“Tok bah , Amir
bawakkan air teh. Tok bah nak apa-apa lagi?” tanya Amir. Tok bah lipat surat.
Tok bah pandang Amir. Tok Bah senyum. “Tak apa. Dah cukup. Amir duduk sekejap”.
Amir duduk tanpa banyak tanya. “Macam mana persiapan semua? Dah cukup ke?” Tok
bah tanya.
“Tok bah ni buat
suspen jer lah. Ingat apalah tadi. Alhamdulillah, semua beres.” Tok bah angguk,
senyum. Amir pandang surat lusuh yang Tok bah pegang. Ada perasaan ingin tahu,
tapi takut untuk bertanya.
Tok bah senyum.
“Ni arwah nenek kamu punya”. Amir angkat kening. “Bukan nenek kamu yang ini.
Isteri pertama Tok Bah. Cahaya hidup Tok Bah”. Tok Bah tatap surat bagaikan ada
gambar arwah nenek atas surat itu. Amir diam. Memberi laluan untuk Tok Bah
bercerita.
NAZIM menjauhkan muka.
Ngeri dia melihat ada jarum yang menjahit luka di tangannya. Tapi tidak pula
dia merasa sakit. Lagi sakit penderitaan yang dia lalui setahun ini jika hendak
dibandingkan dengan luka sepanjang 10 cm di lengan. ‘Allah! Apakah hikmah
disebalik semua ini?’
“Macam mana boleh
jadi macam ni? Nak kata jatuh, macam mustahil sangat ni,” seorang doktor wanita
memulakan perbualan. Ada tag nama berwarna hitam di kot putih yang disarungnya.
DR SHAHIRA. Nazim diam. Tiada hati untuk berbual. “Tak apa. Jangan risau. Saya
akan cuba untuk tidak meninggalkan parut. Setiap apa yang terjadi ada
hikmahnya.” Doktor perempuan itu tetap sabar.
“Doktor Islam,
kan? Saya nak tanya, apa yang Allah nak
tunjukkan dengan musibah yang bertubi-tubi Dia bagi kat mualaf macam saya? Apa
salah saya? Bukan setiap mualaf yang masuk Islam bagaikan bayi yang baru lahir
ke? Yang suci tanpa dosa? Kenapa saya terima ujian macam saya dihukum dengan
dosa saya sebelum saya masuk Islam?” Nazim melepaskan geram.
Bukan dia
sengaja untuk melepaskan geram sebegitu rupa apatah lagi kepada orang yang dia
tidak kenal, tapi dia terlalu ‘lemas’dalam setahun ini. Bukan saja dengan
tentangan dari ahli keluarga yang dia terima, tapi dari pemulauan dari orang
Islam itu sendiri. Sudahlah syarikatnya sedang porak-peranda, keretanya baru
sahaja ditunda dan sekarang dia berada di hospital dengan jahitan di lengan
gara-gara mempertahankan dompetnya disamun oleh penyamun.
Doktor perempuan
itu memandangnya dengan senyuman. “Bergembiralah, Allah sedang menguji hamba
yang Dia sayang. Rasanya, Rasulullah tu jadi kekasih Allah kerana apa? Kerana
Nabi insan terpilih? Bukan. Nabi jadi kekasih Allah sebab Nabi lah paling
banyak terima ujian waktu nak sebarkan Islam dulu.”
“Doktor cakap,
senang la. Doktor mungkin ada keluarga, kawan nak sokong doktor. Saya ada
siapa? Ada keluarga, keluarga tak mengaku. Ada syarikat, dah nak lingkup. Nak
cari isteri, siapa yang nak kahwin dengan orang yang tak ada duit macam saya
ni?”
“Kalau hati
encik Nizam betul-betul ikhlas mengharapkan perempuan itu jadi isteri encik,
dengan izin Allah,saya yakin, dia tidak akan menolak.”
“Kalau saya
tanya doktor nak kahwin dengan saya, doktor nak ke? Mulut yang cakap memanglah
senang!” Doktor Shahira masih tidak lekang dari senyuman. “Sudah siap. Kalau
ada apa-apa soalan, boleh tanya nurse.” Doktor Shahira bergerak ke arah muka
pintu.
“Macam yang saya
cakap tadi, kalau encik Nizam ikhlas, InsyaAllah, tiada siapa yang akan tolak.
Assalamualaikum.” Pintu ditutup. Nizam bingung. ‘Apakah aku salah dengar?’
“SO, tok bah kahwin
lah dengan doktor tu? Amir teruja mendengar cerita Tok bah. Tok bah hanya
senyum dan mengangguk.
“Arwah nenek
kamu macam lilin. Tok bah tahu dia kahwin dengan Tok bah sebab nak jaga iman
Tok bah jer, tapi dia sanggup bakar diri sendiri untuk beri cahaya kepada orang
lain. Selepas nenek kamu terima lamaran Tok bah, baru Tok bah tahu, itulah
hikmah di sebalik musibah yang Tok bah terima waktu tu.”
“Lepas tu, apa
jadi?” Amir semangat. Senyuman Tok bah jadi tawar. “Bak pepatah, sangkakan
panas sampai ke petang, rupa-rupanya hujan di tengahari”
“SEDAP?” Sha
pandang Nizam. Mengharapkan pujian. “Ni nak apa ni? Cepat cakap”. Pulang-pulang
saja, pelbagai makanan kegemarannya terhidang di atas meja. “Hehe…pandai abang
baca fikiran Sha, eh? Makan dulu sampai kenyang, nanti baru Sha cakap”. Nizam
hanya menggeleng.
“Abang, abang
ingat tak sebelum kita kahwin dulu, Sha ada minta taklik?” Nizam mengangguk
tanda mengiyakan. “Abang ingat tak apa yang Sha minta?”
“Sha ada satu
cita-cita yang Sha nak buat dan kalau tiba masa, Sha nak abang relakan walaupun
apa yang terjadi. Betul ke yang itu?” Sha angguk sambil senyum. Tawar.
“Kenapa? Sha ada
nak pergi outstation mana-mana lagi
ke? Ke tempat ni jauh sangat? Sha kan doktor. Abang faham kalau Sha nak pergi,
abang bagi. Sha pergi pun bukannya lama kan?” Air mata mula bergenang. Sha
keluarkan sepucuk surat dari poket seluarnya. Nizam ambil dengan penuh tanda
tanya.
SURAT berwarna putih
yang sudah lusuh warnanya diberikan kepada Amir. “Bukalah.” Amir buka dan
membaca isi kandungan. Selang beberapa minit, surat dilipat kembali dan
dikembalikan kepada tuannya. “Tok bah bagi nenek pergi?”. Tok bah senyum.
“Macam mana tok bah nak halang? Tok bah sudah terlanjur janji, tapi ini yang
buat Tok bah yakin dengan keputusan Tok bah”. Surat yang Tok bah pegang dari
awal perbualan kini beralih tangan.
Assalamualaikum
suami yang sangat Sha sayang,
Abang marah pada Sha
lagi ke? Sha minta maaf. Sha tahu cita-cita Sha tak membawa kebahagiaan kepada
abang dan Sha tidak berniat langsung untuk melukakan hati sesiapa. Pekahwinan
kita bukanlah sesuatu yang Sha rancangkan dari awal. Sebelum Sha jumpa abang
lagi, Sha sudah pun daftarkan diri untuk misi ni. Sha hanya mampu merancang
tapi Allah yang menentukan. Dia tentukan Sha untuk berjumpa dengan abang dan percayalah,
perkahwinan kita tidak akan pernah Sha sesali.
Setibanya surat ini di
tangan abang, Sha sudah pun berada di Beirut.Abang, dekat sini sangat
huru-hara. Sha tak takut, Sha tak penat tapi Sha sangat sedih bila dengar budak
10 tahun mengaji bila Sha potong kaki dia. Tanpa pain killer. Sha lagi sedih
bila seorang ibu cium dahi anak dia yang sudah syahid tanpa menitiskan air mata
pun dan cakap, “Ucap salam ibu untuk ayah dan abangmu.”
Dan bila tiba hari
esok, mereka akan keluar, melakukan rutin biasa, budak-budak seronok main bola.
Ceria. Macam hal semalam tidak pernah berlaku. Sha banyak belajar dari mereka.
Terutama sekali Sha belajar erti perpisahan. Berpisah dengan abang sangat susah
buat Sha, tapi satu benda yang Sha sangat berterima kasih kepada Allah adalah
Sha dapat pergi dengan ucapan selamat tinggal.Sha tak perlu memandang mayat
suami Sha dan ucapkan selamat tinggal yang tidak akan pernah bersambut.
Tapi Sha tak pernah
risau sebab Sha tahu setiap kegembiraan memerlukan pengorbanan. Ini adalah
pengorbanan Sha. Sha harap abang pun sama. Berjanjilah dengan Sha, abang akan
hidup sampai tua dan didik anak-anak abang dengan baik. Didik mereka jadi
pahlawan agama. Dan bila tiba masanya, insyaAllah kita akan bertemu di sana.
Beirut, 2 September
1982
Amir lipat
surat. “Lepas surat ni, Tok Bah tak dengar apa-apa berita dah dari nenek kamu.
Kamu tahu apa yang jadi tahun tu?” tanya Tok Bah. “Amir tahu. Ayah pernah
cerita. Tragedi Sabra dan Shatila. Tiada seorang pun dilaporkan selamat.” Amir
tunduk. “Tapi, Tok Bah tak minta mayat nenek bawa balik?”
“Amir, waktu tu,
ada satu stadium penuh dengan mayat yang kepala entah ke mana, badan entah ke
mana dan akhirnya dibakar. Macam mana Tok Bah nak cari? Tapi Tok Bah tak kisah,
nenek dah capai cita-cita dia dan Tok Bah gembira. Tok Bah tahu dah tak lama
masa yang tinggal untuk Tok Bah jumpa dengan nenek kamu.” Tok Bah senyum dan
memandang langit biru sambil bibir basah bertasbih memuji Allah Yang Satu.
Pertandingan Karya Kreatif 2013 anjuran Ikatan Pelajar Islam Poland
No comments:
Post a Comment