Alhamdulillah,setinggi-tinggi
kesyukuran kita panjatkan pada Allah swt atas segala nikmat dan kurniaannya
yang tidak terhingga pada kita . InsyaAllah, pada minggu ini kita akan
meneruskan lagi kupasan buku Asas-Asas Islam, karangan Sayyid Abu Al-Ala Al-
Mawdudi.
Fasal
Keenam : Agama dan Syariah
·
Perbezaan antara agama dan
syariah
Sepanjang perjalanan kita
menelusuri buku ini, kita disajikan dengan penerangan mengenai agama islam dan
kini insyaAllah, kita akan melihat pula pada apa itu syari’ah. Namun sebelum
itu, eloklah sekiranya kita ‘revise’ kembali apa itu agama islam.
Agama islam = Beriman akan
Zat Allah swt, akan sifat-sifatnya dan akan hari kiamat mengikut cara yang ditunjukkan
oleh para nabi, beriman pada kitab-kitab Allah dan membenarkannya, tidak
mengikuti jalan selain yang diterangkan dalam kitab-kitab Allah, mengikut
rasul-rasul Allah yang benar dan juga mengesakan Allah dan tidak
menyekutukan-Nya dengan sesuatu dalam mengibadati-Nya.
Dan ‘syariah’ pula adalah
cara-cara beribadat, asas-asas kehidupan yang bermasyarakat, undang-undang yang
mengatur perhubungan antara hamba-hamba berkenaan dengan muamalat dan
pemerintahan dan sempadan antara halal dan haram.
Sejak permulaan, semua
nabi dan rasul membawa agama yang satu iaitu islam . Namun Allah menurunkan
syari’ah-syari’ah yang berbeza pada setiap umat bagi nabi-nabi tersebut sesuai
dengan keadaan umat pada ketika itu. Perbezaan ini, tidak lain tidak bukan adalah bertujuan
untuk memelihara umat-umat tersebut
supaya senantiasa berada dalam batas-batas undang-undang Allah dalam setiap
perkara yang mereka lakukan.
Syari’ah yang diturunkan
Allah kepada nabi terakhir,nabi Muhammad saw kepada kita pula adalah sebuah
syari’ah yang sempurna , yang menerangkan cara ibadat, asas-asas kehidupan,
undang-undang, muamalat, batas-batas halal dan haram yang sesuai untuk realiti
manusia pada ketika itu sehinggalah hari kiamat nanti.
·
Perantara untuk mengenal hukum
syariah
Bagaimana kita
ingin tahu mengenai syaria’ah-syari’ah Allah yang perlu kita lakukan sepanjang
kehidupan kita di atas muka bumi ini?
Allah swt Yang
Maha Pengasih lagi Maha Penyayang tidak pernah tinggalkan kita terkapai-kapai
tanpa petunjuk-Nya, bukan? J
Oleh sebab itulah
Allah menurunkan wahyu-Nya ( al-quran) dan Rasulullah saw (sunnah). Al-quran
dan sunnah lah yang menjadi rujukan pada kita dalam mengetahui
syari’ah-syari’ah Allah. Al-quran adalah perkataan Allah manakala sunnah pula
adalah riwayat-riwayat yang datang daripada Rasulullah saw. Sesungguhnya,
Rasulullah saw itu adalah cermin kepada al-quran,keterangan dan manifestasi
al-quran. Oleh itu,segala perkataan,perbuatan Rasulullah saw semasa hidup
baginda diperhatikan sehabis baik oleh para sahabat,dan mereka menyampaikan
menyampaikan pada sahabat yang lain yang tiada pada masa itu dan mereka
catatkan dalam kitab-kitab dengan menyebutkan nama-nama perawinya. Melalui cara
inilah, kita kenal akan sunnah-sunnahnya walaupun tidak pernah bersua dengan
Rasulullah saw. Antara kitab-kitab yang
terkenal adalah yang disusun oleh Imam Al-Bukhari, Imam Muslim, Imam Malik,
Imam At-Tarmizi, Imam Abu Daud, Imam Ibnu Majah dan Imam An-Nasai
·
Fiqh
Undang-Undang yang diambi
dari hukum-hukum al-quran dan al-sunnah dikenali sebagai fiqh. Fiqh adalah
berhubungan dengan amal manusia yang zahir sahaja.
Imam-Imam besar muslimin telah menyusun
undang-undang islam ini berdasarkan al-quran dan al-sunnah secara terurai,
dalam kitab-kitab supaya dapat menjadi rujukan para muslim dalam menjalani
kehidupan mengikut garis panduan syari’ah Allah. Di awalnya, ramai ulama’ yang
menyusun kitab-kitab fiqh ini,namun yang diikuti oleh kebanyakan muslim pada masa ini adalah empat mazhab sahaja.
1-Fiqh Hanafi : Disusun
oleh Imam Abu Hanifah
2-Fiqh Maliki : Disusun
oleh Imam Malik ibn Anas ra
3-Fiqh Syafi’I : Disusun
oleh Imam Muhammad ibn idris Asy- Syafi’i
4-Fiqh Hanbali: Disusun
oleh Imam Ahmad bin Hanbal
Tidak dinafikan bahawa
terdapat beberapa perbezaan di antara mereka, namun ianya adalah perbezaan
fitriyah yang mana akan berlaku apabila beberapa orang menguraikan sesuatu
perkara dan berusaha untuk mengenal hakikat. Namun, disebabkan mereka adalah
imam-imam yang baik, benar dan wara’ , maka kaum muslimin meng’iktikadkan
kebenaran para imam ini dan mempercayainya sebagai hak.
·
Tasawwuf
Tasawwuf pula lebih kepada
sesuatu yang berkaitan dengan hati dan membahas perilakunya.
Satu contoh mudah untuk
membezakan fiqh dan juga tasawwuf.
Kita lihat dari sudut
kesempurnaan ibadah kita,dan di sini kita ambil contoh ibadah solat.
Secara fiqhnya, sempurnalah
solat seseorang itu apabila telah sempurna wuduknya, mengikut cara yang betul,
solat mengadap kiblat, menunaikan segala rukun solat dan membaca semua bacaan
yang wajib dibacanya. Namun jika dari kaca mata tasawwuf, kesempurnaan solat
itu tidak hanya perlu mempunya perkara-perkara di atas namun ditambah dengan
sejauh mana hati kita itu taat,ikhlas beribadah pada-Nya . Sejauh mana solat
itu mencegah kita dari melakukan perkara-perkara mungkar.
Fasal Ketujuh
: Hukum-Hukum Syariah
·
Asas-Asas Syariah
Manusia itu hadir
ke dunia dengan dibekalkan dengan pelbagai kelengkapan berupa kuasa-kuasa yang
mana setiap satunya menuntut untuk digunakan dengan sebaiknya.Terdapat banyak
kuasa yang dibekalkan dan salah satunya ialah kuasa untuk menjadi khalifah di
muka bumi. Dan untuk menggunakan kuasa-kuasa tersebut, Allah kurniakan
perantara-perantara yang akan membantu pelaksanaannya, seperti tubuh badan
kita, akal fikiran, haiwan, tumbuhan, sumber-sumber alam yang lain di sekitar
kita.
Dunia ini Allah
jadikan untuk manusia supaya ia dapat dimanfaati. Oleh itu, disinilah datangnya
syari’ah Allah untuk memastikan manusia itu dapat melaksanakan keperluan dan kuasa-kuasa
tersebut, mendapatkan manfaat sepenuhnya daripada apa yang telah Allah sediakan
di dunia ini namun semestinya tanpa memudaratkan manusia-manusia lain dan juga
perantara-perantara yang lain. Pada segi manfaat dan mudarat, syari’ah
meletakkan bahawa hendaklah kita menanggung mudarat yang kecil untuk manfaat yang
besar dan hendaklah kita meninggalkan manfaat yang ringan untuk mengelakkan
mudarat yang besar. Namun, jika dilihat kembali, penglihatan manusia itu
terbatas dan tidak mungkin ia mengetahui keseluruhan akan yang mana satu
manfaat dan mana satu mudarat. Maka, disinilah Allah Yang Maha Alim menetapkan
peraturan-peraturan yang benar dan sempurna untuk rujukan manusia.
·
Hak-Hak Dan bahagiannya yang
empat
Bagi setiap manusia, ada 4 hak yang mana
telah menjadi kewajipan bagi setiap muslim untuk betul-betul mengenalinya dan
menunaikannya dengan ikhlas,amanah dan benar. Hak-hak tersebut ialah:
1-
Hak-hak Allah
2-
Hak-hak peribadi
3-
Hak-hak hamba
4-
Hak-hak yang di bawah
kekuasaannya di dunia ini iaitu sesuatu yang dapat digunakan untuk mendapat
manfaat
·
Hak-Hak Allah
Apakah dia hak-hak Allah yang wajib kita
laksanakan?
Yang pertama: Beriman kepadanya, tidak
menyekutukan-Nya dengan apa pun. Hak ini tertunai apabila kita beriman dengan
kalimah tauhid ‘La ilaha illa Allah’ dengan sebenar-benarnya
Yang kedua: Mengakui sepenuhnya akan
kebenaran dan petunjuk yang datang daripada-Nya iaitu yang disampaikan melalui Rasulullah saw.
Yang ketiga: Ditaati. Hak ini tertunai
apabila kita kita mengikut undang-undang yang telah ditetapkan Allah.
Yang keempat: Dipertuan. Wajib ke atas
setiap manusia untuk menunaikan segala yang diwajibkan-Nya .
Oleh kerana hak kepada Allah ini adalah hak
yang paling utama, maka untuk menunaikannya wajiblah manusia itu mengorbankan
hak-haknya yang lain hingga kepada satu had yang tertentu bagi melaksanakannya.
Allah telah letakkan batas-batas hak-Nya sehingga untuk melaksanakan sesuatu
hak Allah, tidak akan dikorbankan hak-hak yang lain melainkan terhad pada satu
batas yang tidak dapat diubah lagi.
Kita ambil analogi zakat misalnya. Adalah
menjadi kewajipan kita untuk melaksanakannya namun Allah tidaklah mewajibkannya melainkan ke atas
orang yang memiliki harta yang cukup nisabnya. Disini jelas kita lihat
bagaimana Allah letakkan hak-Nya di situ namun batas-batas yang Allah adakan
pada ibadah zakat itu tidak mengorbankan hak manusia malah melindungi hak
peribadi bagi muslim yang tidak berkemampuan.
Pengorbanan paling besar terhadap hak-hak
manusia yang ditunaikan oleh manusia adalah dalam jihad. Manusia mengorbankan
dirinya, hartanya, diri orang lain, semata-mata mengharapkan keredhaan Allah.Terdapat
banyak tingkat jihad dan salah satu yang selalu menjadi bualan adalah jihad
peperangan. Namun, dalam hal jihad ini
pun, Allah meletakkan batas-batas yang seharusnya diikuti oleh manusia dalam
melaksanakan hak Allah. Contohnya, tidak memerangi selagi tidak diperangi,
melaksanakan janji yang telah dijanjikan pada pihak lawan, tidak membunuh
manusia melainkan yang memang betul-betul mesti dibunuh dan banyak lagi.
InsyaAllah,itu sahaja buat kali ini. Semoga
kita sama-sama dapat menambahkan ilmu kefahaman kita mengenai agama islam .
Moga kita semua menjadi muslim yang sebenar-benarnya dari sudut lahiriahnya dan
juga batinnya.
Wallahu’alam..
Penulis:
Aiman binti Nor Nasarudin
Pelajar perubatan tahun 4
Medical University of Warsaw
No comments:
Post a Comment