Mar 31, 2013

Pertandingan Karya Kreatif 2013: Cantiknya!


“Subhanallah, cantiknya bulan dan bintang malam ni!” Itulah kata-kata yang terkeluar
daripada mulut tatkala kaki sedang melangkah pulang ke rumah setelah usai kelas pada hari itu.
Dek kerana kekaguman tahap maksimum, sambil berjalan, kepala ini terus-menerus mendongak
ke atas melihat dada langit yang gelap. Ya, gelap, namun kegelapan itu dihiasi dengan cahaya
 bulan dan bintang yang sangat indah sehingga membuatkan mata ini seolah-olah tidak mahu
berkelip langsung kerana terpegun dengan kecantikan alam ciptaan Tuhan itu. Jauh di sudut hati,
mahu sahaja diri ini terbang ke langit supaya dapat melihat bintang-bintang itu dengan lebih
dekat. Begitulah minda ini cuba memperdaya diri dengan sesuatu yang mustahil.

          “Ya Allah, kalaulah dunia ini dah cantik sebegini, inikan pula syurgaMu.” Dunia yang
indah ini sedikit sebanyak telah menjadi sumber inspirasi untuk mengejar syurga Allah. Benar,
dunia itu indah. Ini adalah satu kenyataan tetapi kerana keindahan itu jugalah ramai manusia
yang telah hanyut dan terleka. Oh, alangkah ruginya.

         “Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka Jahanam banyak dari jin dan manusia yang
mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahaminya dengannya (ayat-ayat Allah) dan yang
mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (keesaan Allah) dan yang mempunyai
telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti
binatang ternak , bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai “ 7:179

       Keesokan harinya, pagi itu dimulakan dengan rutin biasa seorang pelajar medic yang sedang
kalut mempersiapkan diri untuk ke kelas. Tatkala kaki mahu melangkah keluar, tiba-tiba mata
jadi terpaku melihat butir-butir halus berwarna putih turun ke tanah.

      “Ya Allah, salji turun! Bukankah semalam suhu agak tinggi? Ini sangat menakjubkan. Dalam
masa semalaman sahaja seluruh tempat ini sudah menjadi putih.”

    “Cuaca kat Warsaw ni bukan boleh dijangka. Hari ni turun salji, esok lusa mungkin hujan atau
pun panas, tiba-tiba sahaja dia boleh berubah.” Sampuk seorang sahabat yang juga mahu ke
kelas.

       Senyuman tiba-tiba terukir di bibir. Walaupun sudah hampir tiga tahun menetap di bumi
Eropah ini, diri ini tidak pernah jemu melihat salji, sebaliknya setiap kali ia turun, akan timbul
rasa kagum di dalam hati. Perkara yang berlaku ini sesuailah dengan firman Allah SWT yang
bermaksud,
       “Sesungguhnya urusanNya apabila dia menghendaki sesuatu Dia hanya berkata kepadanya,
“Jadilah!” Maka jadilah sesuatu itu.” 36:82

        Sementara sedang menunggu bas untuk ke kelas, mata ini cuba memerhatikan sekeliling.
Dapat  kulihat berbagai jenis kelompok manusia dan sudah tentu kebanyakan daripada mereka
adalah orang tempatan Poland. Ada yang tua, ada yang muda. Ada yang nampak resah, ada juga
yang nampak tenang. Seronok melihat ragam mereka semua.

       “Ramainya lelaki kacak kat Poland ni. Tinggi-tinggi pula tu,” tiba-tiba nafsu berbisik di
dalam hati.
       “Astaghfirullahal’azim,” cepat-cepat lidah ini beristighfar. Begitu mudahnya diri ini
melakukan zina mata.
       “Dan katakanlah kepada para perempuan yang beriman, agar mereka menjaga
pandangannya, dan memelihara kemaluannya,” 24:31

       Hakikatnya, diri ini tetaplah seorang manusia biasa yang tidak pernah lari daripada
melakukan dosa, namun disebakan itulah kita digalakkan untuk bertaubat setiap hari. Bukankah
manusia yang disayangi Allah ialah mereka yang bertaubat selepas melakukan dosa?

          Fitrahnya, manusia mudah tertarik kepada sesuatu yang cantik tetapi cantik itu subjektif.
Lagipun, tidak semua yang cantik itu dapat mendatangkan kebaikan dan manfaat kepada kita.
Alam ini memang sangat indah tetapi kalau kita tak melihatnya dengan mata hati, semua itu akan
jadi sia-sia. Kebesaran Allah seolah-olah terhijab daripada pandangan kita. Tiada kamera yang
lebih canggih, unik dan hebat di dunia ini  jika dibandingkan dengan mata kita. Jadi, sepatutnya
kita pelihara dan jaga nikmat tersebut dengan sebaik-baiknya. Mari berfikir sejenak, layakkah
mata yang selalu melihat sesuatu yang tidak diredhai Tuhan, dapat masuk ke syurga dan
seterusnya melihat Allah Yang Maha Indah? 


Pertandingan Karya Kreatif 2013 anjuran Ikatan Pelajar Islam Poland

No comments:

Post a Comment