Oct 26, 2015

[AMARGlobal] AMAR WEEKLY WRAP UP (20.10.2015~26.10.2015)




DALAM NEGARA

Yang di-Pertuan Agong jalani rawatan berkala di IJN


KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah menjalani rawatan berkala seperti yang dijadualkan di Institut Jantung Negara (IJN).

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Wira Awang Kechik Abdul Rahman dalam satu kenyataan di sini  berkata Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, 88, berangkat ke IJN pada 10.30 malam (Khamis 22 Okt) dengan kenderaan rasmi Seri Paduka bagi menjalani pemeriksaan kesihatan berkala seperti yang dijadualkan.

"Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sedang berehat dan dijangka akan kembali bertugas secepat mungkin," katanya.

Beliau berkata Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah turut menzahirkan rasa terharu dan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang sentiasa mendoakan kesihatan dan kesejahteraan baginda.

Bajet2016: Kerajaan dengar keluhan kelas pertengahan di Malaysia


KUALA LUMPUR: Bajet 2016 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Rakyat buat pertama kalinya memberikan perhatian langsung kepada golongan kelas menengah yang dilihat terlepas pandang dalam beberapa pembentangan bajet sepanjang beberapa tahun sebelum ini.

Mulai tahun depan, kumpulan yang diistilah oleh Perdana Menteri sebagai M40 iaitu kelompok isi rumah yang berpendapatan antara RM3,860 hingga RM8,320 akan mendapat beberapa insentif dalam bentuk lebihan pendapatan boleh belanja melalui pelepasan cukai tambahan.

"Definisi M40 ini, akan terus Kerajaan perincikan dari masa ke semasa," kata Najib.

Insentif kepada golongan itu termasuklah:

  1. Had pelepasan cukai bagi setiap anak berumur di bawah 18 tahun mulai taksiran 2016 digandakan daripada RM1,000 kepada RM2,000;
  2. Pelepasan cukai bagi pembayar individu yang pasangannya tidak mempunyai pendapatan dinaikkan daripada RM3,000 kepada RM4,000;
  3. Pelepasan cukai terkumpul kepada anak yang menyara ibu bapa iaitu sebanyak RM1,500 ringgit untuk ibu dan RM1,500 ringgit lagi untuk bapa dengan syarat ibu dan bapa masing-masing tidak berpendapatan melebihi 2 ribu ringgit sebulan dan berumur 60 tahun ke atas.
  4. Menaikkan had pelepasan cukai daripada RM6,000 kepada RM8,000 bagi setiap anak berumur 18 tahun dan ke atas yang sedang melanjutkan pengajian di institusi pengajian dalam dan luar negara mulai tahun taksiran 2016; dan
  5. Had pelepasan cukai dinaikkan daripada RM6,000 kepada RM8,000 mulai tahun taksiran 2016 bagi ibu bapa kepada anak-anak Orang Kurang Upaya yang sedang melanjutkan pengajian di institusi dalam dan luar negara.
Ringkasan Bajet 2016 di sini: https://www.imoney.my/articles/malaysia-budget-2016-the-key-highlights-infographic

Boikot produk syarikat terlibat dengan pembakaran terbuka - FOMCA


KUALA LUMPUR: Tindakan memboikot produk syarikat yang terbabit dengan pembakaran terbuka di Indonesia oleh 200 badan bukan kerajaan (NGO) Malaysia wajar diberi perhatian.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) Mohd. Yusof Abdul Rahman, berkata pengguna mempunyai kuasa besar dalam menentukan kehendak pasaran negara.

Jelasnya, kuasa pengguna memboikot produk mereka sudah tentu akan memberi tekanan kepada syarikat terbabit.

Sehubungan itu, FOMCA menyeru pengguna di negara ini supaya memperhebat kempen memboikot produk oleh semua NGO terbabit.

Graduan jangan terlalu pilih kerja - Permaisuri Johor


JOHOR BAHRU: Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah bertitah menasihat graduan yang baru sahaja tamat pengajian supaya tidak terlalu memilih pekerjaan dalam ketidaktentuan ekonomi kini.

Baginda bertitah, "Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu kini sudah pasti cabaran dan kekangan dalam mendapatkan pekerjaan idaman terhad dan persaingannya juga hebat.

"Justeru, para graduan hendaklah bijak mengambil peluang dan merebut apa jua program yang dianjurkan kerajaan bagi membantu anda mencari pekerjaan," titah baginda ketika merasmikan sesi pertama konvokesyen Universiti Teknologi Malaysia (UTM) kali ke-55.

Raja Zarith Sofiah yang merupakan Canselor universiti itu turut berharap agar graduan tidak melupakan jasa dan pengorbanan ibu bapa yang sentiasa memberi sokongan dan motivasi ketika mereka mengikuti pengajian.

Penganut syiah berdepan tindakan tegas - JAIS


SHAH ALAM: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) memberi amaran akan bertindak tegas terhadap sesiapa di negeri itu yang terlibat dengan fahaman Syiah kerana ia terbukti menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar.

Pengarah JAIS Datuk Haris Kasim berkata ia selaras dengan keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor pada 17 Okt 2013 bahawa fahaman berkenaan bercanggah dengan ajaran Islam mengikut pandangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

"Mana-mana individu yang didapati mengamalkan ajaran dan fahaman Syiah boleh diambil tindakan kerana melakukan kesalahan mengikut undang-undang yang berkuat kuasa di negeri Selangor dan jika sabit kesalahan boleh didenda atau hukuman penjara," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata JAIS akan terus memantau kegiatan penganut fahaman itu menerusi operasi bersepadu yang dijalankan dengan kerjasama Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terutama pada sambutan Hari Karbala, acara yang disambut setiap tahun oleh penganut Syiah pada 10 Muharam.

Mengulas lanjut, Haris berkata fahaman syiah diharamkan kerana ajarannya menyeleweng, menyimpang daripada ajaran Islam yang sebenar serta boleh menimbulkan bahaya dan perpecahan kepada umat Islam.

Menurut Haris, terdapat 22 elemen yang dikenal pasti terkandung dalam fahaman Syiah dan telah diwartakan menyeleweng oleh jawatankuasa berkenaan.

Antaranya ialah mempercayai kemunculan Muhammad bin Hassan Al-Aksari sebagai Imam Mahdi bersama kumpulan orang yang telah mati untuk memberi keadilan; mempercayai hanya Saidina Ali sahaja yang menghimpun Al-Quran dengan sempurna dan menyamakan taraf Saidina Ali dengan Allah.
Haris menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sebarang kegiatan penganut Syiah segera membuat aduan kepada Bahagian Penguatkuasaan JAIS di talian 1800-88-2424 untuk tindakan lanjut.

Sesi perbincangan pastikan bekalan vaksin 5-serangkai mencukupi - KP Kesihatan


PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan terus mengadakan sesi perbincangan dengan syarikat pembekal dan konsesi bagi memastikan bekalan vaksin 5-Serangkai (DTaP-IPV//HiB) dalam negara sentiasa mencukupi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata Malaysia menggunakan vaksin 5-Serangkai dalam Program Imunisasi Kanak-kanak Kebangsaan, selaras dengan saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di fasa akhir Program Pembasmian Polio dunia.

Namun, sejak Jun tahun ini, beliau berkata seluruh dunia menghadapi masalah bekalan vaksin yang mengandungi "inactivated polio vaccine" (IPV) dan "acellular pertussis" (kombinasi dalam vaksin 5-Serangkai) yang hanya terdapat satu syarikat pembekal tunggal untuk memenuhi permintaan global.

Ketampakan rendah kurang 5 km dijangka berterusan sehingga esok


KUALA LUMPUR: Ketampakan rendah kurang daripada lima kilometer di sekitar perairan Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Terengganu dan Kelantan dijangka berterusan sehingga esok (Selasa).

Jabatan Meteorologi dalam kenyataan di sini Isnin memaklumkan, keadaan itu berbahaya kepada kapal-kapal yang tidak mempunyai sistem navigasi pelayaran.

Kawasan lain yang turut menghadapi masalah ketampakan serupa ialah sekitar perairan Phuket, Selat Melaka, Samui, Tioman dan Bunguran.

Lima muka baharu sertai PAC


KUALA LUMPUR - Empat ahli Parlimen BN dan seorang daripada Pas dilantik menganggotai keahlian Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang baharu bagi menggantikan ahli Parlimen yang dilantik ke Kabinet Julai lalu.

Nama mereka ‎tersenarai dalam minit mesyuarat Jawatankuasa Pemilih yang ditandatangani Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Memetik senarai yang dipilih, mereka yang dilantik adalah Ahli Parlimen Putatan, Datuk Dr Makin @ Marcus Mojigoh menggantikan Datuk Madius Tangau yang dilantik sebagai Menteri Teknologi, Sains dan Inovasi.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Alor Gajah, Datuk Koh Nai Kwong telah dilantik menggantikan wakil MCA, Datuk Chua Tee Yong, yang dilantik menjadi Timbalan Menteri Kewangan pada Jun tahun lalu.

Sementara itu, Ahli Parlimen Jasin, Datuk Ahmad Hamzah telah dilantik bagi menggantikan Datuk Mas Emieyati Shamsudin, manakala Ahli Parlimen Langkawi dari BN Datuk Nawawi Ahmad menggantikan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Sebelum ini, Mas Ermieyati telah dilantik sebagai Timbalan Menteri Pelancongan dan Reezal Merican pula telah dilantik sebagai Timbalan Menteri Luar oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada Julai dalam rombakan kabinetnya.

Sementara daripada Pas pula, Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan dilantik menggantikan Datuk Kamarudin Jaafar yang menyertai PKR bulan lalu.

PAC kini mempunyai 14 ahli termasuk pengerusi baharunya, Datuk Hasan Arifin yang merupakan Ahli Parlimen Rompin dari BN

Empat jasad murid Orang Asli selamat dikebumi


GUA MUSANG: Empat jasad murid Orang Asli Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi yang ditemui di Sungai Perias di sini selamat dikebumikan dalam sebuah kubur di Kampung Penad.

Empat jasad itu berupa dua mayat dan dua rangka milik Ika Ayel, 7, Haikal Yaakob, 8, Linda Rosli, 8, dan Juvina David, 7.

Keluarga mereka menuntut mayat anak masing-masing di Bilik Mayat Hospital Gua Musang (HGM) pukul 10 pagi dan bertolak ke Kampung Penad kira-kira 100 kilometer dari Bandar Gua Musang dengan menggunakan empat kenderaan pacuan empat roda melalui jalan pembalakan.

Dua murid iaitu Norieen dan Miksudiar Aluj, 11, ditemui hidup pada 9 Okt selepas hilang selama 48 hari di dalam hutan.

Gerakan mengesan seorang lagi murid, Sasa Sobrie, 8, masih diteruskan.

Kerajaan berusaha tambah doktor pakar


KUALA TERENGGANU - Bersesuaian dengan pertambahan bilangan hospital kerajaan di negara ini, kerajaan mengambil inisiatif untuk menambah bilangan doktor pakar bagi memastikan perkhidmatan ditawarkan selaras dengan kemudahan disediakan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam memaklumkan, pertambahan doktor pakar di negara ini meningkat tiga kali ganda berbanding tahun lalu.

"Ketika saya mula menjawat jawatan menteri kesihatan pada 2013, bilangan tenaga pakar hanya 300 orang. Pada 2014 kita tambah sehingga 700 orang dan pada tahun ini bilangan tenaga pakar sudah mencecah 1,000 orang.

"Kita juga menambah tempat latihan di hospital dan tenaga-tenaga pakar mengambil peperiksaan di luar negara seperti di United Kingdom (UK) melalui Royal College. Kini lebih kurang 300 doktor di Kementerian Kesihatan sedang mengikuti pengkhususan dalam beberapa bidang untuk peperiksaan itu," katanya selepas merasmikan Pusat Rawatan Ibu dan Bayu Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Dr S Subramaniam berkata, kerajaan juga mempunyai rancangan untuk menyelaraskan perkhidmatan dengan kemudahan disediakan iaitu memastikan rancangan sumber manusia bergerak seiring dengan penyediaan kemudahan termasuk hospital.

LUAR NEGARA

Rumah penduduk Palestin diroboh


TEBING BARAT - PALESTIN. Tentera rejim Zionis memusnahkan rumah penduduk Palestin di Hebron yang didakwa menyerang dan menikam seorang penduduk Israel hingga mati pada tahun lalu.

Saksi mendakwa 'hukuman' yang dikenakan ke atas Maher al-Hashlamoun itu turut mencetuskan protes antara puluhan pembaling batu dan tentera rejim Zionis, namun tiada kecederaan atau kematian dilaporkan.

Anggota gerakan Jihad Islam itu turut dikenakan hukuman penjara seumur hidup oleh mahkamah tentera selepas disabit bersalah membunuh Dalia Lemkus, Jun lalu.

Minggu lalu, Tel Aviv mengarahkan hukuman punitif dipertingkatkan di bawah dasar kontroversi terbaharu yang diluluskan Knesset kononnya sebagai respons terhadap gelombang keganasan yang meningkat sejak akhir-akhir ini.

Awal bulan lalu, 'hukuman' sama turut dikenakan ke atas rumah dua penduduk Palestin di Baitulmaqdis Timur yang didakwa terlibat dalam insiden serangan pada tahun lalu. 

Dalam insiden berasingan, pihak berkuasa Israel dilaporkan telah menahan pemimpin kanan Hamas, Hassan Yousef dalam satu serbuan di kediamannya di bandar Beitunia di barat daya Ramallah.

Difahamkan, Hassan, 60, diberkas semula selepas dibebaskan daripada penahanan pentadbiran pada Jun lalu.

Kira-kira 35 penduduk Palestin turut ditahan dalam serbuan ke atas beberapa buah rumah di Tebing Barat, lapor AFP.

Bashar bertemu Putin



MOSCOW - RUSIA . Presiden Syria, Bashar al-Assad, kelmarin membuat lawatan mengejut untuk bertemu dengan rakan sejawatannya, Vladimir Putin di ibu negara Rusia bagi membincangkan situasi yang semakin meruncing di negara bergolak itu.

Jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov berkata Bashar turut memaklumkan kepada sekutu kuatnya mengenai rancangan tentera kerajaan untuk memerangi kumpulan militan di Damsyik.
"Agenda utama mesyuarat dapat difahami dengan jelas kerana pertemuan itu turut disertai pembuat dasar Rusia," katanya.

Difahamkan, Putin juga menyatakan bahawa Moscow bersedia untuk memerangi keganasan secara bersama malah mereka mahu mencari penyelesaian politik kepada krisis yang berlarutan selama empat tahun di negara tersebut.

Menurut pemimpin itu, kira-kira 4,000 warga negara bekas Kesatuan Soviet itu dipercayai menyertai perjuangan kumpulan militan termasuk IS di Syria.

"Kerajaan tidak akan sesekali membenarkan mereka kembali semula ke negara ini," tegasnya.

Sementara itu, Bashar turut mengalu-alukan operasi ketenteraan dilancarkan Rusia yang menyasarkan kedudukan militan di Syria.

Sweden jangka terima 190,000 pemohon suaka


TOCKHOLM - SWEDEN. Agensi Migrasi Sweden memaklumkan kira-kira 190,000 pemohon suaka dijangka tiba di negara itu yang kini sedang bergelut dengan kebanjiran pelarian dari Syria.

Jurucakapnya berkata, sebanyak 33,000 daripada permohonan tersebut adalah kanak-kanak berseorangan.

Sebelum ini, agensi tersebut menjangkakan sebanyak 74,000 permohonan pada tahun ini, namun jumlah itu meningkat pada awal bulan lalu.

Dalam perkembangan berkaitan, Slovenia dilaporkan telah meminta bantuan anggota polis daripada Kesatuan Eropah (EU) untuk mengawal kemasukan migran dari Croatia.

Menteri Dalam Negeri, Vesna Gyorkos Znidar berkata, lebih 10,000 migran yang melarikan diri dari konflik di Syria telah tiba di Ljubljana sejak kelmarin.

"Kami terpaksa meminta bantuan unit polis dari negara anggota EU untuk menangani kemasukan beramai-ramai kumpulan pelarian terbabit," katanya dalam laporan AFP.

Jerebu: Pindah penduduk dengan kapal perang


JAKARTA - INDONESIA . Tentera Laut Indonesia (TNI-AL) akan menggunakan kapal perang untuk memindahkan lebih ramai penduduk sekali gus membantu usaha kerajaan menangani krisis kemanusiaan disebabkan kebakaran hutan di negara itu.

Menurut Ketua Jabatan Penerangan, Laksamana Pertama Muhammad Zainuddin, tentera laut mempunyai beberapa kapal pengangkut yang boleh digunakan dalam misi pemindahan dan kapal perang mereka juga mempunyai fungsi sama.

"Kapal perang Indonesia juga boleh digunakan untuk misi kemanusiaan. Pihak kami sentiasa bersedia memberi bantuan dan sokongan terhadap setiap keputusan serta program kerajaan," menurutnya.

Terdahulu, Menteri Penyelaras Politik, Undang-undang dan Keselamatan, Luhut Binsar Panjaitan memberitahu, rancangan memindahkan mangsa jerebu dan sedang mempertimbangkan untuk menggunakan kapal perang sebagai tempat perlindungan sementara. 

Biden enggan bertanding pilihan raya


WASHINGTON - AMERIKA SYARIKAT. Timbalan Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden mengesahkan bahawa beliau tidak akan bertanding dalam Pilihan Raya Presiden 2016, sekali gus menamatkan teka-teki selama beberapa bulan.

Biden, 72, membuat pengumuman itu dalam satu sidang media di Rose Garden di Rumah Putih bersama isterinya, Jill dan Presiden Barack Obama.

"Saya enggan menjadi calon kerana faktor masa yang sangat terbatas. Walaupun tidak bertanding, saya akan tetap lantang bersuara mengenai di mana kita harus berdiri sebagai sebuah parti," tegasnya.

Minggu lalu, keputusan kaji selidik menunjukkan hampir separuh penyokong parti Demokrat mahu Biden bersaing dengan bekas Setiausaha Negara, Hillary Clinton untuk mengambil alih jawatan presiden. 

Difahamkan, bekas Senator Delaware terbabit pernah bertanding dalam Pilihan Raya Presiden pada 1988 dan 2008, namun namanya terkeluar daripada senarai awal calon, lapor Reuters.

Remaja Palestin ditembak


BAITULMAQDIS - PALESTIN . Rejim Zionis menembak dan mencederakan seorang remaja lelaki Palestin selepas dia didakwa cuba menikam askar Israel di wilayah Tebing Barat yang diduduki.

"Penyerang terbabit menikam seorang anggota IDF berhampiran blok penempatan Yahudi di Gush Etzion. Tentera bertindak balas dengan melepaskan tembakan ke arah lelaki itu," kata sumber tentera Israel.

Pasukan perubatan yang tiba di tempat kejadian mengesahkan askar terbabit cuma mengalami cedera ringan.

Sementara itu, pihak berkuasa Palestin mengenal pasti remaja terbabit sebagai Mussab Ghanimat, 17, dari Sureif.

Dalam perkembangan berkaitan, kumpulan hak asasi banduan Adameer memaklumkan sekurang-kurangnya 876 rakyat Palestin ditahan tentera Israel sepanjang bulan ini.

"Penahanan terbaru itu menjadikan jumlah rakyat Palestin yang dipenjarakan rejim Zionis meningkat kepada 6,200 orang," katanya.

Sebelum ini, Pusat Kajian Tahanan Palestin (PCPS) melaporkan, sejak bermulanya gerakan intifada, pasukan keselamatan rejim Zionis telah memenjarakan seramai 280 kanak-kanak Palestin, dan semasa di dalam penjara mereka dihina, didera, dipukul serta diancam bunuh bertujuan untuk menakut-nakutkan mereka supaya tidak menyertai gerakan intifada. 

Bayi bertarung di lautan berjam lamanya


TURKI - Seorang bayi yang terapung selama berjam-jam yang hanya bergantung pada jaket keselamatan di Laut Aegean berjaya diselamatkan nelayan Turki yang kebetulan terlihat kelibatnya permukaan air.

Dua nelayan itu juga melihat beberapa pelarian lain yang terapung selepas menyelamatkan bayi yang dikenal pasti sebagai Muhammad Hasan.

Pada awalnya kapten bot, Recep Evran berkata, mereka menyangka Hasan tidak lagi bernyawa namun tiba-tiba bayi berusia 18 bulan itu mengeluarkan bunyi.

“Dia sangat pucat. Kaki dan tangan semua sudah bertukar menjadi putih. Kami tutup dia dengan selimut dan cuba menyelamatkannya,” katanya memetik laporan Hurriyet Daily News.

Hasan kini dikatakan dalam keadaan stabil dan bersama ibunya di hospital.

Bot dinaiki Hasan bersama pelarian lain yang menuju ke Greece dilaporkan terbalik Rabu lalu.

Lokasi Hasan diselamatkan itu tidak jauh dari pantai di mana jasad si kecil, Aylan Kurdi, 3 ditemui bulan lalu.

Aylan dan abangnya, Galip Kurdi, 5 adalah antara pelarian yang mati lemas selepas bot mereka karam dan ditemui hanyut di pantai Bodrum, Turki.

Jerebu landa selatan Filipina


MANILA - FILIPINA. Jerebu akibat kebakaran hutan di Indonesia mula merebak ke wilayah selatan Filipina.

Akibat jarak penglihatan yang buruk, syarikat penerbangan Cebu Pacific dan Philippine Airlines terpaksa membatalkan penerbangan antara Manila dengan bandar Dumaquete.

Pengumuman itu menjejaskan ribuan penumpang di 10 lapangan terbang.

Selatan Filipina terletak sejauh 1,200 kilometer dari kawasan kebakaran hutan di Indonesia, lapor CNA.

Aceh kuatkuasakan kanun jenayah syariah




BANDA ACEH - INDONESIA. Wilayah Aceh di Indonesia sudah menguatkuasakan kanun jenayah syariah yang ketat, kata pegawai pemerintah tempatan.

Ia antara lain menetapkan zina, homoseksualiti dan berkelakuan intim secara terbuka bagi pasangan yang belum bernikah sebagai kesalahan jenayah.

Aceh satu-satunya wilayah di negara itu yang melaksanakan hukum syariah.

“Golongan bukan Islam boleh memilih sama ada mahu dibicarakan di bawah hukum syariah atau di bawah kanun jenayah Indonesia,” kata ketua jabatan hukum syariah Aceh, Syahrizal Abbas.

Hukum syariah baharu itu juga menetapkan hukuman bagi kesalahan rogol dan gangguan seksual.

Tunjuk perasaan bantah kekejaman polis AS


NEW YORK - AMERIKA SYARIKAT. Ratusan penunjuk perasaan mengadakan perhimpunan di New York bagi membantah kekejaman polis terhadap rakyat Amerika Syarikat (AS), khususnya masyarakat kulit hitam.

Peserta berarak melalui jalan di sekitar bandar New York sempena acara RiseUpOctober yang bermula sejak Khamis lalu.

Bantahan turut disertai pemenang Anugerah Academy iaitu pengarah filem Quentin Tarantino dan ahli akademik Cornel West, yang sama-sama berhimpun di Washington Square Park, Manhattan, sebelum berarak sejauh kira-kira 3 kilometer.

Perhimpunan dianjurkan Carl Dix dari Parti Revolusi Komunis dengan bantuan daripada Stop Mass Incarceration Network itu bertujuan mengadakan tentangan besar-besaran terhadap penindasan.

Difahamkan, sebuah gerakan Black Lives Matter telah diwujudkan dan perdebatan mengenai keganasan polis mula dibangkitkan susulan tindakan pihak berkuasa membunuh beberapa lelaki kulit hitam termasuk Michael Brown, dan Eric Garner.

Protes dasar Netanyahu


TEL AVIV - ISRAEL. Ribuan penunjuk perasaan di Israel membanjiri jalan utama di sini, sebagai membantah dasar Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu yang didakwa menjadi punca peningkatan gelombang keganasan di wilayah Palestin termasuk di Genting Gaza.

Protes anjuran kumpulan aktivis, Peace Now itu turut berarak dari Dataran Habima menuju ke ibu pejabat Kementerian Hal Ehwal Ketenteraan sambil melaungkan slogan mendesak pemimpin tersebut menghentikan konflik tersebut dan menyertai sesi dialog dengan Palestin.

Seorang peserta protes, Daniel Dojon memberitahu dia turut serta dalam demonstrasi tersebut kerana situasi dilihat semakin meruncing di wilayah terbabit.

"Saya tidak bercakap mengenai keselamatan sebaliknya krisis ini berlaku kerana kelemahan dalam politik hingga menyebabkan ahli politik Israel menjadi lebih ekstrem," katanya.

Sementara itu, anggota parti berhaluan kiri, Meretz, Zehava Gal-On mendakwa Netanyahu gagal menyediakan keselamatan peribadi untuk penduduk Israel.

Dalam perkembangan lain, jurucakap Kementerian Kesihatan Gaza, Ashraf al-Qidra mengesahkan seorang lagi penduduk Palestin maut akibat ditembak tentera Zionis.

Menurutnya, Khalil Hassan Abu Obeid, 25, ditembak dalam insiden pertempuran di bahagian timur Khan Younis.

Hadis riwayat Nukman bin Basyir ra., ia berkata:
Rasulullah saw. bersabda: Perumpamaan orang-orang mukmin dalam hal saling kasih, saling menyayang dan saling cinta adalah seperti sebuah tubuh, jika salah satu anggotanya merasa sakit, maka anggota-anggota tubuh yang lain ikut merasakan sulit tidur dan demam. (Shahih Muslim No.4685)

No comments:

Post a Comment