Bab 4 - Iman secara terurai
Sebelum kita teruskan dengan bab yang
keempat, marilah sama-sama kita melihat kembali beberapa info penting yang
telah kita ketahui dalam bab-bab yang sebelumnya.
Pertama:
Sememangnya telah terang lagi bersuluh bahawa agama Islam itu adalah
taat akan Allah ta’ala, mematuhi segala perintah-Nya dan menjauhi segala
larangan-Nya dan jalan untuk manusia mengenal Allah dan syariat-syariat-Nya
adalah melalui Nabi-Nabi yang diutuskan oleh-Nya.
Kedua: Allah mengutuskan para nabi kepada
umat manusia di muka bumi ini mengikut ketentuannya. Islam hakikatnya adalah
hanya satu dan diturunkan kepada semua ummat manusia,namun terdapat perbezaan
dari segi pensyariatan dalam hukum dan cara ibadah sesuai dengan keadaan ummat
ketika itu.
Ketiga: Pengutusan Nabi Muhammad s.a.w
sebagai nabi terakhir adalah sebagai menyempurnakan pengajaran islam yang
diturunkan-Nya kepada seluruh ummat manusia.Tiada lagi nabi dan syariah lain
sesudah kewafatan baginda s.a.w.
Iman
akan Allah
Apakah perkara yang paling penting yang
dibawa dan cuba disampaikan oleh Nabi Muhammad s.a.w kepada ummat manusia?
Ya, betul! Kalimah LA ILAHA ILLALLAH (Tiada
tuhan melainkan Allah). Inilah yang cuba disampaikan oleh baginda s.a.w kepada
ummat manusia. Dan untuk memahami maksud kalimah ini,sudah semestinya kita
harus mengetahui apa yang diertikan dengan perkataan ‘tuhan’ itu sendiri.Tuhan
bermaksud:
- Yang berhak diibadati ( Yang kerana
kebesaran, kemuliaan-Nya dan ketinggian
darjat-Nya,patut diibadati oleh semua manusia)
-Yang pada-Nya berkumpul segala
kekuatan.Tidak berhajat kepada sesuatu,malah semua orang berharap pada-Nya
dalam seluruh kehidupan mereka.
-Yang terlindung kepada manusia. Manusia
tidak mengetahui akan Zat-Nya
Oleh itu,maksud ‘Tiada tuhan melainkan
Allah’ ialah , tiada satupun di dalam alam ini yang layak diibadati
manusia,yang patut disujudi dengan taat dan diberi pengabdian sepenuhnya
melainkan Allah. Tiada pemilik dan pengatur melainkan Allah s.w.t. Semua
makhluk berharap dan memohon pertolongan daripada-Nya, dan Zat-Nya tidak dapat
dicapai oleh pancaindera manusia yang lemah.
Hakikat
tiada tuhan melainkan Allah
Manusia itu diciptakan dengan sifat-sifat
kehambaan yang sememangnya jika kita fikirkan memang bersifat lemah dan hanya
bergantung kepada Pencipta-Nya, Allah s.w.t. Anda tak percaya?Buktinya,manusia
itu tidak dapat memastikan bahawa apa yang diingininya akan dia dapat pada
setiap masa. Mungkin terkadang dia mendapat apa yang dihajatinya,namun tidak
pada masa yang lainnya.Berlakunya sesuatu dan terhindarnya sesuatu bukanlah
dalam bidang kuasa manusia.
Dan disebabkan hal inilah, timbul perasaan
dalam diri manusia bahawa dia adalah lemah dan berharap dan berhajat kepada
sesuatu kuasa lain.
Dalam buku ini, diceritakan beberapa
peringkat kejahilan manusia dalam perjalanan mencari Penciptanya.Bermula dengan
peringkat yang begitu jahil manusia itu sedikit demi sedikit belajar dan
memperbaiki kejahilannya itu melalui petunjuk yang dikurniakan Allah kepadanya.
Pada peringkat pertama,manusia itu jahil
dan menyangka bahawa benda-benda yang dilihatnya, yang berada di sekelilingya
dapat memberikan manfaat dan mendatangkan mudarat padanya. Contohnya seperti
binatang buas, matahari, hujan ,sungai,gunung-ganang dan lain-lain lagi.Lalu,disembahnya ‘benda-benda’
tersebut.
Namun, apabila manusia itu kembali memerhatikan sifat-sifat ‘benda’ yang mereka sembah itu ,mereka
sedar bahawa ‘benda’ tersebut juga sebenarnya tidak kurang dengan sifat-sifat kehambaan.
Mereka turut tunduk dan patuh pada kuasa lain. Disini, timbullah pula dalam
fikiran manusia bahawa segala benda yang ada di alam ini sebenarnya
melaksanakan tugasnya dan berpegang kepada suatu kuasa yang mengatur dan memiliki
kekuatan.
Manusia kemudiannya mempercayai pula akan
kewujudan berbilang tuhan yang mereka sangka pada setiap tuhan itu ada
tugas-tugasnya yang tersendiri. Contohnya, tuhan angin , tuhan air, tuhan udara
dan banyak lagi. Lalu,mulalah manusia menyembah kepada tuhan-tuhan yang pelbagai
itu. Namun sekali lagi apabila melihatkan kepada betapa sempurnya pengaturan
dan ketetapan-ketetapan alam ini, manusia terpaksa mengakui bahawa tidak
mungkin akan ada tuhan yang berbeza-beza , kerana jika tidak pastilah berlaku
perselisihan antara satu sama lain antara tuhan-tuhan tersebut. Akan ada tuhan
yang mempunyai kedudukan yang lebih tinggi dan lebih penting dari tuhan yang
lain. Itu sungguh tidak masuk akal!
Lalu, mengertilah manusia bahawa hanya ada
satu tuhan yang Esa, yang menguasai dan mentadbir suluruh alam ini,yang pada
terkumpul segala kekuasaan dan kekuatan, iaitu Allah s.w.t. Itulah hakikatnya
tiada tuhan melainkan Allah s.w.t .
Kesan
Aqidah tauhid bagi kehidupan manusia
Kalimah tauhid ‘LA ILAHA ILLALLAH’(Tiada
tuhan melainkan Allah) ini, haruslah kita fahami sedalam-dalamnya dengan hati
kerana sekiranya hanya diucapkan sahaja tanpa mengetahui maknanya, ianya tidak
akan mendatangkan apa-apa kesan dalam kehidupan seseorang manusia itu.
Sekarang, mari kita sama-sama melihat
implikasi aqidah tauhid ini dalam kehidupan manusia.
-Manusia yang beriman dengan kalimah tauhid
ini,tidak akan mempunyai fikiran yang
sempit. Bahkan ia menjadi orang yang berpandangan luas dalam apa hal
sekalipun.
-Kepercayaan terhadap kalimah tauhid ini
juga membantu membina kemurnian dan
kemuliaan jiwa dalam diri manusia itu. Mana tidaknya, ‘iktikad mereka
bahawa hanya Allah s.w.t lah yang berhak disembah telah membuktikan kemurnian jiwa mereka.Segala
pergantungannya disandarkan pada Allah s.w.t dalam menentukan kehidupannya sehari-hari.Tidak
sesekali ia mengalami putus asa dan patah hati dalam setiap apa yang dilaluinya
dalam kehidupan kerana ia percaya akan ketetapan dan penyusunan-penyusunan
Allah s.w.t. Hanya perasaan tenang dan tenteram yang mengiringi hari-hari
mereka.
Seronok bukan?!
-Manusia yang mengimani kalimah ini juga tidak akan bersifat dengan sifat-sifat yang
tidak baik contohnya seperti angkuh dan takabbur. Ia takut untuk
berperasaan dan berkelakuan seperti itu kerana ia sedar akan kedudukan
kehambaannya. Hanya sifat tawadhu’ yang disemai dalam diri mereka.Allah
mengangkat darjat mereka dan menanamkan
kebaikan-kebaikan dalam diri mereka.
-Kalimah tauhid ini juga akan mendorong manusia untuk memenuhi jiwa dan
raganya dengan sifat keberanian. Manusia itu lemah keazamannya kerana dua
perkara, pertama ialah kerana kecintaannya kepada diri sendiri,harta dan
keluarga dan yang kedua ialah dek kerana ‘iktikadnya bahawa ada kuasa selain
Allah yang boleh mematikan manusia dan berkuasa menolak kematian dari dirinya
dengan sesuatu cara.
-Dan yang paling penting sekali,kalimah
tauhid ini menjadikan manusia itu terikat
kepada undang-undang Allah dan berusaha
memelihara undang-undang itu di atas muka bumi ini. Mereka tidak
akan sewenag-wenangnya melakukan sesuatu tanpa mengambil kira pandangan dan
syariat Allah.
Iman
akan malaikat
Beriman kepada malaikat adalah salah satu
perkara yang diajarkan baginda nabi Muhammad s.a.w. Bukanlah saja-saja aspek
ini ditekankan oleh nabi Muhammad s.a.w kepada kita. Kita semua sudah maklum bagaimana
orang-orang musyrikin itu menyekutukan Allah dengan makhluk-makhluk-Nya yang
lain.
Mereka menganggap malaikat-malaikat ini adalah zuriat Allah.Oleh itu,
beriman kepada malaikat,yakni percaya akan malaikat itu diajarkan baginda
kepada kita tidak lain tidak bukan adalah untuk memastikan kalimah tauhid (La
ilaha illallah) yang telah kita ‘iktikadkan itu suci dan bersih dari segala perkara syirik dan
yang sewaktu dengannya.
Siapa sebenarnya malaikat? Malaikat itu
adalah makhluk Allah yang mulia,suci daripada kesalahan dan dosa,diciptakan
untuk mengabdi,taat dan patuh kepada Allah . Mereka bersungguh-sungguh
melaksanakan perintah-Nya ,tidak sesekali mendurhakai-Nya dan tidak langsung
mempunyai kuasa meskipun terhadap diri mereka sendiri. Oleh itu,sangatlah
menghairankan apabila ada segelintir manusia yang bertindak menyembah dan
meminta pertolongan daripada malaikat walhal di awal penciptaan manusia itu
sendiri,Allah telah pun menyuruh malaikat itu bersujud kepada Adam .
Tidak banyak yang kita tahu mengenai
malaikat melainkan apa yang telah diterangkan Allah s.w.t dalam al-quran dan
dalam hadis-hadis yang ditinggalkan oleh baginda s.a.w. Namun, sebagai seorang
islam, kita disuruh untuk mengimani akan kewujudan malaikat berserta dengan
sifat-sifatnya yang kita ketahui. Dan sememangnya tiada alasan bagi seorang
muslim untuk tidak mengimani hal ini
kerana ianya dibawa dan disampaikan oleh nabi Muhammad s.a.w yang benar dan
dibenarkan.
InsyaAllah,itu sahaja buat kali ini. Moga
bermanfaat insyaAllah.
Wallahu’alam.
Penulis:
Aiman Nor Nasarudin
Pelajar Perubatan Tahun 4
Medical University of Warsaw
No comments:
Post a Comment