Dec 14, 2015

[AMARGlobal] AMAR WEEKLY WRAP UP (7/12/2015-13/12/2015)

DALAM NEGARA

Siapa punya kapal terbang? Tolong ambil balik!

Siapa punya kapal terbang? Tolong ambil balik!

KUALA LUMPUR: Malaysia Airport (Sepang) Sdn Bhd meminta pemilik tiga buah pesawat untuk menuntut semula pesawat yang didapati 'tersadai' di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Dalam satu siaran notis yang dikeluarkan syarikat itu, pemilik pesawat berkenaan gagal menjelaskan bayaran caj yang dikenakan terhadap mereka.
"Jika anda gagal untuk mengambil semula pesawat ini dalam tempoh 14 hari notis dikeluarkan, pihak kami berhak untuk menjual atau melupuskan pesawat tersebut dibawah Akta Penerbangan Awam 1969.
"Wang tersebut akan digunakan untuk membayar caj dan hutang syarikat seperti dinyatakan dalam akta berkenaan," katanya dalam kenyataan akhbar yang dikeluarkan di sini.

Segala tambang naik, nak suruh rakyat jalan kaki? - Khairy

Segala tambang naik, nak suruh rakyat jalan kaki? - Khairy

KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin Abu Bakar menggesa kerajaan agar menghentikan segala kenaikan kos yang berlaku ketika ini.
Dalam ucapan perasmian Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin menegaskan rakyat sudah tidak boleh menerima lagi pelbagai kenaikan harga yang membebankan kos sara hidup mereka.
Tambahnya, Pemuda UMNO juga membantah apa jua kenaikan tol selepas ini baik untuk dua lebuh raya antara bandar ini, mahupun mana-mana lebuh raya sekalipun. 
"Selama ini bila tol naik, kita minta anak muda guna pengangkutan awam. Tapi sekarang, lepas kita naikkan harga tol, tambang komuter, tambang ERL, segala-gala tambang pun naik juga."
"Apa lagi pilihan yang ada pada rakyat, nak suruh mereka jalan kaki?" soal Khairy Jamaluddin.

Kanak-kanak 7 tahun ke atas dicaj harga tiket dewasa, KTM 'dihentam' pengguna

Kanak-kanak 7 tahun ke atas dicaj harga tiket dewasa, KTM 'dihentam' pengguna

KUALA LUMPUR: Syarikat Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) membuat pengumuman terbaru berkenaan harga tiket menerusi akaun Twitter mereka.
KTMB mengumumkan harga tiket komuter bagi kanak-kanak 7 tahun ke atas adalah sama dengan harga tiket dewasa berkuatkuasa pada 2 Disember lalu.

Lapan kawasan di Selangor terjejas akibat banjir kilat - Bomba

Lapan kawasan di Selangor terjejas akibat banjir kilat - Bomba

KUALA LUMPUR: Lapan kawasan di Selangor mengalami banjir kilat akibat hujan lebat pada petang Ahad, menurut Penolong Pengarah Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul.
Lapan kawasan yang terjejas ialah di Taman Bukit Kemuning, Kampung Kubu Gajah di Sungai Buloh, Jalan Kapar, Kampung Bukit Cherakah, Kampung Chinchang, Jambatan Jalan Resak dan Jalan Merbau, Kampung Sri Aman Puchong dan Kampung Tengah.
Beliau berkata pihaknya menerima laporan banjir itu daripada orang awam pada mulai 4 petang hingga 6 petang.

Najib umum kadar diskaun untuk pengguna ERL, komuter

Najib umum kadar diskaun untuk pengguna ERL, komuter

KUALA LUMPUR: Presiden UMNO Datuk Seri Najib Razak menggunakan sesi penggulungan Perhimpunan Agung UMNO 2015 untuk memberi penjelasan berhubung kenaikan kos sara hidup yang menyebabkan meningkatnya harga bagi beberapa perkhidmatan.
Antara perkara yang disentuh oleh beliau dalam ucapannya di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) itu termasuklah mengenai tambang Express Rail Link Sdn. Bhd (ERL) yang baru-baru ini dinaikkan daripada RM35 ringgit kepada RM55.
Prihatin dengan keluhan rakyat yang terkesan dengan kenaikan tambang ERL itu serta beberapa perkhidmatan lain, termasuk komuter, Najib turut mengumumkan beberapa kadar diskaun.
“Antaranya, pelajar ada kad siswa diskaun 30 peratus, kakitangan awam dengan kad bulanan. Bagi komuter, pelajar (diberikan) diskaun 50-70 peratus termasuk untuk pelajar universiti,” ujar beliau.

Tahanan lolos : OKT berjaya diberkas semula di Batu Caves

Tahanan lolos : OKT berjaya diberkas semula di Batu Caves

KUALA LUMPUR: Seorang OKT (orang kena tahan) yang berusia 34 tahun berjaya diberkas semula pihak polis selepas melarikan diri sejak 7 Disember lalu ketika dibawa ke Paya Jaras, Sungai Buloh dalam usaha untuk mengesan seorang rakannya (penjenayah).
Ketua Polis Daerah Klang Utara ACP Mohd Yusoff Mamat berkata OKT berkenaan ditahan pada jam kira-kira pukul 1 pagi, ketika bersembunyi di sebuah rumah di Kampung Seri Gombak Indah Batu Caves, Selangor.
Pada 7 Disember, seorang OKT yang masih dalam keadaan bergari dan berbaju lokap berwarna jingga melarikan diri ketika berada di bawah tahanan polis daerah Klang Utara dalam satu rancangan serbuan di Paya Jaras.
Kejadian pada jam kira-kira 8 malam itu berlaku apabila tahanan bersama empat anggota dan seorang pegawai polis dari Balai Polis Klang Utara dibawa ke Paya Jaras untuk mengesan rakannya.
Tahanan itu dipercayai terlibat dengan lebih 20 kes ragut dan samun sekitar Klang Utara, Sungai Buloh dan Damansara.

Hamas saran rakyat Malaysia supaya bersatu

Hamas saran rakyat Malaysia supaya bersatu

KUALA LUMPUR: Ketua Biro Politik Hamas, Khaled Meshaal menyarankan agar rakyat di negara ini bersatu bagi mengelak dicampur tangan anasir luar.
Beliau berkata, kesepaduan yang dimiliki negara menjadi jaminan kepada pembangunan dan kejayaan yang dikecapi Malaysia.
Menyedari kepentingan perpaduan, Khaled berkata kerajaan Hamas dan Fatah kini bersatu demi mempertahankan bumi Palestin.
Dalam masa yang sama, Hamas turut menolak kewujudan Daish (IS) dan menyifatkan ianya satu keganasan.
Khaled menegaskan perjuangan Hamas adalah bagi menentang kezaliman rejim Zionis terhadap rakyat Palestin dan ia sama sekali berbeza dengan tindakan zalim Daish yang membunuh orang awam secara membabi buta.

LUAR NEGARA

Donald Trump gesa umat Islam dihalang memasuki Amerika Syarikat

Donald Trump gesa umat Islam dihalang memasuki Amerika Syarikat

WASHINGTON: Calon Presiden Amerika Syarikat daripada Parti Republikan, Donald Trump pada Isnin menggesa supaya umat Islam tidak dibenarkan memasuki negara itu ekoran kejadian tembakan di California baru-baru ini yang melibatkan pasangan suami isteri yang dikaitkan dengan kumpulan militan IS.
Pasukan kempen Trump berkata larangan terhadap umat Islam daripada memasuki Amerika Syarikat perlu dilaksanakan "sehingga wakil negara kita boleh memikirkan apa yang sedang berlaku."
Pembantu beliau bagaimanapun tidak menyatakan jika cadangan itu akan dikenakan kepada pelancong dan pendatang, juga sama ada ia akan menyasarkan warga Amerika beragama Islam yang kini berada di luar negara.

Bangunan tertinggi di dunia: Jeddah Tower bakal tewaskan Burj Khalifa

Bangunan tertinggi di dunia: Jeddah Tower bakal tewaskan Burj Khalifa

Bangunan ikonik Emiriah Arab Bersatu, Burj Khalifa, yang kini merupakan bangunan tertinggi di dunia akan kehilangan gelaran ini apabila Arab Saudi berjaya menyiapkan Jeddah Tower nanti.
Projek yang bakal menelan belanja USD1.23 billion itu dilihat akan menjadi realiti apabila Jeddah Economic Company dan firma Arab Saudi, Alinma Investments telah menandatangani perjanjian pembiayaan bernilai USD2.2 bilion pada 29 November yang lalu untuk membina Jeddah City, termasuklah pencakar langit tersebut.
Menara yang bakal berdiri setinggi satu kilometer itu dijangka selesai dibina pada tahun 2020. Sebagai perbandingan, Burj Khalifa mempunyai ketinggian 827 meter.

Fenomena El Nino berlaku sehingga tahun depan - PBB

Fenomena El Nino berlaku sehingga tahun depan - PBB

BANGKOK: Fenomena El Nino yang berlaku sekarang dijangka berterusan sehingga suku kedua tahun depan, menurut Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).
Amaran ini dikeluarkan Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial PBB bagi Asia dan Pasifik (ESCAP) serta Sistem Amaran Awal Pelbagai Bahaya bagi Afrika dan Asia (RIMES).
Mereka berkata taufan itu yang bermula sederhana dan setempat di Pasifik pada akhir 2014 kini meningkat untuk meliputi sebahagian besar Asia dan Pasifik dengan mendatangkan kesan besar seperti di tengah dan selatan India, tengah dan timur laut Thailand, tengah dan selatan Filipina, utara Kemboja, timur Indonesia, Papua New Guinea dan banyak negara kepulauan Pasifik lain.
Hujan yang berkurangan dilapor telah menjejaskan pertanian di beberapa negara hingga menyebabkan kerugian di negara seperti Timor Leste, Papua New Guinea, Kepulauan Solomon, Vanuatu dan Fiji.

Bekas tentera British kena bom di Iraq kongsi surat terbuka kecam Islamophobia

Bekas tentera British kena bom di Iraq kongsi surat terbuka kecam Islamophobia

Seorang bekas tentera British yang kehilangan kaki kanannya ketika bertugas di Iraq telah berkongsi surat terbuka menyelar mereka yang “berharap” agar beliau menjadi seorang rasis kerana nasib yang menimpanya.


A Muslim medic was in the helicopter that took me from the field
A Muslim surgeon performed the surgery that saved my life
A Muslim taxi driver gave me a free ride the first time I went for a beer with my Dad after I came home.
A Muslim doctor offered my Dad comfort and advice in a pub, when he didnt know how to deal with my medicines and side effects.
A white brit spat in my girlfriends face for 'fucking a cripple when you could have me [him]'
A White brit pushed my wheelchair away from a lift so he could use it first.
A White brit screamed at my Dad for parking in a disabled bay when I was in the services coming home
(Although, alot of people helped in my recovery! I dont hate white brits either! hahaha)
Get a grip of your lives, hug your family and get back to work.

Pelarian Syria jual pen tepi jalan kini pemilik bakeri

Pelarian Syria jual pen tepi jalan kini pemilik bakeri


Mungkin ini adalah pengakhiran yang gembira dalam kisah lelaki bernama Abdul Halim al-Attar ini.
Dia yang menerima bantuan derma berjumlah kira-kira AS$191,000 (RM814,586) dari masyarakat dunia, kini memiliki sebuah kedai roti, sebuah restoran dan sebuah kedai kebab.
Dengan perniagaan yang dimilikinya itu, hidup Abdul Halim kini sudah jauh berubah.
Dia yang kini menetap di Beirut, Lubnan, bagaimanapun tidak melupakan rakan-rakan senegaranya yang senasib dan terpaksa menjadi pelarian.
Kesemua perniagaan yang dimilikinya menggunakan khidmat pelarian dari Syria sebagai pekerja.
Buat masa ini, 16 orang pelarian Syria telah diambil bekerja dengannya.
Ogos lalu, seorang aktivis dari Norway, Gissur Simonarson memuat naik gambar Abdul Halim dan ia pantas mengundang simpati netizen. Simonarson kemudiannya menubuhkan tabung dan ia berjaya membantu Abdul Halim memulakan kehidupan baharu bersama dua anaknya.


Wanita di Arab Saudi dibenarkan mengundi buat kali pertama

Wanita di Arab Saudi dibenarkan mengundi buat kali pertama


RIYADH: Buat pertama kalinya wanita di Arab Saudi dibenarkan keluar mengundi dalam pilihan raya perbandaran.
Wanita juga pertama kali dibenarkan menjadi calon dalam pilihan raya tersebut walaupun kerajaan konservatif itu kekal menjadi satu-satunya negara yang tidak membenarkan wanita memandu kenderaan.
Seramai 978 calon wanita berdaftar sebagai calon, bersama-sama 5,938 calon lelaki yang bertanding.
Bagaimanapun bagi calon wanita, mereka hanya dibenarkan menjalankan kempen dari belakang tirai atau diwakili seorang lelaki.


Koir Kanada rai pelarian Syria dengan lagu Tala' al-Badru 'Alayna

Koir Kanada rai pelarian Syria dengan lagu Tala' al-Badru 'Alayna


Jika kita membaca berita tentang bagaimana Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau menyambut sendiri ketibaan pelarian Syria, kini negara itu membuktikan aspirasi Trudeau itu juga turut dikongsi bersama rakyatnya.
Sebuah video yang memaparkan kumpulan koir menyanyikan lagu nasyid, Tala' al-Badru 'Alayna, dikongsi di laman YouTube, dan dikatakan salah satu cara rakyat Kanada meraikan kedatangan saudara-saudara baru mereka itu.
Bagaimanapun, bila dan di mana video itu dirakamkan tidak diketahui.
Video itu dikongsi oleh pengguna YouTube dengan nama moepheusali pada Jumaat dan sudah mencatat tontonan lebih 300 ribu.
Tala' al-Badru 'Alayna merupakan sebuah lagu nasyid yang dinyanyikan oleh golongan Ansar kepada Nabi Muhammad SAW sewaktu menyambut kepulangan baginda di Madinah selepas tamat Perang Tabuk.
"Kindness is the language which the Deaf can hear and the Blind can see"

Dec 7, 2015

[AMARGlobal] AMAR WEEKLY WRAP UP (1.12.2015~7.12.2015)

DALAM NEGARA :

Isu RM2.6b : Najib bagi keterangan kepada SPRM:

Najib Tun Razak
Najib Tun Razak


SHAH ALAM: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak sudah memberikan keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu dana RM2.6 bilion dan SRC International, hari ini. Perkara itu disahkan oleh suruhanjaya itu dalam satu kenyataan.

"Pertemuan hari ini berlangsung selama dua setengah jam.
"Perdana Menteri telah memberi kerjasama yang baik kepada SPRM. SPRM akan memaklumkan perkembangan susulan dari semasa ke semasa," menurut kenyataan itu.



SPRM pada Khamis telah ke Pejabat Perdana Menteri bagi memuktamadkan tarikh mengambil keterangan daripada  Perdana Menteri.


AL-Fatihah, Tengku Laksamana Johor Mangkat:

Tunku Abdul Jalil

JOHOR BAHRU: Tunku Laksamana Johor, Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim disahkan mangkat kira-kira jam 7.11 malam di Hospital Sultanah Aminah (HSA). Perkhabaran kemangkatan berkenaan telah disampaikan oleh Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli. Beliau berkata, istiadat pemakaman Almarhum akan dilakukan secara istiadat separuh kemangkatan diraja.

"Jenazah Almarhum akan mula dilakukan istiadat bersiram dan dikafankan bermula jam 7 pagi esok.
"Kemudian jenazah akan disembahyangkan di bilik jenazah sebelah bilik singgahsana oleh kerabat diraja,"katanya.

Abdul Rahim berkata, jenazah Almarhum juga akan diletakkan di dalam keranda yang diselimuti bendera rasmi Tunku Laksamana Johor bersama topi dan pedang Polis Diraja Malaysia memandangkan beliau merupakan seorang anggota polis.

"Orang ramai dan kenamaan juga akan diberi peluang untuk memberi penghormatan terakhir kepada Almarhum bermula jam 9 pagi sehingga 11.30 tengahhari esok.
"Jenazah dijangka akan dimakamkan selepas solat zuhur di Makam Diraja Mahmodiah di sebelah kanan Makam Almarhum Sultan Iskandar Sultan Ismail," katanya pada sidang media di Pejabat Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri.

Difahamkan, perkabungan selama tiga hari kepada orang ramai dan tujuh hari kepada kerabat akan dilakukan selain penurunan semua bendera daerah Johor kecuali bendera Istana diturunkan separuh tiang selama tiga hari bagi menghormati kemangkatan Tunku Abdul Jalil.


Suasana Pilu Iringi Penghormatan Terakhir:

Upacara p'hormatan t'akhir diiringi suasana pilu

JOHOR BAHRU: [DIKEMASKINI] Suasana di dalam Bilik Singgahsana Istana Besar, selubungi suasana pilu ketika upacara penghormatan terakhir kepada Almarhum Tunku Laksamana Johor, Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim, 25. Keranda yang dibaluti bendera peribadi Tunku Abdul Jalil diletakkan di bahagian tengah berhampiran pintu masuk singgahsana manakala topi dan pedang polis milik Almarhum turut diletakkan di atas keranda.
Turut kelihatan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Tunku Puteri Johor, Tunku Aminah Maimunah Iskandariah dan Tunku Putera, Tunku Abu Bakar hadir bersama kerabat diraja yang lain. Orang awam yang hadir membuat penghormatan perlu melalui pusingan U mengelilingi keranda dan dibenarkan berhenti seketika di hadapan jenazah untuk menyampaikan bacaan al-Fatihah dan doa. Sekumpulan lelaki turut memperdengarkan bacaan al-Quran berhampiran jenazah Almarhum. Jenazah Almarhum seterusnya akan diarak dari Istana Besar menuju ke Makam Diraja Mahmodiah menggunakan pedati dan disemayamkan di sebelah makam nendanya, Sultan Iskandar Sultan Ismail.




Tunku Abdul Jalil mangkat pada kira-kira jam 7.11 petang, semalam di Hospital Sultanah Aminah (HSA).
Sementara itu, pekarangan Istana Besar, terus dibanjiri rakyat Johor yang ingin memberi penghormatan terakhir kepada Almarhum Tunku Laksamana Johor. Orang awam lelaki yang ingin membuat penghormatan terakhir perlu memakai baju Melayu teluk belanga berwarna putih, bersamping hitam tanpa corak dan songkok hitam berlilit kain putih. Sementara lelaki bukan Islam dikehendaki memakai sut hitam, bersongkok dan berlilit putih di lengan, manakala bagi wanita Islam memakai tudung dan baju kurung putih.

Bunuh sosilawati: Hukuman Mati dikekalkan:

Bunuh Sosilawati


PUTRAJAYA: Hukuman mati yang dikenakan terhadap bekas peguam, N Pathmanathan dan tiga yang lain atas tuduhan membunuh jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya serta tiga pembantunya lima tahun lalu, dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan.Keputusan sebulat suara itu dicapai oleh panel tiga hakim selepas menolak rayuan keempat-empatnya terhadap sabitan dan hukuman gantung.

Hakim Datuk Aziah Ali yang bersidang bersama Datuk Tengku Maimun Tuan Mat dan Datuk Seri Zakaria Sam memutuskan demikian selepas berpuas hati bahawa tiada sebab untuk mereka mengubah keputusan Mahkamah Tinggi yang mendapati tertuduh bersalah membunuh keempat-empatnya.

"Tiada sebab untuk mahkamah mengubah keputusan mahkamah tinggi," katanya.

Tengku Maimun meluangkan masa hampir sejam membaca penghakiman tersebut. 


Pathmanabhan, 45, dan tiga pekerja ladang T Thilaiyalagan, 23, R Matan, 24 dan Kathavarayan dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 25 Mei 2013 setelah didapati bersalah membunuh Sosilawati, 47, pemandunya, Kamaruddin Shamsuddin, 44, pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38, dan peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32. Kesalahan itu dilakukan di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat di Banting antara 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos 2010. Sosilawati dan tiga pembantunya dilaporkan hilang selepas mereka pergi ke Banting atas urusan tanah. Kehilangan mereka menjadi tajuk utama akhbar. Keempat-empat lelaki itu ditangkap dan kemudiannya didakwa di mahkamah pada 2011. Pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd Yusoff.

Ahli Perniagaan Malaysia mati di Hatyai:

HATYAI: THAILAND. Seorang ahli perniagaan Malaysia mati ditembak tengah hari tadi oleh pihak yang belum dikenali semasa dalam perjalanan dari Sadao menuju Lapangan Terbang Antarabangsa Hatyai, Songkhla.
Mangsa dikenali sebagai Lee Ah Wan, 54, yang berasal dari Kedah tetapi menetap di Mukim Sanakam, Daerah Sadao, Songkhla.
Ketua Polis Mukim Thunglung, Kolonel Polis Wichapan Chantaraporn berkata Lee ditembak semasa berada dalam sebuah Mercedes Ben S300 bersama teman wanitanya yang cedera dalam kejadian itu.
Beliau berkata penembak yang berada dalam sebuah kereta menggunakan raifal M16 untuk melepaskan berpuluh-puluh tembakan ke arah kereta mangsa di Jalan Kanchanavanich, Kg Klongplom, Mukim Thunglung, Hatyai.
Lee terkena lebih 10 das tembakan di kepala dan badan serta terdapat berpuluh kesan tembakan pada keretanya, kata Wichapan.
Motif pembunuhan masih disiasat sama ada turut mempunyai kaitan dengan soal perniagaan. - Bernama

Lima Individu terlibat Dalam Aktiviti Keganasan diberkas:

Kes jenayah


KUALA LUMPUR: Polis memberkas lima individu termasuk seorang anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) yang dipercayai terlibat dengan aktiviti keganasan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, sepasukan anggota dari Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas melancarkan operasi sejak 17 November hingga 1 Disember lalu di Lembah Klang, Kelantan dan Johor.
"Seorang guru sambilan Bahasa Inggeris di Pulau Pinang diberkas di Kuala Lumpur.
"Lelaki warga Eropah yang berusia 44 tahun itu dipercayai pernah menyertai kumpulan pengganas Al- Qaeda serta pernah terlibat dalam aktiviti keganasan di Afghanistan dan Bosnia," katanya.
Menurutnya, tangkapan kedua pula seorang lelaki warga Afrika berusia 29 tahun, dia diberkas di Cheras.
"Lelaki itu merupakan seorang pelajar sebuah kolej swasta di Petaling Jaya, dia juga dipercayai terlibat dalam aktiviti keganasan," katanya.
Beliau berkata, tiga lagi suspek ditahan di Selangor, Kelantan dan Johor, mereka dipercayai terlibat dengan anggota kumpulan sel yang disyaki ada kaitan dengan kumpulan militan IS.
"Seorang lelaki warga Indonesia berusia 31 tahun dipercayai ketua kumpulan sel itu ditahan di Johor. Pekerja mekanik di sebuah bengkel lori itu dipercayai telah berba'iah dengan pemimpin militan Is Abu Bakar al- Baghdadi melalui Facebook pada pertengahan tahun 2014,” katanya.
Khalid berkata, suspek itu juga dipercaayai mempunyai hubungan rapat dengan beberapa rakyat Malaysia yang menyertai kumpulan militan IS di Syria.
“Dia disyaki bertindak sebagai fasilitator bagi mengatur individu dari Malaysia dan beberapa Negara Asia Tenggara yang berhasrat menyertai militan IS di Syria dan beberapa kumpulan pengganas di rantau Asia Tenggara,” katanya.
Beliau bekata, seorang lagi rakyat tempatan dipercayai anggota kumpulan sel ditahan Kota Bharu, Kelantan.
“Anggota Rela berusia 59 tahun itu juga bekerja sebagai tukang jahit, dia dipercayai bertanggungjawab merekrut dan mengatur anggota-anggota baru sel ini untuk terlibat dengan aktiviti keganasan di luar Negara,” katanya.
Katanya, suspek terakhir merupakan seorang lelaki warga Bangladesh berusia 25 tahun dipercayai merancang untuk berjihad menyertai kumpulan militan IS di Syria.
“Lelaki itu merupakan seorang pekerja juruteknik di sebuah syarikat swasta,” katanya.
Kesemua individu berusia dalam lingkungan 59 tahun ditahan bagi membantu siasatan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012, (Akta 747) serta Akta Imigresen 1959/63.

Hospital Perjelas Punca Sebenar Jururawat dipecat:

Hospital perjelas punca sebenar jururawat dipecat

SHAH ALAM – Pemecatan seorang jururawat sebuah hospital baru-baru ini bukan disebabkan cara pemakaian jururawat tersebut, sebaliknya disebabkan oleh masalah disiplin yang membabitkan jururawat tersebut. Pengurus Kewangan dan Pentadbiran Hospital Damai Service, Regina Sundram berkata, jururawat tersebut dipecat kerana tidak hadir bekerja selama dua hari tanpa sebab.

“Dia tidak hadir selama dua hari tanpa sebab dan tidak melaporkannya kepada pihak pengurusan bahawa dia tidak hadir.
"Kami anggap dia secara tidak langsung telah berhenti kerja. Dia diberhentikan bukan kerana pakai pakaian lengan panjang.
"Mengikut akta buruh, sekiranya pekerja tidak hadir bekerja lebih dari dua hari bekerja, boleh dikira telah berhenti” katanya dipetik daripada laporan Malaysiakini.

Semalam, seorang jururawat Naziah Sauni Samat, 24, bersama Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan mengadakan sidang dan mendakwa dibuang kerja hanya kerana cuba menutup aurat semasa bekerja.


Naziah mendakwa, dia tidak dibenarkan memakai pakaian seragam berlengan panjang ketika menjalankan tugas. Sementara itu, Regina mengakui pihaknya tidak membenarkan jururawatnya mengenakan pakaian seragam berlengan panjang. Menurut Regina, hospital itu sememangnya menetapkan garis khusus untuk jururawat Muslim dan bukan Muslim.
Jururawat bukan beragama Islam dikehendaki memakai seragam seluar panjang dan kemeja lengan pendek manakala bagi jururawat beragama Islam pula, kata Regina, pakaian yang ditetapkan iaitu berseluar panjang, kemeja pendek dan boleh memakai anak tudung.

"Kami tidak melanggar akta yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, malah peraturan pemakaian seragam berlengan pendek dibuat untuk mengelak jangkitan kuman pada pesakit dan memudahkan kerja," jelasnya.

Menurut Regina, pihak pengurusan hospital berkenaan telah memberi penjelasan bahawa pemakaian seragam berlengan panjang memang tidak dibenarkan dan peraturan begitu tiada tertakluk kepada mana-mana akta yang ditentukan kerajaan. Sebelum ini, katanya, pihak hospital turut memberikan ruang bagi Naziah berfikir sama ada untuk meneruskan kerja di situ atau berhenti sendiri.
Bagaimanapun tambah Regina, Naziah datang bekerja dengan memakai stoking lengan dan ia telah melanggar peraturan pemakaian hospital.

29 PATI ditahan Ketika Memasuki Jalan Hutan:

Pati

PADANG BESAR - Seramai 29 pendatang asing tanpa izin (Pati) warga Myanmar termasuk dua wanita berjaya ditahan Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) ketika cuba memasuki negara ini secara haram melalui jalan hutan di Chuping di sini kira-kira pukul 9.30 malam.    Komander UPP Perlis, Deputi Superintendan Syed Basri Syed Ali berkata Pati berumur antara 17 hingga 52 tahun dipercayai bolos selepas memotong pagar keselamatan.    

"Semasa diberkas mereka berada dalam satu kumpulan kemudiannya didatangi sepasukan anggota risik UPP yang membuat rondaan dan setelah diperiksa kesemua mereka tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah," kata Syed Basri.    

Beliau berkata, Pati berkenaan yang disoal siasat mengaku mengambil masa selama dua hari berjalan kaki dari Myanmar menuju ke Ranong, Thailand dan lapan hari berjalan kaki dari Ranong ke Hatyai dan kemudian menaiki bas menuju ke Sadao, Thailand.    

"Mereka juga mengaku telah membayar ejen sebanyak RM5,000 untuk membawa mereka ke Malaysia.
"Dengan bantuan ejen Thailand, mereka berjalan kaki dari Sadao melalui hutan dan memasuki sempadan 
Malaysia dan dipercayai akan dibawa ke Pulau Pinang dan Kuala Lumpur untuk bekerja sebagai buruh binaan, pekerja kilang dan pembantu restoran.    

"Salah seorang dari mereka juga boleh berbahasa Melayu kerana pernah mengikuti kelas persediaan Bahasa Melayu selama enam bulan di Myanmar," kata Syed Basri.   

Syed Basri berkata, terdapat dua tali berwarna hijau dan putih diikat di pergelangan kaki dua dari Pati tersebut dipercayai sebagai tanda pengenalan diri kepada ejen dan majikan yang akan mengambil mereka sebaik mereka tiba di Malaysia. Kesemua Pati terbabit akan diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut dan kes itu disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 Pindaan 2002 Seksyen 6 (3). - Bernama


LUAR NEGARA :


Bandar Chennai Lumpuh Angkara Banjir:

NEW DELHI: Lazimnya pada hujung tahun ramai warga Tamil termasuk dari Malaysia yang berada di luar India akan meluangkan masa untuk berkunjung ke Tamil Nadu.

Bagaimanapun, pada masa ini ramai yang terpaksa membatalkan hasrat mereka akibat banjir paling buruk yang melanda Chennai, ibu negara Tamil Nadu.
Bagi mereka yang berada di bandar itu, banjir yang berlaku menjadi igauan buruk dalam kehidupan mereka buat masa ini.
Dilaporkan lebih 90 rakyat Malaysia terperangkap di hotel bersama-sama dengan ribuan pelajar serta pelancong yang mengalami nasib yang sama di asrama serta hotel masing-masing akibat banjir.
Chennai boleh dikatakan ditenggelami air dan di kebanyakan tempat, paras air melebihi dua meter.
Keadaan banjir yang buruk ini menyebabkan jalan raya serta bekalan elektrik terputus. Bukan itu sahaja, lapangan terbang Chennai turut mengalami banjir dan terpaksa ditutup sementara banyak rumah musnah atau ditenggelami air.
Penduduk Chennai seramai 4.0 juta dilaporkan berada dalam keadaan yang genting dan kebanyakannya tidak mempunyai tempat lain untuk mencari perlindungan.
Malahan penulis sendiri tidak berhenti-berhenti menerima mesej serta panggilan daripada kawan serta saudara-mara yang memerlukan bantuan.
Pejabat konsulat Malaysia di Chennai apabila dihubungi memberitahu Bernama mereka melakukan sebaik mungkin untuk membantu rakyat Malaysia yang terperangkap dalam banjir tetapi kemampuan mereka juga semakin terhad.

Banjir kedua dalam masa dua minggu
Bencana yang menimpa Tamil Nadu ini bermula pada pertengahan November lagi apabila hujan musim tengkujuh mengakibatkan banjir di kawasan rendah.
Jabatan Meteorologi India (IMD) dilaporkan telah memberi amaran kepada Kerajaan Tamil Nadu serta pihak berkuasa berkenaan akan berlaku gelombang kedua hujan.
Bagaimanapun, tidak ada siapa yang menjangka hujan yang turun akan menjadi yang terburuk pernah melanda Chennai dalam tempoh 100 tahun.
Bandar itu mencatat hujan sebanyak 40mm dalam tempoh dua hari iaitu jumlah hujan yang biasanya dicatat untuk tempoh dua bulan musim tengkujuh.
Penduduk serta pihak berkuasa Chennai tidak bersedia menghadapi keadaan hujan yang lebat itu.
Apabila paras air di empangan Chembarambakkam meningkat kepada paras bahaya, pihak berkuasa terpaksa membuka pintu air. Air dari empangan yang dilepaskan itu masuk ke dalam sungai Adyar yang mengalir di kebanyakan bahagian Chennai.
Keadaan itu menyebabkan air sungai melimpahi tebing dan menyebabkan Chennai ditenggelami air.
Keadaan banjir yang buruk itu turut memaksa perdana menteri Narendra Modi yang baru kembali dari Paris untuk menghadiri Persidangan Iklim Global melakukan kunjungan pantas ke Chennai untuk melihat sendiri keadaan banjir.
Modi membuat tambahan ikrar bantuan sebanyak 1,000 crore rupee (kira-kira RM666 juta) kepada kerajaan Tamil Nadu, selepas memberi peruntukan awal 940 crore (kira-kira RM626 juta) apabila berlaku gelombang pertama banjir.

Punca bencana banjir
Ramai yang mengaitkan bencana banjir dengan perubahan iklim global serta kesan El Nino. Bagaimanapun, ramai juga yang mengkritik faktor tempatan yang memburukkan lagi keadaan.
Beberapa rangkaian berita utama TV tempatan di New Delhi dan Chennai membuat liputan 24 jam mengenai banjir. Mereka mengaitkan punca banjir buruk itu dengan ketiadaan longkang besar serta pembinaan haram yang dibuat di sepanjang sungai serta laluan air utama berhampiran bandar.
Pihak media turut mempersalahkan kerajaan AIADMK pimpinan bintang layar perak J.Jayalalitaa serta kerajaan DMK yang terdahulu kerana tidak membuat perancangan bandar yang sesuai.
Sejak satu dekad lepas, banyak pembangunan dijalankan di Chennai tetapi apa yang masih kurang ialah prasarana asas seperti sistem perparitan dan pembetungan yang baik.
Keadaan menjadi bertambah buruk kerana kurang penguatkuasaan serta gejala rasuah yang berleluasa.

Menjadi pengajaran
Banjir menyebabkan ribuan rakyat kehilangan tempat tinggal serta mengalami kebuluran.
Pada peringkat awal banjir tidak ada bantuan yang tiba sehinggalah beberapa kumpulan sukarelawan dan pasukan keselamatan dikerahkan ke kawasan yang dilanda banjir.
Kerajaan negeri membisu dan wakil rakyat yang dipilih tidak nampak langsung kelibat mereka.
Banyak pihak mengecam usaha menyelamat dan serta menghantar bantuan yang lemah.
Malahan bintang terkenal Kollywood, Kamal Hassan truut mengecam kelemahan tersebut. Kerajaan Jayalalitaa pantas membidas Kamal dan menyelar beliau sebagai "boneka politik" DMK, demikian menurut laporan India Today.
Apabila angka kematian akibat banjir di Tamil Nadu dilaporkan melebihi 450 orang, pihak media terus membuat laporan penyelarasan yang lemah dalam usaha menyelamat dan menghantar bantuan.
Menurut mereka, pasukan yang terlibat dalam kerja-kerja menyelamat hanyalah dari Pasukan Tindakan Bencana Kebangsaan (NDRF) serta askar India. 
Perkara ini berlaku kerana penyelarasan yang lemah dalam kalangan agensi menyelamat dan pihak berkuasa awam dengan pihak berkuasa kerajaan negeri kurang kemahiran serta pengalaman untuk mengendalikan keadaan bencana itu.
Perkara ini mungkin sesuatu yang memeranjatkan memandangkan banjir sering melanda Tamil Nadu. - Bernama

Menyingkap Kisah 'Perang' Turkey-Rusia:

perang rusia


SHAH ALAM: Tindakan Turki yang masih berdegil untuk menentang sekutu Rusia iaitu  Presiden Syria Bashar Al Assad menjadi punca perbalahan di antara Turki dan Rusia. Penganalisis politik ‎ Dr Maszlee Malik‎ berkata,terdahulu tindakan Rusia yang disengajakan (memasuki ruang udara Turki)  sebelum ini mengundang Turki untuk masuk campur secara langsung di dalam isu Syria.

"Sikap konsisten Turki yang mendesak agar isu sebenar dilihat dan diselesaikan, iaitu Bahsar mesti berundur dan memulangkan kuasa kepada rakyat tidak disenangi oleh pihak-pihak yang berkepentingan di dalam isu berkenaan, terutamanya Rusia dan Iran," katanya

Perang antara Rusia dan Turki dikatakan bermula apabila   jet pejuang Rusia jenis SU-24 ditembak jatuh kerana menceroboh ruang udara Turki. Turki yang bertanggungjawab menembak jet itu mengatakan bahawa pihaknya telah beberapa kali memberi amaran kepada juruterbang jet itu. Jet itu ditembak dan terhempas di Bayirbucak, Syria. Mengimbau insiden ini, kerajaan Turki sehingga kini merupakan penentang kuat kerajaan rejim Bashar al-Assad dan pernah menuduh kerajaan Syria menceroboh ruang udaranya.
Pada Mac 2014, kerajaan Turki menembak jatuh jet pejuang Syria kerana didapati menceroboh ruang udaranya.
Jet pejuang Rusia kini menggunakan ruang udara Syria dalam kempen pengeboman terhadap militan IS.

Suu Kyi Bakal Pimpin Myammar:

Suu Kyi

YANGON,MYANMAR: Bekas pemimpin junta tentera, Than Shwe menyatakan sokongannya terhadap Aung San Suu Kyi dan memberi gambaran bahawa ikon demokrasi itu bakal menjadi pemimpin masa depan Myanmar. Than Shwe turut menyokong Suu Kyi menjadi presiden, meskipun Perlembagaan negara itu melarang beliau memegang jawatan tersebut. Bekas pemimpin berusia 82 tahun itu telah menjalankan pemerintahan autoritarian sejak 1992 dan bersara sebagai ketua tentera pada 2011.
Beliau adalah ‘musuh ketat’ Suu Kyi.

“Semua orang perlu menerima hakikat bahawa Aung San Suu Kyi akan menjadi pemimpin masa depan Myanmar selepas memenangi pilihan raya.
“Saya akan menyokongnya dengan sepenuh tenaga,” katanya.

Parti Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) diketuai Suu Kyi di ambang peralihan kuasa selepas memenangi lebih daripada 80 peratus kerusi pada pilihan raya Parlimen, November lalu. Namun, Suu Kyi, 70, dihalang daripada menjadi pemerintah utama Myanmar berikutan Perlembagaan 2008 oleh junta tentera menghalang individu yang mempunyai pasangan atau anak warga asing daripada menjadi Presiden. – Reuters

Britain Gempur Syria:


LONDON,BRITAIN: Jet pengebom Tornado Britain dilaporkan telah melancarkan serangan udara pertama di Syria, hanya beberapa jam selepas Parlimen meluluskan usul membolehkan negara itu membedil kedudukan kumpulan militan IS, menurut sumber kerajaan semalam.

"Serangan telah dibuat ke atas Syria dan jet Tornado telah kembali ke pangkalan udara di Cyprus dengan selamat," menurut sumber terbabit.

Pada Rabu, Parlimen Britain berbahas selama 10 jam bagi membincangkan usul serangan udara terhadap kedudukan IS di Syria. Seramai 323 ahli Parlimen menyokong, manakala 223 menentang usul berkenaan. - AFP

Militan Daesh Mungkin Memasuki Thailand:

IS


BANGKOK - THAILAND. Polis Thai mengesahkan kewujudan dokumen bocor mengenai maklumat dari Perkhidmatan Keselamatan Rusia yang memberi amaran kepada Majlis Keselamatan Nasional tentang kemungkinan 10 rakyat Syria yang mempunyai hubungan dengan kumpulan militan Daesh (IS) memasuki Thailand.
Dokumen itu adalah sahih dan pihak berkuasa Thai sedang menyiasat perkara itu, kata timbalan jurucakap polis, Jeneral Polis Songpol Wattanachai.
“Saya sahkan bahawa polis Cawangan Khas telah mengeluarkan dokumen itu mengenai maklumat berkenaan dan berkongsi perisikan (dalam kalangan agensi keselamatan)," kata Songpol dalam taklimat kepada media di sini hari ini.
“Sama ada mereka (10 warga Syria) benar-benar memasuki (Thailand) atau tidak, kami tidak pasti...namun kami tidak akan leka bila kami mendapat amaran seperti ini, dan pastinya langkah keselamatan dipertingkatkan," katanya.
Beliau berkata Rusia satu-satunya pihak yang menghantar amaran sebegitu kepada Thailand.
Sidang akhbar itu dihadiri oleh sekumpulan besar wakil media tempatan dan asing berikutan kebocoran dokumen tersebut yang dikeluarkan pada 27 November.
Dokumen itu diterbitkan di laman web berita berbahasa Inggeris.
Menurut dokumen itu 10 rakyat Syria mengembara ke empat destinasi dalam tempoh 15-31 Oktober - empat ke Pattaya, dua ke Bangkok, dua ke Phuket dan dua lagi ke destinasi tidak diketahui.
Kemungkinan sasaran ialah kepentingan Rusia dan tempat-tempat berkaitan dengannya. - Bernama

Dua Penduduk Palestin ditembak Mati:

Dua penduduk Palestin ditembak mati


BAITULMAQDIS,PALESTIN: Tentera Israel menembak mati dua penduduk Palestin di wilayah Tebing Barat yang diduduki semalam.
Seperti biasa, rejim Zionis menuduh mangsa cuba menikam anggota keselamatan Israel bagi menghalalkan pembunuhan tersebut.
Agensi berita Maan berkata, mangsa dikenali sebagai Teher Faisal Funun, 22, dan Abdul Monem Funun, 15, ditembak sampai mati berhampiran kawasan Tel Rumeida di Hebron.
"Seorang askar Israel cedera ringan dalam serangan itu," kata polis.
Kelmarin, tentera Israel bertindak menembak mati dua pemuda Palestin dalam kejadian berasingan di timur al-Quds.
Kejadian berkenaan dilaporkan berlaku berhampiran Pintu Damsyik, lapor Press TV.