Oct 17, 2010

remaja akhirat

Sebuah cerita tentang sahabat Rasulullah SAW. Seorang remaja yang berusia 17 tahun yang sering menemani Rasulullah SAW ke mana sahaja Rasulullah pergi. Dia sering diminta oleh Rasulullah untuk mendapatkan barang-barang keperluan baginda. Tsa'labah ibnu Abdurrahman nama diberi

Pada suatu hari seperti biasa Rasulullah memintanya untuk mendapatkan sesuatu. Lalu pergilah Tsa'labah untuk mendapatkan permintaan Rasulullah tersebut. Dalam perjalanannya Tsa'labah melintasi sebuah rumah. Pintu serta tingkap rumah tersebut hanya ditutupi oleh tirai yang diperbuat daripada guni. Tiba-tiba angin bertiup kencang dan tirai yang menutupi jendela rumah itupun tersingkap.

Saat itu pandangan Tsa'labah sedang dihalakan ke arah rumah tersebut. Lalu dengan tidak sengaja terlihatlah Tsa'labah akan wanita yang sedang mandi. Tsa'labah segera mengalihkan pandangannya dan menyebut, "A'uzubillah!!" "Aku berlindung kepada Allah!"

Tsa'labah dihantui rasa bersalah yang amat sangat kerana telah terlihat aurat seorang wanita yang tidak halal baginya. Di dalam benaknya dia berfikir-fikir tentang dosanya tadi.

"Ya-Allah, aku takut kalau malaikat Jibril turun memeritahu kepada Rasulullah SAW bahawa aku telah melakukan maksiat! Aku takut kalau nanti akan turunnya ayat Al-Quran yang menyenaraikan aku sebagai salah seorang pemaksiat! Ya-Allah sungguh aku telah melihat aurat seorang wanita yang tidak halal bagiku!"

Tsa'labah terus dengan rintihannya sehingga dia terlupa akan tujuan asalnya untuk mencari keperluan Rasulullah. Dia berlari menyembunyikan diri kerana takut dan malu untuk bertemu dengan Rasulullah. Terus-terusan dia merintih.

"Ya-Allah, aku tak mahu masuk neraka! Ya-Allah, aku tak mahu diazab atas dosa yang aku lakukan. Ya-Allah ampunkanlah aku!"

Tsa'labah terus berlari sehingga ke kaki bukit di pinggir kota Madinah. Tsa'labah memanjat bukit itu dan bersembunyi di dalam gua di puncak bukit tersebut. Sementara Rasulullah terus menunggu Tsa'labah sehingga berhari-hari. Kerana tidak ada khabar mengenai Tsa'labah, Rasulullah meminta Umar Al-Khattab untuk mencari di manakah Tsa'labah.

Ketika Tsa'labah ditemui, Umar berkata, "Wahai Tsa'labah, marilah bertemu Rasulullah. Baginda mahu bertemu denganmu."

Tsa'labah dengan ketakutan berkata, "Mengapa Rasulullah mahu bertemu denganku? Sudahkan turun ayat Al-Quran yang menceritakan tentang kemaksiatanku? Jibril sudah beritahu Rasulullah apa yang aku lakukan? Aku tidak mahu masuk neraka! Aku takut!"

Tsa'labah terus berkata-kata dalam ketakutan seperti orang gila. Oleh kerana sudah beberapa hari tidak makan, melainkan beberapa teguk susu kambing yang diberikan oleh pengembala kambing di kaki bukit tersebut, badannya menjadi sangat lemah. Lalu Umar memapah Tsa'labah ke pulang ke rumah.

Setelah mengetahui Tsa'labah telah dijumpai dan berada di rumah, Rasulullah datang menziarahinya. Rasulullah lalu meriba kepala Tsa'labah, namun Tsa'labah mengalihkan kepalanya. Rasulullah bertanya,

"Wahai Tsa'labah, mengapa engkau mengalihkan kepalamu?"

"Wahai Rasulullah, kepala yang penuh dosa ini tidak layak untuk berada di atas ribamu yang mulia itu."

Rasulullah memandang Tsa'labah dengan wajah sayu, dan bertanya,

"Wahai Tsa'labah, apakah yang kau mahukan?"

"Aku mahukan keampunan Allah.." Suaranya semakin lemah.

"Apakah cita-citamu wahai Tsa'labah?" Rasulullah kembali bertanya.

"Cita-citaku adalah untuk menginjaki syurga..Tolonglah doakan kepada Allah agar Dia mengampunkan dosaku.."

"Wahai Tsa'labah, aku menjadi penjamin di atas kemahuanmu dan cita-citamu itu. Sesungguhnya ini adalah bukti taubatmu."

Akhirnya Tsa'labah telah menghembuskan nafasnya yang terakhir di atas riba Rasulullah SAW.

Ketika pengebumian Tsa'labah, Rasulullah tiba agak terlambat. Para sahabat telah terlebih dahulu mengerumuni kuburan Tsa'labah. Apabila Rasulullah tiba, para sahabat membuka laluan kepada Rasulullah untuk melihat jenazah Tsa'labah. Namun Rasulullah SAW kelihatan berjalan susah payah bagaikan diasak-asak. Para sahabat bertanya akan keadaan baginda itu. Rasulullah menjawab,

"Sesungguhnya kamu tidak melihat betapa ramainya malaikat yang menghantar Tsa'labah ke kuburnya."

Itulah kisah salah seorang Remaja Akhirat di zaman Rasulullah. Kita boleh mencontohinya. Remaja seperti inilah yang akan membangkitkan kembali kegemilangan tamadun Islam. Remaja-remaja yang sempurna iman dan taqwanya kepada Allah.

Kita pula bagaimana?

p/s, artikel ni di copy-paste dari http://umairzulkefli.blogspot.com/2010/08/muhasabah-remaja-akhirat.html

No comments:

Post a Comment