Bismillahirrahmanirrahim..
Buku bertajuk Asas-Asas Islam karangan
Abu’l A’la Al-Maududi, seorang ulama’ dan aktivis terkenal dunia islam pada
abad ke-20 menjadi pilihan IPIP untuk dijadikan buku pertama yang akan
dikongsikan dalam ruangan ‘bedah buku’. Ianya terbahagi kepada tujuh fasal
kesemuanya dan pada kali ini kita akan menelusuri fasal yang pertama iaitu
Agama Islam.
FASAL PERTAMA : AGAMA ISLAM
Pernahkah anda semua tertanya-tanya mengapa
ya agama ini dinamai islam?
Sewaktu di zaman persekolahan dahulu,kita
ada mempelajari mengenai agama-agama dan kepercayaan yang terdapat dalam dunia.
Nama agama-agama tersebut kebanyakannya diambil bersempena nama orang yang
mengasaskannya ataupun diambil bersempena dengan bangsa/ummat yang tertentu.
Contohnya agama Buddha yang diambil daripada nama pembawanya iaitu Gautama
Buddha , agama yahudi yang diambil bersempena dengan nama kabilah Yahuda dan
banyak lagi.
Namun islam sememangnya istimewa. Melalui
namanya sahaja telah terserlah bahawa agama ini datangnya dari Yang Maha
Pencipta, bukannya dibuat-buat, direka-reka oleh manusia kerana ianya tidak
dinamakan berdasarkan nama rasul yang membawanya yakni Nabi Muhammad s.a.w,
namun diberi nama islam disebabkan oleh maksud yang terkandung dalam perkataan ‘islam’ itu sendiri iaitu tunduk
dan patuh kepada perintah Maha Pemerintah dan larangan-Nya tanpa bantahan.
Hakikatnya,segala sesuatu yang berada dalam
alam ini semuanya tunduk dan patuh pada ketetapan-ketetapan yang telah
ditentukan oleh yang menciptakannya yakni
oleh Yang Maha Pencipta,Allah swt. Buktinya? Lihatlah pada
penciptaan-penciptaan alam di sekeliling kita.Matahari, bulan dan planet-planet
yang mana setiap satunya beredar pada jalan-jalan yang telah ditetapkan untuk
mereka,tidak berlanggar antara satu sama lain.
Dan Dialah yang menciptakan malam dan siang
,matahari dan bulan.Masing-masing beredar pada garis edarnya.(Al-Anbiya,21: 33)
Masa umpamanya.Telah tertakluk oleh
ketetapan Yang Maha Mencipta, Allah swt untuk ianya hanya mempunyai sekadar
24jam dalam sehari,tidak lebih mahupun kurang walaupun sesaat.Lihatlah pula pada penciptaan manusia
,ketetapan untuk bernafas menggunakan gas-gas tertentu yakni oksigen dan
menghembuskan karbon dioksida bukanlah ditetapkan oleh manusia itu
sendiri,namun oleh Allah swt.
Sesungguhnya, jika diteliti dengan mata
akal dan mata hati,kita akan mendapati seluruh makhluk yang ada di alam ini
menyerah dan tunduk kepada penciptanya. Bahkan manusia yang tidak mengenal
Allah dan mengingkari tanda-tanda kebesaran Allah sebenarnya sama ada ia sedar
mahupun tidak,adalah seorang Muslim dari segi fitrah yang telah difitrahkan
padanya,kerana terdapat juga sisi-sisi daripadanya yang bergerak,berjalan
dan hidup atas ketetapan-ketetapan Allah
swt.
Manusia itu istimewa daripada
makhluk-makhluk yang lain kerana diberi
akal untuk membuat pilihan sama ada mahu memilih islam dan
menyempurnakan islamnya ataupun memilih untuk tidak tunduk dan patuh pada
hukum-hukum syara’ yang akhirnya akan menyebabkan mereka jatuh ke lembah
kekufuran.
Maka beruntunglah bagi mereka yang membuat
pilihan pertama,yakni yang memilih untuk menyempurnakan islamnya. Mereka inilah
golongan-golongan yang menggunakan nikmat akal fikiran yang diberikan Allah
dengan sebaik-baiknya.Tiadalah yang tinggal lagi sekarang di dalam kehidupan
mereka itu melainkan kebenaran kerana ia terikat dengan hukum Allah dan telah
memilih Allah sebagai urusannya. Segala perlakuan,ketetapan dan sudut pandang
mereka telah berubah dan semuanya disandarkan semata-mata kepada Allah.
Taqwanya mereka kepada Allah membantu
memandu mereka dalam melalui hari-hari di dunia dan mencegah mereka dari menggunakan
ilmu yang ada ke jalan yang tidak diredhai Allah. Lalu Allah mengganjari mereka
dengan membuka pintu kemuliaan dan kesempurnaan di masa depan.
Sementara itu,bagi golongan manusia yang
memilih untuk tidak tunduk dan patuh kepada ketetapan-ketetapan Allah,mereka
ini dinamakan sebagai kufur.Mereka tidak mahu mengakui bahawa adanya pencipta
kepada segala apa yang ada di alam ini.Tiadalah kezaliman yang lebih teruk
melainkan kufur kepada Allah kerana mereka telah meletakkan fitrah tersebut di
tempat yang tidak wajar ditambah pula dengan kezaliman yang mereka lakukan pada
qalbu mereka sendiri iaitu memaksa qalbu
mereka yang sebenarnya difitrahkan untuk membesarkan dan mencintai Allah, berada dalam kesesatan
dan kegelapan.Tidak mungkin akan ada lagi kekederhakaan dan pengkhianatan yang
lebih besar daripada ini.
Maka, sangatlah penting untuk kita
menyedari bahawa setiap sesuatu yang ada di alam ini adalah milik Allah swt .
Tidak sedikit pun Allah bergantung mahupun berhajat kepada
makhluk-makhluknya,sebaliknya kitalah (makhluk
dan hamba) yang sebenar-benarnya berhajat dan bergantung kepada-Nya
untuk setiap perkara.Sesungguhnya jika manusia itu beriman,maka iman itu adalah
untuk kepentingan mereka sendiri dan sekiranya mereka memilih untuk kufur,maka
natijahnya akan ditimpakan pada diri mereka juga. Penyesalan dan kegagalan akan
menyeliputi diri mereka sepanjang kehidupan di dunia dan juga akhirat kelak.
Segala ilmu yang ada padanya adalah sia-sia kerana ilmu tersebut tidak
digunakan untuk mengenal Penciptanya.Ilmu yang tidak membawa kita mengenal
Allah,mana mungkin membawa kita mengenal yang lainnya dengan haq .Di akhirat
nanti, segala sesuatu yang digunakan oleh manusia yang kufur ini di dunia akan
menempelaknya dek kerana kezalimannya dalam menggunakan mereka sewaktu di dunia
dahulu dengan cara yang bertentangan dengan fitrahnya.Sungguh,buruk sekali
kesudahan bagi orang-orang yang kufur.
Suka
untuk saya berkongsi sedikit petikan dari buku ini mengenai pekerti seorang
lelaki yang benar dan sempurna islamnya:
Dibersihkannya
kalbunya daripada sangkaan yang salah, dibersihkan fikirannya daripada
angan-angan yang jahat. Dipejamkan matanya daripada melihat kekejian. Ditulikan
telinganya daripada mendengar yang buruk-buruk. Dipelihara lidahnya daripada
memperkatakan sesuatu yang berlawanan dengan kebenaran . Ia memilih mati
kelaparan daripada diisinya perutnya dengan rezeki yang haram . Ditahannya
tangannya daripada berbuat zalim dan memperkosa hak orang lain. Ia tidak
melangkahkan kakinya ke jalan yang jahat . Ia tidak menundukkan kepalanya di hadapan
kebatilan meskipun badannya disalib atau dikerat-kerat.Segala cita-cita dan
hajatnya tidaklah dibawa ke alam nyata dengan melalui kejahatan,kezaliman dan
permusuhan. Yang paling dimuliakannya ialah yang hak, berkata benar dan berlaku
jujur. Ia tidak kedekut terhadap dirinya dan hartanya pada jalan yang hak.
Dalam pandangannya , yang paling dimurkainya ialah kezaliman, dusta dan
khianat.Ia tidak rela menggunakan sifat-sifat ini dan tidak mahu memilih jalan
ini disebabkan takut mudarat menimpa dirinya.
Pekerti seperti inilah yang membawa manusia
mencapai kemenangan bukan sahaja di dunia , malah di akhirat kelak. Kemenangan
dan kenikmatan ini hanyalah dirasai oleh manusia yang benar-benar tunduk dan
patuh kepada fitrah dan ketetapan-ketetapan oleh Yang Maha Pencipta, Allah swt.
Wallahu’alam…
Nantikan perkongsian mengenai fasal kedua
pula,insyaAllah pada masa yang akan datang..
Wassalam..
Penulis:
Aiman Nor Nasarudin
Pelajar Perubatan Tahun 4
Medical University of Warsaw
No comments:
Post a Comment