Dia
memicingkan matanya sambil menghalakan pandangannya ke arah lilin yang diletakkan
di bawah meja tempat mereka bersembunyi. Sengaja diletakkan lilin di bawah
meja, risau-risau lilin tersebut bakal menarik perhatian.
Telinganya
seakan-akan terdengar satu bunyi. Sayup-sayup, tetapi semakin mendekat. Dia
mengalih pandangan, jauh ke depan. Tetapi nyata tiada apa yang dapat dilihatnya
kerana gelap malam terlalu pekat. Tanpa bintang, tanpa bulan. Yang ada hanyalah
cahaya daripada lilin yang diletakkannya di bawah meja tersebut.
Tiba-tiba
matanya terbuntang, nafasnya semakin laju, jantung berdegup kencang. Adrenalin
menyusup laju di dalam salur darahnya, makin melajukan lagi degup jantungnya.
Baru dia tersedar, bunyi itu. Bunyi itu…
***
“Kamu
ni betul-betul ke Wan? Dah fikir habis? Bukan benda kecil ni”, bertalu-talu soalan
emaknya menyapa telinga.
Dia
hanya mampu tersenyum. Keputusan ini bukanlah satu keputusan yang dibuatnya
semalaman. Malah sudah bertahun-tahun dia berusaha menyiapkan diri; menambah ilmu,
meningkat daya tahan fizikal, merapatkan hubungan dengan Allah. Dan apabila dia
menerima mesej email menawarkannya untuk menjejakkan kaki ke bumi barakah
sebagai sukarelawan paramedik pada minggu lalu, langsung dia bersujud syukur.
Tiap malamnya sepanjang minggu itu dipenuhi tahajjud dan istikharah. Tetapi
sebelum membalas email tersebut, dia harus beritahu emak dahulu.
“Ya
mak. Dari dulu lagi Wan dah teringin sangat nak pergi. Wan dan fikir habis dah.
Istikharah pun dah. Tinggal nak minta restu mak dengan pak je. Lagi pun kejap
je mak. Dua minggu je lebih kurang”, jawabnya. Ya, memang itulah impiannya
sejak dia mula-mula ambil cakna perihal umat Islam seluruh dunia. Dia mahu
tebus tahun-tahun yang telah dia bazirkan dalam kegelapan. Terus ingatannya singgah
pada sepotong ayat dari surah al-Ahzab, maksudnya:
“Di antara orang-orang yang beriman itu, ada
yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk
berjuang membela Islam); maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan
janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya ada yang menunggu giliran;
dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikitpun”
[33:23]
Dan
dia masih menunggu gilirannya.
“Pergilah
Wan, kami doakan kamu di sana nanti”.
***
“Wan,
cepat! Kita kena pergi”.
Dia
tersentak daripada ingatannya terhadap perbualan bersama emaknya bulan lalu.
“Kenapa?” tanyanya.
“Diorang
naik gila. Kem sebelah dah kena serang. Nanti kita pula tu”, jelasnya
sahabatnya, Hafiz, yang turut menyertai rombongan sukarelawan itu.
“Serang?
Tapi…”
“Pagi
tadi diorang dah bom sebelah hotel wartawan tu. Habis tak ada letrik, line
putus. Licik diorang. Dah sekarang ni tak ada cerita boleh keluar. Kita pergi
ikut jalan belakang sana. Kita tak boleh naik ambulans, nanti jadi target”.
“Ni
barang-barang nak bawa tak?” Tanya Wan, merujuk kepada bekalan ubat-ubatan dan
alatan kecemasan.
“Bawa,
bawa. Kita selamatkan sebanyak mungkin. Dah reda sikit kita try pergi kem
sebelah. Kalau kita tinggal pun habis dia bakar je nanti”
Mereka
menyusur di sebalik blok-blok batu sisa runtuhan bangunan yang hancur semasa
serangan yang lalu, masih belum berpeluang dibina semula. Mereka terus
berjalan, entah berapa lama, entah berapa jauh, sehingga mereka terjumpa sebuah
bangunan tinggalan yang agak tertutup. Mereka berhenti dan mengambil keputusan
untuk bermalam di situ.
“Kalau
gelap sangat nanti, kita pasang lilin je. Letak bawah meja. Jangan sampai
diorang nampak. Esok, inshaAllah kita cari jalan pergi kem 5”, kata Hafiz.
***
“Waann!
Jagaaa!”
Dia
menoleh ke arah sumber suara tersebut, mencari rakannya itu. Namun tanpa sempat
dia berbuat apa-apa, kedengaran satu bunyi yang sangat kuat, yang tidak dia
duga. Dadanya terasa sakit. Rasa sakit bagai isinya terbakar. Dia tunduk,
kelihatan bajunya basah bagai disimbah cecair panas berwarna merah.
“Wan!
Wan!” Makin sayup kedengaran.
Penglihatannya
perlahan-lahan menjadi kabur. Cahaya dari lilin di bawah meja itu menyilaukan
matanya yang makin berat untuk dibuka. Lilin itu. Semoga lilin itu mampu
menerangi kegelapan masa lalunya.
‘Hafiz,
mak, pak, semoga kita bertemu di JannahNya’…
Tempat ke-2 Pertandingan Karya Kreatif anjuran Ikatan Pelajar Islam Poland
Penulis:
Shahida Zahar
Pelajar Tahun 4
Medical University of Warsaw
No comments:
Post a Comment