Showing posts with label cerpen. Show all posts
Showing posts with label cerpen. Show all posts

Mar 31, 2013

Pertandingan Karya Kreatif 2013: Lilin


“Tok bah , Amir bawakkan air teh. Tok bah nak apa-apa lagi?” tanya Amir. Tok bah lipat surat. Tok bah pandang Amir. Tok Bah senyum. “Tak apa. Dah cukup. Amir duduk sekejap”. Amir duduk tanpa banyak tanya. “Macam mana persiapan semua? Dah cukup ke?” Tok bah tanya.

“Tok bah ni buat suspen jer lah. Ingat apalah tadi. Alhamdulillah, semua beres.” Tok bah angguk, senyum. Amir pandang surat lusuh yang Tok bah pegang. Ada perasaan ingin tahu, tapi takut untuk bertanya.
Tok bah senyum. “Ni arwah nenek kamu punya”. Amir angkat kening. “Bukan nenek kamu yang ini. Isteri pertama Tok Bah. Cahaya hidup Tok Bah”. Tok Bah tatap surat bagaikan ada gambar arwah nenek atas surat itu. Amir diam. Memberi laluan untuk Tok Bah bercerita.

NAZIM menjauhkan muka. Ngeri dia melihat ada jarum yang menjahit luka di tangannya. Tapi tidak pula dia merasa sakit. Lagi sakit penderitaan yang dia lalui setahun ini jika hendak dibandingkan dengan luka sepanjang 10 cm di lengan. ‘Allah! Apakah hikmah disebalik semua ini?’

“Macam mana boleh jadi macam ni? Nak kata jatuh, macam mustahil sangat ni,” seorang doktor wanita memulakan perbualan. Ada tag nama berwarna hitam di kot putih yang disarungnya. DR SHAHIRA. Nazim diam. Tiada hati untuk berbual. “Tak apa. Jangan risau. Saya akan cuba untuk tidak meninggalkan parut. Setiap apa yang terjadi ada hikmahnya.” Doktor perempuan itu tetap sabar.

“Doktor Islam, kan?  Saya nak tanya, apa yang Allah nak tunjukkan dengan musibah yang bertubi-tubi Dia bagi kat mualaf macam saya? Apa salah saya? Bukan setiap mualaf yang masuk Islam bagaikan bayi yang baru lahir ke? Yang suci tanpa dosa? Kenapa saya terima ujian macam saya dihukum dengan dosa saya sebelum saya masuk Islam?” Nazim melepaskan geram.

Bukan dia sengaja untuk melepaskan geram sebegitu rupa apatah lagi kepada orang yang dia tidak kenal, tapi dia terlalu ‘lemas’dalam setahun ini. Bukan saja dengan tentangan dari ahli keluarga yang dia terima, tapi dari pemulauan dari orang Islam itu sendiri. Sudahlah syarikatnya sedang porak-peranda, keretanya baru sahaja ditunda dan sekarang dia berada di hospital dengan jahitan di lengan gara-gara mempertahankan dompetnya disamun oleh penyamun.

Doktor perempuan itu memandangnya dengan senyuman. “Bergembiralah, Allah sedang menguji hamba yang Dia sayang. Rasanya, Rasulullah tu jadi kekasih Allah kerana apa? Kerana Nabi insan terpilih? Bukan. Nabi jadi kekasih Allah sebab Nabi lah paling banyak terima ujian waktu nak sebarkan Islam dulu.”

“Doktor cakap, senang la. Doktor mungkin ada keluarga, kawan nak sokong doktor. Saya ada siapa? Ada keluarga, keluarga tak mengaku. Ada syarikat, dah nak lingkup. Nak cari isteri, siapa yang nak kahwin dengan orang yang tak ada duit macam saya ni?”

“Kalau hati encik Nizam betul-betul ikhlas mengharapkan perempuan itu jadi isteri encik, dengan izin Allah,saya yakin, dia tidak akan menolak.”

“Kalau saya tanya doktor nak kahwin dengan saya, doktor nak ke? Mulut yang cakap memanglah senang!” Doktor Shahira masih tidak lekang dari senyuman. “Sudah siap. Kalau ada apa-apa soalan, boleh tanya nurse.” Doktor Shahira bergerak ke arah muka pintu.

“Macam yang saya cakap tadi, kalau encik Nizam ikhlas, InsyaAllah, tiada siapa yang akan tolak. Assalamualaikum.” Pintu ditutup. Nizam bingung. ‘Apakah aku salah dengar?’

“SO, tok bah kahwin lah dengan doktor tu? Amir teruja mendengar cerita Tok bah. Tok bah hanya senyum dan mengangguk.

“Arwah nenek kamu macam lilin. Tok bah tahu dia kahwin dengan Tok bah sebab nak jaga iman Tok bah jer, tapi dia sanggup bakar diri sendiri untuk beri cahaya kepada orang lain. Selepas nenek kamu terima lamaran Tok bah, baru Tok bah tahu, itulah hikmah di sebalik musibah yang Tok bah terima waktu tu.”

“Lepas tu, apa jadi?” Amir semangat. Senyuman Tok bah jadi tawar. “Bak pepatah, sangkakan panas sampai ke petang, rupa-rupanya hujan di tengahari”

“SEDAP?” Sha pandang Nizam. Mengharapkan pujian. “Ni nak apa ni? Cepat cakap”. Pulang-pulang saja, pelbagai makanan kegemarannya terhidang di atas meja. “Hehe…pandai abang baca fikiran Sha, eh? Makan dulu sampai kenyang, nanti baru Sha cakap”. Nizam hanya menggeleng.

“Abang, abang ingat tak sebelum kita kahwin dulu, Sha ada minta taklik?” Nizam mengangguk tanda mengiyakan. “Abang ingat tak apa yang Sha minta?”

“Sha ada satu cita-cita yang Sha nak buat dan kalau tiba masa, Sha nak abang relakan walaupun apa yang terjadi. Betul ke yang itu?” Sha angguk sambil senyum. Tawar.

“Kenapa? Sha ada nak pergi outstation mana-mana lagi ke? Ke tempat ni jauh sangat? Sha kan doktor. Abang faham kalau Sha nak pergi, abang bagi. Sha pergi pun bukannya lama kan?” Air mata mula bergenang. Sha keluarkan sepucuk surat dari poket seluarnya. Nizam ambil dengan penuh tanda tanya.

SURAT berwarna putih yang sudah lusuh warnanya diberikan kepada Amir. “Bukalah.” Amir buka dan membaca isi kandungan. Selang beberapa minit, surat dilipat kembali dan dikembalikan kepada tuannya. “Tok bah bagi nenek pergi?”. Tok bah senyum. “Macam mana tok bah nak halang? Tok bah sudah terlanjur janji, tapi ini yang buat Tok bah yakin dengan keputusan Tok bah”. Surat yang Tok bah pegang dari awal perbualan kini beralih tangan.

Assalamualaikum suami yang sangat Sha sayang,
Abang marah pada Sha lagi ke? Sha minta maaf. Sha tahu cita-cita Sha tak membawa kebahagiaan kepada abang dan Sha tidak berniat langsung untuk melukakan hati sesiapa. Pekahwinan kita bukanlah sesuatu yang Sha rancangkan dari awal. Sebelum Sha jumpa abang lagi, Sha sudah pun daftarkan diri untuk misi ni. Sha hanya mampu merancang tapi Allah yang menentukan. Dia tentukan Sha untuk berjumpa dengan abang dan percayalah, perkahwinan kita tidak akan pernah Sha sesali.
Setibanya surat ini di tangan abang, Sha sudah pun berada di Beirut.Abang, dekat sini sangat huru-hara. Sha tak takut, Sha tak penat tapi Sha sangat sedih bila dengar budak 10 tahun mengaji bila Sha potong kaki dia. Tanpa pain killer. Sha lagi sedih bila seorang ibu cium dahi anak dia yang sudah syahid tanpa menitiskan air mata pun dan cakap, “Ucap salam ibu untuk ayah dan abangmu.”
Dan bila tiba hari esok, mereka akan keluar, melakukan rutin biasa, budak-budak seronok main bola. Ceria. Macam hal semalam tidak pernah berlaku. Sha banyak belajar dari mereka. Terutama sekali Sha belajar erti perpisahan. Berpisah dengan abang sangat susah buat Sha, tapi satu benda yang Sha sangat berterima kasih kepada Allah adalah Sha dapat pergi dengan ucapan selamat tinggal.Sha tak perlu memandang mayat suami Sha dan ucapkan selamat tinggal yang tidak akan pernah bersambut.
Tapi Sha tak pernah risau sebab Sha tahu setiap kegembiraan memerlukan pengorbanan. Ini adalah pengorbanan Sha. Sha harap abang pun sama. Berjanjilah dengan Sha, abang akan hidup sampai tua dan didik anak-anak abang dengan baik. Didik mereka jadi pahlawan agama. Dan bila tiba masanya, insyaAllah kita akan bertemu di sana.
Beirut, 2 September 1982

Amir lipat surat. “Lepas surat ni, Tok Bah tak dengar apa-apa berita dah dari nenek kamu. Kamu tahu apa yang jadi tahun tu?” tanya Tok Bah. “Amir tahu. Ayah pernah cerita. Tragedi Sabra dan Shatila. Tiada seorang pun dilaporkan selamat.” Amir tunduk. “Tapi, Tok Bah tak minta mayat nenek bawa balik?”

“Amir, waktu tu, ada satu stadium penuh dengan mayat yang kepala entah ke mana, badan entah ke mana dan akhirnya dibakar. Macam mana Tok Bah nak cari? Tapi Tok Bah tak kisah, nenek dah capai cita-cita dia dan Tok Bah gembira. Tok Bah tahu dah tak lama masa yang tinggal untuk Tok Bah jumpa dengan nenek kamu.” Tok Bah senyum dan memandang langit biru sambil bibir basah bertasbih memuji Allah Yang Satu.


Pertandingan Karya Kreatif 2013 anjuran Ikatan Pelajar Islam Poland

Pertandingan Karya Kreatif 2013: Cantiknya!


“Subhanallah, cantiknya bulan dan bintang malam ni!” Itulah kata-kata yang terkeluar
daripada mulut tatkala kaki sedang melangkah pulang ke rumah setelah usai kelas pada hari itu.
Dek kerana kekaguman tahap maksimum, sambil berjalan, kepala ini terus-menerus mendongak
ke atas melihat dada langit yang gelap. Ya, gelap, namun kegelapan itu dihiasi dengan cahaya
 bulan dan bintang yang sangat indah sehingga membuatkan mata ini seolah-olah tidak mahu
berkelip langsung kerana terpegun dengan kecantikan alam ciptaan Tuhan itu. Jauh di sudut hati,
mahu sahaja diri ini terbang ke langit supaya dapat melihat bintang-bintang itu dengan lebih
dekat. Begitulah minda ini cuba memperdaya diri dengan sesuatu yang mustahil.

          “Ya Allah, kalaulah dunia ini dah cantik sebegini, inikan pula syurgaMu.” Dunia yang
indah ini sedikit sebanyak telah menjadi sumber inspirasi untuk mengejar syurga Allah. Benar,
dunia itu indah. Ini adalah satu kenyataan tetapi kerana keindahan itu jugalah ramai manusia
yang telah hanyut dan terleka. Oh, alangkah ruginya.

         “Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka Jahanam banyak dari jin dan manusia yang
mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahaminya dengannya (ayat-ayat Allah) dan yang
mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (keesaan Allah) dan yang mempunyai
telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti
binatang ternak , bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai “ 7:179

       Keesokan harinya, pagi itu dimulakan dengan rutin biasa seorang pelajar medic yang sedang
kalut mempersiapkan diri untuk ke kelas. Tatkala kaki mahu melangkah keluar, tiba-tiba mata
jadi terpaku melihat butir-butir halus berwarna putih turun ke tanah.

      “Ya Allah, salji turun! Bukankah semalam suhu agak tinggi? Ini sangat menakjubkan. Dalam
masa semalaman sahaja seluruh tempat ini sudah menjadi putih.”

    “Cuaca kat Warsaw ni bukan boleh dijangka. Hari ni turun salji, esok lusa mungkin hujan atau
pun panas, tiba-tiba sahaja dia boleh berubah.” Sampuk seorang sahabat yang juga mahu ke
kelas.

       Senyuman tiba-tiba terukir di bibir. Walaupun sudah hampir tiga tahun menetap di bumi
Eropah ini, diri ini tidak pernah jemu melihat salji, sebaliknya setiap kali ia turun, akan timbul
rasa kagum di dalam hati. Perkara yang berlaku ini sesuailah dengan firman Allah SWT yang
bermaksud,
       “Sesungguhnya urusanNya apabila dia menghendaki sesuatu Dia hanya berkata kepadanya,
“Jadilah!” Maka jadilah sesuatu itu.” 36:82

        Sementara sedang menunggu bas untuk ke kelas, mata ini cuba memerhatikan sekeliling.
Dapat  kulihat berbagai jenis kelompok manusia dan sudah tentu kebanyakan daripada mereka
adalah orang tempatan Poland. Ada yang tua, ada yang muda. Ada yang nampak resah, ada juga
yang nampak tenang. Seronok melihat ragam mereka semua.

       “Ramainya lelaki kacak kat Poland ni. Tinggi-tinggi pula tu,” tiba-tiba nafsu berbisik di
dalam hati.
       “Astaghfirullahal’azim,” cepat-cepat lidah ini beristighfar. Begitu mudahnya diri ini
melakukan zina mata.
       “Dan katakanlah kepada para perempuan yang beriman, agar mereka menjaga
pandangannya, dan memelihara kemaluannya,” 24:31

       Hakikatnya, diri ini tetaplah seorang manusia biasa yang tidak pernah lari daripada
melakukan dosa, namun disebakan itulah kita digalakkan untuk bertaubat setiap hari. Bukankah
manusia yang disayangi Allah ialah mereka yang bertaubat selepas melakukan dosa?

          Fitrahnya, manusia mudah tertarik kepada sesuatu yang cantik tetapi cantik itu subjektif.
Lagipun, tidak semua yang cantik itu dapat mendatangkan kebaikan dan manfaat kepada kita.
Alam ini memang sangat indah tetapi kalau kita tak melihatnya dengan mata hati, semua itu akan
jadi sia-sia. Kebesaran Allah seolah-olah terhijab daripada pandangan kita. Tiada kamera yang
lebih canggih, unik dan hebat di dunia ini  jika dibandingkan dengan mata kita. Jadi, sepatutnya
kita pelihara dan jaga nikmat tersebut dengan sebaik-baiknya. Mari berfikir sejenak, layakkah
mata yang selalu melihat sesuatu yang tidak diredhai Tuhan, dapat masuk ke syurga dan
seterusnya melihat Allah Yang Maha Indah? 


Pertandingan Karya Kreatif 2013 anjuran Ikatan Pelajar Islam Poland

Pertandingan Karya Kreatif 2013: Asing


"Kau gila?!" Dia tersenyum bangga, seakan-akan gila itu satu pujian tinggi yang baru diterimanya.

            Sahabatnya menggeleng kepala. "Yep, kau gila.”

            Akhirnya dia lepas ketawa.

            "Jangan risau, aku masih waras. Aku cuma punya ideologi berbeza daripada orang kebanyakan.”

            Sahabatnya melepaskan dengusan kecil pula kali ini.

            "Ideologi itu untuk dunia yang maha ideal. Be realistic. Ini realiti, kawan. Jika kau mahu bermimpi, teruskan dengan ideologimu. Namun, jika kau mahu mencapai impianmu, hiduplah sambil berpijak pada bumi yang nyata.”

            Dia mengangguk, membenarkan kata-kata sahabatnya namun senyuman bangga masih tersisip di bibirnya.

            "Aku berpijak pada bumi yang nyata, aku belum melayang terawang-awangan tanpa arah tujuan. Namun aku enggan hidup sekadar menjadi kerbau yang dicucuk hidung. Aku...mahu menjadi asing,” ayat terakhir itu dilafazkanya penuh hati-hati, seolah-olah itu satu lafaz janji terhadap diri sendiri yang baru termeterai.

            "Asing? Itu ideologimu? Kau mahu dipandang pelik oleh orang kebanyakan? Kau sanggup menjadi bahan bualan manusia yang punya mulut seluas tempayan?”

            "Kau tahu kenapa kita hidup?” soalan sahabatnya sengaja dibiar tidak berjawab, malah dibalasnya semula dengan soalan.

            Sahabatnya terdiam seketika. "Khalifah? Ibadah?”

            Dia mengangguk yakin. "Tepat. Hidup kita bukan untuk memuaskan nafsu sendiri, hidup kita untuk membakar diri; berkorban harta, masa, tenaga bahkan jiwa untuk mendapat tempat dalam kehidupan yang satu lagi.”

            Kali ini sahabatnya lebih lama terdiam, cuba memahami kata-katanya. "Bukankah itu terlalu extreme? Berkorban jiwa? Ini Malaysia kawan, ini bukan Syria, bukan Palestin!”

            "Kau fikir berkorban jiwa itu hanya dengan mengangkat senjata?”

            Sahabatnya mengerut dahi. Mengangkat kening meminta penjelasan.

            "Kita ini lilin. Kita bakar diri kita, agar islam itu bercahaya, mampu menyuluh segenap penjuru dunia. Lilin itu hanya punya dirinya untuk dipertaruhkan, lilin itu perlu mempergunakan dirinya untuk memberi suluhan. Dan kita, yang tidak perlu mengangkat senjata, tidak perlu berhadapan dengan situasi antara hidup dan mati saban hari, masih juga perlu memperuntukkan diri dan jiwa kita untuk jalan ini.”

            "Dan akhirnya lilin itu cair, tanpa sebarang manfaat yang diperolehnya...?”

            "Bukan kita yang menentukan antara manfaat dan sia-sia, antara pahala dan dosa. Kita sekadar menjalankan tugas kita. Lilin itu tugasnya membakar diri dan menyuluh kegelapan. Cairnya dia, kerana sungguh-sungguhnya dia melaksankan tugasnya. Kita pula masih khusyukkah beribadah menghadap Allah? Masih bersemangatkah menyampaikan kalimah Allah sebagai seorang khalifah? Tidakkah lebih teruk kita daripada sebatang lilin, sahabatku?”

            Sahabatnya diam lagi. "Jadi? Tidak bolehkah kita menjadi khalifah dan beribadah tanpa menjadi asing? Mengapa yakin benar kau mahu menjadi asing? Bukankah lebih senang untuk kau menjalankan tanggungjawabmu apabila kau mampu masuk dan duduk bersama-sama masyarakat?”

            "Itu benar. Tapi, kau tahu tentang hadis Ghuraba'? Islam itu datangnya dalam keadaan asing, dan akan kembali asing sebagaimana permulaannya. Maka beruntunglah orang-orang yang asing itu. Aku mahu menjadi sebegitu. Walaupun aku dipandang asing, asing aku adalah kerana itulah kebenaran yang aku percaya. Benar, membina hubungan dengan masyarakat itu penting, namun gembirakah kau atas hubungan yang terbina kerana dosa ataupun dusta? Itu bukan hubungan yang akan kekal lama. Bakarlah diri kita, korbankan tenaga dan jiwa kita untuk menjadi asing. Hidup kita dari mula sememangnya bukan kita punya, kita perlu menggunakan kehidupan kita sepenuhnya untuk Dia dan agama-Nya. Bukankah itu tujuan kita terpilih untuk menetap sementara di atas muka bumi ini?”

            Sahabatnya merenung jauh merentas ruang di hadapannya. "Kita terlalu biasa dengan apa yang biasa sehingga tidak langsung terlintas dalam pemikiran kita bahawa yang asing itulah yang membawa bahagia. Terima kasih sahabatku, kau berikan aku hadiah yang sangat bermakna hari ini.”

            Dia tersenyum. "Aku ada hadiah yang kalaupun tidak lebih baik, mungkin sama baik dengan ini. Mahu?”

            Dia menghulurkan al-Quran kecilnya yang dibuka luas. Ditunjukkan satu ayat yang ditanda dengan pelekat kuning.

            "Engkau (Muhammad) tidak akan mendapatkan suatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, saling berkasih sayang dengan orang-orang yang menentang Allah dan Rasul-Nya, sekalipun orang-orang itu bapanya, anaknya, saudaranya atau keluarganya. Mereka itulah orang-orang yang dalam hatinya telah ditanamkan Allah keimanan dan Allah telah menguatkan mereka dengan pertolongan yang datand dari Dia. Lalu dimasukkan-Nya mereka ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Allah redha akan mereka dan mereka pun merasa puas terhadap (limpahan rahmat)-Nya. Merekalah golongan Allah. Ingatlah, sesungguhnya golongan Allah itulah yang beruntung.” -al-Mujaadilah (58) : 22

            "Masihkah kau rasa ideologiku itu ideologi orang gila yang sekadar mampu bermimpi namun tak akan dapat direalisasi?” Dia bertanya saat sahabatnya memulangkan tafsir al-Quran kecil itu kepadanya.

            Sahabatnya tersenyum, "Rasulullah juga digelar gila saat baginda mula-mula membawa ajaran islam kepada masyarakat Quraisy. Reaksi aku itu, reaksi biasa seorang manusia yang akan kau jumpa selagi mana kau kekal di jalan ini. Namun, yang gila dan yang asing itu juga adalah haq. Biarlah digelar gila, sedangkan Allah memanggil kita sebagai golongan-Nya.”

            Dia membalas senyuman sahabatnya itu. Lega. Fikrahnya sampai pada sahabat kesayangannya itu. Ya, selagi mana dia kekal di atas jalan ini, Allah menjanjikan fitnah dan mehnah yang pelbagai. Bukan kerana Allah menginginkan kesusahan, namun itulah cara Dia mentarbiyah golongan-Nya. Biarlah kita mati dalam keadaan kita masih bersemangat menjulang kalimah syahadatul haq; walaupun tidak dikenali di atas bumi, matinya kita memberi kesan pada dunia seisi. Walaupun nama kita mungkin bakal dilupakan, apa yang kita bawa akan tetap berterusan sehingga saat kemenangan yang sudah Dia janjikan.


Pemenang tempat pertama Pertandingan Karya Kreatif 2013 anjuran Ikatan Pelajar Islam Poland


Penulis:
Narshiela binta Saad
Pelajar tahun 4
Medical University of Lodz, Poland

Pertandingan Karya Kreatif 2013: Impian


Dia memicingkan matanya sambil menghalakan pandangannya ke arah lilin yang diletakkan di bawah meja tempat mereka bersembunyi. Sengaja diletakkan lilin di bawah meja, risau-risau lilin tersebut bakal menarik perhatian.

Telinganya seakan-akan terdengar satu bunyi. Sayup-sayup, tetapi semakin mendekat. Dia mengalih pandangan, jauh ke depan. Tetapi nyata tiada apa yang dapat dilihatnya kerana gelap malam terlalu pekat. Tanpa bintang, tanpa bulan. Yang ada hanyalah cahaya daripada lilin yang diletakkannya di bawah meja tersebut.

Tiba-tiba matanya terbuntang, nafasnya semakin laju, jantung berdegup kencang. Adrenalin menyusup laju di dalam salur darahnya, makin melajukan lagi degup jantungnya. Baru dia tersedar, bunyi itu. Bunyi itu…

***

“Kamu ni betul-betul ke Wan? Dah fikir habis? Bukan benda kecil ni”, bertalu-talu soalan emaknya menyapa telinga.
Dia hanya mampu tersenyum. Keputusan ini bukanlah satu keputusan yang dibuatnya semalaman. Malah sudah bertahun-tahun dia berusaha menyiapkan diri; menambah ilmu, meningkat daya tahan fizikal, merapatkan hubungan dengan Allah. Dan apabila dia menerima mesej email menawarkannya untuk menjejakkan kaki ke bumi barakah sebagai sukarelawan paramedik pada minggu lalu, langsung dia bersujud syukur. Tiap malamnya sepanjang minggu itu dipenuhi tahajjud dan istikharah. Tetapi sebelum membalas email tersebut, dia harus beritahu emak dahulu.

“Ya mak. Dari dulu lagi Wan dah teringin sangat nak pergi. Wan dan fikir habis dah. Istikharah pun dah. Tinggal nak minta restu mak dengan pak je. Lagi pun kejap je mak. Dua minggu je lebih kurang”, jawabnya. Ya, memang itulah impiannya sejak dia mula-mula ambil cakna perihal umat Islam seluruh dunia. Dia mahu tebus tahun-tahun yang telah dia bazirkan dalam kegelapan. Terus ingatannya singgah pada sepotong ayat dari surah al-Ahzab, maksudnya:
Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya ada yang menunggu giliran; dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikitpun” [33:23]

Dan dia masih menunggu gilirannya.
“Pergilah Wan, kami doakan kamu di sana nanti”.

***

“Wan, cepat! Kita kena pergi”.

Dia tersentak daripada ingatannya terhadap perbualan bersama emaknya bulan lalu. “Kenapa?” tanyanya.
“Diorang naik gila. Kem sebelah dah kena serang. Nanti kita pula tu”, jelasnya sahabatnya, Hafiz, yang turut menyertai rombongan sukarelawan itu.
“Serang? Tapi…”
“Pagi tadi diorang dah bom sebelah hotel wartawan tu. Habis tak ada letrik, line putus. Licik diorang. Dah sekarang ni tak ada cerita boleh keluar. Kita pergi ikut jalan belakang sana. Kita tak boleh naik ambulans, nanti jadi target”.
“Ni barang-barang nak bawa tak?” Tanya Wan, merujuk kepada bekalan ubat-ubatan dan alatan kecemasan.
“Bawa, bawa. Kita selamatkan sebanyak mungkin. Dah reda sikit kita try pergi kem sebelah. Kalau kita tinggal pun habis dia bakar je nanti”

Mereka menyusur di sebalik blok-blok batu sisa runtuhan bangunan yang hancur semasa serangan yang lalu, masih belum berpeluang dibina semula. Mereka terus berjalan, entah berapa lama, entah berapa jauh, sehingga mereka terjumpa sebuah bangunan tinggalan yang agak tertutup. Mereka berhenti dan mengambil keputusan untuk bermalam di situ.

“Kalau gelap sangat nanti, kita pasang lilin je. Letak bawah meja. Jangan sampai diorang nampak. Esok, inshaAllah kita cari jalan pergi kem 5”, kata Hafiz.

***

“Waann! Jagaaa!”

Dia menoleh ke arah sumber suara tersebut, mencari rakannya itu. Namun tanpa sempat dia berbuat apa-apa, kedengaran satu bunyi yang sangat kuat, yang tidak dia duga. Dadanya terasa sakit. Rasa sakit bagai isinya terbakar. Dia tunduk, kelihatan bajunya basah bagai disimbah cecair panas berwarna merah.

“Wan! Wan!” Makin sayup kedengaran.

Penglihatannya perlahan-lahan menjadi kabur. Cahaya dari lilin di bawah meja itu menyilaukan matanya yang makin berat untuk dibuka. Lilin itu. Semoga lilin itu mampu menerangi kegelapan masa lalunya.

‘Hafiz, mak, pak, semoga kita bertemu di JannahNya’…



Tempat ke-2 Pertandingan Karya Kreatif anjuran Ikatan Pelajar Islam Poland


Penulis:
Shahida Zahar
Pelajar Tahun 4
Medical University of Warsaw

Pertandingan Karya Kreatif 2013: Kotak Jenis Jumud


Musab, do you know what boxes are made from?”, duga Solihin pada adik kecilnya berumur 10 tahun.
Of course, cardboard”, lantas Musab menjawab tanpa berfikir panjang.
Nope, its made from corrugated  fiber”, Solihin membetulkan adiknya.
Musab seolah-olah tidak mendengar dan terus kembali pada projeknya.

Dan aku melihat dari tepi, mereka sememangnya seperti tu. Saling suka meneka dan menduga. Memberi cabaran minda pada masing-masing. Solihin baru sahaja menjangkau 14 tahun tetapi kematangannya jauh lebih dari usianya. Luas pengetahuannya juga kadang-kadang aku sendiri kagumi. Mana tidaknya, kebanyakkan rancangan yang ditonton pada saluran Discovery, National Geography dan juga History. Dia bukan seperti anak-anak muda lain yang masih terbuai dalam kotak fikiran ala-ala kebudakkan. Fikirannya terlalu cergas untuk semua itu. Idea-idea dan informasi penting yang dia jumpai akan setia dia tulis dalam buku catatan peribadinya.

Pernah kami tanya padanya cita-citanya, sungguh terkejut kami sekeluarga akan jawapannya. Begitu yakin dia menjawap yang dia ingin menjadi seorang ulama atau menjadi orang yang akan memimpin manusia. Secara jujurnya, ayah kami, ketua keluarga kami bukanlah seorang yang terlalu alim. Malah, boleh dikatakan begitu beza dari Solihin sendiri. Solihin penyabar orangnya, tidak cepat marah, tidak cepat melatah. Ayah kami, panas barannya Tuhan saja yang tahu, mulutnya susah dikawal, jiwanya bebas, hati tuanya sudah berkarat. Bukanlah kami tidak sayangi ayah kami cuma lidahnya sudah lama tidak melafazkan bacaan Quran, sudah lama dia lupa akan huruf-hurufnya. Walaubagaimanapun, solatnya dijaga. Makan minum kami dan segala kelengkapan cukup sempurna disediakan olehnya.  Ajaran agama tetap disediakan dengan baik, Solihin dan Musab sendiri bersekolah agama khas yang bertutur dalam bahasa Inggeris.

Luar makin suram, dan matahari makin menghilangkan sinarnya. Ayah kami masih di hospital. Selalu saja ayah dimasukkan dalam wad. Macam-macam sakitnya, risau serta jemu bercampur. Risau akan kesihatannya, jemu kerana dia sentiasa tiada dirumah.

Ayah dan Solihin sungguh dekat dihatiku. Aku lihat pada Solihin, harapan aku melangit, sejuk hati melihat generasi muda semakin aktif dalam agamanya. Dan ketika aku melihat pada ayahku, hatiku hiba melihat generasi dahulu, sungguh alpa pada agamanya. Sudah  kami pujuknya, sudah kami nasihatkannya, tapi susah ayah kami untuk menerima perubahan. Baginya agama ini hanya terbatas pada yg rukun, pada syahadah yang pernah dilafaznya, pada solat yang dilaksanakannya, pada haji yang telah dibuatnya, pada puasa yang sentiasa ditunaikan, pada zakat yang dikeluarkannya.

Begitulah acuan Islam ala-ala barat yang ditanamkan di fikirannya. Hilang hati dan pati seorang lelaki berjiwa besar lagi berani. Hilang potensi satu generasi yang tentunya hebat. Ayah kami bukan calang-calang orang, pelajaran hebat, ilmunya luas, tapi sayang asas dan jati seorang muslim pembangkit ummah hilang. Licik sungguh penjajah barat, harapkan rupa saja putih tapi hati gelap seperti gelapnya malam.
“Sekali-kali tidak, apa yang telah mereka lakukan telah menutup hati mereka” (mutoffifin:14)

Sungguh aku kagum bagaimana Allah mencampakkan iman dan hidayah itu pada siapa-siapa yang dia kehendaki. Ayah tidak memahami kehendak dan motivasi Solihin, jauh sekali mengajarnya. Allahu Nur, Allahlah cahaya yang menghidupkan hati sesiapa yang dia kehendaki, dan sungguh iman itu tidak diwarisi oleh seorang ayah yang bertakwa.

Walau demikian, jauh di sudut hati ayah, aku tahu, ayah terlalu harapkan pada Solihin. Harapkan doanya ketika dia pergi meninggalkan kita, harapkan kebaikan pada diri Solihin, menjadi satu jariah buatnya. Mungkin ayah fikirkan nasibnya di alam kubur nanti. Sanggup dia membiayai apa sahaja keperluan untuk pemantapan ilmu agamanya anaknya.

Dan aku pohon padaMu ya Allah,
“dan ampunilah ayahku”. Teringat aku pada doa Nabi Ibrahim ini. (As-Syu’ara:86)

Deringan telefon menghentikan lamunanku. Terdengar suara Solihin sedikit cemas di talian.
Sejurus kemudian, Solihin mengajak kami ke hospital menjenguk keadaan ayah.
“Ya, Allah ampunilah kami sekeluarga. Sungguh aku ingin bersama mereka di syurga.”
                 
                                                                               *
Bukalah kotak fikiran kita wahai ummah. Hilangkan kejumudan warisan tradisi, Bangkitlah wahai ummah, seperti bangkitnya mentari setelah subuh menjelma, bangkitlah dengan penuh kefahaman dan hikmah.



Tempat ke-3, Pertandingan Karya Kreatif anjuran Ikatan Pelajar Islam Poland

Feb 20, 2013

CERPEN : Masihkah ada ruang untukku?



Matanya merah dek tangisan yang sejak tadi enggan berhenti. Dadanya terasa sesak, seolah-seolah seluruh masalah dunia diletakkan ke atas pundaknya. Walaupun cuba dikawal hati yang terasa sakit, namun dia kalah. Matanya bertakung lagi dengan mutiara-mutiara jernih sambil ditemani bantal yang ditekup ke muka, risau rakan-rakan serumah sedar akan keadaannya.

Allah. Kalimat itu diulang berkali-kali. Hatinya sebu lagi. Mengapa nama itu hanya diingatinya saat kesusahan datang menjengah? Di mana nama itu saat kesenangan menerpa? Dia malu sendiri. Namun, semakin malu semakin mahu dia mendekati Tuhannya. Kalimat itu diulang lagi. Allah. Allah. Allah. Dan ketika itulah telefon bimbitnya berbunyi.

Ahh. Dalam tangis terukir juga senyuman kecil di bibirnya. Sahabatnya. Seolah-olah sahabat itu tahu keadaannya. Dia sedar sendiri. Apa-apa saja mungkin pada Allah. Tanpa sebarang bentuk interaksi sekalipun, jika Allah mahu menghubungkan, pertalian itu tetap akan terjalin. Sahabat itu berada beribu-ribu batu jauhnya dari dia. Suara sahabatnya itu pun sudah berbulan tidak didengari, sekadar instant messages yang menjadi penghubung antara mereka.

Namun, sahabatnya itu seakan dapat merasa apa yang sedang dialaminya saat ini. Tanpa sebarang penjelasan, sahabat itu seolah-olah memahami derita yang dibendungnya. Baris demi baris ayat berbaur semangat diberikan kepadanya. Keikhlasan sahabatnya yang ingin dia kembali menjadi dia yang riang seperti dulu dapat dirasa. Sayang sahabatnya yang benar-benar menginginkan yang terbaik untuknya turut dapat dirasainya. Sungguh, saat itu hanya Allah yang tahu betapa dia bersyukur dikurniakan sahabat seperti itu.

Telefon bimbitnya berbunyi lagi. Lantas butang baca ditekan. Dan dia terpana dengan mesej terbaru dari sahabatnya itu. Dia jadi malu sendiri. Malu, yang membangkitkan semangat. Malu, yang membuatkan dia tersengih pula kali ini. Nah, teguran demi teguran Allah beri untuknya hari ini! Mahu terus membiarkan diri tersungkur, atau mahu bangkit menyahut cabaran yang mendatang?

Siapa dia untuk terus merenung nasib, mempersoalkan satu demi satu ketetapan Allah ke atasnya? Dia bukan siapa-siapa. Dia bukan pejuang hebat di Palestin yang saban hari memburu syahid. Dia bukan juga hafiz yang menghafaz al-Quran dari al-Fatihah sehingga ke an-Naas. Di mata manusia, dia mungkin bukan siapa-siapa. Namun, di mata Allah, dia masih ada masa untuk mengubah itu semua.

"Sahabatku, jika kenyataan bahawa engkau masih mampu bernafas menghirup udara Allah saat ini tanpa sebarang kesukaran tidak dapat menggembirakan engkau, aku tidak tahu apa lagi yang boleh membuatkan kau kembali riang. Sekurang-kurangnya, kita masih hidup, masih punya kesempatan untuk meraih cinta dan taubat-Nya, bukan?"

Siapa kata manusia hanya perlu menunggu takdir datang menyapa? Takdir itu letaknya di hujung usaha manusia. Apa guna duduk menongkat dagu jika sekadar mahu menyalahkan takdir satu persatu? Apa guna menangis berbaldi-baldi jika saat susah baru Tuhan diingati? Kita masih punya kesempatan, selagi nyawa masih dikandung badan. Setialah sehingga ke hujung nyawa pada setiap perintah-Nya. Biar mati menghirup haruman dari syurga, jangan pula di kubur merintih mahu pulang ke dunia.




Penulis:

Narshiela Saad.
Pelajar perubatan tahun ke empat
Medical University of Lodz

Dec 8, 2012

Kisah ini tentang aku





“ Kisah ini tentang aku, aku dan aku. Dalam hidup ini, akulah tujuan hidup aku. Sekarang, aku bahagia dengan hidup aku yang bermatlamatkan aku ini. Apa yang aku buat, apa yang aku lakukan, aku akan pastikan, aku puas hati, gembira dan rasa bangga. Sekali lagi, diri aku yang penting. HAHAHAHA!!!”

Tersenyum. Gadis itu tersenyum. Dia teringat akan kisah hidupnya yang bermatlamatkan diri sendirinya itu. Sejak kecil, dia dimanjai, dibelai oleh ibu bapanya. Segala kemahuannya, segala permintaannya dituruti. Tidak pernah di bangkang, tidak pernah dikecewakan, apatah lagi dengan kemewahan yang dilimpahi bertali arus bagai sungai yang mengalir. “Astaghfirullah, ampunkan aku Ya Allah”,bermonolog gadis itu sendirian.Setitis air mengalir dari kelopak matanya.

Teringat suatu ketika, saat yang mengubah hidupnya. Peristiwa itu berlaku baru sahaja setahun yang lalu. Ada seorang insan, Maisarah hadir dalam hidupnya. Baginya, gadis itu pelik. Sangat pelik. Bukan kerana pakaiannya yang bertudung labuh, bertutup litup yang bagi pemikirannya, “Kolot sangat la Maisarah tu!”, tapi kerana gadis itu tidak pernah berputus asa mendekatinya. Rakan-rakan lain tiada seorang pun yang mendekatinya kerana dek perangai ‘puteri’nya yang pantang dengan perkataan ‘tidak’,’tak boleh’,’tak sengaja’. Oh,pantang sekali didengari, pasti dimaki hamunnya dihadapan sesiapa pun.
Maisarah itu pun sudah berapa kali dimarahinya. Tetapi Maisarah itu tidak pernah menjauhi tetapi malah terus mendekati. Tidak berputus asa sama sekali. Disebabkan kesungguhan Maisarah itu, timbul perasaan ingin menguji gadis bertubung labuh ini. Mungkin selepas ini, Maisarah akan menjauhi. Tiada lagi kelibat yang menyesakkan diri!

Saatnya tiba. Gadis itu menunggu di sebelah pintu masuk dewan kuliah , bersedia untuk meletakkan sebelah kakinya dihadapan  Maisarah supaya  Maisarah terjatuh. Tidak cukup lagi, sebelum itu akan sengaja ditumpahkan bubur kacang di atas lantai pintu masuk itu. Rancangannya, Maisarah akan tersadung lalu terjatuh di atas bubur kacang itu. Pasti muka Maisarah ‘tertepek’ dengan bubur kacang itu dan akan membuat semua pelajar tertawa. Senyuman sinis terukir.

Rancangan bermula. Maisarah tersadung, rancangannya berjaya! Namun, tanpa diduga, Maisarah berpaut padanya saat mahu terjatuh dan kedu-duanya jatuh di atas lantai yang beralaskan bubur kacang itu. Habis muka dan baju mereka. Semua pelajar yang berada di dalam dewan terdiam seketika, namun disambung dengan gelak tawa oleh pelajar lelaki. Gadis itu malu! Malu yang teramat! Rancangannya gagal dan dipendam rasa dendam pada Maisarah. “Tak guna punya Maisarah!! Jatuhlah sendiri, nak berpaut pada aku konon. Sengaja la tu!”, jeritnya marah,geram yang teramat sangat.

Lantas gadis itu berlalu ke bilik Maisarah. Disepahkan, dicarikkan, di teraburkan seluruh barangan di bilik Maisarah. Dilemparkan buku-buku Maisarah. Dipecahkan segala botol kaca hiasan di bilik Maisarah. Dikoyaknya cadar Maisarah. Digapainya kotak-kotak di atas almari, dibuka, disepahkan segalanya. Gadia itu masih dihantui perasaan amarah dendamnya. Sampai satu ketika, tangannya cuba untuk menggapai sebuah kotak kecil yang berada di atas hujung almari. Diambilnya kerusi, lalu dipanjat untuk mencapai kotak kecil berwarna merah jambu itu. “Tak akan aku biarkan sedikit pun barangmu Maisarah berada di tempat asalnya!”, kata gadis itu dengan mimik muka sinis.

Ahah! Akhirnya, berjaya dicapai. Lalu dihempaskan ke lantai. Kotak tersebut terbuka dan terkeluar sebuah buku yang juga dibalut rapi berwarna merah jambu. Ditampal sebuah nota di atas buku tersebut, “Untuk sahabatku,Umairah Selamat Hari Jadi Sahabatku, Umairah. Bukalah dan bacalah. Kau akan ketemu cinta sejati yang abadi. Daripada Maisarah yang sentiasa menyayangimu”.

Sebelum sempat gadis itu mahu membuka helaian buku itu, Maisarah tiba biliknya. Akibat terlalu terkejut dengan keadaan bilinya, Maisarah pengsan. Kebetulan ketika itu, rakan bilik Maisarah, Alia sampai. “Maisarah!!”, jerit Alia. Alia terus memanggil rakan-rakan yang berdekatan untuk membantunya memikul Maisarah.  Seketika, terdengar bunyi ambulans. Gadis itu pun menjengah keluar tingkap, dilihat Maisarah diusung ke dalam ambulans dan dibawa pergi. Terukir senyuman sinis dibibirnya. Tiada rasa bersalah sedikit pun. Puas, terasa sangat puas. Dendamnya terhadap Maisarah terlerai. Lalu gadis itu berlalu ke biliknya sambil membawa buku merah jambu tersebut. Dia pun terlena seketika.

Malam yang hening dan sunyi. Gadis itu terbangun. Entah kenapa, terus teringat akan buku merah jambu Maisarah itu. Buku itu terus dibuka dan ayat pertama yang dibaca, “Dan kembalilah kamu kepada TuhanMu dan berserah dirilah kepadaNya sebelum datang azab kepadamu,kemudian kamu tidak dapat ditolong”.Hatinya sentap. Tanpa disedari, air matanya mengalir. Sambil itu, hatinya dibasahi perasaan takut ,sedih, sakit, sesal. Sesal dengan segala perbuatannya selama ini. Jauh, segalanya jauh daripada Tuhan. Bukan seperti yang dinyatakan di dalam ayat tadi. Berbisa sekali, dirinya tertampar.

Barulah kini dia sedar bahawa buku berwarna merah jambu itu sebenarnya adalah Al-Quran. Tidak pernah sebelum ini dia memegangnya apatah lagi membacanya. Hanya diletakkan di atas almari tinggi dipenjuru bilik dirumahnya. Entah apa yang terjadi dengan Al-Quran itu, dia tidak pernah ambil peduli. Digunakan sekadar untuk menjadi pelindung di rumah daripada dimasuki hantu. Itulah kata ibu bapanya mengapa perlu Al- Quran di dalam biliknya.

Tiba-tiba, gadis itu terus teringatkan Maisarah. Dia terus berlalu ke bilik Maisarah. Tiada sesiapa di situ dan gadis itu terus menghubungi Alia untuk mendapatkan kepastian tentang keadaan Maisarah. Namun tidak diangkat. Berkali-kali dicuba. Gagal. Tidak lama kemudian, satu SMS dikirim oleh Alia yang tertulis, “Assalamualaikum, Umairah. Aku tidak dapat menjawab panggilanmu kerana aku terlalu sebak. Terlalu sebak kerana Maisarah sudah pergi. Dia menghidap penyakit lemah jantung. Kali ini, dia tidak dapat bertahan. Dia berpesan suruh aku katakana padamu, dia menyayangimu dan memaafkanmu dunia dan akhirat”. Umairah terasa lemah, daripada berdiri, terduduknya terkulai layu di atas lantai. Menangis dan terus menangis. Menyesal, teramat menyesal. Jiwanya meronta, tidak dapat dikawal lagi. Di tangannya tergengam erat Al-Quran merah jambu pemberian Maisarah untuknya.

“Umairah!”,sapa Alia. Terkejut gadis itu. Tersedar daripada lamunannya yang dalam itu. “Kenapa kau menangis?”,tanya Alia sambil terus menggemgam tangan Umairah. “Aku teringat saat aku bersama Maisarah.Teruknya aku sampai menyebabkan Maisarah meninggal dunia.Sampai sekarang perasaan menyesal itu masih belum hilang”. “Umairah, hidayah Allah itu milik Allah. Dia memberikan hidayahNya kepadamu melalui peristiwamu bersama Maisarah. Hargai hidayah itu. Suburkannya dalam jiwamu. Maisarah redha dengan takdirnya disambut Ilahi ketika itu. Dia tidak sedikitpun menyalahkanmu. Tabahkanlah hatimu wahai sahabat. Sesungguhnya Allah menyayangi kita semua”,pujuk Alia. Alia menarik tangan Umairah sambil berkata, “Mari, kita baca ayat-ayat cintaNya. Dengan mengingatiNya hati kita pasti akan menjadi tenang. Dia tidak pernah memungkiri janji”. Umairah tersenyum dan menyambut ajakan Alia. Di tangannya tergengam erat sebuah buku merah jambu bernama Al-quran.

Teringat akan nota Maisarah, , “Untuk sahabatku,Umairah.Selamat Hari Jadi Sahabatku, Umairah. Bukalah dan bacalah. Kau akan ketemu cinta sejati yang abadi. Daripada Maisarah yang sentiasa menyayangimu”.Alhamdulillah, kini Umairah sudah memahami isi nota Maisarah itu. Cinta sejati, cinta yang abadi itu adalah cinta antaranya dan Ilahi. Semoga kita akan ketemu lagi Maisarah di syurga nan abadi.






Tamat.

Penulis:

Cahaya (nama pena)
Pelajar perubatan tahun 4