Showing posts with label asas-asas Islam. Show all posts
Showing posts with label asas-asas Islam. Show all posts

Jan 16, 2013

Asas-asas Islam: Fasal 7 (Akhir)

Salam 'alaikum. Salam buat semua.


Hak-hak diri

  • Manusia itu menzalimi dirinya sendiri lebih banyak daripada menzalimi orang lain.
  • Manusia mudah tunduk pada nafsu syahwatnya. Ia tidak peduli akan bencana yang akan menimpanya jika ia tunduk pada nafsunya.
  • "Pada dirimu ada hak ke atas mu".  Manusia dilarang melakukan sesuatu yang boleh membinasakan dirinya; kesihatannya, akhlaknya, kekuatan akalnya dan jiwanya.
  • Manusia disuruh untuk bersungguh-sungguh mencari rezeki untuk kesejahteraan hidup.
  • Manusia juga tidak disuruh untuk meninggalkan dunia, sebaliknya banyak manfaat di bumi ini diciptakan untuk kegunaan manusia untuk mencapai kesejahteraan dunia dan akhirat.

Hak-hak para hamba
  • Dalam menunaikan hak-hak diri, seseorang itu perlu juga pastikan ia melakukannya tanpa menyentuh hak-hak hamba Allah yang lain.
  • Sebagai contoh, manusia tidak boleh mencuri untuk memenuhi nafsunya kerana dengan mencuri, ia telah menzalimi hak orang lain.
  • Syariat telah mengharamkan perbuatan merampas, mencuri, rasuah, khianat, riba, berdusta, mengumpat, menghasut dan sebagainya, kerana perbuatan-perbuatan tersebut menindas dan menimbulkan mudarat pada orang lain.
  • Diizinkan kepada umat Islam untuk menuntut ilmu sains dan sastera dari orang-orang bukan Muslim. Tetapi umat Islam ditegah meniru tatacara kehidupan mereka.
  • Sesungguhnya sesuatu umat itu tidak akan meniru umat lainnya melainkan jika ia mengiktiraf kehinaan dan kelemahan dirinya sendiri, serta mengiktiraf kehandalan dan keagungan umat lain. Ini adalah serendah-rendah perhambaan.
  • Umat Islam dilarang untuk memperlakukan kaum bukan Muslim dengan cara perkauman dan pandangan yang sempit.
  • Sesungguhnya, tiada suatu perbuatan yang ditunjukkan oleh seorang Muslim melainkan akan menjadi contoh dan diteladani berkenaan akhlak yang baik.

Hak-hak seluruh makhluk
  • DiizinkanNya manusia mengendalikan makhlukNya yang lain dan menundukkannya dengan kekuatannya, serta mengambil manfaat daripadanya.
  • Tetapi manusia juga perlu memerhatikan hak-hak makhluk tersebut.
  • Manusia tidak dibenarkan menyeksa makhluk lain atau memberi mudarat kepadanya.
  • Selain haiwan, manusia juga tidak dibenarkan membinasakan tumbuh-tumbuhan tanpa keperluan, serta memusnahkan dan membazirkan sesuatu yang tidak hidup, seperti air.

Syariat alam yang kekal
  • Manusia dengan manusia tidak dibezakan melainkan dengan aqidah dan amal.
  • Islam diturunkan kepada sekalian makhluk tanpa mengira bangsa, keturunan mahupun kedudukan geografi.
  • Syariat Islam adalah kekal, disusun atas fitrah manusia. Disebabkan fitrah manusia itu kekal sepanjang zaman, wajarlah jika undang-undang yang disusun diatasnya tetap kekal sepanjang zaman

Dan akhir seruan kita, bahawa segala puji bagi Allah Tuhan seluruh alam.

Allahualam



Penulis
Nurul Shahida Zahar
Pelajar Perubatan tahun 4
Medical University of Warsaw

Jan 13, 2013

Asas-asas Islam: Fasal 6 & 7


Alhamdulillah,setinggi-tinggi kesyukuran kita panjatkan pada Allah swt atas segala nikmat dan kurniaannya yang tidak terhingga pada kita . InsyaAllah, pada minggu ini kita akan meneruskan lagi kupasan buku Asas-Asas Islam, karangan Sayyid Abu Al-Ala Al- Mawdudi.


Fasal Keenam : Agama dan Syariah
·         Perbezaan antara agama dan syariah

Sepanjang perjalanan kita menelusuri buku ini, kita disajikan dengan penerangan mengenai agama islam dan kini insyaAllah, kita akan melihat pula pada apa itu syari’ah. Namun sebelum itu, eloklah sekiranya kita ‘revise’ kembali apa itu agama islam.

Agama islam = Beriman akan Zat Allah swt, akan sifat-sifatnya dan akan hari kiamat mengikut cara yang ditunjukkan oleh para nabi, beriman pada kitab-kitab Allah dan membenarkannya, tidak mengikuti jalan selain yang diterangkan dalam kitab-kitab Allah, mengikut rasul-rasul Allah yang benar dan juga mengesakan Allah dan tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu dalam mengibadati-Nya.

Dan ‘syariah’ pula adalah cara-cara beribadat, asas-asas kehidupan yang bermasyarakat, undang-undang yang mengatur perhubungan antara hamba-hamba berkenaan dengan muamalat dan pemerintahan dan sempadan antara halal dan haram.

Sejak permulaan, semua nabi dan rasul membawa agama yang satu iaitu islam . Namun Allah menurunkan syari’ah-syari’ah yang berbeza pada setiap umat bagi nabi-nabi tersebut sesuai dengan keadaan umat pada ketika itu. Perbezaan  ini, tidak lain tidak bukan adalah bertujuan untuk memelihara umat-umat  tersebut supaya senantiasa berada dalam batas-batas undang-undang Allah dalam setiap perkara yang mereka lakukan.

Syari’ah yang diturunkan Allah kepada nabi terakhir,nabi Muhammad saw kepada kita pula adalah sebuah syari’ah yang sempurna , yang menerangkan cara ibadat, asas-asas kehidupan, undang-undang, muamalat, batas-batas halal dan haram yang sesuai untuk realiti manusia pada ketika itu sehinggalah hari kiamat nanti.

·         Perantara untuk mengenal hukum syariah
Bagaimana kita ingin tahu mengenai syaria’ah-syari’ah Allah yang perlu kita lakukan sepanjang kehidupan kita di atas muka bumi ini?
Allah swt Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang tidak pernah tinggalkan kita terkapai-kapai tanpa petunjuk-Nya, bukan?  J
Oleh sebab itulah Allah menurunkan wahyu-Nya ( al-quran) dan Rasulullah saw (sunnah). Al-quran dan sunnah lah yang menjadi rujukan pada kita dalam mengetahui syari’ah-syari’ah Allah. Al-quran adalah perkataan Allah manakala sunnah pula adalah riwayat-riwayat yang datang daripada Rasulullah saw. Sesungguhnya, Rasulullah saw itu adalah cermin kepada al-quran,keterangan dan manifestasi al-quran. Oleh itu,segala perkataan,perbuatan Rasulullah saw semasa hidup baginda diperhatikan sehabis baik oleh para sahabat,dan mereka menyampaikan menyampaikan pada sahabat yang lain yang tiada pada masa itu dan mereka catatkan dalam kitab-kitab dengan menyebutkan nama-nama perawinya. Melalui cara inilah, kita kenal akan sunnah-sunnahnya walaupun tidak pernah bersua dengan Rasulullah saw.  Antara kitab-kitab yang terkenal adalah yang disusun oleh Imam Al-Bukhari, Imam Muslim, Imam Malik, Imam At-Tarmizi, Imam Abu Daud, Imam Ibnu Majah dan Imam An-Nasai

·         Fiqh

Undang-Undang yang diambi dari hukum-hukum al-quran dan al-sunnah dikenali sebagai fiqh. Fiqh adalah berhubungan dengan amal manusia yang zahir sahaja.

 Imam-Imam besar muslimin telah menyusun undang-undang islam ini berdasarkan al-quran dan al-sunnah secara terurai, dalam kitab-kitab supaya dapat menjadi rujukan para muslim dalam menjalani kehidupan mengikut garis panduan syari’ah Allah. Di awalnya, ramai ulama’ yang menyusun kitab-kitab fiqh ini,namun yang diikuti oleh kebanyakan muslim  pada masa ini adalah empat mazhab sahaja.

1-Fiqh Hanafi : Disusun oleh Imam Abu Hanifah
2-Fiqh Maliki : Disusun oleh Imam Malik ibn Anas ra
3-Fiqh Syafi’I : Disusun oleh Imam Muhammad ibn idris Asy- Syafi’i
4-Fiqh Hanbali: Disusun oleh Imam Ahmad bin Hanbal

Tidak dinafikan bahawa terdapat beberapa perbezaan di antara mereka, namun ianya adalah perbezaan fitriyah yang mana akan berlaku apabila beberapa orang menguraikan sesuatu perkara dan berusaha untuk mengenal hakikat. Namun, disebabkan mereka adalah imam-imam yang baik, benar dan wara’ , maka kaum muslimin meng’iktikadkan kebenaran para imam ini dan mempercayainya sebagai hak.

·         Tasawwuf

Tasawwuf pula lebih kepada sesuatu yang berkaitan dengan hati dan membahas perilakunya.

Satu contoh mudah untuk membezakan fiqh dan juga tasawwuf.
Kita lihat dari sudut kesempurnaan ibadah kita,dan di sini kita ambil contoh ibadah solat.
Secara fiqhnya, sempurnalah solat seseorang itu apabila telah sempurna wuduknya, mengikut cara yang betul, solat mengadap kiblat, menunaikan segala rukun solat dan membaca semua bacaan yang wajib dibacanya. Namun jika dari kaca mata tasawwuf, kesempurnaan solat itu tidak hanya perlu mempunya perkara-perkara di atas namun ditambah dengan sejauh mana hati kita itu taat,ikhlas beribadah pada-Nya . Sejauh mana solat itu mencegah kita dari melakukan perkara-perkara mungkar.


Fasal Ketujuh : Hukum-Hukum Syariah
·         Asas-Asas Syariah
Manusia itu hadir ke dunia dengan dibekalkan dengan pelbagai kelengkapan berupa kuasa-kuasa yang mana setiap satunya menuntut untuk digunakan dengan sebaiknya.Terdapat banyak kuasa yang dibekalkan dan salah satunya ialah kuasa untuk menjadi khalifah di muka bumi. Dan untuk menggunakan kuasa-kuasa tersebut, Allah kurniakan perantara-perantara yang akan membantu pelaksanaannya, seperti tubuh badan kita, akal fikiran, haiwan, tumbuhan, sumber-sumber alam yang lain di sekitar kita.
Dunia ini Allah jadikan untuk manusia supaya ia dapat dimanfaati. Oleh itu, disinilah datangnya syari’ah Allah untuk memastikan manusia itu dapat melaksanakan keperluan dan kuasa-kuasa tersebut, mendapatkan manfaat sepenuhnya daripada apa yang telah Allah sediakan di dunia ini namun semestinya tanpa memudaratkan manusia-manusia lain dan juga perantara-perantara yang lain. Pada segi manfaat dan mudarat, syari’ah meletakkan bahawa hendaklah kita menanggung mudarat yang kecil untuk manfaat yang besar dan hendaklah kita meninggalkan manfaat yang ringan untuk mengelakkan mudarat yang besar. Namun, jika dilihat kembali, penglihatan manusia itu terbatas dan tidak mungkin ia mengetahui keseluruhan akan yang mana satu manfaat dan mana satu mudarat. Maka, disinilah Allah Yang Maha Alim menetapkan peraturan-peraturan yang benar dan sempurna untuk rujukan manusia.

·         Hak-Hak Dan bahagiannya yang empat
Bagi setiap manusia, ada 4 hak yang mana telah menjadi kewajipan bagi setiap muslim untuk betul-betul mengenalinya dan menunaikannya dengan ikhlas,amanah dan benar. Hak-hak tersebut ialah:
1-      Hak-hak Allah
2-      Hak-hak peribadi
3-      Hak-hak hamba
4-      Hak-hak yang di bawah kekuasaannya di dunia ini iaitu sesuatu yang dapat digunakan untuk mendapat manfaat

·         Hak-Hak Allah
Apakah dia hak-hak Allah yang wajib kita laksanakan?
Yang pertama: Beriman kepadanya, tidak menyekutukan-Nya dengan apa pun. Hak ini tertunai apabila kita beriman dengan kalimah tauhid ‘La ilaha illa Allah’ dengan sebenar-benarnya
Yang kedua: Mengakui sepenuhnya akan kebenaran dan petunjuk yang datang daripada-Nya iaitu yang disampaikan  melalui Rasulullah saw.
Yang ketiga: Ditaati. Hak ini tertunai apabila kita kita mengikut undang-undang yang telah ditetapkan Allah.
Yang keempat: Dipertuan. Wajib ke atas setiap manusia untuk menunaikan segala yang diwajibkan-Nya .
Oleh kerana hak kepada Allah ini adalah hak yang paling utama, maka untuk menunaikannya wajiblah manusia itu mengorbankan hak-haknya yang lain hingga kepada satu had yang tertentu bagi melaksanakannya. Allah telah letakkan batas-batas hak-Nya sehingga untuk melaksanakan sesuatu hak Allah, tidak akan dikorbankan hak-hak yang lain melainkan terhad pada satu batas yang tidak dapat diubah lagi.
Kita ambil analogi zakat misalnya. Adalah menjadi kewajipan kita untuk melaksanakannya namun  Allah tidaklah mewajibkannya melainkan ke atas orang yang memiliki harta yang cukup nisabnya. Disini jelas kita lihat bagaimana Allah letakkan hak-Nya di situ namun batas-batas yang Allah adakan pada ibadah zakat itu tidak mengorbankan hak manusia malah melindungi hak peribadi bagi muslim yang tidak berkemampuan.
Pengorbanan paling besar terhadap hak-hak manusia yang ditunaikan oleh manusia adalah dalam jihad. Manusia mengorbankan dirinya, hartanya, diri orang lain, semata-mata mengharapkan keredhaan Allah.Terdapat banyak tingkat jihad dan salah satu yang selalu menjadi bualan adalah jihad peperangan.  Namun, dalam hal jihad ini pun, Allah meletakkan batas-batas yang seharusnya diikuti oleh manusia dalam melaksanakan hak Allah. Contohnya, tidak memerangi selagi tidak diperangi, melaksanakan janji yang telah dijanjikan pada pihak lawan, tidak membunuh manusia melainkan yang memang betul-betul mesti dibunuh dan banyak lagi.


InsyaAllah,itu sahaja buat kali ini. Semoga kita sama-sama dapat menambahkan ilmu kefahaman kita mengenai agama islam . Moga kita semua menjadi muslim yang sebenar-benarnya dari sudut lahiriahnya dan juga batinnya.
Wallahu’alam..



Penulis:
Aiman binti Nor Nasarudin
Pelajar perubatan tahun 4
Medical University of Warsaw

Dec 18, 2012

Asas-asas Islam: Fasal 5


Bismillahirrahmanirrahim.

Fasal kelima
Ibadat
- makna ibadat - solat - puasa - zakat - haji – memelihara Islam -

Setelah kita memahami erti islam dan iman, kita dapat melihat bahawa iman yang benar (al-iman as-siddiq) itu akan membuahkan ketaatan (islam = menyerah diri kepada Allah dan mentaati perintahNya dan menjauhi laranganNya). Ikrar terhadap rukun iman telah menjadikan kita sebagai seorang mukmin tetapi keimanan kita belum sempurna tanpa memenuhi rukun islam.

Keimanan kita kepada Allah menggerakkan kita untuk mentaati perintah Allah, manakala keimanan kita kepada Rasulullah saw bermaksud kita yakin bahawa setiap perkara yang disuruh oleh Rasulullah saw datang daripada Allah, maka kita wajib mentaatinya juga. Dari sini, kita boleh muhasabah diri kita - kalau iman dan amal kita tidak sync, ada gap antara iman dan amalan seharian kita, hal ini tidak dapat tidak, menggambarkan ketidaksempurnaan dalam iman kita.

Ibadat
= Apa-apa yang kita lakukan dalam rangka ketaatan kepada Allah dan menjauhi maksiat kepadaNya.

Maksudnya.. jika aktiviti seharian dan prioriti hidup kita adalah dalam rangka ketaatan kepada Allah dan menjauhi maksiat kepadaNya, maka seluruh kehidupan kita adalah ibadat. Inilah erti ibadat yang sebenar!

Setelah kita faham erti ibadat yang sebenar, barulah kita dapat memahami hikmah di sebalik pensyariatan ibadat khusus oleh Allah kepada kita. Ibadat khusus yang diwajibkan ke atas kita oleh Allah adalah untuk mendidik kita dan mempersiapkan kita untuk menjalani hakikat hidup sebagai hamba. Ibadat khusus ni bukanlah satu pensyariatan yang suka-suki tapi ia adalah satu keperluan untuk kita menjadikan hidup kita sebagai ibadat.. macam kita diwajibkan hadir ke kelas praktikal di hospital, berjumpa dengan pesakit dan berbincang dengan doktor kerana latihan praktikal tu adalah satu keperluan untuk mempersiapkan kita sebagai seorang doktor :)

1. Solat
  • Awal-awal pagi kita bangun dari tidur dan bangkit untuk berwudhuk kerana sudah tiba waktu solat subuh dan kita wajib solat. Kemudian, kita menjalani kehidupan seperti biasa. Ketika tengah hari, tiba waktu solat zuhur, kita meninggalkan kerja kita untuk berwudhuk dan bersedia untuk solat lagi. Begitu juga untuk solat asar, maghrib dan isyak. Tengok! Allah tidak akan membiarkan kita leka dan lalai dalam kehidupan seharian kita yang kononnya sibuk ini. Pensyariatan solat pada masa-masa tertentu setiap hari adalah untuk mendidik jiwa kita bertaqwa dalam setiap perkara; mendidik kita merasakan pemerhatian Allah setiap masa; mengingatkan kita untuk mengingati Allah.
  • Selain itu, Allah memotivasikan kita untuk menunaikan solat secara berjemaah yang mana solat berjemaah itu mendidik kita untuk bersatu, tidak kira darjat, status, umur; mendidik kita bersama untuk mentaati ketua yang dipilih oleh kita di kalangan kita sendiri.
  • Tapi, kalaulah kita masih tidak dapat dididik dengan solat, bukanlah salahnya pada cara didikan Allah itu, tapi salahnya pada diri kita sendiri.
  • Dalam kes mengabaikan solat, boleh jadi ada 2 sebab - Pertama, orang itu mengingkari perintah wajib solat, dalam erti kata lain, dia mendustakan al-quran dan Rasulullah saw. Hal ini membawa maksud ikrarnya tadi adalah dusta. Kedua, orang itu mengakui solat itu merupakan satu kewajipan tetapi dia tak nak buat. Hal ini menunjukkan bahawa orang ini ialah seorang yang cakapnya tak serupa bikin; tak boleh dipercayai dalam menjaga amanah dan hak-hak kita.
2. Puasa
  • Allah telah memilih satu tempoh dalam setahun untuk kita semua berpuasa - meninggalkan makanan dan minuman yang sedap di tekak dan semua perkara lain yang membatalkan puasa dari terbit fajar sehingga terbenamnya matahari.
  • Semasa bulan ramadhan, kita semua berpuasa, tiada yang terkecuali. Mereka yang mengabaikan solat pada hari lain juga mungkin akan berpuasa! Sebab.. kita semua buat amal ni secara jama'i. Allah telah menyediakan biah solehah untuk kita menggerakkan kita beramal dalam bulan ramadhan. Kalau pada masa lain, kita bermalas-malasan, Allah menyediakan biah solehah untuk memotivasikan kita untuk beramal semasa bulan ramadhan. Kalau pada masa lain, kita lalai dan lupa, Allah menyariatkan satu ibadat khusus yang dilakukan secara kolektif sebagai support system untuk sentiasa mengingatkan kita kepada Allah.
  • Apabila kita berlapar semasa kita berpuasa, timbul dalam diri kita simpati dan empati terhadap manusia lain yang juga berlapar; timbul perasaan kasih sayang, persaudaraan, tolong-menolong dan kesatuan sesama kita.
3. Zakat
  • Allah berfirman: "Sesungguhnya apabila kamu memberi sedekah sesuatu kepada saudara kamu yang miskin kerana Aku dan mengharapkan wajahKu, dengan hati yang baik dan dada yang lapang, sesungguhnya kamu telah bersedekah kepadaKu, tetapi janganlah kamu mengharapkan apa-apa daripadanya, jangan kamu sakiti dia dan jangan kamu hina dia, jangan kamu mengharapkan balasan dan terima kasih daripadanya dan jangan kamu melakukannya agar manusia mengetahui sedekah itu supaya mereka menyebut-nyebutnya dan supaya mereka menunjuk-nunjuk kamu, apabila kamu tunaikan kepada orang fakir, miskin dan orang-orang yang berhajat kepada bahagian mereka yang Kutitipkan kepada kamu, kamu bersihkan hati kamu dari fikiran yang batil seperti tersebut tadi dan sangkaan yang rendah, nescaya Kuberi kepada kamu sejumlah besar harta untuk menjadi bahagian kamu, tidak kering dan tidak habis".
  • Apabila kita mengeluarkan zakat, ia mendidik kita dengan sifat mahu berkorban dan berbuat baik kerana mengharapkan keredhaan Allah. Menanggalkan dari dalam diri kita perasaan ke'aku'an, cinta diri, sempit dada dan suka pada harta benda kita.
  • Dari sisi maslahat duniawinya, pensyariatan zakat menjadikan umat muslimin tolong-menolong, maka akan tiadalah yang berlapar dan terhina - yang lapar akan diberikan haknya, yang tak mampu akan dibantu tanpa dia perlu meminta-minta, supaya mereka yang tak mampu berusaha akan mampu berusaha.
4. Haji
  • Pengabdian kepada Allah - kenapa kita sanggup meninggalkan semua perkara i.e. keluarga, pekerjaan, rumah, kereta, kucing kesayangan, dll, untuk pergi menunaikan haji kalau bukan kerana iman dan mengharapkan kasih dan redha Allah??
  • Muktamar muslimin sedunia - di sanalah, pada waktu itulah, akan terjadi pertemuan kaum muslimin, yang masing-masing datang dari seluruh pelusuk negeri, pelbagai rupa dan warna kulit yang menunjukkan kesatuan umat islam itu; kita semua adalah umat yang satu walapun dipisahkan oleh jarak dan sempadan negara.
5. Memelihara islam
  • Kewajipan terakhir yang diwajibkan ke atas kita adalah memelihara islam. Kewajipan ni tidak disenaraikan dalam rukun islam tetapi ia merupakan satu kewajipan yang telah diterangkan dan diulang-ulang dalam kitab dan sunnah.
  • Apabila kita adalah islam, islam adalah kita, bererti dalam diri kita mestilah ada perasaan pembelaan islam dan keghairah iman. Setiap penilaian kita adalah bersandarkan kepada kepentingan islam dan kaum muslimin.
  • Kita memilih sesuatu yang memberi kebaikan kepada islam seperti mana kita memilih sesuatu yang memberi kebaikan kepada kita.
  • Kita menentang musuh islam seperti mana kita memusuhi musuh kita sendiri.
  • Kita bergadai nyawa dan harta demi islam seperti mana kita sanggup mengorbankan segala perkara untuk mempertahankan diri kita sendiri.
  • Jihad dari segi bahasa bereti berhempas-pulas dan bersungguh-sungguh dalam melakukan sesuatu pekerjaan.
  • Maka, dalam erti yang umum, jhad di jalan Allah bermaksud usaha meninggikan kalimah Allah dengan menggunakan segala apa yang ada pada kita e.g. jiwa, masa, duit, pena, lisan, dsb.
  • Tetapi, dalam erti kata yang lebih khusus yang hendak dibincangkan dalam buku ini adalah usaha umat islam memerangi musuh islam kerana semata-mata mengharapkan redha Allah, bersih daripada sebab-sebab duniawi. Jihad ini hukumnya fardhu kifayah, tetapi jika musuh islam menyerang sesuatu negeri, jihad ini menjadi FARDHU AIN kepada umat di negeri tersebut. Jika umat negeri tersebut tidak mampu mempertahakannya, umat islam di negeri-negeri jiran untuk membantu dengan jiwa dan harta mereka. Jika bantuan tersebut masih belum mampu mempertahankan negeri umat islam yang dicerobohi oleh musuh islam tadi, maka menjadi fardhu ain kepada semua umat islam seluruh dunia untuk membantu saudara islam kita yang ditindas. Seperti mana kita berdosa melalaikan solat dan puasa, begitu jugalah kita berdosa dalam lalai membantu umat islam apabila mereka dizalimi dan negeri mereka dicerobohi oleh musuh islam.
Keimanan seseorang teruji dalam jihad. Orang yang tidak menolong Islam dan tidak berjihad bersama kaum muslimin meskipun bala dan bahaya telah sampai, diragukan keimanannya, disangsikan keislamannya. Jika demikian, faedah apakah yang diperolehnya dan puasa dan sembahyangnya?





Nurul Amira Mohd Noor
Pelajar Perubatan Tahun 5
Medical University of Warsaw

Dec 9, 2012

Asas-asas Islam: Fasal 4 (samb.)

Salam 'alaikum. Salam buat semua.

Minggu lalu kita telah bincangkan sehingga bahagian Iman kepada Malaikat.
InshaAllah kali ini kita akan habiskan ringkasan AAI fasal 4 ini.


1. Setelah beriman kepada para malaikat, perkara ketiga yang dituntut untuk kita imani ialah kepada kitab-kitab yang diturunkan oleh Allah swt.

i. Hendaklah percaya bahawa semua kitab yang datang dari sisi Allah taala itu benar, sama ada yang kita dapat berita mengenainya ataupun tidak.

ii. Antara kitab yang kita tahu tentang penurunannya adalah lembaran-lembaran Ibrahim (as), Taurat, Injil, Zabur, dan al-Quran.

iii. Lembaran-lembaran Ibrahim (as) tidak lagi wujud di dunia kini.

iv. Taurat & Injil pula telah banyak diubah sehingga tidak diketahui lagi dari mana asalnya ayat-ayat tersebut, dari Allah, atau sekadar rekaan manusia.

v. Al-Quran adalah kita terakhir yang turun dari sisi Allah taala.

vi. Al-Quran merupakan satu-satunya kitab yang tinggal dalam keadaan aslinya di tangan manusia. Kitab-kitab yang turun sebelum al-Quran telah lesap, dan hanya terjemahan yang tinggal.

vii. Selain al-Quran, kitab-kitab lain yang ada pada manusia tidak dapat diteliti sejarahnya. Berbeza dengan al-Quran yang dapat dipastikan dan dibuktikan oleh saksi-saksi sejarah bagi setiap ayat.

viii. Beriman kepada kitab-kitab dari sisi Allah selain al-Quran merupakan sekadar pembenaran sahaja. Ertinya kita percaya bahawa kitab-kitab itu asalnya diturunkan oleh Allah.

ix. Setiap lafaz dalam al-Quran adalah terpelihara dan mengikut perintah-perintahnya adalah wajib bagi setiap orang yang beriman.



2. Iman akan para Rasul

i.  Seluruh ummat di muka bumi ini telah didatangi oleh Rasul-rasul Allah, untuk menyeru mereka kepada Islam. Dan penutupnya, manusia diseru oleh Nabi Muhammad (saw)

ii. Barang siapa membenarkan seorang daripada mereka bermakna membenarkan mereka seluruhnya, dan barang siapa mendustakan seorang daripada mereka bermakna mendustakan mereka seluruhnya.

iii. Ini kerana semua Rasul yang diutuskan oleh Allah membawa kebenaran yang sama, iaitu mentauhidkan Allah.

iv. Rasul-rasul yang dikisahkan di dalam al-Quran, wajiblah kita mempercayai mereka secara tegas. Manakala yang tidak dikisahkan, kita disuruh mengimani bahawa adanya para Rasul yang ditutuskan Allah bagi umat manusia ini.

v. Nabi Muhammad diutuskan kepada seluruh alam, hingga kepada Hari Kiamat.

vi. Barangsiapa mengikut Nabi Muhammad, sesungguhnya ia telah mengikut para Nabi seluruhnya.



3. Iman akan Hari Akhirat

i. Alam dan segala makhluk akan hancur pada satu hari yang dipanggil Hari Kiamat.

ii. Semua manusia akan dihidupkan semula dan dikumpulkan.

iii. Kemudian semua manusia akan dihadapkan di hadapan mahkamah Allah untuk dihisab.

iv. Mereka yang diampuniNya akan di masukkan ke dalam Jannah, mereka yang dihukum akan dimasukkan ke dalam api.

v. Seseorang yang tidak mengimani hari akhirat, dia akan melihat iman kepada Allah serta mengikuti perintahNya sebagai satu perbuatan yang tidak bermanfaat.

vi. Ini kerana dia tidak dapat melihat faedah dan kebaikan yang dia akan terima apabila melaksanakan perintah Allah.

vii. Adapun mereka yang beriman pada hari Akhirat, dia akan terus melakukan segala perintah Allah, dan tinggalkan larangannya walaupun dengan melakukan demikian tidak akan memberi kebaikan, malah boleh menyebabkan kerugian baginya di dunia ini.

viii. Ini kerana ia yakin bahawa apabila dunia ini hancur, segala perbuatannya akan mendapat balasan, yang baik mahupun jahat.

ix. Di dunia sekarang terdapat tiga jenis kefahaman mengenai pengakhiran hidup.
a. Golongan yang menyatakan tidak wujudnya kehidupan selepas kematian. Jasad akan hancur di dalam tanah dan itulah pengakhirannya. Ini adalah kefahaman dan aqidah seorang mulhid atau atheis.
b. Golongan yang menyatakan manusia setelah matinya akan dihidupkan semula di dunia ini, menjadi sama ada manusia, haiwan, tumbuh-tumbuhan. Semuanya bergantung kepada amalnya di dunia.
c. Golongan yang beriman akan Hari Akhirat, berkumpul, hadir di hadapan Allah, dan mengimani pembalasanNya ke atas manusia. Inilah aqidah yang diajarkan oleh seluruh para Nabi.



4. Dibincangkan dalam fasal 4 ini, aqidah yang merupakan asas pembinaan Islam.

5. Kesemua yang dibincangkan ini tersimpul di dalam kalimah "Tiada Tuhan melainkan Allah, Muhammad itu utusan Allah".


Sekian sahaja ringkasan bahagian kedua fasal 4 daripada buku Asas-asas Islam ini.
Moga memberi manfaat.

Moga Allah redho
Allahualam
Jazakumullah khair



Penulis:
Shahida Zahar
Pelajar Perubatan Tahun 4
Medical University of Warsaw

Dec 4, 2012

Asas-asas Islam: Fasal 4



Bab 4 - Iman secara terurai


Sebelum kita teruskan dengan bab yang keempat, marilah sama-sama kita melihat kembali beberapa info penting yang telah kita ketahui dalam bab-bab yang sebelumnya.

Pertama:  Sememangnya telah terang lagi bersuluh bahawa agama Islam itu adalah taat akan Allah ta’ala, mematuhi segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya dan jalan untuk manusia mengenal Allah dan syariat-syariat-Nya adalah melalui Nabi-Nabi yang diutuskan oleh-Nya.

Kedua: Allah mengutuskan para nabi kepada umat manusia di muka bumi ini mengikut ketentuannya. Islam hakikatnya adalah hanya satu dan diturunkan kepada semua ummat manusia,namun terdapat perbezaan dari segi pensyariatan dalam hukum dan cara ibadah sesuai dengan keadaan ummat ketika itu.

Ketiga: Pengutusan Nabi Muhammad s.a.w sebagai nabi terakhir adalah sebagai menyempurnakan pengajaran islam yang diturunkan-Nya kepada seluruh ummat manusia.Tiada lagi nabi dan syariah lain sesudah kewafatan baginda s.a.w.


Iman akan Allah

Apakah perkara yang paling penting yang dibawa dan cuba disampaikan oleh Nabi Muhammad s.a.w kepada ummat manusia?

Ya, betul! Kalimah LA ILAHA ILLALLAH (Tiada tuhan melainkan Allah). Inilah yang cuba disampaikan oleh baginda s.a.w kepada ummat manusia. Dan untuk memahami maksud kalimah ini,sudah semestinya kita harus mengetahui apa yang diertikan dengan perkataan ‘tuhan’ itu sendiri.Tuhan bermaksud:

- Yang berhak diibadati ( Yang kerana kebesaran, kemuliaan-Nya  dan ketinggian darjat-Nya,patut diibadati oleh semua manusia)

-Yang pada-Nya berkumpul segala kekuatan.Tidak berhajat kepada sesuatu,malah semua orang berharap pada-Nya dalam seluruh kehidupan mereka.

-Yang terlindung kepada manusia. Manusia tidak mengetahui akan Zat-Nya
Oleh itu,maksud ‘Tiada tuhan melainkan Allah’ ialah , tiada satupun di dalam alam ini yang layak diibadati manusia,yang patut disujudi dengan taat dan diberi pengabdian sepenuhnya melainkan Allah. Tiada pemilik dan pengatur melainkan Allah s.w.t. Semua makhluk berharap dan memohon pertolongan daripada-Nya, dan Zat-Nya tidak dapat dicapai oleh pancaindera manusia yang lemah.


Hakikat tiada tuhan melainkan Allah
Manusia itu diciptakan dengan sifat-sifat kehambaan yang sememangnya jika kita fikirkan memang bersifat lemah dan hanya bergantung kepada Pencipta-Nya, Allah s.w.t. Anda tak percaya?Buktinya,manusia itu tidak dapat memastikan bahawa apa yang diingininya akan dia dapat pada setiap masa. Mungkin terkadang dia mendapat apa yang dihajatinya,namun tidak pada masa yang lainnya.Berlakunya sesuatu dan terhindarnya sesuatu bukanlah dalam bidang kuasa  manusia.

Dan disebabkan hal inilah, timbul perasaan dalam diri manusia bahawa dia adalah lemah dan berharap dan berhajat kepada sesuatu kuasa lain.

Dalam buku ini, diceritakan beberapa peringkat kejahilan manusia dalam perjalanan mencari Penciptanya.Bermula dengan peringkat yang begitu jahil manusia itu sedikit demi sedikit belajar dan memperbaiki kejahilannya itu melalui petunjuk yang dikurniakan Allah kepadanya.

Pada peringkat pertama,manusia itu jahil dan menyangka bahawa benda-benda yang dilihatnya, yang berada di sekelilingya dapat memberikan manfaat dan mendatangkan mudarat padanya. Contohnya seperti binatang buas, matahari, hujan ,sungai,gunung-ganang  dan lain-lain lagi.Lalu,disembahnya ‘benda-benda’ tersebut. 

Namun, apabila manusia itu kembali memerhatikan  sifat-sifat ‘benda’ yang mereka sembah itu ,mereka sedar bahawa ‘benda’ tersebut juga sebenarnya tidak kurang dengan sifat-sifat kehambaan. Mereka turut tunduk dan patuh pada kuasa lain. Disini, timbullah pula dalam fikiran manusia bahawa segala benda yang ada di alam ini sebenarnya melaksanakan tugasnya dan berpegang kepada suatu kuasa yang mengatur dan memiliki kekuatan.

Manusia kemudiannya mempercayai pula akan kewujudan berbilang tuhan yang mereka sangka pada setiap tuhan itu ada tugas-tugasnya yang tersendiri. Contohnya, tuhan angin , tuhan air, tuhan udara dan banyak lagi. Lalu,mulalah manusia menyembah kepada tuhan-tuhan yang pelbagai itu. Namun sekali lagi apabila melihatkan kepada betapa sempurnya pengaturan dan ketetapan-ketetapan alam ini, manusia terpaksa mengakui bahawa tidak mungkin akan ada tuhan yang berbeza-beza , kerana jika tidak pastilah berlaku perselisihan antara satu sama lain antara tuhan-tuhan tersebut. Akan ada tuhan yang mempunyai kedudukan yang lebih tinggi dan lebih penting dari tuhan yang lain. Itu sungguh tidak masuk akal!

Lalu, mengertilah manusia bahawa hanya ada satu tuhan yang Esa, yang menguasai dan mentadbir suluruh alam ini,yang pada terkumpul segala kekuasaan dan kekuatan, iaitu Allah s.w.t. Itulah hakikatnya tiada tuhan melainkan Allah s.w.t .


Kesan Aqidah tauhid bagi kehidupan manusia

Kalimah tauhid ‘LA ILAHA ILLALLAH’(Tiada tuhan melainkan Allah) ini, haruslah kita fahami sedalam-dalamnya dengan hati kerana sekiranya hanya diucapkan sahaja tanpa mengetahui maknanya, ianya tidak akan mendatangkan apa-apa kesan dalam kehidupan seseorang manusia itu.

Sekarang, mari kita sama-sama melihat implikasi aqidah tauhid ini dalam kehidupan manusia.

-Manusia yang beriman dengan kalimah tauhid ini,tidak akan mempunyai fikiran yang sempit. Bahkan ia menjadi orang yang berpandangan luas dalam apa hal sekalipun.

-Kepercayaan terhadap kalimah tauhid ini juga membantu membina kemurnian dan kemuliaan jiwa dalam diri manusia itu. Mana tidaknya, ‘iktikad mereka bahawa hanya Allah s.w.t lah yang berhak disembah telah  membuktikan kemurnian jiwa mereka.Segala pergantungannya disandarkan pada Allah s.w.t dalam menentukan kehidupannya sehari-hari.Tidak sesekali ia mengalami putus asa dan patah hati dalam setiap apa yang dilaluinya dalam kehidupan kerana ia percaya akan ketetapan dan penyusunan-penyusunan Allah s.w.t. Hanya perasaan tenang dan tenteram yang mengiringi hari-hari mereka.
Seronok bukan?!

-Manusia yang mengimani kalimah ini juga tidak akan bersifat dengan sifat-sifat yang tidak baik contohnya seperti angkuh dan takabbur. Ia takut untuk berperasaan dan berkelakuan seperti itu kerana ia sedar akan kedudukan kehambaannya. Hanya sifat tawadhu’ yang disemai dalam diri mereka.Allah mengangkat  darjat mereka dan menanamkan kebaikan-kebaikan dalam diri mereka.

-Kalimah tauhid ini juga akan mendorong manusia untuk memenuhi jiwa dan raganya dengan sifat keberanian. Manusia itu lemah keazamannya kerana dua perkara, pertama ialah kerana kecintaannya kepada diri sendiri,harta dan keluarga dan yang kedua ialah dek kerana ‘iktikadnya bahawa ada kuasa selain Allah yang boleh mematikan manusia dan berkuasa menolak kematian dari dirinya dengan sesuatu cara.

-Dan yang paling penting sekali,kalimah tauhid ini menjadikan manusia itu terikat kepada undang-undang Allah dan berusaha  memelihara undang-undang itu di atas muka bumi ini. Mereka tidak akan sewenag-wenangnya melakukan sesuatu tanpa mengambil kira pandangan dan syariat Allah.


Iman akan malaikat

Beriman kepada malaikat adalah salah satu perkara yang diajarkan baginda nabi Muhammad s.a.w. Bukanlah saja-saja aspek ini ditekankan oleh nabi Muhammad s.a.w  kepada kita. Kita semua sudah maklum bagaimana orang-orang musyrikin itu menyekutukan Allah dengan makhluk-makhluk-Nya yang lain. 

Mereka menganggap malaikat-malaikat ini adalah zuriat Allah.Oleh itu, beriman kepada malaikat,yakni percaya akan malaikat itu diajarkan baginda kepada kita tidak lain tidak bukan adalah untuk memastikan kalimah tauhid (La ilaha illallah) yang telah kita ‘iktikadkan itu suci  dan bersih dari segala perkara syirik dan yang sewaktu dengannya.

Siapa sebenarnya malaikat? Malaikat itu adalah makhluk Allah yang mulia,suci daripada kesalahan dan dosa,diciptakan untuk mengabdi,taat dan patuh kepada Allah . Mereka bersungguh-sungguh melaksanakan perintah-Nya ,tidak sesekali mendurhakai-Nya dan tidak langsung mempunyai kuasa meskipun terhadap diri mereka sendiri. Oleh itu,sangatlah menghairankan apabila ada segelintir manusia yang bertindak menyembah dan meminta pertolongan daripada malaikat walhal di awal penciptaan manusia itu sendiri,Allah telah pun menyuruh malaikat itu bersujud kepada Adam .

Tidak banyak yang kita tahu mengenai malaikat melainkan apa yang telah diterangkan Allah s.w.t dalam al-quran dan dalam hadis-hadis yang ditinggalkan oleh baginda s.a.w. Namun, sebagai seorang islam, kita disuruh untuk mengimani akan kewujudan malaikat berserta dengan sifat-sifatnya yang kita ketahui. Dan sememangnya tiada alasan bagi seorang muslim untuk  tidak mengimani hal ini kerana ianya dibawa dan disampaikan oleh nabi Muhammad s.a.w yang benar dan dibenarkan.

InsyaAllah,itu sahaja buat kali ini. Moga bermanfaat insyaAllah.

Wallahu’alam.





Penulis:
Aiman Nor Nasarudin
Pelajar Perubatan Tahun 4
Medical University of Warsaw

Nov 26, 2012

Asas-asas Islam: Fasal 3


Fasal ketiga – Kenabian
Singkatan sejarah kenabian - Kenabian Muhammad saw - Tetapnya kenabian Muhammad - Kesudahan kenabian - Dalil-dalil mengenai kesudahan kenabian.

Singkatan sejarah kenabian

Salasilah keluarga manusia bermula dengan penciptaan seorang manusia, Adam, yang kemudiannya, Allah menciptakan isteri untuknya dan kemudian daripada dua orang ini, manusia berkembang-biak, berselerak, mendiami pelusuk bumi.

Adam ‘alaihissalam yang telah diangkat darjatnya oleh Allah, dan dijadikanNya Rasul yang pertama di bumi, diperintahkanNya untuk mengajarkan Islam kepada zuriatnya. Ertinya, hendaklah diterangkannya bahawa bagi kamu dan bagi seluruh alam ini tiada tuhan melainkan Tuhan yang esa. Maka janganlah kamu mengabdikan diri dan jangan minta tolong melainkan kepadaNya. Jangan kamu sujud melainkan kepadaNya. Dan jangan kamu pergunakan hari-hari kehidupan kamu melainkan bersesuaian dengan keridhaanNya. Hendaklah kamu berlaku adil dan beramal salih. Jika kamu lakukan yang demikian itu akan dibalasiNya kamu dengan balasan bagi orang baik. Dan jika kamu membangkang untuk ta’at  kepadaNya akan diganjaniNya kamu dengan ganjaran bagi orang jahat.

Masa berlalu, anak cucu Adam yang taat akan taat mengabdikan diri kepada Allah dan mentaati perintahNya, manakala anak cucu Adam yang zalim akan melupakan fungsinya dan bertindak mengikut hawa nafsu sendiri. Kejahilan manusia akhirnya menyebabkan manusia yang berpecah-pecah ke seluruh pelusuk bumi mencipta kepercayaan agama dan syariat masing-masing.

Oleh sebab itu, Allah yang Maha Pengasih dan Maha Mengetahui mengutus para nabi dan rasulNya kepada setiap umat untuk memperbetul aqidah manusia supaya kembali mengabdikan diri kepada Allah yang satu. Tidak ada satu tempat pun yang mana di sana terdapat sekumpulan manusia, yang Allah tidak mengutuskan nabi atau rasul kepadanya. Umat manusia ketika itu belum ada kapal terbang, kapal laut, mahupun kereta untuk mereka bergerak dan menyebarkan risalah islam kepada umat manusia di tempat lain. Maka, setiap umat itu dengan kejahilan dan kebatilannya yang tersendiri didatangkan nabi atau rasul kepada mereka untuk mengajar dan memperbetul jahiliyah yang spesifik di kalangan umat tersebut. Dengan masa dan perkembangan teknologi, manusia akhirnya mula menjelajah ke negeri-negeri sekitar, mula berdagang ke negeri lain dan membuka sempadan-sempadan baru.

Bangsa Arab mempunyai sifat berani, mahu ke depan, tidak gentar dan takut, pemurah, pemegang janji, merdeka berfikir dan berpandangan, menyukai kemerdekaan dan kebebasan, mereka dulukan kemerdekaan dan kebebasan itu daripada sesuatu yang lain, kuduk mereka tidak tunduk kepada bangsa asing, dalam urat-uratnya mengalir jiwa perjuangan mati-matian untuk mencapai cita-cita. Mereka hidup tiada mengenal kemewahan dan kesenangan. Memanglah tiada diragukan bahawa pada mereka banyak kejahatan - kemungkaran. Tetapi pokok-pangkal kejahatan itu kerana kesunyian daripada pimpinan Rasul Allah sejak seribu lima ratus tahun, dan tiada pemimpin yang memberikan mereka yang berjuang meninggikan budi pekerti mereka dan yang mengajar mereka tamaddun dan kemajuan. Kejahilan telah tersebar di kalangan mereka disebabkan mereka hidup dalam kebebasan di kawasan gurun berabad-abad lamanya. Kehampaan mereka telah sampai kepada peringkat kejahilan kerana tiada seorangpun sejak dahulu yang menghaluskan sifat-sifat mereka dan mengeluarkan mereka daripada kegelapan kebinatangan untuk menuju cahaya kemanusiaan.

Kemudian, layangkanlah pandangan anda kepada Bahasa Arab. Apabila anda membaca bahasa ini dan anda pelajari kesusasteraanya, nescaya nyatalah bagi anda tanpa sedikit pun keraguan, bahawa tidak mungkin di dunia ini ada satu bahasa yang lebih munasabah daripada bahasa ini untuk mengeluarkan fikiran-fikiran yang tinggi, menjelaskan makna-makna ilmu ketuhanan yang halus dan mengesankan ke dalam kalbu. Dengan sedikit ayat bahasa ini ia boleh menerangkan tajuk-tajuk penting dan memberi kesan yang mesra ke dalam hati. Bahasa yang seperti inilah yang diperlukan oleh makna makna Al-Qur’an Al-Karim.

Tetapnya kenabian Nabi Muhammad saw

Dan di tengah-tengah bangsa Arab itu­, Allah takdirkan untuk lahir seorang manusia ‘ummi untuk memimpin dan mengeluarkan bangsa Arab ini daripada kegelapan kepada cahaya kalimah La Ilaha Illa Allah. Di tengah-tengah bangsa Arab yang tidak tahu membaca dan menulis, yang hidup dalam kabilah dengan semangat assabiyahnya, yang merampas harta saudara sendiri, yang minum arak, yang berzina, Allah takdirkan untuk lahir seorang lelaki yang al-amin, yang pemalu, yang baik budi pekertinya, yang terpelihara daripada perbuatan-perbuatan keji di kalangan kaumnya, yang membela anak yatim dan janda, yang memberi makan orang miskin dan musafir, fikirannya cerdas, nuraninya tidak dipengaruhi dengan penyembahan berhala oleh kaumnya. Lelaki inilah yang ketika umurnya 40 tahun, ketika menyendiri – mengasingkan diri daripada haru-biru kejahilan masyarakatnya, menerima wahyu kenabian daripada Allah melalui perantaraan Jibril. Lelaki inilah yang berdakwah kepada kaum kerabatnya untuk mengesakan Allah tetapi ditentang dengan hebat. Lelaki inilah yang tidak pernah berputus-asa untuk menyebarkan kalimah hak – La Ilaha Illa Allah walaupun dikecam dan diugut oleh kerabat sendiri. Lelaki inilah yang menyantuni mereka yang pernah menyakitinya dengan akhlak yang baik, yang memaafkan mereka yang pernah membunuh dan meratah jantung pak ciknya.

Lelaki inilah nabi Allah, Muhammad saw, yang Allah lengkapinya dengan sisi kesempurnaan akhlak, kesabaran dan ketabahan yang tidak kenal erti putus asa.

Kesudahan kenabian

Hakikat kenabian adalah nabi-nabi itu tidak dilahirkan setiap hari, sesuka hati tanpa keperluan dan tidak semestinya perlu adanya nabi untuk setiap umat itu pada setiap masa. Adanya para nabi dan rasul diutus  kepada umat manusia kerana manusia lalai dan lupa, menukar dan menyeleweng ajaran yang dibawa oleh nabi mereka.

Ajaran nabi-nabi sebelum ini terhenti kerana kewafatan nabi dan penyelewengan kitab  dan ajarannya. Sebaliknya, syariat yang dibawa oleh Nabi Muhammad saw masih 'hidup' sejak 1400 tahun lalu sehingga sekarang. Al-Quran masih dapat dijumpai dan dibaca dalam bentuknya yang asal seperti 1400 tahun lalu. Hadis-hadis dan sunnah Nabi Muhammad saw diabadikan dalam kitab-kitab hadis dan sirah yang kita baca sehingga ke hari ni. Kita masih boleh mencontohi gerak-geri dan keperibadian nabi walaupaun baginda telah wafat. Hal ini membatalkan keperluan untuk Allah mengutuskan seorang lagi nabi selepas Nabi Muhammad saw.

Tiada akan diutus seorang Nabi melainkan kerana salah satu danipada tiga sebab yang berikut ini: 
  1. Bahawa pengajaran Nabi yang terdahulu telah menjadi kabur dan telah nyata keperluan manusia akan kedatangan seorang Nabi untuk kali yang lain.
  2. Atau pengajaran Nabi yang terdahulu itu tidak sempuma, maka perlulah disempurnakan.
  3. Atau pengajaran Nabi yang terdahulu itu kepada suatu umat yang khas, sedangkan umat yang lain atau semua umat berhajat akan kedatangan Nabi yang diutus seperti itu. 
Dewasa ini ketiga sebab itu tidak ada dijumpai:
  1. Pengajaran Nabi Muhammad s.a.w. adalah hidup. Di tangan kita sentiasa ada wasilah yang boleh kita pelajari pada setiap masa berkenaan dengan agamanya s.a.w., mengenai setiap petunjuk yang dibawanya dan sisi Allah dan mengenai setiap jalan kehidupan yang dibentangkannya. kepada manusia, dan jalan-jalan apakah yang dilarangnya manusia melaluinya. Jika petunjuknya sentiasa hidup, maka tiadalah hajat kepada nabi yang lain untuk memperbaharu dan membentangkannya kepada manusia untuk kali yang lain.
  2. Manusia telah mendapat pengajaran Islam yang sempurna dengan kenabian Muhammad s.a.w. Pada masa ini tiada keperluan lagi untuk menambah atau mengurangi pengajaran itu. Juga tiada dijumpai sesuatu kelemahan yang boleh membuka jalan kepada kelahiran seorang nabi sesudahnya s.a.w. Dengan demikian gugur pulalah sebab yang kedua.
  3. Adalah kenabian Muhammad s.a.w. untuk seluruh alam. Ia tiada terhad untuk sesuatu umat sahaja, atau untuk sesuatu zaman sahaja. Oleh sebab itu tiada keperluan bagi sesuatu bangsa untuk mendapat Nabi yang khas dan sisi Allah. Dengan demikian gugur pulalah sebab yang ketiga.
Oleh kerana itu Nabi Muhammad s.a.w. dipanggilkan: Kesudahan segala Nabi. ini bererti: Ia adalah Nabi yang datang paling akhir.






Penulis:
Nurul Amira Mohd Noor
Pelajar Perubatan Tahun 5
Medical University of Warsaw

Nov 17, 2012

Asas-asas Islam: Fasal 2 & 3

Salam 'alaikum. Salam buat semua.

Alhamdulillah, minggu lalu telah kita kupaskan serba sedikit bab 1 dari buku AAI ini, iaitu bab Islam.
InshaAllah minggu ini kita akan teruskan dengan bab 2 dan sebahagian bab 3.

Fasal 2: Iman dan Taat.

Pada minggu lalu, telah kita lihat bagaimana manusia itu perlu tunduk patuh dan taat pada Allah. Bukan sahaja manusia, malah alam seluruhnya.
Namun, hakikatnya, ketaatan pada Allah itu serta kepatuhan kepada undang-undang Allah tidak akan mampu dilaksanakan sehinggalah dia mengetahui berberapa perkara, dan seterusnya meyakini perkara-perkara tersebut.

Apakah perkara-perkara tersebut?

1. Allah
Perlu sangat untuk manusia yakin seyakinnya bahawa adanya Allah yang memerintah alam ini. Wujudnya Allah berserta dengan sifat-sifat Allah.
Kalau tak yakin, macam mana nak taat. Kan?
Dah nak taat pada Allah macam mana kalau kewujudan Allah pun tak diyakini. Benar?
Macam mana nak tidak sekutukan Allah kalau tak yakin bahawa Allah itu Maha Esa. Benar?
Bermakna di sini, tahu sahaja tidak mencukupi. Tetapi seharusnya yakin, dan tanam di lubuk hati!

2. Jalan kehidupan
Bila dah yakin dengan kewujudan serta sifat-sifat Allah, manusia itu perlulah pula tahu dan kenal jalan yang boleh membawa kepada redha Allah.
Senang cerita, apa sahaja yang Allah suka, kita dekati. Apa sahaja yang Allah benci, kita jauhi. Titik.
Barulah namanya mencari redha Allah.
Dalam proses kita nak buat research apa yang Allah suka, apa yang Allah tak suka, kita akan, secara tak langsung, kenal dengan undang-undang Allah. Dan bila dah kenal, kenalah kita yakin undang-undang tu memang berasal daripada Allah.
Barulah kemudiannya kita faham apa yang akan membawa kepada redha Allah.
Nampak link-nya di sini?

Kiranya untuk kita jadi muslim, iaitu seseorang yang tunduk patuh dan taat kepada Allah, perlulah kita kenal siapa Allah, yakin kewujudan Allah, kenal undang-undang Allah, yakin undang-undang tu datang daripada Allah.
Haa. Keyakinan itulah yang akan membawa kepada ketaatan.

3. Kesan dan akibat
Maka setelah mengetahui jalan kehidupan yang boleh membawa kepada redha Allah, perlulah juga kita tahu kesan dan akibat daripada perbuatan kita.
Tak kiralah apa pun perbuatan kita. Baik atau buruk.
Kerana sesungguhnya semua perbuatan-perbuatan kita itu, akan dibalas.
Dan tak akan ditinggalkan sedikit pun.
Maka di sini, perlulah untuk kita betul-betul faham dan yakin akan wujudnya hari Pembalasan. Hari Akhirat. Hari Qiamat.
Dengan kepercayaan kepada wujudnya pahala dan dosa, syurga dan neraka, akan meningkatkan lagi kepatuhan kita pada undang-undang Allah, seterusnya membawa kepada ketaatan yang lebih hebat lagi!
Kerana dengan benar-benar mengenal Allah berserta sifat-sifatnya, seseorang itu akan malu untuk berbuat dosa.


Dari sudut Iman dan Islam, maka seseorang itu, dapatlah digolongkan ke dalam 4 peringkat:
1. Beriman kepada Allah, berusaha mentaati Allah.
2. Beriman kepada Allah, tetapi tidak terdorong untuk mengikuti hukum-hukum Allah.
3. Tidak beriman kepada Allah, tetapi melakukan perbuatan yang menyerupai orang Muslimin.
4. Tidak beriman, dan melakukan kejahatan.

Jadi, apa kaitan perkara-perkara tu semua dengan iman?
Sebenarnya, yang dikatakan tahu, kenal dan yakin itulah iman.
Dan Islam itu tidak akan lahir melainkan dari benih iman.


Dan persoalan seterusnya ialah; macam mana nak tahu dan capai tahap yakin tu?

Manusia ini diciptakan oleh Allah. Maka Allah tahu segala sesuatu tentang manusia ni. Kan?
Dan Allah yang Maha Mengetahui, tahu yang sesungguhnya manusia tak akan mampu tahu dan capai tahap yakin tu dengan sendirinya.
Maka Allah yang Maha Penyayang hantarkan pada kita manusia-manusia juga yang Allah berikan ilmu dan kefahaman kepada mereka, untuk membawa kita, tunjuk pada kita, dan sampaikan pada kita ilmu itu dan cara nak capai tahap yakin tu. MashaAllah! Punyalah Allah sayang pada kita manusia ni!
Dan disampaikannya ilmu-ilmu daripada Allah, sebagai wahyu, yang dimuatkan ke dalam Kitab Allah.
Jadi, macam mana nak capai tahap tahu dan yakin?
Perlulah beriman kepada Rasul dan Kitab.



Fasal 3: Kenabian

Semua yang kita perlukan di dunia ni, semua Alla ciptakan. Sejak kita lahir.
Dan kita juga tahu, Allah ciptakan manusia ni berbeza peribadinya, nikmat yang diterimanya, kelebihan-kelebihannya, etc.
Kenapa ya?
Sebabnya, kalaulah Allah jadikan manusia tu semuanya sama je, dah tentu-tentulah manusia tak perlukan each other. Sebab manusia tak lagi saling lengkap-melengkapi. Benar?

Jadi, Allah jadikan manusia ni, ada yang kelebihannya membuatkan dia boleh jadi doktor, engineer, pilot, tentera, cikgu, politician etc.
Dan ada juga manusia, yang Allah beri kelebihan pada dia, diberiNya ilmu agama padanya, akhlak dan syariah, serta kewajipan mengajarkan ilmunya pada sekalian manusia.
Mereka itulah para Nabi dan Rasul.
Dan para Nabi dan Rasul ini, perbuatannya tidak pernah bertentangan dengan kata-katanya.

Umum kita tahu, Rasul terakhir yang Allah utuskan buat umat ini adalah Muhammad (s.a.w).
Setiap apa yang dikatakan oleh Nabi, dilakukan oleh Nabi, semuanya adalah perintah Allah. Maka, jika ada perkataan atau perbuatan kita yang bertentangan dengan ajaran Nabi, secara automatiknya bertentangan dengan perintah Allah.
Dan apa-apa sahaja yang bertentangan dengan perintah Allah, sentiasa bukan berada dalam kebenaran.

Walaupun kadang-kadang kita tak faham hikmah dan logik disebalik apa yang dibawa oleh Nabi, ia tetap perintah Allah.
Dan ketidak-fahaman kita pada hikmah dan logik itu, sebenarnya tidaklah menjatuhkan kesucian Nabi, sebaliknya lahir daripada kelemahan kita sendiri.
Ye lah, kita yang tak mampu nak faham.


Hurm. Tolong ingatkan saya kembali, kenapa kita perlu beriman kepada Nabi ni?

Hurmm. Ada orang-orang yang berkata, "ala, kita tak perlulah nak ikut-ikut Nabi ni. Kita kan ada akal kita sendiri. Pandai-pandailah fikir jalan yang lurus. Akal kita pun Allah yang bagi kott".
Salah! Padangan ini adalah pandangan yang salah sama sekali!
Dan penulis buku ni kata tiada kesesatan fikiran yang lebih sesat daripada kesesatan fikiran ini!
Kenapa? Hah, rujuk atas ^^^

Orang yang tak mematuhi Nabi, seolah-olah dengan sendirinya menjauhi Allah.
Sebab memang tak ada jalan menuju Allah, melainkan melalui ajaran Nabi.
Dan untuk kita yakin pada ajaran Nabi, kita perlu sangat-sangat beriman pada Nabi, dan percaya bahawa Nabi memang diutuskan oleh Allah, untuk mengajar pada kita cara-cara untuk mengenal dan yakin padaNya.

Get it? Get it?


Maka bolehlah saya simpulkan disini bahawa dengan keimanan pada Allah akan membawa kepada keimanan pada Nabi dan seterusnya membawa kepada amal yang berterusan, inshaAllah.
Dan untuk tahu tentang Allah, dan undang-undangNya, perlulah kita beriman dengan sebenar-benarnya pada Nabi.


Sampai di sini sahaja kupasan kita pada minggu ini.
Lebihan bab 3, inshaAllah akan disambung kemudian.

Moga Allah redha.
Allahualam.
Jazakumullah khair.

ps: Jangan lupa dan jangan hentikan doa kita buat saudara kita di Gaza, Syria, Arakan, Chechnya, dan walau di mana sahaja mereka berada ya. Termasuklah saudara kita yang tinggal kat bilik sebelah tu ^_^




Penulis:
Shahida Zahar
Pelajar Perubatan Tahun 4
Medical University of Warsaw

Nov 12, 2012

Fasal Pertama Asas-Asas Islam


Bismillahirrahmanirrahim..

Buku bertajuk Asas-Asas Islam karangan Abu’l A’la Al-Maududi, seorang ulama’ dan aktivis terkenal dunia islam pada abad ke-20 menjadi pilihan IPIP untuk dijadikan buku pertama yang akan dikongsikan dalam ruangan ‘bedah buku’. Ianya terbahagi kepada tujuh fasal kesemuanya dan pada kali ini kita akan menelusuri fasal yang pertama iaitu Agama Islam.

FASAL PERTAMA : AGAMA ISLAM

Pernahkah anda semua tertanya-tanya mengapa ya agama ini dinamai islam?
Sewaktu di zaman persekolahan dahulu,kita ada mempelajari mengenai agama-agama dan kepercayaan yang terdapat dalam dunia. Nama agama-agama tersebut kebanyakannya diambil bersempena nama orang yang mengasaskannya ataupun diambil bersempena dengan bangsa/ummat yang tertentu. Contohnya agama Buddha yang diambil daripada nama pembawanya iaitu Gautama Buddha , agama yahudi yang diambil bersempena dengan nama kabilah Yahuda dan banyak lagi.

Namun islam sememangnya istimewa. Melalui namanya sahaja telah terserlah bahawa agama ini datangnya dari Yang Maha Pencipta, bukannya dibuat-buat, direka-reka oleh manusia kerana ianya tidak dinamakan berdasarkan nama rasul yang membawanya yakni Nabi Muhammad s.a.w, namun diberi nama islam disebabkan oleh maksud yang terkandung dalam  perkataan ‘islam’ itu sendiri iaitu tunduk dan patuh kepada perintah Maha Pemerintah dan larangan-Nya tanpa bantahan.

Hakikatnya,segala sesuatu yang berada dalam alam ini semuanya tunduk dan patuh pada ketetapan-ketetapan yang telah ditentukan oleh yang menciptakannya yakni  oleh Yang Maha Pencipta,Allah swt. Buktinya? Lihatlah pada penciptaan-penciptaan alam di sekeliling kita.Matahari, bulan dan planet-planet yang mana setiap satunya beredar pada jalan-jalan yang telah ditetapkan untuk mereka,tidak berlanggar antara satu sama lain.

Dan Dialah yang menciptakan malam dan siang ,matahari dan bulan.Masing-masing beredar pada garis edarnya.(Al-Anbiya,21: 33)

Masa umpamanya.Telah tertakluk oleh ketetapan Yang Maha Mencipta, Allah swt untuk ianya hanya mempunyai sekadar 24jam dalam sehari,tidak lebih mahupun kurang walaupun  sesaat.Lihatlah pula pada penciptaan manusia ,ketetapan untuk bernafas menggunakan gas-gas tertentu yakni oksigen dan menghembuskan karbon dioksida bukanlah ditetapkan oleh manusia itu sendiri,namun oleh Allah swt.
Sesungguhnya, jika diteliti dengan mata akal dan mata hati,kita akan mendapati seluruh makhluk yang ada di alam ini menyerah dan tunduk kepada penciptanya. Bahkan manusia yang tidak mengenal Allah dan mengingkari tanda-tanda kebesaran Allah sebenarnya sama ada ia sedar mahupun tidak,adalah seorang Muslim dari segi fitrah yang telah difitrahkan padanya,kerana terdapat juga sisi-sisi daripadanya yang bergerak,berjalan dan  hidup atas ketetapan-ketetapan Allah swt.

Manusia itu istimewa daripada makhluk-makhluk yang lain kerana diberi  akal untuk membuat pilihan sama ada mahu memilih islam dan menyempurnakan islamnya ataupun memilih untuk tidak tunduk dan patuh pada hukum-hukum syara’ yang akhirnya akan menyebabkan mereka jatuh ke lembah kekufuran.
Maka beruntunglah bagi mereka yang membuat pilihan pertama,yakni yang memilih untuk menyempurnakan islamnya. Mereka inilah golongan-golongan yang menggunakan nikmat akal fikiran yang diberikan Allah dengan sebaik-baiknya.Tiadalah yang tinggal lagi sekarang di dalam kehidupan mereka itu melainkan kebenaran kerana ia terikat dengan hukum Allah dan telah memilih Allah sebagai urusannya. Segala perlakuan,ketetapan dan sudut pandang mereka telah berubah dan semuanya disandarkan semata-mata kepada Allah. Taqwanya  mereka kepada Allah membantu memandu mereka dalam melalui hari-hari di dunia dan mencegah mereka dari menggunakan ilmu yang ada ke jalan yang tidak diredhai Allah. Lalu Allah mengganjari mereka dengan membuka pintu kemuliaan dan kesempurnaan di masa depan.

Sementara itu,bagi golongan manusia yang memilih untuk tidak tunduk dan patuh kepada ketetapan-ketetapan Allah,mereka ini dinamakan sebagai kufur.Mereka tidak mahu mengakui bahawa adanya pencipta kepada segala apa yang ada di alam ini.Tiadalah kezaliman yang lebih teruk melainkan kufur kepada Allah kerana mereka telah meletakkan fitrah tersebut di tempat yang tidak wajar ditambah pula dengan kezaliman yang mereka lakukan pada qalbu mereka sendiri  iaitu memaksa qalbu mereka yang sebenarnya difitrahkan untuk membesarkan  dan mencintai Allah, berada dalam kesesatan dan kegelapan.Tidak mungkin akan ada lagi kekederhakaan dan pengkhianatan yang lebih besar daripada ini.

Maka, sangatlah penting untuk kita menyedari bahawa setiap sesuatu yang ada di alam ini adalah milik Allah swt . Tidak sedikit pun Allah bergantung mahupun berhajat kepada makhluk-makhluknya,sebaliknya kitalah (makhluk  dan hamba) yang sebenar-benarnya berhajat dan bergantung kepada-Nya untuk setiap perkara.Sesungguhnya jika manusia itu beriman,maka iman itu adalah untuk kepentingan mereka sendiri dan sekiranya mereka memilih untuk kufur,maka natijahnya akan ditimpakan pada diri mereka juga. Penyesalan dan kegagalan akan menyeliputi diri mereka sepanjang kehidupan di dunia dan juga akhirat kelak. Segala ilmu yang ada padanya adalah sia-sia kerana ilmu tersebut tidak digunakan untuk mengenal Penciptanya.Ilmu yang tidak membawa kita mengenal Allah,mana mungkin membawa kita mengenal yang lainnya dengan haq .Di akhirat nanti, segala sesuatu yang digunakan oleh manusia yang kufur ini di dunia akan menempelaknya dek kerana kezalimannya dalam menggunakan mereka sewaktu di dunia dahulu dengan cara yang bertentangan dengan fitrahnya.Sungguh,buruk sekali kesudahan bagi orang-orang yang kufur.
 Suka untuk saya berkongsi sedikit petikan dari buku ini mengenai pekerti seorang lelaki yang benar dan sempurna islamnya:

Dibersihkannya kalbunya daripada sangkaan yang salah, dibersihkan fikirannya daripada angan-angan yang jahat. Dipejamkan matanya daripada melihat kekejian. Ditulikan telinganya daripada mendengar yang buruk-buruk. Dipelihara lidahnya daripada memperkatakan sesuatu yang berlawanan dengan kebenaran . Ia memilih mati kelaparan daripada diisinya perutnya dengan rezeki yang haram . Ditahannya tangannya daripada berbuat zalim dan memperkosa hak orang lain. Ia tidak melangkahkan kakinya ke jalan yang jahat . Ia tidak menundukkan kepalanya di hadapan kebatilan meskipun badannya disalib atau dikerat-kerat.Segala cita-cita dan hajatnya tidaklah dibawa ke alam nyata dengan melalui kejahatan,kezaliman dan permusuhan. Yang paling dimuliakannya ialah yang hak, berkata benar dan berlaku jujur. Ia tidak kedekut terhadap dirinya dan hartanya pada jalan yang hak. Dalam pandangannya , yang paling dimurkainya ialah kezaliman, dusta dan khianat.Ia tidak rela menggunakan sifat-sifat ini dan tidak mahu memilih jalan ini disebabkan takut mudarat menimpa dirinya.

Pekerti seperti inilah yang membawa manusia mencapai kemenangan bukan sahaja di dunia , malah di akhirat kelak. Kemenangan dan kenikmatan ini hanyalah dirasai oleh manusia yang benar-benar tunduk dan patuh kepada fitrah dan ketetapan-ketetapan oleh Yang Maha Pencipta, Allah swt.
Wallahu’alam…
Nantikan perkongsian mengenai fasal kedua pula,insyaAllah pada masa yang akan datang..
Wassalam..




Penulis:
Aiman Nor Nasarudin
Pelajar Perubatan Tahun 4
Medical University of Warsaw