Oct 19, 2015

[AMARGlobal] AMAR WEEKLY WRAP UP (13.10.2015~19.10.2015)

DALAM NEGARA :

Jerebu Kembali Teruk Disebabkan Oleh Ribut Tropika Koppu, Champi.

Taufan Koppu yang membadai Filipina.

KUALA LUMPUR: Keadaan berjerebu yang kembali teruk sejak beberapa hari lalu adalah disebabkan kehadiran ribut Tropika Koppu dan Champi di Filipina yang mempengaruhi corak tiupan angin di rantau ini. Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi, Datuk Che Gayah Ismail berkata keadaan itu menyebabkan angin yang bertiup lemah dari pelbagai hala sebelum ini, kembali bertiup dengan kelajuan sederhana dari arah barat daya yang membawa bersama jerebu dari kawasan kebakaran di Sumatera, Indonesia ke Semenanjung manakala jerebu dari kawasan kebakaran Selatan Kalimantan pula ke Sarawak. 

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS), Datuk Halimah Hassan  turut menasihati orang ramai supaya mengurangkan aktiviti di luar dan jika terpaksa keluar rumah, pemakaian topeng harus dilakukan sebagai langkah mengelakkan terkena penyakit akibat jerebu. Setakat ini, 17 kawasan mencatat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat dengan Seremban masih mencatatkan IPU tertinggi iaitu 194 diikuti Batu Muda, Kuala Lumpur (165); Banting, Selangor (164); Tawau, Sabah dan Nilai, Negeri Sembilan (masing-masing 157). Kawasan lain termasuk Bukit Rambai, Bandaraya Melaka dan Putrajaya masing-masing 154. Sebanyak 26 kawasan lagi mencatatkan IPU sederhana termasuk Kota Tinggi, Pasir Gudang di Johor, Alor Setar dan Langkawi di Kedah, Jalan Tasek, Ipoh dan Seri Manjung di Perak, Universiti Sains Malaysia di Pulau Pinang, Bintulu dan Samarahan di Sarawak serta Kuala Terengganu.
Tujuh lagi kawasan dilaporkan baik setakat ini antaranya Sekolah Menengah Kebangsaan Tanjung Chat, Kota Bharu dan Tanah Merah di Kelantan, Keningau dan Sandakan di Sabah, Institut Latihan Perindustrian Miri dan Limbang di Sarawak serta Labuan. Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategori sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (bahaya). 

Orang ramai boleh merujuk portal http://apims.doe.gov.my untuk mengetahui bacaan IPU semasa. - BERNAMA


Penularan Wabak Demam Kepialu di KL.

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan mengesahkan berlaku penularan wabak demam kepialu di beberapa kawasan bandar di ibu negara dengan 32 kes dicatatkan sejak Ogos tahun ini. Daripada semua kes jangkitan itu, Titiwangsa mencatatkan bilangan kes tertinggi iaitu 16 kes, diikuti Kepong (8 kes), Lembah Pantai (4 kes) dan Cheras (4 kes), dengan tiada kematian dilaporkan.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, dalam satu kenyataan media, berkata Kementerian Kesihatan mula mengesan kes demam kepialu sejak minggu pertama Ogos apabila menerima tujuh notifikasi membabitkan buruh binaan di Cheras yang bekerja berdekatan pusat bandar. Katanya, Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKWPKL) sedang menjalankan penyiasatan epidemiologi di lapangan bagi mengetahui punca jangkitan yang menyebabkan demam kepialu. 
Demam kepialu adalah penyakit yang disebabkan oleh bakteria Salmonella typhii yang mencemari makanan atau minuman. Seseorang yang dijangkiti akan mengalami gejala di antara satu hingga tiga minggu selepas mengambil makanan atau minuman tercemar. Gejala utama adalah keletihan, demam, sakit perut, sembelit dan sakit kepala. Pesakit juga boleh mengalami cirit-birit dan muntah. Jika tidak dirawat, gejala itu boleh berterusan sehingga beberapa minggu dan menyebabkan komplikasi seperti perdarahan dan kebocoran saluran penghadaman, keradangan otak dan psikosis. Mereka juga boleh menjadi pembawa bakteria ini tanpa menunjukkan sebarang gejala dan pembawa boleh menyebarkan bakteria melalui pengendalian makanan atau minuman. Dr Noor Hisham berkata, sejumlah 37 orang yang berhubungan dengan pesakit terdiri daripada ahli keluarga, rakan sekerja dan pengendali makanan, telah disaring dan 24 buah premis makanan diperiksa. Katanya, sejumlah 79 sampel najis dan empat sampel bekalan air minuman diambil bagi mengesan kehadiran bakteria ini, namun setakat ini belum ada sampel yang dilaporkan positif Salmonella typhii. "Kementerian Kesihatan Malaysia ingin mengingatkan orang ramai supaya sentiasa memberikan perhatian tinggi terhadap tahap kebersihan makanan dan minuman yang diambil bagi mengelakkan jangkitan," katanya. 


Kebakaran Hutan di Indonesia Hanya Boleh Dipadamkan Dengan Hujan.

PEMANDANGAN di Pengkalan Nelayan Batu 1 Port Dickson, Negeri Sembilan yang berjerebu mencatatkan bacaan IPU 154 iaitu kategori tidak sihat 

KUALA LUMPUR: Usaha antarabangsa bagi memadam kebakaran hutan di Indonesia akan gagal dan negara Asia Tenggara akan terus berhadapan dengan jerebu untuk beberapa minggu lagi sehinggalah musim hujan bermula, kata Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.Berikutan gesaan negara jiran, Indonesia awal bulan ini bersetuju menerima bantuan antarabangsa selepas beberapa minggu gagal memadam kebakaran ladang dan hutan yang menyebabkan jerebu sehingga ke Singapura dan Malaysia. Malaysia sekali lagi terpaksa menutup sekolah di beberapa negeri hari ini berikutan kualiti udara yang tidak sihat dan Wan Junaidi berkata krisis itu boleh berlarutan untuk sebulan lagi. 
Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/90152

Malaysia Gesa Palestin, Israel Kekang Tindakan.



PUTRAJAYA: Malaysia menggesa Palestin dan Israel mengekang tindakan dan mengambil langkah segera bagi menyekat keadaan dari menjadi bertambah buruk di rantau berkenaan.Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata, Malaysia percaya perdamaian dan toleransi merupakan cara yang dapat menjamin dialog berterusan untuk menyelesaikan konflik Palestin-Israel.Malaysia, katanya, mengutuk tindakan melampau anggota keselamatan Israel yang menyebabkan sebilangan besar jiwa terkorban, khususnya akibat penggunaan peluru hidup.  
Malaysia dengan itu menegaskan perlunya pasukan keselamatan Israel mematuhi standard antarabangsa dalam penggunaan pasukan tentera.Anifah dalam satu kenyataan melahirkan pandangan berat Malaysia terhadap keganasan yang merebak pantas ke seluruh Tebing Barat akibat pertempuran yang sedang berlaku antara rakyat Palestin dengan pasukan keselamatan Israel.Dalam seminggu lepas, pertempuran ganas antara rakyat Palestin dengan pasukan keselamatan Israel dilaporkan berlaku di lebih 50 lokasi berasingan, termasuk di Baitulmakdis Timur, Ramallah, Hebron, Bethlehem, Jenin, Tulkarm dan Nablus.Dalam pada itu, kata beliau Malaysia menyambut baik perarakan solidariti yang dianjurkan pada 18 Oktober oleh penduduk Palestin dan Israel, yang menggesa ditamatkan keganasan yang sedang berlaku.   - Bernama


TOL: Jangan Ambil Kesempatan Menaikan Harga Barang.

Tol


PEKAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mengingatkan peniaga agar tidak mengambil kesempatan menaikkan harga barangan berikutan kenaikan harga tol yang diumumkan baru-baru ini.
Pengarah KPDNKK Pahang, Shahruddin Jali berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang laporan atau aduan berkaitan kenaikan harga yang dari pengguna dan berharap agar keadaan tersebut kekal tanpa sebarang masalah.

"Kami hanya boleh memastikan harga barang tidak naik dengan menggunakan segala kuasa di bawah akta tersedia bagi memastikan kos baru tol yang dikenakan tidak diturunkan kepada pengguna kerana kebiasannya peniaga sering mengambil tindakan menaikkan harga barang dan perkhidmatan mereka apabila setiap apa jua yang kenaikan berlaku," katanya.

Shahruddin berkata, bagi memastikan perkara itu (kenaikan) tidak berlaku, pihaknya akan melihat kembali dari segi anti pencatutan kerana Akta Kawalan Harga masih dikuatkuasa di mana marginnya tidak boleh lebih dari kadar sebelum ini.Jelasnya, orang ramai boleh buat perbandingan harga terkini dan sebelum dan jika ada julat kenaikan yang tinggi pihak berkuasa akan membuat siasatan dan tindakan.

"Jika benar kenaikan berlaku pihak kami akan bagi notis tunjuk sebab kepada peniaga dan mereka perlu memberi penjelasan berhubung tindakan mereka itu.
"Kami turut memberi tumpuan kepada barang kawalan...diandaikan kenaikan harga berlaku maka kita akan bertindak di bawah undang-undang seperti Akta Kawalan harga dan Anti Pencatutan 2011 yang turut melibatkan Penandaan Harga, Akta Kawalan Bekalan 1961serta Akta Perlindungan Pengguna 1999," katanya.

Hospital Swasta Boleh Melakukan Pemindahan Organ.

KLANG: Hospital swasta di negara ini dibenarkan untuk melakukan pembedahan pemindahan organ jika memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam. Beliau berkata pada dasarnya, tiada kesalahan bagi hospital swasta melakukan pemindahan organ sekiranya mereka mempunyai individu dengan kelayakan mencukupi, memperoleh akreditasi serta pasukan sokongan untuk melakukan pembedahan itu dengan berkesan.

"Dari segi sejarah, kami membenarkan mereka (hospital swasta) melakukan pemindahan hati dan buah pinggang dengan syarat mereka mempunyai kemudahan dan petugas (melakukan pemindahan organ)," katanya.

Dr Subramaniam berkata demikian mengulas laporan sebuah akhbar bahawa rakyat Malaysia yang memerlukan pemindahan organ mendapati mereka terpaksa pergi ke luar negara kerana hospital swasta di sini, sukar untuk memenuhi kriteria baharu yang ditetapkan Kementerian Kesihatan dua tahun lepas.Beberapa hospital swasta melakukan pembedahan pemindahan sehingga berlaku kematian dan kementerian menutup operasi mereka.

Tangani Isu HIV/Aids Mengikut Perspektif Islam.


KUALA LUMPUR: Malaysia perlu lebih proaktif dalam menangani isu HIV/ Aids secara holistik mengikut perspektif Islam, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki. Beliau berkata sebagai sebuah negara Islam, Malaysia boleh menjadi model kepada negara Islam lain untuk mencontohi usaha negara dalam menangani isu tersebut.

"Penting untuk Malaysia memainkan peranan lebih proaktif, bahkan saya ingat kita (Malaysia) boleh berperanan sebagai 'leading nation' atau 'the leader' yang menerajui isu HIV/ Aids ini dalam perspektif Islam. "Apatah lagi Malaysia memang dihormati dalam kalangan negara-negara Pertubuhan Persidangan Islam (OIC)".

Persidangan sehari bertemakan "Together We Care" itu turut dihadiri Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Othman Mustapha. Mengulas mengenai persidangan itu, Asyraf berkata ia penting bagi memberi perspektif kepada masyarakat berhubung pendekatan Islam dalam menangani isu HIV/ Aids termasuk berkaitan persepsi.

"Ia (persepsi) berlaku di mana-mana sahaja, di negara Islam dan negara membangun terutamanya. Mereka mudah bersifat 'judgemental' atau menghukum kepada mereka yang menghidap HIV/ Aids tanpa memahami latar belakang mengenai penyakit ini.
"Walhal dalam Islam kita tidak boleh bersifat menghukum, kalau pun Islam ada prinsip dosa pahalanya, tetapi ia adalah hak Allah yang menentukan," katanya.

Asyraf pada majlis itu turut melancarkan buku Manual Islam dan HIV/ Aids dalam versi Bahasa Arab yang mampu menjadikan Malaysia sebagai tempat rujukan dan panduan kepada kepimpinan Islam seluruh dunia dalam usaha menangani HIV/ Aids.
Beliau berkata penerbitan buku itu yang sebelum ini diterbitkan dalam versi Bahasa Inggeris mampu melonjakkan Malaysia di persada antarabangsa sebagai negara Islam yang terkehadapan dalam menangani isu ini.
Persidangan kali ini antara lain bertujuan menjelaskan peranan yang telah dimainkan Malaysia melalui pendekatan agama Islam di samping perkongsian pintar antara Jakim dan negara luar yang melibatkan pengalaman dan kajian-kajian peringkat antarabangsa dan tempatan.
Kira-kira 350 peserta dengan 70 daripadanya peserta dari luar negara, Kementerian Kesihatan, Agensi Antidadah Kebangsaan dan Polis Diraja Malaysia, terlibat dalam persidangan kali ini. - Bernama

LUAR NEGARA :

Pesawat Perang Tersalah Sasaran, Puluhan Terbunuh.


Pesawat perang salah sasaran, puluhan maut


SANAA: YAMAN. Sekurang-kurangnya 30 pejuang yang setia kepada Presiden Yaman, Abd-Rabbu Mansour Hadi terbunuh apabila pesawat perang pakatan Arab Saudi menyasarkan pemberontak Houthi tersilap sasaran dan membedil sebuah kem tentera di wilayah Taiz. Menurut pegawai tempatan, serangan udara itu  turut menyebabkan 40 lagi cedera. Serangan pada Sabtu lalu di kawasan pergunungan berhampiran bandar Taiz itu  adalah tempat di mana pertempuran sengit berlaku di antara pejuang tempatan dan tentera yang setia kepada bekas Presiden Ali Abdullah Saleh.

LONDON: Protes Potong Gaji Oleh Ribuan Doktor.

Ribuan doktor sertai protes potong gaji di London



LONDON: BRITAIN. Kira-kira 20,000 doktor di Britain menyertai protes sebagai membantah pemotongan bayaran gaji tambahan dalam sengketa terbaharu antara profesion perubatan dan kerajaan. Menurut laporan AFP, bantahan dibuat selepas Setiausaha Kesihatan, Jeremy Hunt merancang untuk mengelaskan semula hari bekerja doktor junior yang didakwa akan menyebabkan pemotongan gaji sehingga 30 peratus .
Menurutnya, perubahan itu diharap dapat meningkatkan penjagaan pesakit dengan meletakkan lebih ramai doktor pada waktu hujung minggu, sekali gus mengurangkan tempoh bekerja mereka pada hari biasa.
Difahamkan, golongan doktor yang kehilangan bayaran upah tambahan itu akan diberikan pampasan menerusi kenaikan gaji asas.   

Pendatang Haram Yahudi Memecah Masuk Rumah Penduduk Palestin.

Yahudi pecah masuk rumah Palestin
Lelaki Palestin halang jalan dengan tayar terbakar ketika pertempuran pengawal sempadan di pusat pemeriksa Hawara, Tebing Barat.
TEBING BARAT: PALESTIN. Pendatang haram Israel dilaporkan menyerang beberapa kediaman rakyat Palestin di bahagian selatan Tebing Barat, di tengah-tengah ketegangan berterusan di wilayah diduduki itu.Sabtu lalu, sekumpulan pendatang haram Israel bertindak menyerbu bandar Hebron, terletak kira-kira 30 kilometer di selatan Baitulmaqdis dan memecah masuk beberapa buah rumah. Lima orang dari sebuah keluarga cedera dalam insiden itu dan mereka kemudiannya dikejarkan ke hospital berhampiran untuk menerima rawatan. Hari yang sama juga menyaksikan rejim Zionis menembak mati empat rakyat Palestin dan mencederakan seorang lagi di timur Baitulmaqdis dan Tebing Barat.
Menurut sumber dari kedua belah pihak, kesemua mangsa yang ditembak mati anggota keselamatan Israel adalah remaja Palestin.
Sementara itu, Kementerian Kesihatan Palestin memberitahu, sekurang-kurangnya 44 rakyatnya telah terbunuh di seluruh wilayah Tebing Barat sejak awal bulan ini. 

Belanda Sahkan MH17 Ditembak BUK Buatan Rusia.

MH17

SHAH ALAM: Pasukan penyiasat antarabangsa merumuskan bahawa pesawat penerbangan MAS,  MH17 ditembak  oleh peluru berpandu BUK buatan Rusia. Menurut laporan sebuah portal antarabangsa, ia diumumkan Pengerusi Lembaga Keselamatan Belanda, Tjibbe Joustra ketika membentangkan hasil siasatan tragedi MH17.
Menurut Joustra, hasil siasatan menunjukkan  peluru berpandu yang dilancarkan meletup di luar bahagian kiri kokpit pesawat berkenaan.

“Ia turut disokong dengan bukti rakaman mikrofon di dalam kokpit yang melaporkan mengesan bunyi letupan misil terbabit.
“Serpihan peluru berpandu itu ditemui di kawasan nahas dan juga di dalam bangkai pesawat tersebut,” katanya 

MH17 ditembak jatuh pada 17 Julai 2014 dan mengorbankan kesemua 298 penumpang dan anak kapal. BUK adalah peluru berpandu darat ke udara buatan Rusia.
Dalam pada itu, pihaknya turut berkata bahawa Ukraine sedia tahu mengenai risiko di kawasan berkenaan tehadap penerbangan awam.

13 Terkorban Dalam Kejadian Tanah Runtuh di Pakistan.


13 terkorban tanah runtuh di Pakistan



KARACHI: PAKISTAN. 13 orang termasuk tujuh kanak-kanak seawal usia enam bulan terbunuh selepas pondok yang didiami dihempap tanah runtuh ketika mereka sedang tidur, di Karachi, Pakistan, awal pagi semalam.
Menurut pihak berkuasa, kejadian sekitar pukul 2 pagi (waktu tempatan) itu berlaku apabila gumpalan batu dan tanah runtuh di kawasan setinggan lalu menghempap tiga pondok di kawasan Gulstan-e-Jauhar.

"Selepas hampir lima jam usaha mencari dan menyelamat (Sar) dijalankan, 13 mayat mangsa berjaya ditemui dan ditarik keluar dari timbunan tanah runtuh," menurut pegawai kanan polis Javed Jaskani.

Menurut Times of India, usaha menyelamat juga sedang giat dijalankan kerana sekurang-kurangnya tiga orang lagi dikhuatiri masih terperangkap di bawah runtuhan.
Sementara itu, Pesuruhjaya bandar Karachi, Shoaib Siddiqui berkata, semua mangsa yang meninggal dunia adalah dari keluarga yang sama, dan mereka dipercayai baru berpindah ke kawasan tersebut tiga hari lalu. Siasatan bersama antara polis dan pentadbiran bandar juga akan dilakukan untuk menyiasat punca tragedi berkenaan. 

Kisah Budak 3 Tahun Menjaga Ibunya Menjadi Perhatian.

Kisah budak 3 tahun jaga ibu jadi perhatian

HENAN: CHINA. Qianqian, kanak-kanak berusia tiga tahun menjadi perhatian netizen di China selepas dia dilaporkan menjaga sendiri ibunya yang terlatar di hospital akibat kemalangan September lalu. Ibunya, Wang Huixian patah beberapa tulang akibat kemalangan tersebut tidak mampu bergerak dan hanya terlantar di katil hospital.
Dia yang kematian ibu-bapanya akibat kemalangan dan terputus hubungan dengan bekas suaminya selepas bercerai terpaksa membiarkan anak kecilnya itu menjaganya di hospital.Malah, wanita itu juga terpaksa menanggung rawatan sendiri kerana pemandu yang melanggarnya melarikan diri. Dalam rakaman video yang disiarkan oleh Henan TV, Qianqian dilihat menjaga ibunya sendiri dengan  memberi makan dan minum, mengelap tubuh serta mencuci najis ibunya seperti orang dewasa. Kisah pengorbanan anak kecil itu yang menjadi viral di media sosial China sejak Rabu lalu mengundang simpati penduduk setempat untuk menghulurkan bantuan. Sementara itu, menurut Wang, sebanyak 6000 yuan berjaya dikumpulkan hasil derma oleh orang ramai.

"Derma tersebut akan digunakan untuk membuat beberapa pembedahan dan saya mengucapkan ribuan terima kasih di atas bantuan yang diberikan kepadanya sekeluarga," katanya.  

Penggodam Menjual Maklumat Tentera US kepada IS.



KUALA LUMPUR: Seorang penggodam yang ditangkap 15 Oktober lalu didakwa menjual maklumat tentera Amerika Syarkat (AS) kepada militan IS. Laporan CNN mengatakan Ardit Ferizi, seorang warganegara Kosovo didakwa menggodam sistem komputer sebuah syarikat di AS dan mencuri lebih 1,000 maklumat peribadi pekerja dan pegawai kerajaan AS. Menurut Penolong Peguam Negara, John Carlin mendakwa kes Feriza adalah yang pertama melibatkan gabungan jenayah siber dan tuduhan keganasan terhadap pihak berkuasa AS.
 
"Penahanan ini menunjukkan tekad kami untuk berhadapan dan membasmi usaha IS yang menyasarkan rakyat Amerika," kata Carlin dalam satu kenyataan.
 
Maklumat tersebut didakwa dicuri Ferizi dan diberikan kepada Junaid Hussein, seorang penggodam berbangsa Britain yang aktif merekrut untuk militan IS di media sosial. Ferizi juga dipercayai bertindak sebagai ketua kumpulan penggodam yang dikenali sebagai Kosova Hacker's Security.
 

"There is no wealth like knowledge,
and no poverty like ignorance."

Buddha



No comments:

Post a Comment