"Kau gila?!" Dia tersenyum bangga, seakan-akan
gila itu satu pujian tinggi yang baru diterimanya.
Sahabatnya
menggeleng kepala. "Yep, kau gila.”
Akhirnya
dia lepas ketawa.
"Jangan
risau, aku masih waras. Aku cuma punya ideologi berbeza daripada orang
kebanyakan.”
Sahabatnya
melepaskan dengusan kecil pula kali ini.
"Ideologi
itu untuk dunia yang maha ideal. Be realistic. Ini realiti, kawan. Jika
kau mahu bermimpi, teruskan dengan ideologimu. Namun, jika kau mahu mencapai
impianmu, hiduplah sambil berpijak pada bumi yang nyata.”
Dia
mengangguk, membenarkan kata-kata sahabatnya namun senyuman bangga masih
tersisip di bibirnya.
"Aku
berpijak pada bumi yang nyata, aku belum melayang terawang-awangan tanpa arah
tujuan. Namun aku enggan hidup sekadar menjadi kerbau yang dicucuk hidung.
Aku...mahu menjadi asing,” ayat terakhir itu dilafazkanya penuh hati-hati,
seolah-olah itu satu lafaz janji terhadap diri sendiri yang baru termeterai.
"Asing?
Itu ideologimu? Kau mahu dipandang pelik oleh orang kebanyakan? Kau sanggup
menjadi bahan bualan manusia yang punya mulut seluas tempayan?”
"Kau
tahu kenapa kita hidup?” soalan sahabatnya sengaja dibiar tidak berjawab, malah
dibalasnya semula dengan soalan.
Sahabatnya
terdiam seketika. "Khalifah? Ibadah?”
Dia
mengangguk yakin. "Tepat. Hidup kita bukan untuk memuaskan nafsu sendiri, hidup
kita untuk membakar diri; berkorban harta, masa, tenaga bahkan jiwa untuk
mendapat tempat dalam kehidupan yang satu lagi.”
Kali
ini sahabatnya lebih lama terdiam, cuba memahami kata-katanya. "Bukankah itu
terlalu extreme? Berkorban jiwa? Ini Malaysia kawan, ini bukan Syria,
bukan Palestin!”
"Kau
fikir berkorban jiwa itu hanya dengan mengangkat senjata?”
Sahabatnya
mengerut dahi. Mengangkat kening meminta penjelasan.
"Kita
ini lilin. Kita bakar diri kita, agar islam itu bercahaya, mampu menyuluh
segenap penjuru dunia. Lilin itu hanya punya dirinya untuk dipertaruhkan, lilin
itu perlu mempergunakan dirinya untuk memberi suluhan. Dan kita, yang tidak
perlu mengangkat senjata, tidak perlu berhadapan dengan situasi antara hidup
dan mati saban hari, masih juga perlu memperuntukkan diri dan jiwa kita untuk
jalan ini.”
"Dan
akhirnya lilin itu cair, tanpa sebarang manfaat yang diperolehnya...?”
"Bukan
kita yang menentukan antara manfaat dan sia-sia, antara pahala dan dosa. Kita
sekadar menjalankan tugas kita. Lilin itu tugasnya membakar diri dan menyuluh
kegelapan. Cairnya dia, kerana sungguh-sungguhnya dia melaksankan tugasnya.
Kita pula masih khusyukkah beribadah menghadap Allah? Masih bersemangatkah
menyampaikan kalimah Allah sebagai seorang khalifah? Tidakkah lebih teruk kita
daripada sebatang lilin, sahabatku?”
Sahabatnya
diam lagi. "Jadi? Tidak bolehkah kita menjadi khalifah dan beribadah tanpa
menjadi asing? Mengapa yakin benar kau mahu menjadi asing? Bukankah lebih
senang untuk kau menjalankan tanggungjawabmu apabila kau mampu masuk dan duduk
bersama-sama masyarakat?”
"Itu
benar. Tapi, kau tahu tentang hadis Ghuraba'? Islam itu datangnya dalam keadaan
asing, dan akan kembali asing sebagaimana permulaannya. Maka beruntunglah
orang-orang yang asing itu. Aku mahu menjadi sebegitu. Walaupun aku dipandang
asing, asing aku adalah kerana itulah kebenaran yang aku percaya. Benar,
membina hubungan dengan masyarakat itu penting, namun gembirakah kau atas
hubungan yang terbina kerana dosa ataupun dusta? Itu bukan hubungan yang akan
kekal lama. Bakarlah diri kita, korbankan tenaga dan jiwa kita untuk menjadi
asing. Hidup kita dari mula sememangnya bukan kita punya, kita perlu menggunakan
kehidupan kita sepenuhnya untuk Dia dan agama-Nya. Bukankah itu tujuan kita
terpilih untuk menetap sementara di atas muka bumi ini?”
Sahabatnya
merenung jauh merentas ruang di hadapannya. "Kita terlalu biasa dengan apa yang
biasa sehingga tidak langsung terlintas dalam pemikiran kita bahawa yang asing
itulah yang membawa bahagia. Terima kasih sahabatku, kau berikan aku hadiah
yang sangat bermakna hari ini.”
Dia
tersenyum. "Aku ada hadiah yang kalaupun tidak lebih baik, mungkin sama baik
dengan ini. Mahu?”
Dia
menghulurkan al-Quran kecilnya yang dibuka luas. Ditunjukkan satu ayat yang
ditanda dengan pelekat kuning.
"Engkau
(Muhammad) tidak akan mendapatkan suatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari
akhirat, saling berkasih sayang dengan orang-orang yang menentang Allah dan
Rasul-Nya, sekalipun orang-orang itu bapanya, anaknya, saudaranya atau
keluarganya. Mereka itulah orang-orang yang dalam hatinya telah ditanamkan
Allah keimanan dan Allah telah menguatkan mereka dengan pertolongan yang datand
dari Dia. Lalu dimasukkan-Nya mereka ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya
sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Allah redha akan mereka dan mereka pun
merasa puas terhadap (limpahan rahmat)-Nya. Merekalah golongan Allah. Ingatlah,
sesungguhnya golongan Allah itulah yang beruntung.” -al-Mujaadilah (58) : 22
"Masihkah kau rasa ideologiku itu ideologi orang gila
yang sekadar mampu bermimpi namun tak akan dapat direalisasi?” Dia bertanya
saat sahabatnya memulangkan tafsir al-Quran kecil itu kepadanya.
Sahabatnya tersenyum, "Rasulullah juga digelar gila saat
baginda mula-mula membawa ajaran islam kepada masyarakat Quraisy. Reaksi aku
itu, reaksi biasa seorang manusia yang akan kau jumpa selagi mana kau kekal di
jalan ini. Namun, yang gila dan yang asing itu juga adalah haq. Biarlah digelar
gila, sedangkan Allah memanggil kita sebagai golongan-Nya.”
Dia membalas senyuman sahabatnya itu. Lega. Fikrahnya
sampai pada sahabat kesayangannya itu. Ya, selagi mana dia kekal di atas jalan
ini, Allah menjanjikan fitnah dan mehnah yang pelbagai. Bukan kerana Allah
menginginkan kesusahan, namun itulah cara Dia mentarbiyah golongan-Nya. Biarlah
kita mati dalam keadaan kita masih bersemangat menjulang kalimah syahadatul
haq; walaupun tidak dikenali di atas bumi, matinya kita memberi kesan pada
dunia seisi. Walaupun nama kita mungkin bakal dilupakan, apa yang kita bawa
akan tetap berterusan sehingga saat kemenangan yang sudah Dia janjikan.
Pemenang tempat pertama Pertandingan Karya Kreatif 2013 anjuran Ikatan Pelajar Islam Poland
Penulis:
Narshiela binta Saad
Pelajar tahun 4
Medical University of Lodz, Poland
No comments:
Post a Comment