“Musab, do you know
what boxes are made from?”, duga Solihin pada adik kecilnya berumur 10 tahun.
“Of course, cardboard”,
lantas Musab menjawab tanpa berfikir panjang.
“Nope, its made from
corrugated fiber”, Solihin membetulkan adiknya.
Musab seolah-olah tidak
mendengar dan terus kembali pada projeknya.
Dan aku melihat dari
tepi, mereka sememangnya seperti tu. Saling suka meneka dan menduga. Memberi
cabaran minda pada masing-masing. Solihin baru sahaja menjangkau 14 tahun tetapi
kematangannya jauh lebih dari usianya. Luas pengetahuannya juga kadang-kadang
aku sendiri kagumi. Mana tidaknya, kebanyakkan rancangan yang ditonton pada
saluran Discovery, National Geography dan juga History. Dia bukan seperti
anak-anak muda lain yang masih terbuai dalam kotak fikiran ala-ala kebudakkan.
Fikirannya terlalu cergas untuk semua itu. Idea-idea dan informasi penting yang
dia jumpai akan setia dia tulis dalam buku catatan peribadinya.
Pernah kami tanya
padanya cita-citanya, sungguh terkejut kami sekeluarga akan jawapannya. Begitu
yakin dia menjawap yang dia ingin menjadi seorang ulama atau menjadi orang yang
akan memimpin manusia. Secara jujurnya, ayah kami, ketua keluarga kami bukanlah
seorang yang terlalu alim. Malah, boleh dikatakan begitu beza dari Solihin
sendiri. Solihin penyabar orangnya, tidak cepat marah, tidak cepat melatah.
Ayah kami, panas barannya Tuhan saja yang tahu, mulutnya susah dikawal, jiwanya
bebas, hati tuanya sudah berkarat. Bukanlah kami tidak sayangi ayah kami cuma lidahnya
sudah lama tidak melafazkan bacaan Quran, sudah lama dia lupa akan
huruf-hurufnya. Walaubagaimanapun, solatnya dijaga. Makan minum kami dan segala
kelengkapan cukup sempurna disediakan olehnya.
Ajaran agama tetap disediakan dengan baik, Solihin dan Musab sendiri
bersekolah agama khas yang bertutur dalam bahasa Inggeris.
Luar makin suram, dan
matahari makin menghilangkan sinarnya. Ayah kami masih di hospital. Selalu saja
ayah dimasukkan dalam wad. Macam-macam sakitnya, risau serta jemu bercampur.
Risau akan kesihatannya, jemu kerana dia sentiasa tiada dirumah.
Ayah dan Solihin
sungguh dekat dihatiku. Aku lihat pada Solihin, harapan aku melangit, sejuk
hati melihat generasi muda semakin aktif dalam agamanya. Dan ketika aku melihat
pada ayahku, hatiku hiba melihat generasi dahulu, sungguh alpa pada agamanya.
Sudah kami pujuknya, sudah kami
nasihatkannya, tapi susah ayah kami untuk menerima perubahan. Baginya agama ini
hanya terbatas pada yg rukun, pada syahadah yang pernah dilafaznya, pada solat
yang dilaksanakannya, pada haji yang telah dibuatnya, pada puasa yang sentiasa
ditunaikan, pada zakat yang dikeluarkannya.
Begitulah acuan Islam
ala-ala barat yang ditanamkan di fikirannya. Hilang hati dan pati seorang
lelaki berjiwa besar lagi berani. Hilang potensi satu generasi yang tentunya
hebat. Ayah kami bukan calang-calang orang, pelajaran hebat, ilmunya luas, tapi
sayang asas dan jati seorang muslim pembangkit ummah hilang. Licik sungguh
penjajah barat, harapkan rupa saja putih tapi hati gelap seperti gelapnya
malam.
“Sekali-kali tidak, apa
yang telah mereka lakukan telah menutup hati mereka” (mutoffifin:14)
Sungguh aku kagum
bagaimana Allah mencampakkan iman dan hidayah itu pada siapa-siapa yang dia
kehendaki. Ayah tidak memahami kehendak dan motivasi Solihin, jauh sekali
mengajarnya. Allahu Nur, Allahlah cahaya yang menghidupkan hati sesiapa yang
dia kehendaki, dan sungguh iman itu tidak diwarisi oleh seorang ayah yang
bertakwa.
Walau demikian, jauh di
sudut hati ayah, aku tahu, ayah terlalu harapkan pada Solihin. Harapkan doanya
ketika dia pergi meninggalkan kita, harapkan kebaikan pada diri Solihin,
menjadi satu jariah buatnya. Mungkin ayah fikirkan nasibnya di alam kubur
nanti. Sanggup dia membiayai apa sahaja keperluan untuk pemantapan ilmu agamanya
anaknya.
Dan aku pohon padaMu ya
Allah,
“dan ampunilah ayahku”.
Teringat aku pada doa Nabi Ibrahim ini. (As-Syu’ara:86)
Deringan telefon
menghentikan lamunanku. Terdengar suara Solihin sedikit cemas di talian.
Sejurus kemudian,
Solihin mengajak kami ke hospital menjenguk keadaan ayah.
“Ya, Allah ampunilah
kami sekeluarga. Sungguh aku ingin bersama mereka di syurga.”
*
Bukalah kotak fikiran
kita wahai ummah. Hilangkan kejumudan warisan tradisi, Bangkitlah wahai ummah,
seperti bangkitnya mentari setelah subuh menjelma, bangkitlah dengan penuh
kefahaman dan hikmah.
Tempat ke-3, Pertandingan Karya Kreatif anjuran Ikatan Pelajar Islam Poland
No comments:
Post a Comment