Jan 20, 2010

A great reminder!

William Ewart Gladstone ( 1809 – 1898 )
Bekas PM Britain zaman Queen Victoria




"So long as there is this book there will be no peace in the world."

Selagi mereka ( umat Islam ) berpegang dengan kitab ini, selama itulah mereka bangkit dan kita tidak dapat menundukkan mereka. Oleh itu pisahkan mereka dari kitab ini”.

- Ucapan beliau sambil mengangkat Al-Qur’an dalam Parlimen Britain ketika membincangkan penentangan umat Islam terhadap penjajahan.-


NOOOOO!!! jangan pisahkan kami dari Quran!!! jom kita bawa Quran tafsir dan baca dimana2 kita berada!!!


Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari Al-Quran Ayat-ayat Suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya dan (sebaliknya) Al-Quran tidak menambahkan orang-orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua. (17:82)

Jan 11, 2010

dah call rumah??


oleh: Dr Juanda Jaya

Ramai tak sedar jarang bertanya khabar kepada orang tua di kampung dikira menderhaka.


RAMAI anak yang tidak mengaku apabila dituduh menderhaka kepada ibu bapa. Namun, siapa yang dapat menafikan kebenaran ayat Allah dan hadis Rasulullah SAW yang menyimpulkan bahawa termasuk dosa besar yang kedua selepas syirik ialah apabila seseorang melupakan tanggungjawab menjaga kedua orang tua.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya, apabila salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu.” (Surah Al-Isra’ ayat 23)Justify Full

Rasulullah SAW lebih jelas menegaskan mengenai dosa besar ini di dalam sabdanya yang bermaksud: Mahukah kamu aku khabarkan tentang dosa besar? Kami (sahabat menjawab: Ya, tentu wahai Rasulullah. Beliau bersabda: “Ada tiga, iaitu menyekutukan Allah, derhaka kepada kedua ibu bapa dan ucapan dusta dan kesaksian dusta, Baginda mengulanginya berkali-kali sehingga kami berkata mudah-mudahan baginda diam.” (Hadis riwayat Imam Al-Bukhari)

Semua anak mengaku mereka sudah memenuhi hak kedua ibu bapanya walaupun hati tak merindu, jauh sekali khuatir, sedih dan pilu mengenang keuzuran kedua orang, pemegang kunci syurga mereka di akhirat nanti. Bahkan anak dunia itu seolah-olah tidak mahukan akhirat.

Lantas mereka lalai dan lupa akibat mengejar cita-cita dunia sehingga tak tersisa sedikit pun ruang untuk ayah dan ibu di dalam hati. Hati yang sentiasa sibuk, memberi kesan pada wajah mereka yang kian suram apabila berdepan dengan ayah dan ibu. Mereka lebih rela menjadi tanda-tanda dekatnya kiamat dengan berlaku derhaka daripada harus menanggung beban hidup bersama orang tua.

Pelbagai alasan dicipta untuk menghalalkan keuzuran mereka daripada menjaga ibu bapa, tetapi di sudut hati nurani anak-anak manusia siapakah kiranya yang boleh melepaskan diri daripada kenangan kasih sayang ibu bapa ketika kecilnya.

Mereka juga berselindung di sebalik amal salih yang lain, sebahagiannya ahli tahajjud, setia membaca al-Quran, ahli masjid, istiqamah mengerjakan haji dan umrah, ahli sedekah dan puasa. Tetapi, mereka membuat hati ibu bapa menangis, jiwa mereka terdera dan impian hari tua yang indah bagi mereka hancur berkecai.

Padahal keutamaan berkhidmat kepada orang tua melebihi pahala jihad fisabilillah seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Daripada Abu Abdul Rahman Abdullah bin Mas’ud beliau berkata: “Saya bertanya kepada Nabi SAW. “Amalan apakah yang paling disukai oleh Allah SWT? Baginda bersabda: “Solat pada waktunya, saya bertanya lagi: Kemudian apa lagi? Baginda bersabda: Berbuat baik kepada kedua orang tua. Saya bertanya: Kemudian apa lagi? Baginda bersabda: Berjihad di jalan Allah.”(Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Ironinya mereka mengejar pahala ibadat sunat tetapi yang wajib ditinggalkan. Kewajipan berkhidmat kepada ibu bapa mereka dianggap bukan ibadat melainkan hanya adat kehidupan manusia. Maka jika mereka lalai mengingati kedua-duanya, tidak ada kekesalan di dalam hati, tidak rasa berdosa dan bermaksiat kepada Allah SWT.

Sungguh penyelewengan yang tidak disedari, melainkan apabila keduanya kembali ke rahmatullah. Lalu anak-anak itu secara tabienya menjadi ibu dan bapa generasi baru. Dia merasai sakit menjaga dan mendidik anak seperti ibu bapa dulu. Akhirnya dia sedar betapa seksa diderhaka dan dibuang bagaikan al-Quran usang.

Bukan hanya ibu bapa yang terguris hati, Rasulullah SAW pun pernah menitiskan air mata mendengar pengaduan seorang lelaki tua mengenai anaknya yang menderhaka. “Wahai Rasulullah, anakku telah aku didik tetapi setelah dewasa dia menzalimiku. Lelaki itu kemudian menyatakan kesedihannya dengan untaian syair yang memilukan:

“Ketika engkau masih kecil, tangan ini yang memberimu makan.

“Engkau minum juga aku yang tuangkan. Apabila dirimu sakit, aku berjaga semalaman.

“Kerana sakitmu itu aku mengeluh kerisauan. Tetapi, di saat engkau dewasa dan mencapai tujuan.

“Kulihat pada dirimu apa yang tak ku harapkan. Kau balas aku dengan kekasaran.

“Seakan-akan nikmat dan anugerah engkau yang berikan.”

Mendengar bait-bait syair lelaki tua itu, berlinanganlah air mata Rasulullah SAW seraya bersabda yang bermaksud: Kamu dan hartamu milik ayahmu.” Ditakhrij oleh Ibnu Majah 2357, Imam Ahmad dalam al-Musnad 6883, Ibnu Hibban dalam sahihnya 409, 4182. Al-Baihaqi dalam al-Sunan 16054)

Pelbagai takrifan diberi ulama mengenai tanda-tanda derhaka kepada orang tua seperti memutuskan hubungan dengan tidak mahu menziarahi mereka, tidak memberi nafkah, tidak memenuhi hak-hak mereka dan tidak mentaati mereka pada hal yang bukan bermaksiat kepada Allah SWT.

Sesungguhnya kasih sayang yang paling ikhlas tanpa syarat hanyalah kasih sayang ibu bapa. Anak yang salih dituntut untuk membalas jasa mereka dengan adab dan akhlak yang baik. Kadang-kadang seulas senyuman dan kata-kata yang lembut lebih berharga daripada wang ringgit serta barangan berharga.

Namun tidak dinafi juga kepentingan hadiah sebagai pengikat jiwa. Sikap mementingkan diri sehingga membiarkan ibu bapa hidup susah di sebalik kemewahan seorang anak sememangnya menunjukkan sifat tidak mengenang budi. Jika boleh dihitung berapa juta ringgit yang mesti dibayar, sudah tentu jasa ibu bapa tak akan terbayar dengan sebarang jenis mata wang pun di dunia ini.

sumber : berita harian @ al-fikrah

Jan 6, 2010

15 Nasihat Imam Sufyan ath-Thauri


1. Perbaiki urusan dalamanmu, Allah akan baiki urusan luaranmu. Perbaiki hubunganmu dengan Allah, Dia akan baiki hubunganmu dengan manusia. Beramallah untuk akhiratmu, Allah akan jamin urusan duniamu. Juallah duniamu dengan akhirat, engkau akan beroleh keuntungan kedua-duanya. Jangan jual akhiratmu dengan dunia, kelak engkau akan rugi kedua-duanya.


2. Beramallah untuk duniamu berpadanan dengan kadar kehidupanmu di sini (sementara). Dan beramallah untuk akhiratmu berpadanan dengan kadar kehidupanmu di sana (selama-lamanya).

3. Akan tiba satu masa dalam kehidupan manusia di mana hati-hati semuanya mati, yang hidup hanyalah jasad.

4. Pemandangan paling indah adalah di kala si kaya merendah diri di hadapan si miskin. Dan pemandangan paling jelik adalah di kala si miskin menghina diri di hadapan si kaya.

5. Tiada yang lebih sukar untuk dirawat selain daripada nafsuku; sekali ia menang, sekali lagi ia kalah.

6. Kamu termasuk orang yang sabar apabila memiliki tiga perkara: tidak menceritakan musibah yang menimpa diri sendiri, tidak menghebahkan penderitaan yang dialami dan tidak memuji diri sendiri.

7. Sekiranya saudaramu berkunjung ke rumahmu, jangan engkau tanya ‘adakah anda sudah makan’ atau ‘mahukah saya hidangkan makanan’? Sebaliknya, hidangkanlah makanan. Jika dia mahu, dia makan. Jika tidak, angkatlah kembali hidangan itu.

8. Andainya engkau mengenali dirimu, maka apa saja yang diperkatakan manusia tentang dirimu, tidak akan memudaratkanmu sedikitpun.

9. Hendaklah kamu sentiasa berwaspada daripada orang yang tidak ada sesuatupun yang terlindung daripadanya, berharaplah kepada orang yang mempunyai kuasa untuk menunaikannya, dan berhati-hatilah daripada orang yang memiliki kekuasaan untuk menyiksamu.

10. Sekiranya binatang ternakanmu memahami tentang kematian sebagaimana yang engkau fahami, tentu engkau tidak akan dapat makan binatang yang gemuk sama sekali.

11. Hendaklah engkau membanyakan kebaikan, dengannya Allah akan jadikan temanmu di dalam kubur. Jauhilah perkara yang haram, engkau akan rasai kemanisan iman.

12. Terima dengan ridha apa yang Allah bahagikan kepadamu, nescaya engkau jadi kaya. Dan bertawakkallah kepada Allah, nescaya engkau jadi kuat.

13. Jangan suka mencela, nescaya engkau selamat daripada celaan manusia. Jadilah seorang yang penyayang, nescaya engkau akan dikasihi manusia.

14. Apabila terlintas di dalam hatimu tentang urusan akhirat, segeralah laksanakannya dengan bersungguh-sungguh sebelum syaitan berpeluang menghalangimu daripada melakukannya.

15. Jangan engkau bencikan seseorang yang taat kepada Allah, jadilah seorang yang penyayang kepada semua golongan manusia, jangan putuskan silatul rahim sekalipun dengan orang yang tidak menghiraukanmu, jangan berdendam kepada mereka yang menzalimimu, nescaya engkau akan mendampingi anbiaa’ dan syuhadaa’.

from Zaadut-Taqwa by Maznah Daud