to these words

*(u can find the rest of Hippocratic oath 2004 in the very 1st page of the Oxford Handbook of Clinical Medicine – the most famous medical student’s “bible”)

So bakal doctors!


What are your reactions towards the human aid flotilla to Gaza?


Statistically, ade lebih kurang 1.4 million people living in Gaza and it is reported that 4 out of 5 people of Gaza, I repeat, 4 out of 5 people need humanitarian aid.


Thus, a simple calculation would tell us that there are 1,120,000 people of Gaza dying and desperately waiting for the 10,000 tonnes of bekalan utk kunjung tiba~!


This shows how the aid is crucial for them, and to actually help develop Gaza especially after being severely attacked in 2008/2009...


Tapi malangnyer, the Israeli forces attacked the aid-carrying ships in international water, 65km dari pesisiran pantai Gaza. Up to 16 people were killed (so far yang tau~) and lebih daripada 30 people injured..and akhirnyer, that 10,000 tonnes of bekalan, entah ke mana perginya~!


Can u imagine, kutip derma sana, derma sini, sumbangan sana, sumbangan sini, donation sana, donation sini, last2 hilang cmtu jer.. Bayangkan, how long did it take, n how much effort disumbangkan to actually kumpul 10,000 tonnes of bekalan~(dah la nk minta derma sgt susah~ wow!!!!!)




Brothers and sisters,


This Palestinian issue is NOT the issue of agama, and it is also NOT the issue of a bangsa


We are not talking about Muslims, we are not talking about religions, we are not even talking about Malays, but we are talking about humanity~!!


So, lets put a side our differences n lets start to act like a human with well, hopefully some sense of moral values and lets join hands and help those in need.


Teruskan menderma, Teruskan blajar. Teruskan sampaikan kisah2 kekejaman israel to our international friends.


Jangan cemarkan kesucian ikrar seorg doctor.


Do we really care?


Take home message : Gaza needs our help. Gaza needs us~ We need to do as much as we can within our limit to answer their call. And we vehemently disagree dgn tindakan Israel.