Matanya merah dek tangisan yang sejak tadi enggan berhenti.
Dadanya terasa sesak, seolah-seolah seluruh masalah dunia diletakkan ke atas
pundaknya. Walaupun cuba dikawal hati yang terasa sakit, namun dia kalah.
Matanya bertakung lagi dengan mutiara-mutiara jernih sambil ditemani bantal
yang ditekup ke muka, risau rakan-rakan serumah sedar akan keadaannya.
Allah. Kalimat itu diulang berkali-kali. Hatinya sebu lagi.
Mengapa nama itu hanya diingatinya saat kesusahan datang menjengah? Di mana
nama itu saat kesenangan menerpa? Dia malu sendiri. Namun, semakin malu semakin
mahu dia mendekati Tuhannya. Kalimat itu diulang lagi. Allah. Allah. Allah. Dan
ketika itulah telefon bimbitnya berbunyi.
Ahh. Dalam tangis terukir juga senyuman kecil di bibirnya.
Sahabatnya. Seolah-olah sahabat itu tahu keadaannya. Dia sedar sendiri. Apa-apa
saja mungkin pada Allah. Tanpa sebarang bentuk interaksi sekalipun, jika Allah
mahu menghubungkan, pertalian itu tetap akan terjalin. Sahabat itu berada
beribu-ribu batu jauhnya dari dia. Suara sahabatnya itu pun sudah berbulan
tidak didengari, sekadar instant messages yang menjadi penghubung antara
mereka.
Namun, sahabatnya itu seakan dapat merasa apa yang sedang
dialaminya saat ini. Tanpa sebarang penjelasan, sahabat itu seolah-olah memahami
derita yang dibendungnya. Baris demi baris ayat berbaur semangat diberikan
kepadanya. Keikhlasan sahabatnya yang ingin dia kembali menjadi dia yang riang
seperti dulu dapat dirasa. Sayang sahabatnya yang benar-benar menginginkan yang
terbaik untuknya turut dapat dirasainya. Sungguh, saat itu hanya Allah yang
tahu betapa dia bersyukur dikurniakan sahabat seperti itu.
Telefon bimbitnya berbunyi lagi. Lantas butang baca ditekan. Dan
dia terpana dengan mesej terbaru dari sahabatnya itu. Dia jadi malu sendiri.
Malu, yang membangkitkan semangat. Malu, yang membuatkan dia tersengih pula
kali ini. Nah, teguran demi teguran Allah beri untuknya hari ini! Mahu terus
membiarkan diri tersungkur, atau mahu bangkit menyahut cabaran yang mendatang?
Siapa dia untuk terus merenung nasib, mempersoalkan satu demi satu
ketetapan Allah ke atasnya? Dia bukan siapa-siapa. Dia bukan pejuang hebat di
Palestin yang saban hari memburu syahid. Dia bukan juga hafiz yang menghafaz
al-Quran dari al-Fatihah sehingga ke an-Naas. Di mata manusia, dia mungkin
bukan siapa-siapa. Namun, di mata Allah, dia masih ada masa untuk mengubah itu
semua.
"Sahabatku,
jika kenyataan bahawa engkau masih mampu bernafas menghirup udara Allah saat
ini tanpa sebarang kesukaran tidak dapat menggembirakan engkau, aku tidak tahu
apa lagi yang boleh membuatkan kau kembali riang. Sekurang-kurangnya, kita
masih hidup, masih punya kesempatan untuk meraih cinta dan taubat-Nya,
bukan?"
Siapa kata manusia hanya perlu menunggu takdir datang menyapa?
Takdir itu letaknya di hujung usaha manusia. Apa guna duduk menongkat dagu jika
sekadar mahu menyalahkan takdir satu persatu? Apa guna menangis berbaldi-baldi
jika saat susah baru Tuhan diingati? Kita masih punya kesempatan, selagi nyawa
masih dikandung badan. Setialah sehingga ke hujung nyawa pada setiap
perintah-Nya. Biar mati menghirup haruman dari syurga, jangan pula di kubur
merintih mahu pulang ke dunia.
Penulis:
Narshiela Saad.
Pelajar perubatan tahun ke empat
Medical University of Lodz
Narshiela Saad.
Pelajar perubatan tahun ke empat
Medical University of Lodz
No comments:
Post a Comment