Oct 30, 2015

[AMARRohani] Bye-ween!


Tanggal 31 Oktober sudah cukup sinonim dengan perayaan yang diadakan saban tahun, iaitu perayaan Halloween. Namun, yang menjadi tanda Tanya, apa sebenarnya kisah di sebalik hari yang disambut saban tahun ini? Mari kita sama-sama menelusuri sejarah di sebalik hari Halloween.

credit

Info ringkas Halloween:

  •  Merupakan adat dalam agama Kristian, dikatakan telah disambut semenjak tahun 1745.
  • Secara amnya, pada hari itu, akan diadakan upacara sembahyang bagi mengingati roh si mati dan jamuan makan supaya roh si mati tenang.
  •  Tarikh 31 Oktober dipilih, merupakan tarikh pengakhiran musim menuai dan permulaan musim sejuk. Pada tarikh ini, ianya dipercayai bahawa jarak di antara dunia sebenar dan alam si mati menjadi dekat.
  • Adat ‘trick or treat’, iaitu seseorang memakai pakaian yang menyerupai makhluk-makhluk supernatural, dikatakan sebenarnya bertujuan untuk melindungi diri mereka daripada makhluk-makhluk itu.
  • Perkataan ‘trick’ ataupun sebenarnya ‘threat’, bermaksud si pelaku akan melakukan perkara yang mengganggu tuan rumah sekiranya tuan rumah tidak memberi makanan kepada mereka.

credit


Saban tahun berlalu, dan kini hari Halloween disambut hanya sekadar suka-suka oleh sesetengah masyarakat di dunia dan merupakan seakan-akan satu norma masyarakat di Negara barat terutamanya. Tidak dinafikan bahawa hari Halloween dapat memberi kebebasan kepada seseorang untuk memakai pakaian bertemakan supernatural mengikut kemahuannya tanpa dikritik oleh orang lain. Di samping itu, budaya ‘trick or treat’ juga dapat mengeratkan hubungan sesama jiran tetangga kerana berpeluang untuk saling melawat.

Namun, adakah perayaan seperti ini sesuai disambut oleh seorang Muslim? Untuk menjawab persoalan ini, mari kita perhatikan beberapa hadis Rasulullah s.a.w. dan dalil daripada Al-Quran.

Dalil 1: Hadis larangan mengikuti kebiasaan orang kafir


“Barangsiapa yang menyerupai suatu kaum, maka ia termasuk golongan mereka”.
(Hadith sahih riwayat Abu Daud)

Dalil 2: Hari raya terbaik untuk orang Islam
Ketika Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam datang di kota Madinah, penduduk kota tersebut merayakan dua hari raya, Nairuz dan Mihrajan. Beliau pernah bersabda di hadapan penduduk Madinah,

 “Saya mendatangi kalian dan kalian memiliki dua hari raya, yang kalian jadikan sebagai waktu untuk bermain. Padahal Allah telah menggantikan dua hari raya terbaik untuk kalian; idul fitri dan idul adha.” (HR. Ahmad, Abu Daud, dan Nasa’i).

Perayaan Nairuz dan Mihrajan yang dirayakan penduduk madinah, isinya hanya bermain-main dan makan-makan. Sama sekali tidak ada unsur ritual sebagaimana yang dilakukan orang majusi, sumber asli dua perayaan ini. Namun mengingat dua hari tersebut adalah perayaan orang kafir, Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam melarangnya. Sebagai gantinya, Allah berikan dua hari raya terbaik: Idul Fitri dan Idul Adha.

credit

Untuk itu, turut bergembira dengan perayaan orang kafir, meskipun hanya bermain-main, tanpa mengikuti ritual keagamaannya, termasuk perbuatan yang terlarang, kerana kita turut menjayakan upacara mereka.

Dalil 3: Menjadi hamba yang pengasih kepada yang Maha Pengasih

Allah berfirman menceritakan keadaan ‘ibadur rahman (hamba Allah yang pilihan),
و الذين لا يشهدون الزور …
“Dan orang-orang yang tidak turut dalam kegiatan az-Zuur…”
Sebagian ulama menafsirkan kata ‘az-Zuur’ pada ayat di atas dengan hari raya orang kafir. Sebaliknya, jika ada orang yang turut melibatkan dirinya dalam hari raya orang kafir bererti dia bukan orang yang baik. Nauzubillahi min zalik.
"Untukmu agamamu, dan bagiku agamaku"

Tuntasnya, marilah kita sama-sama bermuhasabah dan berfikir semasak-masaknya sebelum mengambil apa jua tindakan. Semoga Allah memberi petunjuk, hidayah dan keampunanNya kepada kita semua. Allahua’lam.

Oct 26, 2015

[AMARGlobal] AMAR WEEKLY WRAP UP (20.10.2015~26.10.2015)




DALAM NEGARA

Yang di-Pertuan Agong jalani rawatan berkala di IJN


KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah menjalani rawatan berkala seperti yang dijadualkan di Institut Jantung Negara (IJN).

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Wira Awang Kechik Abdul Rahman dalam satu kenyataan di sini  berkata Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, 88, berangkat ke IJN pada 10.30 malam (Khamis 22 Okt) dengan kenderaan rasmi Seri Paduka bagi menjalani pemeriksaan kesihatan berkala seperti yang dijadualkan.

"Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sedang berehat dan dijangka akan kembali bertugas secepat mungkin," katanya.

Beliau berkata Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah turut menzahirkan rasa terharu dan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang sentiasa mendoakan kesihatan dan kesejahteraan baginda.

Bajet2016: Kerajaan dengar keluhan kelas pertengahan di Malaysia


KUALA LUMPUR: Bajet 2016 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Rakyat buat pertama kalinya memberikan perhatian langsung kepada golongan kelas menengah yang dilihat terlepas pandang dalam beberapa pembentangan bajet sepanjang beberapa tahun sebelum ini.

Mulai tahun depan, kumpulan yang diistilah oleh Perdana Menteri sebagai M40 iaitu kelompok isi rumah yang berpendapatan antara RM3,860 hingga RM8,320 akan mendapat beberapa insentif dalam bentuk lebihan pendapatan boleh belanja melalui pelepasan cukai tambahan.

"Definisi M40 ini, akan terus Kerajaan perincikan dari masa ke semasa," kata Najib.

Insentif kepada golongan itu termasuklah:

  1. Had pelepasan cukai bagi setiap anak berumur di bawah 18 tahun mulai taksiran 2016 digandakan daripada RM1,000 kepada RM2,000;
  2. Pelepasan cukai bagi pembayar individu yang pasangannya tidak mempunyai pendapatan dinaikkan daripada RM3,000 kepada RM4,000;
  3. Pelepasan cukai terkumpul kepada anak yang menyara ibu bapa iaitu sebanyak RM1,500 ringgit untuk ibu dan RM1,500 ringgit lagi untuk bapa dengan syarat ibu dan bapa masing-masing tidak berpendapatan melebihi 2 ribu ringgit sebulan dan berumur 60 tahun ke atas.
  4. Menaikkan had pelepasan cukai daripada RM6,000 kepada RM8,000 bagi setiap anak berumur 18 tahun dan ke atas yang sedang melanjutkan pengajian di institusi pengajian dalam dan luar negara mulai tahun taksiran 2016; dan
  5. Had pelepasan cukai dinaikkan daripada RM6,000 kepada RM8,000 mulai tahun taksiran 2016 bagi ibu bapa kepada anak-anak Orang Kurang Upaya yang sedang melanjutkan pengajian di institusi dalam dan luar negara.
Ringkasan Bajet 2016 di sini: https://www.imoney.my/articles/malaysia-budget-2016-the-key-highlights-infographic

Boikot produk syarikat terlibat dengan pembakaran terbuka - FOMCA


KUALA LUMPUR: Tindakan memboikot produk syarikat yang terbabit dengan pembakaran terbuka di Indonesia oleh 200 badan bukan kerajaan (NGO) Malaysia wajar diberi perhatian.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) Mohd. Yusof Abdul Rahman, berkata pengguna mempunyai kuasa besar dalam menentukan kehendak pasaran negara.

Jelasnya, kuasa pengguna memboikot produk mereka sudah tentu akan memberi tekanan kepada syarikat terbabit.

Sehubungan itu, FOMCA menyeru pengguna di negara ini supaya memperhebat kempen memboikot produk oleh semua NGO terbabit.

Graduan jangan terlalu pilih kerja - Permaisuri Johor


JOHOR BAHRU: Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah bertitah menasihat graduan yang baru sahaja tamat pengajian supaya tidak terlalu memilih pekerjaan dalam ketidaktentuan ekonomi kini.

Baginda bertitah, "Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu kini sudah pasti cabaran dan kekangan dalam mendapatkan pekerjaan idaman terhad dan persaingannya juga hebat.

"Justeru, para graduan hendaklah bijak mengambil peluang dan merebut apa jua program yang dianjurkan kerajaan bagi membantu anda mencari pekerjaan," titah baginda ketika merasmikan sesi pertama konvokesyen Universiti Teknologi Malaysia (UTM) kali ke-55.

Raja Zarith Sofiah yang merupakan Canselor universiti itu turut berharap agar graduan tidak melupakan jasa dan pengorbanan ibu bapa yang sentiasa memberi sokongan dan motivasi ketika mereka mengikuti pengajian.

Penganut syiah berdepan tindakan tegas - JAIS


SHAH ALAM: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) memberi amaran akan bertindak tegas terhadap sesiapa di negeri itu yang terlibat dengan fahaman Syiah kerana ia terbukti menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar.

Pengarah JAIS Datuk Haris Kasim berkata ia selaras dengan keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor pada 17 Okt 2013 bahawa fahaman berkenaan bercanggah dengan ajaran Islam mengikut pandangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

"Mana-mana individu yang didapati mengamalkan ajaran dan fahaman Syiah boleh diambil tindakan kerana melakukan kesalahan mengikut undang-undang yang berkuat kuasa di negeri Selangor dan jika sabit kesalahan boleh didenda atau hukuman penjara," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata JAIS akan terus memantau kegiatan penganut fahaman itu menerusi operasi bersepadu yang dijalankan dengan kerjasama Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terutama pada sambutan Hari Karbala, acara yang disambut setiap tahun oleh penganut Syiah pada 10 Muharam.

Mengulas lanjut, Haris berkata fahaman syiah diharamkan kerana ajarannya menyeleweng, menyimpang daripada ajaran Islam yang sebenar serta boleh menimbulkan bahaya dan perpecahan kepada umat Islam.

Menurut Haris, terdapat 22 elemen yang dikenal pasti terkandung dalam fahaman Syiah dan telah diwartakan menyeleweng oleh jawatankuasa berkenaan.

Antaranya ialah mempercayai kemunculan Muhammad bin Hassan Al-Aksari sebagai Imam Mahdi bersama kumpulan orang yang telah mati untuk memberi keadilan; mempercayai hanya Saidina Ali sahaja yang menghimpun Al-Quran dengan sempurna dan menyamakan taraf Saidina Ali dengan Allah.
Haris menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sebarang kegiatan penganut Syiah segera membuat aduan kepada Bahagian Penguatkuasaan JAIS di talian 1800-88-2424 untuk tindakan lanjut.

Sesi perbincangan pastikan bekalan vaksin 5-serangkai mencukupi - KP Kesihatan


PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan terus mengadakan sesi perbincangan dengan syarikat pembekal dan konsesi bagi memastikan bekalan vaksin 5-Serangkai (DTaP-IPV//HiB) dalam negara sentiasa mencukupi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata Malaysia menggunakan vaksin 5-Serangkai dalam Program Imunisasi Kanak-kanak Kebangsaan, selaras dengan saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di fasa akhir Program Pembasmian Polio dunia.

Namun, sejak Jun tahun ini, beliau berkata seluruh dunia menghadapi masalah bekalan vaksin yang mengandungi "inactivated polio vaccine" (IPV) dan "acellular pertussis" (kombinasi dalam vaksin 5-Serangkai) yang hanya terdapat satu syarikat pembekal tunggal untuk memenuhi permintaan global.

Ketampakan rendah kurang 5 km dijangka berterusan sehingga esok


KUALA LUMPUR: Ketampakan rendah kurang daripada lima kilometer di sekitar perairan Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Terengganu dan Kelantan dijangka berterusan sehingga esok (Selasa).

Jabatan Meteorologi dalam kenyataan di sini Isnin memaklumkan, keadaan itu berbahaya kepada kapal-kapal yang tidak mempunyai sistem navigasi pelayaran.

Kawasan lain yang turut menghadapi masalah ketampakan serupa ialah sekitar perairan Phuket, Selat Melaka, Samui, Tioman dan Bunguran.

Lima muka baharu sertai PAC


KUALA LUMPUR - Empat ahli Parlimen BN dan seorang daripada Pas dilantik menganggotai keahlian Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang baharu bagi menggantikan ahli Parlimen yang dilantik ke Kabinet Julai lalu.

Nama mereka ‎tersenarai dalam minit mesyuarat Jawatankuasa Pemilih yang ditandatangani Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Memetik senarai yang dipilih, mereka yang dilantik adalah Ahli Parlimen Putatan, Datuk Dr Makin @ Marcus Mojigoh menggantikan Datuk Madius Tangau yang dilantik sebagai Menteri Teknologi, Sains dan Inovasi.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Alor Gajah, Datuk Koh Nai Kwong telah dilantik menggantikan wakil MCA, Datuk Chua Tee Yong, yang dilantik menjadi Timbalan Menteri Kewangan pada Jun tahun lalu.

Sementara itu, Ahli Parlimen Jasin, Datuk Ahmad Hamzah telah dilantik bagi menggantikan Datuk Mas Emieyati Shamsudin, manakala Ahli Parlimen Langkawi dari BN Datuk Nawawi Ahmad menggantikan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Sebelum ini, Mas Ermieyati telah dilantik sebagai Timbalan Menteri Pelancongan dan Reezal Merican pula telah dilantik sebagai Timbalan Menteri Luar oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada Julai dalam rombakan kabinetnya.

Sementara daripada Pas pula, Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan dilantik menggantikan Datuk Kamarudin Jaafar yang menyertai PKR bulan lalu.

PAC kini mempunyai 14 ahli termasuk pengerusi baharunya, Datuk Hasan Arifin yang merupakan Ahli Parlimen Rompin dari BN

Empat jasad murid Orang Asli selamat dikebumi


GUA MUSANG: Empat jasad murid Orang Asli Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi yang ditemui di Sungai Perias di sini selamat dikebumikan dalam sebuah kubur di Kampung Penad.

Empat jasad itu berupa dua mayat dan dua rangka milik Ika Ayel, 7, Haikal Yaakob, 8, Linda Rosli, 8, dan Juvina David, 7.

Keluarga mereka menuntut mayat anak masing-masing di Bilik Mayat Hospital Gua Musang (HGM) pukul 10 pagi dan bertolak ke Kampung Penad kira-kira 100 kilometer dari Bandar Gua Musang dengan menggunakan empat kenderaan pacuan empat roda melalui jalan pembalakan.

Dua murid iaitu Norieen dan Miksudiar Aluj, 11, ditemui hidup pada 9 Okt selepas hilang selama 48 hari di dalam hutan.

Gerakan mengesan seorang lagi murid, Sasa Sobrie, 8, masih diteruskan.

Kerajaan berusaha tambah doktor pakar


KUALA TERENGGANU - Bersesuaian dengan pertambahan bilangan hospital kerajaan di negara ini, kerajaan mengambil inisiatif untuk menambah bilangan doktor pakar bagi memastikan perkhidmatan ditawarkan selaras dengan kemudahan disediakan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam memaklumkan, pertambahan doktor pakar di negara ini meningkat tiga kali ganda berbanding tahun lalu.

"Ketika saya mula menjawat jawatan menteri kesihatan pada 2013, bilangan tenaga pakar hanya 300 orang. Pada 2014 kita tambah sehingga 700 orang dan pada tahun ini bilangan tenaga pakar sudah mencecah 1,000 orang.

"Kita juga menambah tempat latihan di hospital dan tenaga-tenaga pakar mengambil peperiksaan di luar negara seperti di United Kingdom (UK) melalui Royal College. Kini lebih kurang 300 doktor di Kementerian Kesihatan sedang mengikuti pengkhususan dalam beberapa bidang untuk peperiksaan itu," katanya selepas merasmikan Pusat Rawatan Ibu dan Bayu Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Dr S Subramaniam berkata, kerajaan juga mempunyai rancangan untuk menyelaraskan perkhidmatan dengan kemudahan disediakan iaitu memastikan rancangan sumber manusia bergerak seiring dengan penyediaan kemudahan termasuk hospital.

LUAR NEGARA

Rumah penduduk Palestin diroboh


TEBING BARAT - PALESTIN. Tentera rejim Zionis memusnahkan rumah penduduk Palestin di Hebron yang didakwa menyerang dan menikam seorang penduduk Israel hingga mati pada tahun lalu.

Saksi mendakwa 'hukuman' yang dikenakan ke atas Maher al-Hashlamoun itu turut mencetuskan protes antara puluhan pembaling batu dan tentera rejim Zionis, namun tiada kecederaan atau kematian dilaporkan.

Anggota gerakan Jihad Islam itu turut dikenakan hukuman penjara seumur hidup oleh mahkamah tentera selepas disabit bersalah membunuh Dalia Lemkus, Jun lalu.

Minggu lalu, Tel Aviv mengarahkan hukuman punitif dipertingkatkan di bawah dasar kontroversi terbaharu yang diluluskan Knesset kononnya sebagai respons terhadap gelombang keganasan yang meningkat sejak akhir-akhir ini.

Awal bulan lalu, 'hukuman' sama turut dikenakan ke atas rumah dua penduduk Palestin di Baitulmaqdis Timur yang didakwa terlibat dalam insiden serangan pada tahun lalu. 

Dalam insiden berasingan, pihak berkuasa Israel dilaporkan telah menahan pemimpin kanan Hamas, Hassan Yousef dalam satu serbuan di kediamannya di bandar Beitunia di barat daya Ramallah.

Difahamkan, Hassan, 60, diberkas semula selepas dibebaskan daripada penahanan pentadbiran pada Jun lalu.

Kira-kira 35 penduduk Palestin turut ditahan dalam serbuan ke atas beberapa buah rumah di Tebing Barat, lapor AFP.

Bashar bertemu Putin



MOSCOW - RUSIA . Presiden Syria, Bashar al-Assad, kelmarin membuat lawatan mengejut untuk bertemu dengan rakan sejawatannya, Vladimir Putin di ibu negara Rusia bagi membincangkan situasi yang semakin meruncing di negara bergolak itu.

Jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov berkata Bashar turut memaklumkan kepada sekutu kuatnya mengenai rancangan tentera kerajaan untuk memerangi kumpulan militan di Damsyik.
"Agenda utama mesyuarat dapat difahami dengan jelas kerana pertemuan itu turut disertai pembuat dasar Rusia," katanya.

Difahamkan, Putin juga menyatakan bahawa Moscow bersedia untuk memerangi keganasan secara bersama malah mereka mahu mencari penyelesaian politik kepada krisis yang berlarutan selama empat tahun di negara tersebut.

Menurut pemimpin itu, kira-kira 4,000 warga negara bekas Kesatuan Soviet itu dipercayai menyertai perjuangan kumpulan militan termasuk IS di Syria.

"Kerajaan tidak akan sesekali membenarkan mereka kembali semula ke negara ini," tegasnya.

Sementara itu, Bashar turut mengalu-alukan operasi ketenteraan dilancarkan Rusia yang menyasarkan kedudukan militan di Syria.

Sweden jangka terima 190,000 pemohon suaka


TOCKHOLM - SWEDEN. Agensi Migrasi Sweden memaklumkan kira-kira 190,000 pemohon suaka dijangka tiba di negara itu yang kini sedang bergelut dengan kebanjiran pelarian dari Syria.

Jurucakapnya berkata, sebanyak 33,000 daripada permohonan tersebut adalah kanak-kanak berseorangan.

Sebelum ini, agensi tersebut menjangkakan sebanyak 74,000 permohonan pada tahun ini, namun jumlah itu meningkat pada awal bulan lalu.

Dalam perkembangan berkaitan, Slovenia dilaporkan telah meminta bantuan anggota polis daripada Kesatuan Eropah (EU) untuk mengawal kemasukan migran dari Croatia.

Menteri Dalam Negeri, Vesna Gyorkos Znidar berkata, lebih 10,000 migran yang melarikan diri dari konflik di Syria telah tiba di Ljubljana sejak kelmarin.

"Kami terpaksa meminta bantuan unit polis dari negara anggota EU untuk menangani kemasukan beramai-ramai kumpulan pelarian terbabit," katanya dalam laporan AFP.

Jerebu: Pindah penduduk dengan kapal perang


JAKARTA - INDONESIA . Tentera Laut Indonesia (TNI-AL) akan menggunakan kapal perang untuk memindahkan lebih ramai penduduk sekali gus membantu usaha kerajaan menangani krisis kemanusiaan disebabkan kebakaran hutan di negara itu.

Menurut Ketua Jabatan Penerangan, Laksamana Pertama Muhammad Zainuddin, tentera laut mempunyai beberapa kapal pengangkut yang boleh digunakan dalam misi pemindahan dan kapal perang mereka juga mempunyai fungsi sama.

"Kapal perang Indonesia juga boleh digunakan untuk misi kemanusiaan. Pihak kami sentiasa bersedia memberi bantuan dan sokongan terhadap setiap keputusan serta program kerajaan," menurutnya.

Terdahulu, Menteri Penyelaras Politik, Undang-undang dan Keselamatan, Luhut Binsar Panjaitan memberitahu, rancangan memindahkan mangsa jerebu dan sedang mempertimbangkan untuk menggunakan kapal perang sebagai tempat perlindungan sementara. 

Biden enggan bertanding pilihan raya


WASHINGTON - AMERIKA SYARIKAT. Timbalan Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden mengesahkan bahawa beliau tidak akan bertanding dalam Pilihan Raya Presiden 2016, sekali gus menamatkan teka-teki selama beberapa bulan.

Biden, 72, membuat pengumuman itu dalam satu sidang media di Rose Garden di Rumah Putih bersama isterinya, Jill dan Presiden Barack Obama.

"Saya enggan menjadi calon kerana faktor masa yang sangat terbatas. Walaupun tidak bertanding, saya akan tetap lantang bersuara mengenai di mana kita harus berdiri sebagai sebuah parti," tegasnya.

Minggu lalu, keputusan kaji selidik menunjukkan hampir separuh penyokong parti Demokrat mahu Biden bersaing dengan bekas Setiausaha Negara, Hillary Clinton untuk mengambil alih jawatan presiden. 

Difahamkan, bekas Senator Delaware terbabit pernah bertanding dalam Pilihan Raya Presiden pada 1988 dan 2008, namun namanya terkeluar daripada senarai awal calon, lapor Reuters.

Remaja Palestin ditembak


BAITULMAQDIS - PALESTIN . Rejim Zionis menembak dan mencederakan seorang remaja lelaki Palestin selepas dia didakwa cuba menikam askar Israel di wilayah Tebing Barat yang diduduki.

"Penyerang terbabit menikam seorang anggota IDF berhampiran blok penempatan Yahudi di Gush Etzion. Tentera bertindak balas dengan melepaskan tembakan ke arah lelaki itu," kata sumber tentera Israel.

Pasukan perubatan yang tiba di tempat kejadian mengesahkan askar terbabit cuma mengalami cedera ringan.

Sementara itu, pihak berkuasa Palestin mengenal pasti remaja terbabit sebagai Mussab Ghanimat, 17, dari Sureif.

Dalam perkembangan berkaitan, kumpulan hak asasi banduan Adameer memaklumkan sekurang-kurangnya 876 rakyat Palestin ditahan tentera Israel sepanjang bulan ini.

"Penahanan terbaru itu menjadikan jumlah rakyat Palestin yang dipenjarakan rejim Zionis meningkat kepada 6,200 orang," katanya.

Sebelum ini, Pusat Kajian Tahanan Palestin (PCPS) melaporkan, sejak bermulanya gerakan intifada, pasukan keselamatan rejim Zionis telah memenjarakan seramai 280 kanak-kanak Palestin, dan semasa di dalam penjara mereka dihina, didera, dipukul serta diancam bunuh bertujuan untuk menakut-nakutkan mereka supaya tidak menyertai gerakan intifada. 

Bayi bertarung di lautan berjam lamanya


TURKI - Seorang bayi yang terapung selama berjam-jam yang hanya bergantung pada jaket keselamatan di Laut Aegean berjaya diselamatkan nelayan Turki yang kebetulan terlihat kelibatnya permukaan air.

Dua nelayan itu juga melihat beberapa pelarian lain yang terapung selepas menyelamatkan bayi yang dikenal pasti sebagai Muhammad Hasan.

Pada awalnya kapten bot, Recep Evran berkata, mereka menyangka Hasan tidak lagi bernyawa namun tiba-tiba bayi berusia 18 bulan itu mengeluarkan bunyi.

“Dia sangat pucat. Kaki dan tangan semua sudah bertukar menjadi putih. Kami tutup dia dengan selimut dan cuba menyelamatkannya,” katanya memetik laporan Hurriyet Daily News.

Hasan kini dikatakan dalam keadaan stabil dan bersama ibunya di hospital.

Bot dinaiki Hasan bersama pelarian lain yang menuju ke Greece dilaporkan terbalik Rabu lalu.

Lokasi Hasan diselamatkan itu tidak jauh dari pantai di mana jasad si kecil, Aylan Kurdi, 3 ditemui bulan lalu.

Aylan dan abangnya, Galip Kurdi, 5 adalah antara pelarian yang mati lemas selepas bot mereka karam dan ditemui hanyut di pantai Bodrum, Turki.

Jerebu landa selatan Filipina


MANILA - FILIPINA. Jerebu akibat kebakaran hutan di Indonesia mula merebak ke wilayah selatan Filipina.

Akibat jarak penglihatan yang buruk, syarikat penerbangan Cebu Pacific dan Philippine Airlines terpaksa membatalkan penerbangan antara Manila dengan bandar Dumaquete.

Pengumuman itu menjejaskan ribuan penumpang di 10 lapangan terbang.

Selatan Filipina terletak sejauh 1,200 kilometer dari kawasan kebakaran hutan di Indonesia, lapor CNA.

Aceh kuatkuasakan kanun jenayah syariah




BANDA ACEH - INDONESIA. Wilayah Aceh di Indonesia sudah menguatkuasakan kanun jenayah syariah yang ketat, kata pegawai pemerintah tempatan.

Ia antara lain menetapkan zina, homoseksualiti dan berkelakuan intim secara terbuka bagi pasangan yang belum bernikah sebagai kesalahan jenayah.

Aceh satu-satunya wilayah di negara itu yang melaksanakan hukum syariah.

“Golongan bukan Islam boleh memilih sama ada mahu dibicarakan di bawah hukum syariah atau di bawah kanun jenayah Indonesia,” kata ketua jabatan hukum syariah Aceh, Syahrizal Abbas.

Hukum syariah baharu itu juga menetapkan hukuman bagi kesalahan rogol dan gangguan seksual.

Tunjuk perasaan bantah kekejaman polis AS


NEW YORK - AMERIKA SYARIKAT. Ratusan penunjuk perasaan mengadakan perhimpunan di New York bagi membantah kekejaman polis terhadap rakyat Amerika Syarikat (AS), khususnya masyarakat kulit hitam.

Peserta berarak melalui jalan di sekitar bandar New York sempena acara RiseUpOctober yang bermula sejak Khamis lalu.

Bantahan turut disertai pemenang Anugerah Academy iaitu pengarah filem Quentin Tarantino dan ahli akademik Cornel West, yang sama-sama berhimpun di Washington Square Park, Manhattan, sebelum berarak sejauh kira-kira 3 kilometer.

Perhimpunan dianjurkan Carl Dix dari Parti Revolusi Komunis dengan bantuan daripada Stop Mass Incarceration Network itu bertujuan mengadakan tentangan besar-besaran terhadap penindasan.

Difahamkan, sebuah gerakan Black Lives Matter telah diwujudkan dan perdebatan mengenai keganasan polis mula dibangkitkan susulan tindakan pihak berkuasa membunuh beberapa lelaki kulit hitam termasuk Michael Brown, dan Eric Garner.

Protes dasar Netanyahu


TEL AVIV - ISRAEL. Ribuan penunjuk perasaan di Israel membanjiri jalan utama di sini, sebagai membantah dasar Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu yang didakwa menjadi punca peningkatan gelombang keganasan di wilayah Palestin termasuk di Genting Gaza.

Protes anjuran kumpulan aktivis, Peace Now itu turut berarak dari Dataran Habima menuju ke ibu pejabat Kementerian Hal Ehwal Ketenteraan sambil melaungkan slogan mendesak pemimpin tersebut menghentikan konflik tersebut dan menyertai sesi dialog dengan Palestin.

Seorang peserta protes, Daniel Dojon memberitahu dia turut serta dalam demonstrasi tersebut kerana situasi dilihat semakin meruncing di wilayah terbabit.

"Saya tidak bercakap mengenai keselamatan sebaliknya krisis ini berlaku kerana kelemahan dalam politik hingga menyebabkan ahli politik Israel menjadi lebih ekstrem," katanya.

Sementara itu, anggota parti berhaluan kiri, Meretz, Zehava Gal-On mendakwa Netanyahu gagal menyediakan keselamatan peribadi untuk penduduk Israel.

Dalam perkembangan lain, jurucakap Kementerian Kesihatan Gaza, Ashraf al-Qidra mengesahkan seorang lagi penduduk Palestin maut akibat ditembak tentera Zionis.

Menurutnya, Khalil Hassan Abu Obeid, 25, ditembak dalam insiden pertempuran di bahagian timur Khan Younis.

Hadis riwayat Nukman bin Basyir ra., ia berkata:
Rasulullah saw. bersabda: Perumpamaan orang-orang mukmin dalam hal saling kasih, saling menyayang dan saling cinta adalah seperti sebuah tubuh, jika salah satu anggotanya merasa sakit, maka anggota-anggota tubuh yang lain ikut merasakan sulit tidur dan demam. (Shahih Muslim No.4685)

Oct 21, 2015

[Info] Isu al-Quds: Amanat Ismail Haniyeh



Dr Ismail Haniyeh memberikan amanat di Persidangan Ketua-ketua Badan Kemanusiaan Sedunia yang memberi fokus isu Al-Quds di Istanbul pada 16 Oktober yang lalu dengan nada yang serius dan tegas.

Berikut adalah di antara beberapa amanat beliau:

1. Kami bercakap kepada anda dari Gaza yang sedang dikepung oleh rejim zionis yang zalim.

2. Anda dapat saksikan sekarang ini Intifadah ke-3 sedang menuju ke kemuncaknya hari demi hari.

3. Persidangan yang anda hadiri berada pada masa yang tepat untuk anda memberikan timbal balik yang sewajarnya dalam situasi di al-Aqsa yang sedang genting juga di seluruh Palestin.

4. Kita mejangkakan bahawa gerakan penentangan (Intafadah) ini berlaku kerana perkara-perkara atau realiti yang berlaku dalam Gaza mahupun di al-Quds yang dicetuskan oleh zionis dan kuncu-kuncunya. Tsunami ini adalah suatu medan untuk al-Aqsa.

5. Pisau yang biasanya digunakan untuk memotong roti di dapur, kini para pemuda Palestin menggunakannya untuk memotong mimpi dan cita-cita zionis. Dan mereka yang bergantung kepada rundingan dan perdamaian dengan Israel sewajarnya sedar dan akur dengan kezaliman sebenar zionis.

6. Hari ini (Jumaat) sewajibnya adalah hari kemarahan ke atas al-Quds. Kita mesti memberikan pengorbanan sepanjang masa untuk tanah suci dan pembebasan al-Aqsa mesti bermula dari sekarang.

7. Ia memerlukan dari ummah dalam bentuk apa juga - media, kewangan, kekuasaan dan sebagainya.

8. Apa yang kita lihat di Masjid al-Aqsa adalah suatu  sejarah pengorbanan dan memerlukan bantuan kita.

9. Saya menyatakan perkara penting di sini:-

a. Kita mesti menyokong intifadah dengan apa juga cara dan kita mesti mendokong mereka.
b. Persidangan ini mesti mendorong kepada meletakkan pusat kepada semua kepentingan dan keutamaan.
c. Persidangan ini mesti menghasilkan suatu pelan tindakan yang perlu dilaksanakan segera di lapangan.

10. Kita amat yakin bahawa kita akan menang dalam penentangan ini kerana ini adalah janji Allah dan penaklukan mesti berakhir.

11. Harinya sudah sampai untuk kita memasuki kesemua pintu Masjid al-Aqsa secepatnya dan tiada kelewatan, kerana al-Aqsa adalah amanah.

Catatan oleh:
Dr. Mohd Zin Kandar
Ahli Lembaga Pemegang Amanah (BoT)
Humanitarian Care Malaysia (MyCARE)

Sumber: FB Aqsa Syarif

Oct 19, 2015

[AMARGlobal] AMAR WEEKLY WRAP UP (13.10.2015~19.10.2015)

DALAM NEGARA :

Jerebu Kembali Teruk Disebabkan Oleh Ribut Tropika Koppu, Champi.

Taufan Koppu yang membadai Filipina.

KUALA LUMPUR: Keadaan berjerebu yang kembali teruk sejak beberapa hari lalu adalah disebabkan kehadiran ribut Tropika Koppu dan Champi di Filipina yang mempengaruhi corak tiupan angin di rantau ini. Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi, Datuk Che Gayah Ismail berkata keadaan itu menyebabkan angin yang bertiup lemah dari pelbagai hala sebelum ini, kembali bertiup dengan kelajuan sederhana dari arah barat daya yang membawa bersama jerebu dari kawasan kebakaran di Sumatera, Indonesia ke Semenanjung manakala jerebu dari kawasan kebakaran Selatan Kalimantan pula ke Sarawak. 

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS), Datuk Halimah Hassan  turut menasihati orang ramai supaya mengurangkan aktiviti di luar dan jika terpaksa keluar rumah, pemakaian topeng harus dilakukan sebagai langkah mengelakkan terkena penyakit akibat jerebu. Setakat ini, 17 kawasan mencatat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat dengan Seremban masih mencatatkan IPU tertinggi iaitu 194 diikuti Batu Muda, Kuala Lumpur (165); Banting, Selangor (164); Tawau, Sabah dan Nilai, Negeri Sembilan (masing-masing 157). Kawasan lain termasuk Bukit Rambai, Bandaraya Melaka dan Putrajaya masing-masing 154. Sebanyak 26 kawasan lagi mencatatkan IPU sederhana termasuk Kota Tinggi, Pasir Gudang di Johor, Alor Setar dan Langkawi di Kedah, Jalan Tasek, Ipoh dan Seri Manjung di Perak, Universiti Sains Malaysia di Pulau Pinang, Bintulu dan Samarahan di Sarawak serta Kuala Terengganu.
Tujuh lagi kawasan dilaporkan baik setakat ini antaranya Sekolah Menengah Kebangsaan Tanjung Chat, Kota Bharu dan Tanah Merah di Kelantan, Keningau dan Sandakan di Sabah, Institut Latihan Perindustrian Miri dan Limbang di Sarawak serta Labuan. Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategori sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (bahaya). 

Orang ramai boleh merujuk portal http://apims.doe.gov.my untuk mengetahui bacaan IPU semasa. - BERNAMA


Penularan Wabak Demam Kepialu di KL.

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan mengesahkan berlaku penularan wabak demam kepialu di beberapa kawasan bandar di ibu negara dengan 32 kes dicatatkan sejak Ogos tahun ini. Daripada semua kes jangkitan itu, Titiwangsa mencatatkan bilangan kes tertinggi iaitu 16 kes, diikuti Kepong (8 kes), Lembah Pantai (4 kes) dan Cheras (4 kes), dengan tiada kematian dilaporkan.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, dalam satu kenyataan media, berkata Kementerian Kesihatan mula mengesan kes demam kepialu sejak minggu pertama Ogos apabila menerima tujuh notifikasi membabitkan buruh binaan di Cheras yang bekerja berdekatan pusat bandar. Katanya, Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKWPKL) sedang menjalankan penyiasatan epidemiologi di lapangan bagi mengetahui punca jangkitan yang menyebabkan demam kepialu. 
Demam kepialu adalah penyakit yang disebabkan oleh bakteria Salmonella typhii yang mencemari makanan atau minuman. Seseorang yang dijangkiti akan mengalami gejala di antara satu hingga tiga minggu selepas mengambil makanan atau minuman tercemar. Gejala utama adalah keletihan, demam, sakit perut, sembelit dan sakit kepala. Pesakit juga boleh mengalami cirit-birit dan muntah. Jika tidak dirawat, gejala itu boleh berterusan sehingga beberapa minggu dan menyebabkan komplikasi seperti perdarahan dan kebocoran saluran penghadaman, keradangan otak dan psikosis. Mereka juga boleh menjadi pembawa bakteria ini tanpa menunjukkan sebarang gejala dan pembawa boleh menyebarkan bakteria melalui pengendalian makanan atau minuman. Dr Noor Hisham berkata, sejumlah 37 orang yang berhubungan dengan pesakit terdiri daripada ahli keluarga, rakan sekerja dan pengendali makanan, telah disaring dan 24 buah premis makanan diperiksa. Katanya, sejumlah 79 sampel najis dan empat sampel bekalan air minuman diambil bagi mengesan kehadiran bakteria ini, namun setakat ini belum ada sampel yang dilaporkan positif Salmonella typhii. "Kementerian Kesihatan Malaysia ingin mengingatkan orang ramai supaya sentiasa memberikan perhatian tinggi terhadap tahap kebersihan makanan dan minuman yang diambil bagi mengelakkan jangkitan," katanya. 


Kebakaran Hutan di Indonesia Hanya Boleh Dipadamkan Dengan Hujan.

PEMANDANGAN di Pengkalan Nelayan Batu 1 Port Dickson, Negeri Sembilan yang berjerebu mencatatkan bacaan IPU 154 iaitu kategori tidak sihat 

KUALA LUMPUR: Usaha antarabangsa bagi memadam kebakaran hutan di Indonesia akan gagal dan negara Asia Tenggara akan terus berhadapan dengan jerebu untuk beberapa minggu lagi sehinggalah musim hujan bermula, kata Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.Berikutan gesaan negara jiran, Indonesia awal bulan ini bersetuju menerima bantuan antarabangsa selepas beberapa minggu gagal memadam kebakaran ladang dan hutan yang menyebabkan jerebu sehingga ke Singapura dan Malaysia. Malaysia sekali lagi terpaksa menutup sekolah di beberapa negeri hari ini berikutan kualiti udara yang tidak sihat dan Wan Junaidi berkata krisis itu boleh berlarutan untuk sebulan lagi. 
Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/90152

Malaysia Gesa Palestin, Israel Kekang Tindakan.



PUTRAJAYA: Malaysia menggesa Palestin dan Israel mengekang tindakan dan mengambil langkah segera bagi menyekat keadaan dari menjadi bertambah buruk di rantau berkenaan.Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata, Malaysia percaya perdamaian dan toleransi merupakan cara yang dapat menjamin dialog berterusan untuk menyelesaikan konflik Palestin-Israel.Malaysia, katanya, mengutuk tindakan melampau anggota keselamatan Israel yang menyebabkan sebilangan besar jiwa terkorban, khususnya akibat penggunaan peluru hidup.  
Malaysia dengan itu menegaskan perlunya pasukan keselamatan Israel mematuhi standard antarabangsa dalam penggunaan pasukan tentera.Anifah dalam satu kenyataan melahirkan pandangan berat Malaysia terhadap keganasan yang merebak pantas ke seluruh Tebing Barat akibat pertempuran yang sedang berlaku antara rakyat Palestin dengan pasukan keselamatan Israel.Dalam seminggu lepas, pertempuran ganas antara rakyat Palestin dengan pasukan keselamatan Israel dilaporkan berlaku di lebih 50 lokasi berasingan, termasuk di Baitulmakdis Timur, Ramallah, Hebron, Bethlehem, Jenin, Tulkarm dan Nablus.Dalam pada itu, kata beliau Malaysia menyambut baik perarakan solidariti yang dianjurkan pada 18 Oktober oleh penduduk Palestin dan Israel, yang menggesa ditamatkan keganasan yang sedang berlaku.   - Bernama


TOL: Jangan Ambil Kesempatan Menaikan Harga Barang.

Tol


PEKAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mengingatkan peniaga agar tidak mengambil kesempatan menaikkan harga barangan berikutan kenaikan harga tol yang diumumkan baru-baru ini.
Pengarah KPDNKK Pahang, Shahruddin Jali berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang laporan atau aduan berkaitan kenaikan harga yang dari pengguna dan berharap agar keadaan tersebut kekal tanpa sebarang masalah.

"Kami hanya boleh memastikan harga barang tidak naik dengan menggunakan segala kuasa di bawah akta tersedia bagi memastikan kos baru tol yang dikenakan tidak diturunkan kepada pengguna kerana kebiasannya peniaga sering mengambil tindakan menaikkan harga barang dan perkhidmatan mereka apabila setiap apa jua yang kenaikan berlaku," katanya.

Shahruddin berkata, bagi memastikan perkara itu (kenaikan) tidak berlaku, pihaknya akan melihat kembali dari segi anti pencatutan kerana Akta Kawalan Harga masih dikuatkuasa di mana marginnya tidak boleh lebih dari kadar sebelum ini.Jelasnya, orang ramai boleh buat perbandingan harga terkini dan sebelum dan jika ada julat kenaikan yang tinggi pihak berkuasa akan membuat siasatan dan tindakan.

"Jika benar kenaikan berlaku pihak kami akan bagi notis tunjuk sebab kepada peniaga dan mereka perlu memberi penjelasan berhubung tindakan mereka itu.
"Kami turut memberi tumpuan kepada barang kawalan...diandaikan kenaikan harga berlaku maka kita akan bertindak di bawah undang-undang seperti Akta Kawalan harga dan Anti Pencatutan 2011 yang turut melibatkan Penandaan Harga, Akta Kawalan Bekalan 1961serta Akta Perlindungan Pengguna 1999," katanya.

Hospital Swasta Boleh Melakukan Pemindahan Organ.

KLANG: Hospital swasta di negara ini dibenarkan untuk melakukan pembedahan pemindahan organ jika memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam. Beliau berkata pada dasarnya, tiada kesalahan bagi hospital swasta melakukan pemindahan organ sekiranya mereka mempunyai individu dengan kelayakan mencukupi, memperoleh akreditasi serta pasukan sokongan untuk melakukan pembedahan itu dengan berkesan.

"Dari segi sejarah, kami membenarkan mereka (hospital swasta) melakukan pemindahan hati dan buah pinggang dengan syarat mereka mempunyai kemudahan dan petugas (melakukan pemindahan organ)," katanya.

Dr Subramaniam berkata demikian mengulas laporan sebuah akhbar bahawa rakyat Malaysia yang memerlukan pemindahan organ mendapati mereka terpaksa pergi ke luar negara kerana hospital swasta di sini, sukar untuk memenuhi kriteria baharu yang ditetapkan Kementerian Kesihatan dua tahun lepas.Beberapa hospital swasta melakukan pembedahan pemindahan sehingga berlaku kematian dan kementerian menutup operasi mereka.

Tangani Isu HIV/Aids Mengikut Perspektif Islam.


KUALA LUMPUR: Malaysia perlu lebih proaktif dalam menangani isu HIV/ Aids secara holistik mengikut perspektif Islam, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki. Beliau berkata sebagai sebuah negara Islam, Malaysia boleh menjadi model kepada negara Islam lain untuk mencontohi usaha negara dalam menangani isu tersebut.

"Penting untuk Malaysia memainkan peranan lebih proaktif, bahkan saya ingat kita (Malaysia) boleh berperanan sebagai 'leading nation' atau 'the leader' yang menerajui isu HIV/ Aids ini dalam perspektif Islam. "Apatah lagi Malaysia memang dihormati dalam kalangan negara-negara Pertubuhan Persidangan Islam (OIC)".

Persidangan sehari bertemakan "Together We Care" itu turut dihadiri Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Othman Mustapha. Mengulas mengenai persidangan itu, Asyraf berkata ia penting bagi memberi perspektif kepada masyarakat berhubung pendekatan Islam dalam menangani isu HIV/ Aids termasuk berkaitan persepsi.

"Ia (persepsi) berlaku di mana-mana sahaja, di negara Islam dan negara membangun terutamanya. Mereka mudah bersifat 'judgemental' atau menghukum kepada mereka yang menghidap HIV/ Aids tanpa memahami latar belakang mengenai penyakit ini.
"Walhal dalam Islam kita tidak boleh bersifat menghukum, kalau pun Islam ada prinsip dosa pahalanya, tetapi ia adalah hak Allah yang menentukan," katanya.

Asyraf pada majlis itu turut melancarkan buku Manual Islam dan HIV/ Aids dalam versi Bahasa Arab yang mampu menjadikan Malaysia sebagai tempat rujukan dan panduan kepada kepimpinan Islam seluruh dunia dalam usaha menangani HIV/ Aids.
Beliau berkata penerbitan buku itu yang sebelum ini diterbitkan dalam versi Bahasa Inggeris mampu melonjakkan Malaysia di persada antarabangsa sebagai negara Islam yang terkehadapan dalam menangani isu ini.
Persidangan kali ini antara lain bertujuan menjelaskan peranan yang telah dimainkan Malaysia melalui pendekatan agama Islam di samping perkongsian pintar antara Jakim dan negara luar yang melibatkan pengalaman dan kajian-kajian peringkat antarabangsa dan tempatan.
Kira-kira 350 peserta dengan 70 daripadanya peserta dari luar negara, Kementerian Kesihatan, Agensi Antidadah Kebangsaan dan Polis Diraja Malaysia, terlibat dalam persidangan kali ini. - Bernama

LUAR NEGARA :

Pesawat Perang Tersalah Sasaran, Puluhan Terbunuh.


Pesawat perang salah sasaran, puluhan maut


SANAA: YAMAN. Sekurang-kurangnya 30 pejuang yang setia kepada Presiden Yaman, Abd-Rabbu Mansour Hadi terbunuh apabila pesawat perang pakatan Arab Saudi menyasarkan pemberontak Houthi tersilap sasaran dan membedil sebuah kem tentera di wilayah Taiz. Menurut pegawai tempatan, serangan udara itu  turut menyebabkan 40 lagi cedera. Serangan pada Sabtu lalu di kawasan pergunungan berhampiran bandar Taiz itu  adalah tempat di mana pertempuran sengit berlaku di antara pejuang tempatan dan tentera yang setia kepada bekas Presiden Ali Abdullah Saleh.

LONDON: Protes Potong Gaji Oleh Ribuan Doktor.

Ribuan doktor sertai protes potong gaji di London



LONDON: BRITAIN. Kira-kira 20,000 doktor di Britain menyertai protes sebagai membantah pemotongan bayaran gaji tambahan dalam sengketa terbaharu antara profesion perubatan dan kerajaan. Menurut laporan AFP, bantahan dibuat selepas Setiausaha Kesihatan, Jeremy Hunt merancang untuk mengelaskan semula hari bekerja doktor junior yang didakwa akan menyebabkan pemotongan gaji sehingga 30 peratus .
Menurutnya, perubahan itu diharap dapat meningkatkan penjagaan pesakit dengan meletakkan lebih ramai doktor pada waktu hujung minggu, sekali gus mengurangkan tempoh bekerja mereka pada hari biasa.
Difahamkan, golongan doktor yang kehilangan bayaran upah tambahan itu akan diberikan pampasan menerusi kenaikan gaji asas.   

Pendatang Haram Yahudi Memecah Masuk Rumah Penduduk Palestin.

Yahudi pecah masuk rumah Palestin
Lelaki Palestin halang jalan dengan tayar terbakar ketika pertempuran pengawal sempadan di pusat pemeriksa Hawara, Tebing Barat.
TEBING BARAT: PALESTIN. Pendatang haram Israel dilaporkan menyerang beberapa kediaman rakyat Palestin di bahagian selatan Tebing Barat, di tengah-tengah ketegangan berterusan di wilayah diduduki itu.Sabtu lalu, sekumpulan pendatang haram Israel bertindak menyerbu bandar Hebron, terletak kira-kira 30 kilometer di selatan Baitulmaqdis dan memecah masuk beberapa buah rumah. Lima orang dari sebuah keluarga cedera dalam insiden itu dan mereka kemudiannya dikejarkan ke hospital berhampiran untuk menerima rawatan. Hari yang sama juga menyaksikan rejim Zionis menembak mati empat rakyat Palestin dan mencederakan seorang lagi di timur Baitulmaqdis dan Tebing Barat.
Menurut sumber dari kedua belah pihak, kesemua mangsa yang ditembak mati anggota keselamatan Israel adalah remaja Palestin.
Sementara itu, Kementerian Kesihatan Palestin memberitahu, sekurang-kurangnya 44 rakyatnya telah terbunuh di seluruh wilayah Tebing Barat sejak awal bulan ini. 

Belanda Sahkan MH17 Ditembak BUK Buatan Rusia.

MH17

SHAH ALAM: Pasukan penyiasat antarabangsa merumuskan bahawa pesawat penerbangan MAS,  MH17 ditembak  oleh peluru berpandu BUK buatan Rusia. Menurut laporan sebuah portal antarabangsa, ia diumumkan Pengerusi Lembaga Keselamatan Belanda, Tjibbe Joustra ketika membentangkan hasil siasatan tragedi MH17.
Menurut Joustra, hasil siasatan menunjukkan  peluru berpandu yang dilancarkan meletup di luar bahagian kiri kokpit pesawat berkenaan.

“Ia turut disokong dengan bukti rakaman mikrofon di dalam kokpit yang melaporkan mengesan bunyi letupan misil terbabit.
“Serpihan peluru berpandu itu ditemui di kawasan nahas dan juga di dalam bangkai pesawat tersebut,” katanya 

MH17 ditembak jatuh pada 17 Julai 2014 dan mengorbankan kesemua 298 penumpang dan anak kapal. BUK adalah peluru berpandu darat ke udara buatan Rusia.
Dalam pada itu, pihaknya turut berkata bahawa Ukraine sedia tahu mengenai risiko di kawasan berkenaan tehadap penerbangan awam.

13 Terkorban Dalam Kejadian Tanah Runtuh di Pakistan.


13 terkorban tanah runtuh di Pakistan



KARACHI: PAKISTAN. 13 orang termasuk tujuh kanak-kanak seawal usia enam bulan terbunuh selepas pondok yang didiami dihempap tanah runtuh ketika mereka sedang tidur, di Karachi, Pakistan, awal pagi semalam.
Menurut pihak berkuasa, kejadian sekitar pukul 2 pagi (waktu tempatan) itu berlaku apabila gumpalan batu dan tanah runtuh di kawasan setinggan lalu menghempap tiga pondok di kawasan Gulstan-e-Jauhar.

"Selepas hampir lima jam usaha mencari dan menyelamat (Sar) dijalankan, 13 mayat mangsa berjaya ditemui dan ditarik keluar dari timbunan tanah runtuh," menurut pegawai kanan polis Javed Jaskani.

Menurut Times of India, usaha menyelamat juga sedang giat dijalankan kerana sekurang-kurangnya tiga orang lagi dikhuatiri masih terperangkap di bawah runtuhan.
Sementara itu, Pesuruhjaya bandar Karachi, Shoaib Siddiqui berkata, semua mangsa yang meninggal dunia adalah dari keluarga yang sama, dan mereka dipercayai baru berpindah ke kawasan tersebut tiga hari lalu. Siasatan bersama antara polis dan pentadbiran bandar juga akan dilakukan untuk menyiasat punca tragedi berkenaan. 

Kisah Budak 3 Tahun Menjaga Ibunya Menjadi Perhatian.

Kisah budak 3 tahun jaga ibu jadi perhatian

HENAN: CHINA. Qianqian, kanak-kanak berusia tiga tahun menjadi perhatian netizen di China selepas dia dilaporkan menjaga sendiri ibunya yang terlatar di hospital akibat kemalangan September lalu. Ibunya, Wang Huixian patah beberapa tulang akibat kemalangan tersebut tidak mampu bergerak dan hanya terlantar di katil hospital.
Dia yang kematian ibu-bapanya akibat kemalangan dan terputus hubungan dengan bekas suaminya selepas bercerai terpaksa membiarkan anak kecilnya itu menjaganya di hospital.Malah, wanita itu juga terpaksa menanggung rawatan sendiri kerana pemandu yang melanggarnya melarikan diri. Dalam rakaman video yang disiarkan oleh Henan TV, Qianqian dilihat menjaga ibunya sendiri dengan  memberi makan dan minum, mengelap tubuh serta mencuci najis ibunya seperti orang dewasa. Kisah pengorbanan anak kecil itu yang menjadi viral di media sosial China sejak Rabu lalu mengundang simpati penduduk setempat untuk menghulurkan bantuan. Sementara itu, menurut Wang, sebanyak 6000 yuan berjaya dikumpulkan hasil derma oleh orang ramai.

"Derma tersebut akan digunakan untuk membuat beberapa pembedahan dan saya mengucapkan ribuan terima kasih di atas bantuan yang diberikan kepadanya sekeluarga," katanya.  

Penggodam Menjual Maklumat Tentera US kepada IS.



KUALA LUMPUR: Seorang penggodam yang ditangkap 15 Oktober lalu didakwa menjual maklumat tentera Amerika Syarkat (AS) kepada militan IS. Laporan CNN mengatakan Ardit Ferizi, seorang warganegara Kosovo didakwa menggodam sistem komputer sebuah syarikat di AS dan mencuri lebih 1,000 maklumat peribadi pekerja dan pegawai kerajaan AS. Menurut Penolong Peguam Negara, John Carlin mendakwa kes Feriza adalah yang pertama melibatkan gabungan jenayah siber dan tuduhan keganasan terhadap pihak berkuasa AS.
 
"Penahanan ini menunjukkan tekad kami untuk berhadapan dan membasmi usaha IS yang menyasarkan rakyat Amerika," kata Carlin dalam satu kenyataan.
 
Maklumat tersebut didakwa dicuri Ferizi dan diberikan kepada Junaid Hussein, seorang penggodam berbangsa Britain yang aktif merekrut untuk militan IS di media sosial. Ferizi juga dipercayai bertindak sebagai ketua kumpulan penggodam yang dikenali sebagai Kosova Hacker's Security.
 

"There is no wealth like knowledge,
and no poverty like ignorance."

Buddha