Nov 12, 2012

Fasal Pertama Asas-Asas Islam


Bismillahirrahmanirrahim..

Buku bertajuk Asas-Asas Islam karangan Abu’l A’la Al-Maududi, seorang ulama’ dan aktivis terkenal dunia islam pada abad ke-20 menjadi pilihan IPIP untuk dijadikan buku pertama yang akan dikongsikan dalam ruangan ‘bedah buku’. Ianya terbahagi kepada tujuh fasal kesemuanya dan pada kali ini kita akan menelusuri fasal yang pertama iaitu Agama Islam.

FASAL PERTAMA : AGAMA ISLAM

Pernahkah anda semua tertanya-tanya mengapa ya agama ini dinamai islam?
Sewaktu di zaman persekolahan dahulu,kita ada mempelajari mengenai agama-agama dan kepercayaan yang terdapat dalam dunia. Nama agama-agama tersebut kebanyakannya diambil bersempena nama orang yang mengasaskannya ataupun diambil bersempena dengan bangsa/ummat yang tertentu. Contohnya agama Buddha yang diambil daripada nama pembawanya iaitu Gautama Buddha , agama yahudi yang diambil bersempena dengan nama kabilah Yahuda dan banyak lagi.

Namun islam sememangnya istimewa. Melalui namanya sahaja telah terserlah bahawa agama ini datangnya dari Yang Maha Pencipta, bukannya dibuat-buat, direka-reka oleh manusia kerana ianya tidak dinamakan berdasarkan nama rasul yang membawanya yakni Nabi Muhammad s.a.w, namun diberi nama islam disebabkan oleh maksud yang terkandung dalam  perkataan ‘islam’ itu sendiri iaitu tunduk dan patuh kepada perintah Maha Pemerintah dan larangan-Nya tanpa bantahan.

Hakikatnya,segala sesuatu yang berada dalam alam ini semuanya tunduk dan patuh pada ketetapan-ketetapan yang telah ditentukan oleh yang menciptakannya yakni  oleh Yang Maha Pencipta,Allah swt. Buktinya? Lihatlah pada penciptaan-penciptaan alam di sekeliling kita.Matahari, bulan dan planet-planet yang mana setiap satunya beredar pada jalan-jalan yang telah ditetapkan untuk mereka,tidak berlanggar antara satu sama lain.

Dan Dialah yang menciptakan malam dan siang ,matahari dan bulan.Masing-masing beredar pada garis edarnya.(Al-Anbiya,21: 33)

Masa umpamanya.Telah tertakluk oleh ketetapan Yang Maha Mencipta, Allah swt untuk ianya hanya mempunyai sekadar 24jam dalam sehari,tidak lebih mahupun kurang walaupun  sesaat.Lihatlah pula pada penciptaan manusia ,ketetapan untuk bernafas menggunakan gas-gas tertentu yakni oksigen dan menghembuskan karbon dioksida bukanlah ditetapkan oleh manusia itu sendiri,namun oleh Allah swt.
Sesungguhnya, jika diteliti dengan mata akal dan mata hati,kita akan mendapati seluruh makhluk yang ada di alam ini menyerah dan tunduk kepada penciptanya. Bahkan manusia yang tidak mengenal Allah dan mengingkari tanda-tanda kebesaran Allah sebenarnya sama ada ia sedar mahupun tidak,adalah seorang Muslim dari segi fitrah yang telah difitrahkan padanya,kerana terdapat juga sisi-sisi daripadanya yang bergerak,berjalan dan  hidup atas ketetapan-ketetapan Allah swt.

Manusia itu istimewa daripada makhluk-makhluk yang lain kerana diberi  akal untuk membuat pilihan sama ada mahu memilih islam dan menyempurnakan islamnya ataupun memilih untuk tidak tunduk dan patuh pada hukum-hukum syara’ yang akhirnya akan menyebabkan mereka jatuh ke lembah kekufuran.
Maka beruntunglah bagi mereka yang membuat pilihan pertama,yakni yang memilih untuk menyempurnakan islamnya. Mereka inilah golongan-golongan yang menggunakan nikmat akal fikiran yang diberikan Allah dengan sebaik-baiknya.Tiadalah yang tinggal lagi sekarang di dalam kehidupan mereka itu melainkan kebenaran kerana ia terikat dengan hukum Allah dan telah memilih Allah sebagai urusannya. Segala perlakuan,ketetapan dan sudut pandang mereka telah berubah dan semuanya disandarkan semata-mata kepada Allah. Taqwanya  mereka kepada Allah membantu memandu mereka dalam melalui hari-hari di dunia dan mencegah mereka dari menggunakan ilmu yang ada ke jalan yang tidak diredhai Allah. Lalu Allah mengganjari mereka dengan membuka pintu kemuliaan dan kesempurnaan di masa depan.

Sementara itu,bagi golongan manusia yang memilih untuk tidak tunduk dan patuh kepada ketetapan-ketetapan Allah,mereka ini dinamakan sebagai kufur.Mereka tidak mahu mengakui bahawa adanya pencipta kepada segala apa yang ada di alam ini.Tiadalah kezaliman yang lebih teruk melainkan kufur kepada Allah kerana mereka telah meletakkan fitrah tersebut di tempat yang tidak wajar ditambah pula dengan kezaliman yang mereka lakukan pada qalbu mereka sendiri  iaitu memaksa qalbu mereka yang sebenarnya difitrahkan untuk membesarkan  dan mencintai Allah, berada dalam kesesatan dan kegelapan.Tidak mungkin akan ada lagi kekederhakaan dan pengkhianatan yang lebih besar daripada ini.

Maka, sangatlah penting untuk kita menyedari bahawa setiap sesuatu yang ada di alam ini adalah milik Allah swt . Tidak sedikit pun Allah bergantung mahupun berhajat kepada makhluk-makhluknya,sebaliknya kitalah (makhluk  dan hamba) yang sebenar-benarnya berhajat dan bergantung kepada-Nya untuk setiap perkara.Sesungguhnya jika manusia itu beriman,maka iman itu adalah untuk kepentingan mereka sendiri dan sekiranya mereka memilih untuk kufur,maka natijahnya akan ditimpakan pada diri mereka juga. Penyesalan dan kegagalan akan menyeliputi diri mereka sepanjang kehidupan di dunia dan juga akhirat kelak. Segala ilmu yang ada padanya adalah sia-sia kerana ilmu tersebut tidak digunakan untuk mengenal Penciptanya.Ilmu yang tidak membawa kita mengenal Allah,mana mungkin membawa kita mengenal yang lainnya dengan haq .Di akhirat nanti, segala sesuatu yang digunakan oleh manusia yang kufur ini di dunia akan menempelaknya dek kerana kezalimannya dalam menggunakan mereka sewaktu di dunia dahulu dengan cara yang bertentangan dengan fitrahnya.Sungguh,buruk sekali kesudahan bagi orang-orang yang kufur.
 Suka untuk saya berkongsi sedikit petikan dari buku ini mengenai pekerti seorang lelaki yang benar dan sempurna islamnya:

Dibersihkannya kalbunya daripada sangkaan yang salah, dibersihkan fikirannya daripada angan-angan yang jahat. Dipejamkan matanya daripada melihat kekejian. Ditulikan telinganya daripada mendengar yang buruk-buruk. Dipelihara lidahnya daripada memperkatakan sesuatu yang berlawanan dengan kebenaran . Ia memilih mati kelaparan daripada diisinya perutnya dengan rezeki yang haram . Ditahannya tangannya daripada berbuat zalim dan memperkosa hak orang lain. Ia tidak melangkahkan kakinya ke jalan yang jahat . Ia tidak menundukkan kepalanya di hadapan kebatilan meskipun badannya disalib atau dikerat-kerat.Segala cita-cita dan hajatnya tidaklah dibawa ke alam nyata dengan melalui kejahatan,kezaliman dan permusuhan. Yang paling dimuliakannya ialah yang hak, berkata benar dan berlaku jujur. Ia tidak kedekut terhadap dirinya dan hartanya pada jalan yang hak. Dalam pandangannya , yang paling dimurkainya ialah kezaliman, dusta dan khianat.Ia tidak rela menggunakan sifat-sifat ini dan tidak mahu memilih jalan ini disebabkan takut mudarat menimpa dirinya.

Pekerti seperti inilah yang membawa manusia mencapai kemenangan bukan sahaja di dunia , malah di akhirat kelak. Kemenangan dan kenikmatan ini hanyalah dirasai oleh manusia yang benar-benar tunduk dan patuh kepada fitrah dan ketetapan-ketetapan oleh Yang Maha Pencipta, Allah swt.
Wallahu’alam…
Nantikan perkongsian mengenai fasal kedua pula,insyaAllah pada masa yang akan datang..
Wassalam..




Penulis:
Aiman Nor Nasarudin
Pelajar Perubatan Tahun 4
Medical University of Warsaw

Nov 7, 2012

Sinergi

Salam ‘alaikum. Salam buat semua.

Alhamdulillah, tahun ini, bebola putih kecil sudi turun dari langit, menjengah kami di bumi Allah ini. Awal pula tu.
Dan seperti biasa, walau dalam kesejukan, kelas tetap berjalan. Dan kami juga tetap berjalan ke kelas. Alhamdulillah ‘ala kulli ni’mah.

Antara kelas yang paling boleh membuatkan kami mengalami palpitation pada tahun ini ialah tak lain, tak bukan, Pharmacology.
Mungkin bukan kerana subjek itu susah, sebab tak tahu lagi susah ke tidak, dah mula palpitation.
Tetapi mungkin kerana persepsi. Ya, persepsi yang timbul akibat sentimen. Ini kurang sihat ya, kawan-kawan.

OK. Di dalam kelas kami memang khusyuk mendengar cikgu menerangkan tentang sejenis antibiotik bernama Aminoglycoside. Kata cikgu, aminoglycoside ni bekerja secara sinergi bersama sejenis antibiotik lain bernama beta-lactam.
Maka cikgu pun terangkan bagaimana aminoglycoside boleh bekerjasama dengan beta-lactam. Katanya, beta-lactam yang tugasnya menganggu “cell wall” bakteria akan meningkatkan “bacterial cell wall permeability”, dan memudahkan kemasukan aminoglycoside ke dalam bakteria tersebut, seterusnya aminoglycoside akan bunuh bakteria tersebut dari dalam. Senang cerita, beta-lactam kira macam code-breaker lah kalau dalam satu-satu rompakan bank, dan aminoglycoside pula merupakan perompak yang memegang raifal HK MP5 yang bersedia menembak pada bila-bila masa.
Ok. Mengarut.

Cikgu juga ada berkata, sinergi ini bukan bermakna 1 +1 =2. Tak.
Tapi boleh jadi 1 + 1 = 3 atau 4 atau 5 atau 10 atau lebih.
Wahh!

Lihatlah bagaimana bila antibiotik bekerjasama akan menghasilkan sinergi yang mantap mampu membunuh berbagai-bagai bakteria penyebab penyakit pelik. Hebat!

Begitu jugalah seharusnya kita. Kita, manusia yang Allah kurniakan dengan akal dan fikiran. Seharusnya lebih hebat lagi sinergi hasil kerja sama kita.

Err. Tapi saya bukan nak ajak rompak bank. Habis nak kena sinergi-sinergi untuk apa?

Kita kata kita mahu cari redha Allah, kita kata kita mahu lihat Islam itu kembali menjadi Ustaziatul ‘Alam. Jadi apa lagi! Mari berganding bahu, bekerja bersama-sama mencapai cita-cita kita itu.
Kerana Allah cintakan orang-orang yang berjuang di dalam saff yang teratur rapi.
Kerana Allah cintakan orang-orang beriman yang berkasih kerananya. Dan kerjasama hanya akan terhasil apabila terjalinnya ukhuwwah.

Sama seperti salji kecil yang turun. Bila bekerjasama beramai-ramai mampu membuatkan mata anda bersinar-sinar tak sabar mahu buat snowman!




Sekian.
Allahualam.

Dari Abi Hurairah R.A: Dia telah berkata: Telah bersabda Rasulullah SAW:

Sesungguhnya Allah s.w.t. berfirman pada hari Kiamat: “Di manakah mereka yang berkasih-sayang kerana keagungan Ku? Pada hari ini Aku akan lindungi mereka di bawah lindungan Ku pada hari yang tiada perlindungan lain melainkan perlindungan Ku”.
[Hadith riwayat Bukhari dan Malik]



Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya).
[al-Maidah (5) : 2]



Penulis:
Shahida Zahar
Pelajar Perubatan Tahun 4
Medical University of Warsaw

Manusia itu mudah lupa..


Oct 31, 2012

SurgiScarf! Let's scrub in and cover up!

Salam 'alaikum :)

Anda biasa berada dalam situasi ini...?

*menunggu masuk surgery room*
"Apa awak pakai ni?" *tunjuk pada tudung*
"Tudunglah"
"Buka, buka, buka! Mana boleh pakai makhluk asing bagai masuk surgery room! Tak sterile! Bacteria! Virus! Fungus! Protozoa! Parasit!"
*krik. krik. krik*

atau ini...?

*menunggu masuk surgery room*
"Heiii. Awak tahu tak, baju awak tu tak sterile?"
"Huh?"
"Tu, lengan baju awak tu. Lipat-lipat. Nanti habislah patient kena sepsis, pneumonia, blood stream infection, meningitis blablabla..."
*krik. krik. krik*

Nak belajar pun susaaahh. Rungut kita dalam hati.

Jangan risau, jangan bimbang, jangan gusar lagi!
Kami, pihak IPIP ada menjual SurgiScarf!

Huh! Apa itu SurgiScarf?
SurgiScarf adalah tudung scrub yang (inshaAllah) sterile dan diperbuat daripada kapas yang agak nipis. Anda boleh memakainya diluar tudung anda. Hasilnya:
- sterile di luar
- tidak panas
- cantik bergaya
- semua orang suka hati!

Bagaimana pula dengan lengan baju kami yang panjang dan kena lipat tu?
Jangan risau, kami juga ada menjual coat untuk surgery. Material yang lebih kurang sama. Anda boleh memakainya di dalam atau di luar baju scrub yang disediakan pihak hospital.

Ha? Tak fahamlah. Kalau dah hospital sediakan baju scrub, nak buat apa lagi beli coat tu?
Macam ni adik-adik, kakak-kakak, cik dan puan. Pakaian scrub yang disediakan oleh pihak hospital itu berlengan pendek. Maka....

Tapi saya masih tak dapat gambarkan macam mana nak pakai benda-benda ni.
Haa. Model-model kami yang baik hati telah bersetuju untuk menjadi model bagi produk ini:



Ooo. Dah faham. Macam mana nak beli? Mahal tak?
Mudah sahaja! Anda hanya perlu menghubungi wakil-wakil IPIP; Shahida, Norhidayu atau Naqlis. Wakil-wakil kami ini bolehlah dihubungi melalui email, FB, SMS, Skype, Whatsapp, Viber atau apa sahaja cara yang anda rasa paling mudah buat anda.
Kalau tak boleh juga, anda amatlah dialu-alukan untuk menghantar email ke alamat email ikatanpelajarislampoland@gmail.com

Harganya tidaklah mahal. Seperti berikut:
Tudung sahaja : 10zl
Tudung + coat : 15zl

Wahh! Mudah sahaja sebenarnya nak menuntut ilmu dan pada masa yang sama memenuhi tuntutan syara'. Apa lagi kawan-kawan, Let's scrub in and cover up! ^_^

*credit gambar: lukisan Acu Ain*


Al-Quran, maksud: Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya. [24:31]

Hadith, maksud: Wahai Asma’ sesungguhnya seorang wanita itu apabila telah baligh (haidh) maka tidak boleh baginya menampakkan tubuhnya kecuali ini dan ini, seraya menunjukkan wajah dan telapak tangannya.” [HR Abu Dawud] 

Oct 29, 2012

al-Wajibat aktsaru minal auqat


Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian - Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.

Jul 30, 2012

Ramadhan yang berlalu..



Bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah dia berpuasa bulan itu dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah dia berbuka, kemudian wajiblah dia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan) dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya dan supaya kamu bersyukur. (al-Baqarah;185)

Assalamualaikum wbt,

Alhamdulillah3x, kerana kemurahan dan kasih sayang Ar-Rahman, kita masih lagi berpeluang merasai kemanisan Ramadhan, bulan penuh keberkatan yang dinanti-nantikan oleh seluruh mukminin dan mukminat.

Daripada Abu Hurairah r.a, ia berkata: "Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: 'Allah swt berfirman:
"Setiap amalan anak Adam adalah untuk dirinya dan setiap kebaikan akan dibalas 10 kali ganda (kebaikan yang sama) hingga 700 kali ganda kecuali puasa.. Ini kerana ibadah puasa adalah untuk-Ku dan Akulah yang akan membalasnya" (riwayat Ahmad)

Inilah salah satu keindahan Ramadhan, bukan sahaja bulan dimana al-Furqan diturunkan sebagai petunjuk seluruh alam malahan ibadah puasa turut disyariatkan.. ibadah yang penuh rahsia.. kerana puasa itu untuk Allah dan Allah telah menjanjikan "balasan" dari sisi-Nya..


berkata Ibnu Abbas ra : saya mendengar Rasulullah saw bersabda; "Jika sekiranya umatku mengetahui segala (kebaikan) di bulan ramadhan, nescaya mereka menginginkan supaya sepanjang tahun itu adalah Ramadhan, kerana semua kebaikan berkumpul di bulan Ramadhan, ketaatan mudah diterima, semua doa dikabulkan, semua dosa diampunkan dan syurga rindu kepada mereka"



Bandingkan antara dua situasi dalam kehidupan. Di saat kita tertinggal solat subuh dan saat kita kehilangan beg yang berisi barang berharga seperti passport dan duit.. kedua-duanya berlaku atas kecuaian kita.. Tetapi situasi yang manakah paling kita menyesal kerana kealpaan kita? adakah kita lebih terkilan kehilangan beg atau tertinggal solat subuh? situasi yang manakah akan kita lebih berusaha supaya tidak akan berlaku lagi?

Penyesalan adalah rasa hati, ia hadir tanpa perlu difikirkan, dipaksa atau dilakonkan.. Ia hadir secara spontan apabila hati dan akal mempunyai ilmu dan keyakinan yang sudah sebati dan serasi... Ia timbul kerana kehilangan atau terlepas sesuatu yang dirasakan amat bernilai dalam hidup..

dan penyesalan juga adalah antara syarat bertaubat kerana hanya hati yang benar-benar yakin akibat dosa akan rasa menyesal akan dosa-dosa yang dilakukannya..


 “ Rugilah seseorang yang memasuki bulan Ramadhan, namun bulan ini berlalu sementara (dosa-dosanya) masih belum diampuni.” (Riwayat Ibn Khuzaimah dan Ibnu Hibban)

Dosa umpama pokok yang tumbuh dalam hati,semakin lama dosa itu dibiarkan tanpa dicabut keluar,
maka semakin kuat cengkaman dosa itu didalam jiwa..cabutlah pohon kejahatan itu sebelum akarnya bertambah banyak, berselirat dan terlalu kuat mencengkam..kerana pada mulanya dosa akan menimbulkan rasa resah namun jika ters dilakukan...hati akan terbiasa, ketagih dan akhirnya sebati dan serasi dengannya..

Jangan biarkan Ramadhan berlalu,
tanpa rasa gundah dan resah,
terhadap nafsu yang belum dijnakkan,
dan terhadap dosa-dosa yang masih sebati..


Jul 1, 2012

Fatihah w Lodzie

Assalamualaikum wbt.

Berita baik buat akhawat sekalian!

Fatihah w Lodzie merupakan satu langkah inisiatif yang diambil oleh 4 orang akhawat yang berada nun jauh dia Lodz, Poland.
Fatihah w Lodzie merupakan sebuah blog peringatan dalam bentuk santai dan multimedia.
Semua akhawat (ya! Akhawat sahaja!) diundang untuk menjadi sebahgian daripada pembaca blog ini di link:


Tetapi, untuk mengakses blog ini, anda dikehendaki untuk memberi alamat email anda untuk kemudiannya di-invite menjadi pelawat blog ini.
Anda boleh tinggalkan alamat email anda di ruangan komen di bawah, atau hantar email ke alamat email ikatanpelajarislampoland@gmail.com

Semoga semua amalan kita Allah berkati :)

Selamat membaca!

Apr 15, 2012

Wanita Solehah



Mac 2012: Wanita Solehah
HafizFirdaus.com - Sunday, 15 April 2012



Seorang muallaf yang baru beberapa bulan memeluk Islam pernah bertanya kepada saya: “Apakah maksud solehah? Saya ingin menjadi wanita solehah tetapi belum menemui maksud solehah menurut al-Qur’an dan al-Sunnah.”


Maksud solehah? Tentu mudah sebab kita biasa mendengar sebutan “lelaki soleh” dan “wanita solehah”. Akan tetapi maksud solehah menurut al-Qur’an dan al-Sunnah? Saya sendiri terdiam sebentar. 40 tahun saya sebagai seorang muslim, tidak pernah tertanya soalan ini. Beberapa bulan sebagai seorang muslimat, sudah bertanya soalan yang penting ini.


Tersipu-sipu kerana tidak tahu jawapan yang tepat, saya menjawab mudah: “Wanita solehah ialah wanita yang selalu berbuat baik, iaitu kebaikan-kebaikan yang dianjurkan oleh al-Qur’an dan al-Sunnah.”


Surah Ali Imran, Ayat 114
Baru-baru ini ketika sedang menelaah al-Qur’an, saya membaca ayat 114 surah Ali Imran yang
solehah_girl.jpegbermaksud: Mereka beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, menyuruh kepada segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (mungkar), dan mereka pula segera mengerjakan pelbagai kebajikan. Mereka (yang demikian sifatnya), adalah dari orang-orang yang soleh.
Penghujung ayat ini: Mereka (yang demikian sifatnya), adalah dari orang-orang yang soleh segera menangkap perhatian saya kerana ia menjelaskan ciri-ciri orang yang soleh. Alhamdulillah, saya bergembira kerana telah menemui jawapannya dan sudah tentu tiada jawapan yang terbaik melainkan daripada al-Qur’an dan al-Sunnah. Atas kegembiraan ini juga, saya ingin berkongsi kepada para pembaca sekalian maksud – atau lebih tepat – ciri-ciri orang yang soleh. Marilah kita mengupas setiap ciri tersebut.

Beriman Kepada Allah dan Hari Akhirat.
Ciri pertama seorang yang soleh ialah dia beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. Meski pun ayat ini hanya menyebut Allah dan Hari Akhirat, ia sebenarnya merangkumi semua rukun iman yang enam iaitu beriman kepada Allah, para malaikat, kitab-kitab, para rasul, Hari Akhirat dan taqdir. Ini kerana sesiapa yang beriman kepada Allah akan beriman kepada semua rukun iman yang lain dan sesiapa yang beriman kepada Hari Akhirat akan beriman bahawa dia akan disoal berkenaan rukun-rukun iman yang lain. Justeru memadai disebut dua rukun iman kerana ia merangkumi semua rukun iman yang lain.

Menyuruh Kepada Segala Perkara Yang Baik
Ciri kedua seorang yang soleh ialah dia menyuruh atau menganjurkan kepada segala perkara yang baik. Orang yang soleh tidak bangun solat subuh berseorangan tetapi turut mengejutkan dari tidur ahli keluarga atau rakan-rakan seasrama agar dapat sama-sama bersolat subuh. Orang yang soleh tidak sekadar menutup aurat dirinya tetapi mengajak ahli keluarga dan rakan-rakannya untuk turut berpakaian yang menutup aurat.
Dalam erti kata lain, orang yang soleh tidak soleh secara bersendirian tetapi mengajak orang-orang di sekelilingnya untuk turut menjadi soleh.

Melarang Daripada Segala Perkara Yang Salah
Tidak sekadar menyuruh kepada kebaikan, orang yang soleh juga melarang daripada segala bentuk kesalahan. Orang yang soleh contohnya, tidak pergi ke kelab-kelab malam dan menegah ahli keluarga serta rakan-rakan daripada pergi ke kelab-kelab malam.  Orang yang soleh juga tidak membaca ramalan-ramalan bintang kelahiran (horoscope) dan menegah orang lain daripada membaca ramalan-ramalan tersebut. Ini kerana yang diharamkan oleh Islam bukan sekadar mempercayai ramalan-ramalan tetapi diharamkan juga untuk memberi perhatian kepadanya.
Oleh itu orang soleh tidak sekadar menjauhi perkara-perkara salah (mungkar) tetapi juga menasihati, menegur dan melarang orang lain daripada mendekati perkara-perkara salah tersebut. 

Segera Mengerjakan Pelbagai Kebajikan
Orang yang soleh tidak cukup berbuat pelbagai kebajikan. Tahapnya lebih tinggi dari itu, yakni dia segera membuat pelbagai kebajikan. Orang yang soleh tidak cukup solat lima waktu sehari, tetapi dia mendirikan solat-solat tersebut pada awal waktu. Orang yang soleh apabila melihat iklan kempen mengutip derma, tidak akan menderma pada hari akhir kutipan tetapi segera menderma sebaik saja melihat iklan tersebut. Orang yang soleh apabila mendengar ibu atau bapanya dalam suasana keperluan, tidak akan menunda-nunda tetapi segera balik ke kampung untuk menolong. 
Lelaki dan wanita yang berusaha menepati ciri-ciri inilah yang layak disebut: Mereka (yang demikian sifatnya), adalah dari orang-orang yang soleh.