Jul 31, 2010

Kerana Aku Insan~!





Manusia ini tidak dinamakan ‘INSAN’ melainkan kerana lupanya…

Anda pernah buat silap?

Aku… Pernah. Seribu kali pernah. Apatah lagi dulu-dulu ketika aku belum mengenali erti ketaatan kepada Allah SWT. Hanyut dalam arus duniawi yang melalaikan.

Kadang-kadang aku selalu termenung bila mengingat saat-saat itu.

…………………………..

Aku suka main bola petang-petang di padang depan rumah aku sejurus selepas pulang dari kelas tuisyen. Habis je main, aku dengan kawan-kawan bola aku selalu lepak-lepak tepi padang bersembang sampai azan berkumandang. Kadang-kadang perbualan kami melanjut sehinggalah iqamat pula kedengaran. Selalunya, berterusan lagi sehingga handphone ku berdering dan kedengaran suara ibuku “Mat, bila nak balik ni? Dah maghrib! Dah nak masuk isya’ baru nak balik ker?”.

Dengan perasaan berat hati, aku balik rumah dengan skuterku. Skuter oren bercoreng hitam yang dibelikan ayah di hari jadiku ke-17 memang buah hati pengarang jantungku. Peneman setia aku ke mana sahaja aku pergi. Sampai sahaja di rumah aku mandi & solat. Kadang-kadang kalau aku keletihan, aku terus tertidur sampai esok pagi. Isya’ aku pula entah ke mana. Tapi, selalunya pasti aku keluar dengan makwe aku sehingga larut malam baru aku pulang ke rumah. Wayang, boling, konsert, saje keluar makan2, karaoke silih berganti. (astaghfirullah..) Maklumlah, aku hidup di bandar besar di Selangor tu.

………………………….

Bila teringat semula, pasti aku selalu istighfar. Di iringi kadang-kadang dengan mata yang bergenang. Aku takut. Takut saat aku ditanya, dan usia mudamu, ke mana kamu habiskan?






Jadi bagaimana?

Keta’atan adalah kaedahnya. Barangsiapa yang di antara kita pada satu saat tergoda oleh syaitan, dan dia segera sedar, lalu dia perlulah kembali ke jalan Tuhannya dengan penuh keinsafan dan bertaubat.

Dr Yusof Al-Qardawi pernah menceritakan:

” Saya masih ingat seorang pemuda yang masih remaja dikuasai oleh gazirahnya pada saat dirinya lemah & hatinya tidak sedar, lalu terjerumus ke dalam perbuatan maksiat. Kemudian ia sedar bahawa dirinya telah menjadi kotor setelah tadinya suci, menyeleweng setelah tadinya menempuh jalan yang lurus, sesat setelah tadinya benar dan merasakan betapa pahitnya maksiat setelah ia merasa manisnya keta’atan.

Sebab itu dia mengurung dirinya sehari-hari di rumahnya menangisi nasibnya & berbalik ke kiri & ke kanan di atas tilamnya yang dirasakannya sebagai bara yang menyala. Dia merasa sedih sekali, bumi yang luas dirasakan sempit.

Kerana itu dia tidak berani menatap wajah orang lain & tidak keluar dari kamarnya, kerana malu kepada Tuhan dan kepada dirinya sendiri. Dia menjauhkan diri dari rakan-rakannya padahal tiada seorang pun selain saya yang mengetahui apa yang terjadi ke atas dirinya.

Hal itu tentu akan berlangsung terus, sekiranya saya tidak mengutuskan surat kepadanya untuk memberikan harapan dengan bertaubat & memohon ampunan Allah. Saya sebutkan kepadanya akan hadis Rasulullah SAW:

Barangsiapa yang gembira kerana kebaikan dan sedih kerana kejahatan yang diperbuatnya, maka dia adalah seorang mukmin.

Demikianlah cerita Dr Al-Qardawi kepada kita.

……..

Dan Saidina Ali bin Abu Talib pula pernah berkata :

Kejahatan yang membuat engkau sedih lebih baik dari kebaikan yang membuat engkau takabur.

“Kadang-kadang dibuka bagimu pintu taat & tidak dibuka bagimu pintu penerimaan. Di kala yang lain pula ditakdirkan bagi engkau perbuatan maksiat, tetapi hal itu merupakan jalan bagimu untuk sampai (kepada kebaikan). Perbuatan maksiat yang menimbulkan perasaan bersalah & menyesal lebih baik dari perbuatan taat yang menimbulkan perasaan takbur & angkuh. (Ibnu Athaillah)

Astaghfirullah… Astaghfirullah… Astaghfirullah…

Ingatkan aku di kala aku terlupa, ye?

Dipetik dari Ijlis Bina Nukmin Sa'ah

1 comment:

  1. assalamualaikum..
    maaf andai komen sy mengganggu saudara..
    tersentuh ketika membaca blog saudara ni..
    sesungguhnya setiap manusia pernah melakukan kesilapan..hanya yg betul2 beriman shj yg akn mengis ketika mengenang kembali kejahatan atau kesilapannya itu..

    trimas atas coretan saudara..
    ingatkan saya juga andai terlupa..
    sesungguhnya manusia perlu saling ingat-mengingati..

    salam..^_^

    ReplyDelete