DALAM NEGARA:
Jakim perjelas isu KFC haram
SHAH ALAM - Bahagian Hab Halal, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menafikan laporan berkaitan status halal KFC yang tular baru-baru ini.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan di laman rasmi Facebook, Jakim berkata, maklumat yang tersebar sejak tahun 2007 berkenaan laporan tinjauan Ustaz Daud Che Ngah ke loji pemprosesan ayam KFC adalah tidak benar dan tidak berasas sama sekali. Menurut Jakim, KFC (Malaysia) merupakan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia yang masih sah sehingga kini.
"Proses pengeluaran Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) telah mengambil kira setiap ramuan dan proses yang berkaitan di dalam pengeluaran sesuatu produk dengan teliti oleh pakar Syariah dan juga Teknologi Makanan.
"Pegawai pemeriksa yang ditugaskan bukan sahaja membuat pemeriksaan dokumen, malah membuat pemeriksaan pematuhan berdasarkan Standard dan Prosedur SPHM di kawasan kilang yang mengeluarkan produk bagi memastikan apa jua pengisytiharan yang dibuat dipatuhi," jelas Jakim dalam satu kenyataan
Galak guna beg mesra alam, bukan suruh beli plastik
SHAH ALAM - Kerajaan Selangor perlu menggalakkan penggunaan beg mesra alam sebagai alternatif kepada peraturan yang memperuntukkan bayaran 20 sen untuk satu beg plastik.
Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar berkata, pengharaman penggunaan beg plastik di Selangor yang berkuat kuasa 1 Januari lepas dilihat tidak membantu matlamat mewujudkan persekitaran yang bersih.
"Matlamat untuk wujudkan persekitaran bersih tidak akan tercapai sekiranya kemudahan untuk membeli beg plastik disediakan.
"Justeru, alternatif lain perlu dirancang seperti menggalakkan pemberian beg terbiodegradasi yang lebih mesra alam, dan bukannya suruh rakyat beli beg plastik," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita sebelum menyampaikan watikah pelantikan kepada 380 pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) dan 380 setiausaha JKKKP Selangor, di sini hari ini.
Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna Selangor, Elizabeth Wong dilapor berkata bayaran 20 sen bagi penggunaan beg plastik itu adalah selaras dengan 'Kempen Selangor Bebas Plastik' yang berkuat kuasa 1 Januari lepas. - Bernama
Gesa jangan diskriminasi NGO bantu Rohingya
KUALA LUMPUR - Kerajaan Myanmar diminta tidak mendiskriminasi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) negara ini dalam melaksanakan misi bantuan kemanusiaan kepada rakyat negara itu khususnya etnik Rohingya.
Duta Khas Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bagi Myanmar, Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, Myanmar perlu bersikap adil terhadap semua negara Asean termasuk Malaysia.
"Mereka membenarkan Indonesia untuk bawa bantuan mengapa tidak benarkan Malaysia? Kita bukan datang dengan tujuan menghantar tentera untuk menggunakan kekerasan. Kita datang oleh kerana dunia tahu bahawa kaum terbabit di utara Rakhine atau di barat Myanmar memerlukan bantuan kemanusiaan.
"Saya harap mereka patuh kepada semangat Asean. Jangan pula diskrimasi negara ke negara," katanya selepas pelancaran 2017 sebagai Tahun Solidariti Antarabangsa Bersama Rohingya di sini hari ini. Syed Hamid berkata Malaysia berharap mendapat sokongan negara Asean lain dalam meminta Myanmar menghentikan kezaliman terhadap etnik Rohingya di negara itu.
Beliau berkata pihaknya sedang mengumpul maklumat dan dokumen sebagai bukti berhubung kekejaman yang berlaku di Myanmar untuk dibawa ke Mesyuarat Tergempar Majlis Menteri-menteri Luar OIC pada 19 Jan ini di Kuala Lumpur.
Mesyuarat itu bertujuan membincangkan situasi yang berlaku terhadap masyarakat minoriti Islam Rohingya di Myanmar dan sebagai isyarat kepada Myanmar bahawa komuniti Islam dunia mahu kerajaan negara itu memastikan bantuan kemanusiaan sampai ke kawasan terjejas. – Bernama
Kenyataan Irwan bukti ekonomi Malaysia tenat
BENTONG - Kenyataan yang dikeluarkan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (MoF) Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah mengenai rakyat boleh guna BR1M beli Proton Iriz untuk menjadi pemandu Uber dan orang miskin tidak dikenakan GST menunjukkan bahawa keadaan ekonomi negara kita dalam keadaan yang tenat.
Naib Presiden PKR, Mohd Rafizi Ramli mendakwa, berdasarkan kenyataan itu membayangkan dan menyakinkan rakyat dan pelabur satu dunia bahawa ekonomi Malaysia berkedudukan dalam keadaan yang rapuh.
Malah katanya, apabila kenyataan itu datang daripada ketua setiausaha perbendaharaan, kenyataan itu lebih teruk dan memalukan daripada kenyataan yang pernah dikeluarkan oleh timbalan menteri.
“Apabila orang nombor satu dalam pentadbiran ekonomi negara kita yang bukan dari kalangan ahli politik bagi kenyataan yang lebih teruk, sebab itulah semua pelabur lari dan pelabur baru tidak masuk.
“Akibat daripada pelabur asing lari sebab itu nilai mata wang jatuh dan apabila nilai mata wang jatuh maka ekonomi pun jadi tidak baik yang menyebabkan harga barang pun naik,”katanya.
Beliau berkata sedemikian ketika ditemui pemberita dalam Program Sertai Invoke Jumpa Rafizi di Pusat Khidmat Keadilan Bentong di sini.
Malaysia sedia hadapi pembatalan TPP
IPOH - Malaysia bersedia menghadapi sebarang kemungkinan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) tidak diteruskan berikutan kenyataan bakal Presiden Amerika Syarikat Donald Trump akan menarik keluar negara itu daripada TPP.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II, Datuk Seri Ong Ka Chuan membayangkan negara ini mungkin menerima kesan negatif jika inisiatif itu tidak dilaksanakan kerana kajian mendapati TPP membantu meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serta perolehan dan peluang pekerjaan.
Menurutnya, TPP akan gagal tanpa penyertaan AS memandangkan Washington adalah ekonomi terbesar dunia yang menguasai 40 peratus ekonomi global "Kalau AS tidak meneruskan TPP ini, saya rasa dia (Donald) juga akan menghadapi masalah kerana dia tidak sedar ini adalah satu trend yang mana 420 daripada 620 perjanjian perdagangan bebas telah dimuktamadkan.
"Jika AS memilih untuk menutup pintu bermakna barangan dia tak boleh dieskport dan barangan dari negara lain pun tidak boleh masuk dan ini akan menjejaskan ekonomi dunia," katanya kepada pemberita selepas merasmikan bangunan baharu Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Poi Lam di sini, hari ini.
Beliau mengambil contoh cukai import barangan elektrik dan elektronik yang dikenakan kepada Malaysia untuk memasuki pasaran AS kini adalah purata lima peratus namun dengan TPP, duti ke atas produk berkenaan akan dimansuhkan.
TPP merupakan perjanjian perdagangan bebas yang dirundingkan sebagai sebahagian besar daripada Perkongsian Ekonomi Strategik Trans-Pasifik sejak 2010.
Pakatan yang melibatkan 12 negara, iaitu Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, AS, Vietnam dan Malaysia, memuktamadkan rundingan TPP di Atlanta pada 5 Oktober 2015 dan menandatangani perjanjian itu di Auckland pada 4 Februari 2016.
TPPA yang dikatakan sebagai pakatan perdagangan terbesar, paling menyeluruh dalam sejarah dan dianggap sebagai perjanjian perdagangan utama, menetapkan standard yang tinggi dalam perjanjian pelbagai hala. – Bernama
TH pohon 8,000 kuota tambahan
GEORGETOWN - Tabung Haji (TH) akan memohon untuk mendapatkan kuota tambahan sebanyak 8,000 jemaah haji pada tahun ini daripada Kerajaan Arab Saudi.
Pengerusinya, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata kuota jemaah haji yang diberikan oleh Kerajaan Arab Saudi ketika ini ialah 22,320 setahun.
"Kami berharap dapat menambah bilangan tersebut sehingga 30,000 berdasarkan anggaran jumlah keseluruhan penduduk ketika ini sebanyak 30 juta," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Misi Keamanan Ke Myanmar 'Food Flotilla For
Myanmar' di sini hari ini.
Menurutnya, beliau dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom serta beberapa wakil TH akan ke Arab Saudi pada 25 Jan ini untuk membincangkan perkara berkenaan.
"Kami akan berjumpa dengan Raja Salman (Raja Arab Saudi) dan Timbalan Putera Mahkota Mohammed Nayef serta Menteri Haji Saudi (Arab Saudi) untuk berbincang berhubung isu ini," katanya.
Dalam pada itu, Abdul Azeez memberitahu jika permohonan kuota tambahan itu berjaya, pihaknya akan mempertimbangkan satu mesyuarat bersama Anggota Lembaga TH untuk turut meningkatkan kuota jemaah haji bagi golongan muda. - Bernama
Ambil peluang cuti hujung minggu untuk melancong
KUALA LUMPUR - Rakyat Malaysia digalakkan mengambil peluang cuti hujung minggu yang panjang pada tahun ini untuk melancong di dalam negeri, negara serantau atau luar negara.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) Phua Tai Neng, walaupun persekitaran ekonomi agak mencabar, rakyat Malaysia perlukan rehat untuk menghilangkan tekanan.
"Meskipun keadaan ekonomi (pada masa ini), anda dan saya perlu bercuti untuk menghilangkan tekanan, sama ada di dalam, luar negara atau serantau," katanya pada sidang media selepas majlis pengundian bagi pempamer untuk Matta Fair 2017 di sini, hari ini.
Pameran dwi tahunan itu katanya, akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini dari 17 hingga 19 Mac.
Beliau berkata, terdapat 300 gerai pameran untuk pelancongan domestik berbanding 200 gerai pameran pada pameran September tahun lalu.
"Kami juga menyasarkan jualan sebanyak RM180 juta, sama seperti pameran sebelum ini," katanya dan menambah 100,000 pengunjung dijangka hadir ke pameran itu. - Bernama
Jualan barang kemas terjejas
WALAUPUN harga emas di pasaran antarabangsa menunjukkan penurunan, harga barang kemas di Malaysia tetap kekal di paras tinggi, lapor Oriental Daily.
Mengikut tinjauan yang dilakukan, akibat kejatuhan nilai ringgit, kebanyakan kedai emas tidak dapat menurunkan harga kerana mereka menggunakan dollar Amerika dalam urusan jual beli.
Dijangkakan, jualan barang kemas akan terjejas sehingga 20 peratus walaupun perayaan Tahun Baharu Cina semakin hampir.
"Pada tahun lalu, nilai tukaran untuk AS$1 adalah RM3.80. Hari ini, nilainya meningkat kepada RM4.51. Itulah punca harga emas di negara kita naik walaupun harga telah menurun di pasaran antarabangsa.
"Sebagai contoh, harga emas 916 telah meningkat kepada RM205 segram," kata Pengerusi Persatuan Pengusaha Kedai Emas Melaka, Yap Eng Kee.
Menurutnya, ketika ini jualan barang-barang kemas merosot kerana ramai orang tertekan dengan kenaikan harga barang keperluan serta musim sesi persekolahan baharu.
Ringgit menjunam paras terendah
SHAH ALAM - Mata wang ringgit menjunam ke paras terendah iaitu RM4.5002 berbanding dolar Amerika Syarikat sejak krisis kewangan Asia 1998.
Menurut data dari Bloomberg, ringgit yang terus berdepan dengan tekanan melepasi paras psikologi RM4.50 pada jam 11.20 pagi, semalam.
Pergerakan ringgit terus menjunam untuk 40 minit seterusnya, mencecah paras RM4.5002 sedolar pada jam 12.22 tengah hari.
Kadar pertukaran dikeluarkan Bank Negara menunjukkan harga jualan AS$1 adalah RM4.5010 pada tengah hari.
Ringgit mencecah titik terendah pada nilai RM4.88 berbanding AS$1 pada Januari 1998.
Perdana menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad kemudiannya memutuskan ringgit ditambat pada kadar RM3.80 berbanding dolar.
Malaysia menarik semula tambatan ringgit pada 2006, yang menyaksikan nilai mata wang negara meningkat berbanding dolar .
Pada kemuncaknya, ringgit mencapai purata bulanan RM2.987 berbanding dolar pada Ogos 2012.
Bagaimanapun, prestasi ringgit semakin lesu menjelang 2013 dan pada Julai 2015, ia terus menjunam melepasi peringkat kadar tambatannya pada RM3.80.
LUAR NEGARA
Pelan pengubahsuaian Syria diputuskan
BEIRUT - SYRIA. Kerajaan Syria kelmarin memutuskan pelan kerja untuk memulihkan perkhidmatan, industri dan keselamatan di bandar utara Aleppo.
Menurut laporan media tempatan, Kabinet menyatakan telah mempunyai rancangan untuk mendapatkan bekalan air, elektrik dan bahan api, menilai bangunan yang boleh dibaiki serta membuka jalan supaya penduduk boleh kembali menjalani kehidupan dengan normal.
"Kabinet telah meluluskan satu pelan kecemasan dengan Kementerian Pelajaran untuk membaiki 50 sekolah di bahagian timur dalam tempoh enam bulan akan datang. Pada permulaan tahun akademik baharu, ia mahu 100 sekolah dibaiki," menurut laporan itu.
Pelan baik pulih turut termasuk pemulihan lima pusat kesihatan dan dua hospital, serta pengubahsuaian lapangan terbang Aleppo dan landasan kereta api sepanjang 18 kilometer.
Selain itu, kerajaan juga merancang untuk memulihkan industri kerana Aleppo merupakan bandar paling ramai penduduk sebelum perang, selain kuasa besar perdagangan dan perindustrian. - Reuters
Bantah zon pelaburan China
HAMBANTOTA - SRI LANKA. Polis di Sri Lanka terpaksa menggunakan gas pemedih mata dan meriam air untuk menyuraikan ratusan penunjuk perasaan yang membaling batu bagi membantah rancangan zon pelaburan disokong China.
Penunjuk perasaan mendakwa kerajaan Presiden Maithripala Sirisena cuba mengusir ribuan keluarga dalam usaha menyediakan tanah seluas 6,070 hektar bagi projek zon perindustrian untuk pelabur China.
Zon terletak di selatan bandar Hambantota dan China telah membina sebuah pelabuhan serta lapangan terbang bernilai AS$1.5 bilion (RM7 bilion).
Duta Besar China ke Sri Lanka, Yi Xianlang berkata, ini adalah masanya untuk Beijing membantu negara lain yang memerlukan pelaburan.
"Zon pelaburan ini akan menjadi sebuah projek ekonomi kerajaan paling penting dan jika semua berjalan lancar, China akan melaburkan AS$5 bilion (RM22 bilion) dalam tempoh tiga hingga lima tahun dan mewujudkan 100,000 pekerjaan," jelasnya. - Reuters
Permukaan ais Antartika akan pecah
SEPULUH peratus permukaan Antartika yang retak sejak Ogos akan pecah dan mencipta bongkah ais (iceberg) gergasi seluas 5,000 kilometer persegi.
Menurut laporan CNN, kawasan tersebut yang dikenali sebagai Larsen C terletak di barat Antartika.
Retak Larsen C mula-mula dikesan oleh pasukan penyelidik, Project Midas pada Ogos.
MIDAS juga melaporkan retak Larsen C semakin bertambah sebanyak 22 kilometer dalam tempoh enam bulan.
Pada Disember, retak Larsen C semakin teruk dan bertambah sebanyak 18 kilometer untuk tempoh sebulan.
"Apabila ia berpisah, Larsen C akan kehilangan lebih sepuluh peratus permukaannya dan mengubah landskap Antartika," kata Ketua Penyelidik Midas, Profesor Adrian Luckman.
Midas mengatakan, risiko untuk seluruh permukaan Larsen C untuk menjadi tidak stabil selepas berpecah adalah tinggi.
Midas bagaimanapun gagal mengaitkan peningkatan suhu dunia sebagai punca fenomena berkenaan.
Pada 2002, 'jiran' Larsen C, Larsen B berpecah dari permukaan utama dan menjadi serpihan kecil, manakala pada 1995 pula, Larsen A pecah pada kadar yang sama.
Perang dingin baharu?
MAJALAH Forbes menamakan Presiden Rusia, Vladimir Putin sebagai individu paling berkuasa di dunia susulan tindakannya 'merampas' wilayah Crimea di Ukraine dan campur tangan di Syria telah menjadikan Moscow sebagai kuasa paling kuat tanpa kita sedar ketika ini.
Bagaimanapun, Barack Obama pada akhir bulan lalu telah mengumumkan sekatan terhadap kuasa besar itu sebagai tindak balas terhadap dakwaan Rusia campur tangan dalam Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS) pada 8 November lalu.
Tindakan segera Obama sebelum penggal perkhidmatannya yang berakhir 20 Januari ini telah mencetus pelbagai reaksi dan kebimbangan terhadap hubungan diplomatik antara AS dan Rusia yang dikhuatiri akan mencetus perang dingin baharu.
Kremlin turut mengecam sekatan baharu itu yang didakwa melanggar undang-undang selain berikrar 'membalas dendam' walaupun Putin menyatakan beliau enggan bertindak balas dengan keputusan Obama sebaliknya akan berusaha memulihkan hubungan dengan Washington apabila ia berada di bawah kepimpinan, Donald Trump.
Sekatan adalah respons ke atas serangan siber digelar Grizzly Steppe dipercayai didalangi Moscow terhadap parti Demokrat yang membawa kepada kemenangan mengejut Trump.
Biro Siasatan Persekutuan (FBI) dan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS) turut memberi butiran bagaimana penggodam Rusia menceroboh emel pegawai Demokrat bagi mempengaruhi pilihan raya AS.
Laporan bersama setebal 13 muka surat itu mendedahkan Perkhidmatan Keselamatan Persekutuan (FSB) telah menghantar emel malware kepada lebih 1,000 penerima termasuk kerajaan AS pada pertengahan 2015.
FBI mendakwa penggodam dapat akses curi maklumat sensitif termasuk emel dalaman yang membawa kepada kebocoran data beberapa anggota kanan parti.
Menurut laporan FBI, antara sasaran FSB adalah Jawatankuasa Demokrat Kebangsaan (DNC) yang sekali lagi digodam pada awal 2016 oleh Agensi Risikan Utama (GRU).
Ia dipercayai telah menggunakan kaedah spearphishing (menyamar sebagai individu sasaran) dan kempen menyasarkan pertubuhan kerajaan, infrastruktur kritikal, badan pemikir, universiti, badan politik serta syarikat.
Agensi Perisikan Pusat (CIA) dan FBI kini percaya insiden yang didedahkan laman pembocor maklumat, WikiLeaks bukan semata-mata bertujuan mengganggu proses pilihan raya AS tetapi lebih khusus untuk menewaskan Clinton, sekali gus membantu kemenangan simpati Trump.
Rusia bagaimanapun menafikan sekeras-kerasnya tuduhan berkaitan penggodaman itu.
Ratu Elizabeth nyaris ditembak
SEBAGAI salah seorang monarki di United Kingdom (UK), Ratu Elizabeth mempunyai berpuluh-puluh pengawal bersenjata yang ditugaskan mengawal keselamatannya.
Namun begitu, satu kesilapan kecil oleh Ratu Elizabeth hampir menyebabkan beliau menjadi mangsa tembakan pengawalnya sendiri.
Menurut laporan Independent UK, Ratu Elizabeth mempunyai kesukaran untuk tidur pada waktu-waktu tertentu.
Insomnia yang melanda menyebabkan ratu berumur 90 tahun berkenaan memakai kot dan keluar dari biliknya untuk bersiar-siar.
Pada suatu malam, Ratu Elizabeth menyelinap dari biliknya pada jam 3 pagi untuk bersiar-siar.
Seorang pengawal menyedari tindakan Ratu Elizabeth menyelinap dan menyangka beliau penceroboh.
"Siapa itu?" kata pengawal tersebut memberi amaran dalam gelap malam.
Selepas melihat dengan lebih dekat, barulah pengawal tersebut menyedari individu tersebut adalah Ratu Elizabeth sendiri.
"Gila, Tuanku, saya hampir tertembak awak," kata pengawal tersebut tanpa menyedari tutur katanya.
Walaupun beliau tahu beliau tidak patut berkata sedemikian kepada ratunya, Ratu Elizabeth 'tidak kisah' kerana telah menimbulkan situasi yang janggal.
"Tak mengapalah. Lain kali saya beritahu awak awal-awal supaya awak tidak perlu tembak saya," kata Ratu Elizabeth.
Kejadian yang berlaku di Istana Buckingham tersebut yang diceritakan oleh pengawal berkenaan yang telah meletak jawatan kepada The Times.
Dua maut, 10 cedera serangan ganas di Turki
ANKARA - TURKI . Sekurang-kurangnya dua maut manakala 10 cedera dalam kejadian keganasan terbaru di bandar Izmir, kelmarin empat hari selepas serangan berdarah ketika ambang Tahun Baharu yang meragut 39 nyawa.
Timbalan Perdana Menteri, Veysel Kaynak memberitahu, seorang anggota polis dan kakitangan mahkamah terbunuh selepas sebuah kereta meletup di luar mahkamah yang dipercayai didalangi Parti Pekerja Kurdistan (PKK).
Sementara itu, Gabenor Izmir, Erol Ayyildiz berkata, anggota polis terbabit cuba hentikan kereta itu sebelum meletup, namun penyerang terbabit cuba melarikan diri hingga mencetuskan insiden berbalas tembakan yang menyebabkan tujuh individu cedera.
"Fethi Sekin yang maut dalam kejadian itu layak digelar sebagai hero kerana dia berusaha mengelakkan lebih ramai menjadi korban pengeboman tersebut selain turut mengejar penyerang terbabit. Dua militan terbunuh manakala seorang lagi berjaya melarikan diri," jelasnya.
Agensi berita Anadolu melaporkan, dua suspek telah ditahan tetapi tidak jelas sama ada mereka adalah militan yang terlibat dalam insiden berbalas tembakan terbabit.
"Dua kalashnikov, tujuh roket dan lapan bom tangan dirampas. Penyerang mungkin merancang serangan ganas di dalam kompleks mahkamah terbabit," menurut laporan itu lagi. - AFP
Dihukum penjara 7 tahun, aktivis terkenal Mesir dibebas
KAHERAH - MESIR . Aktivis terkenal ketika revolusi kebangkitan rakyat di Mesir pada 2011 telah dibebaskan selepas menjalani hukuman penjara tujuh tahun.
Menurut peguamnya, pembebasan Ahmed Maher, 36, yang menjadi simbol Arab Spring yang menggulingkan bekas Presiden Hosni Mubarak dibuat, kelmarin.
Difahamkan, Maher akan menghabiskan baki hukuman tiga tahun di bawah pengawasan di kediamannya di Kaherah.
Maher disabit bersalah pada 2013 kerana menyertai protes selepas kerajaan mengharamkan sebarang perhimpunan awam diadakan di negara itu.
Pengasas Gerakan Pemuda 6 April itu menggunakan media sosial untuk menarik sokongan belia di Mesir yang turut membawa kepada pengunduran Mubarak pada Februari 2011. - al-Jazeera
Tolak resolusi PBB
WASHINGTON - AMERIKA SYARIKAT . Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS) meluluskan langkah dwipihak untuk menolak resolusi Majlis Keselamatan PBB (UNSC) yang mengecam aktiviti penempatan haram Israel di wilayah Palestin.
Usul yang mendakwa resolusi tersebut kononnya sebagai 'penghalang kepada usaha damai Israel-Palestin' itu mendapat 342 undi sokongan manakala 80 menolak.
Menurut dokumen itu, keputusan pentadbiran Presiden Barack Obama untuk berpendirian berkecuali dan tidak menggunakan kuasa veto telah 'melemahkan' dasar Washington yang melindungi Tel Aviv selama beberapa dekad.
"AS seharusnya menolak dan guna kuasa veto terhadap mana-mana resolusi UNSC yang sebelah pihak dan anti-Israel," jelas usul itu lagi yang dijangka turut dibentangkan di Senat.
Dalam perkembangan berkaitan, Jordan beri amaran kepada Presiden baharu AS, Donald Trump terhadap 'bencana' yang bakal berlaku jika ia meneruskan janji memindahkan Kedutaan AS di Tel Aviv ke Baitulmaqdis.
"Langkah seumpama itu akan menjejaskan hubungan diplomatik Washington dengan sekutu di rantau Arab termasuk Jordan. Amman akan menggunakan segala saluran politik dan diplomatik untuk menghalang rancangan tersebut," kata Menteri Maklumat, Mohammed Momani.
Sementara itu, Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) turut beri amaran berhubung cadangan pemindahan itu dengan menegaskan seluruh Kedutaan AS di Timur Tengah akan ditutup jika tetap berdegil dengan keputusan tersebut. - Agensi
480 maut kemalangan ketika sambutan Tahun Baru
BANGKOK - THAILAND. Hampir 480 orang maut dalam kemalangan jalan raya di Thailand pada cuti Tahun Baharu, angka rasmi pada Khamis, 25 peratus kenaikan dalam tempoh yang sama tahun lalu, iaitu sepanjang "tujuh hari berbahaya" dan disebalik amaran keras kerajaan terhadap orang ramai yang memandu dalam keadaan mabuk.
Thailand mempunyai beberapa jalan paling berbahaya di dunia ditambah dengan kenaikan mendadak pengguna jalan raya pada sambutan Tahun Baharu ekoran berjuta-juta pekerja di bandar pulang ke kampung halaman.
Kerajaan Junta Thailand melancarkan tindakan keras pada pemandu mabuk sejak rampasan kuasa sejak 2014 termasuk meluluskan hukuman yang lebih berat bagi pesalah dan memaksa pemandu untuk melawat bilik mayat dan melihat sendiri mayat mangsa kemalangan.
Namun angka kematian melonjak kepada 478 daripada 380 yang dicatatkan dalam tempoh masa yang sama pada tahun 2016, menurut Jabatan Pencegahan Bencana, Kementerian Dalam Negeri.
"Sebab utama adalah memandu dalam keadaan mabuk dan memandu laju," kata Timbalan Menteri Dalam Negeri, Suthee Markboon, sambil menambah majoriti 3,919 kemalangan melibatkan penunggang motosikal.
Pihak tentera berkata, pegawai menahan 67,000 orang memandu dalam keadan mabuk dan menyita lebih 4,000 kereta diantara 29 Disember dan 4 Januari.
Kemalangan ngeri menyaksikan 25 orang terbunuh pada Isnin apabila sebuah mini van dan trak pikap bertembung di wilayah di Chonburi.
Pakar berkata, tidak memakai topi kaledar di kalangan penunggang motosikal adalah faktor utama menyumbang kadar kematian yang tinggi.