Pernahkah anda berhadapan dengan
keadaan yang mana terdapat ramai sangat manusia di sekeliling anda?Ya, maksud
saya ramai,banyak,berduyun-duyun,berpusu-pusu,berbondong-bondong dan
perkataan-perkataan yang mempunyai makna yang sewaktu dengannya.
Seringkali apabila berada dalam
keadaan dan suasana seperti ini, ianya mengingatkan saya akan ramainya manusia
yang Allah ciptakan di dalam dunia ini . Menurut US Cencus Bureau, populasi
penduduk dunia pada tarikh ini,24 Februari 2013 adalah 7,068,369,344 orang.
Ramai bukan? Ini belum lagi ditambah dengan bilangan manusia yang pernah hidup
dan sudah meninggal semenjak dari zaman Nabi Adam a.s, terdahulu. Pastilah
angkanya jauh lebih besar jika kita jumlahkan kesemuanya.
Dalam kalangan manusia-manusia yang
ramai ini, Allah ceritakan pada kita melalui al-quran, bahawa mereka akan
terbahagi kepada beberapa golongan. Mari kita lihat contoh beberapa golongan
yang Allah telah ceritakan dalam surah al-hajj, ayat 56-59.
Ayat 56:
Kekuasaan
pada hari itu ada pada Allah, Dia memberi keputusan di antara mereka. Maka orang-orang
yang beriman dan mengerjakan kebajikan berada dalam syurga-syurga yang
penuh kenikmatan.
Ayat 57:
Dan orang-orang
kafir dan yang mendustakan ayat-ayat Kami,maka mereka akan merasakan azab
yang menghinakan.
Ayat 58:
Dan orang-orang
yang berhijrah di jalan Allah,kemudian mereka terbunuh atau mati, sungguh,
Allah akan memberikan kepada mereka rezeki yang baik(syurga). Dan sesungguhnya
Allah adalah pemberi rezeki yang terbaik.
Ayat 59:
Sungguh, Dia
(Allah) pasti akan memasukkan mereka ke tempat masuk (syurga) yang mereka
sukai. Dan sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, Maha Penyantun.
Di dalam empat ayat ini, Allah
menceritakan mengenai 3 golongan manusia.
Pertama, orang-orang yang beriman
dan mengerjakan kebajikan. Mereka ini, di hari kebangkitan kelak, Allah ganjari
keimanan dan amalan-amalan kebajikan mereka semasa di dunia dengan
syurga-syurga yang penuh dengan kenikmatan.
Golongan kedua pula adalah golongan orang-orang yang kafir dan mendustakan
ayat-ayatNya. Dan kepada mereka, Allah telah sediakan balasan azab yang
menghinakan, yang tidak terperi peritnya, setimpal dengan perbuatan-perbuatan
mereka yang mengingkari Allah semasa kehidupan mereka di dunia dahulu.
Dan golongan yang ketiga, adalah orang-orang yangg berhijrah
di jalan Allah, kemudian terbunuh atau mati. Pada golongan ini, Allah bukan
sahaja menjanjikan ganjaran syurga dan kenikmatannya semata-mata, namun
istimewanya, Allah memberi pilihan untuk mereka memilih antara syurga-syurga
yang telah tersedia.
Oleh itu, yang mana pilihan anda? tepuk dada, tanya iman ;)
Penulis:
Aiman Nor Nasaruddin
Pelajar perubatan tahun ke empat
Medical University of Warsaw