Apr 30, 2011

Untukmu...

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih, Maha Penyayang..


Aku memandang sekelilingku,
masih lagi pemandangan yang sama menyapa mataku,
udara yang kunikmati dan suhunya tidak banyak berbeza,
pohon-pohon, musim-musim dan langit yang membentang luas ini,
masih lagi yang sama dianugerahi Ar-Rahman kepadaku,
Tiada apa yang berubah...


Aku memandang sekelilingku.
bangunan batu-bata ini,
jalan-jalan yang kulalui,
dan lampu-lampu jalanan yang menyala,
Ohh, masih lagi laluan yang sama dan cukup kukenali,
Tiada apa yang berubah...


Dan aku melihat diriku,
degupan jantung dan pancainderaku,
segala sistem dan fungsinya,
masih lagi sama tak berubah,
taat mengikut arahan Penciptanya,
hingga sampai waktu ditetapkan,
Ahh, tiada apa yang berubah...


Tetapi aku masih buntu,
mencari punca perubahan itu,
mencari punca kekosongan hati ini,
mencari punca redupnya semangat ini,
seperti dihembus angin musim luruh,
dan aku masih cuba mencari punca kerinduan ini...


Ya! aku rindu kamu!
Kamu yang pernah bersamaku,
aku rindu pada gelak-tawamu,
aku rindu pada tangis esakmu,
aku rindu pada riak wajah bimbangmu,
aku rindu akan pendapat-pendapatmu,
aku rindu mendengar perkongsianmu,
aku rindu suasana itu,
dan aku rindu akan ukhuwwah itu...


Saat-saat pertama kita,
mula mengenali erti sebenar islam dan shahadah,
mula menyoroti perjuangan dakwah Rasul dan sahabat-sahabatnya,
mula mengagumi pengikut Isa yang setia, pemuda kahfi dan ahlul Badar yang berani,
dan mula mengorak langkah-langkah kecil cuba sedayanya dan berdoa setulusnya,
untuk mencontohi generasi Al-Quran yg unik ini,
Ya, aku rindu akan saat-saat itu...


KepadaMu ya Rabbuna,
Hanya kepada Engkaulah kami menyembah,
dan hanya kepada Engkaulah kami mohon pertolongan,
makbulkanlah Fatihah kami,
tunjukilah kami jalan yang lurus,
jalan orang-orang yang Engkau beri nikmat kepadanya,
bukan jalan mereka yang dimurkai,
bukan pula jalan mereka yang sesat...


KepadaMu Al-Khaliq,
yang menjadikan manusia tertawa dan menangis,
yang lebih mengenali hati ini lebih daripada hambamu yang hina
ini,
makbulkanlah doa-doa kami,
peganglah hati-hati kami,
eratkanlah akan ikatannya,
dan kekalkanlah akan kemesraan dan kasihnya,
kerana Engkaulah sebaik-baik Kekasih..


Kepada kamu,
aku masih menantimu,
marilah bersamaku,
ubati kerinduan ini,
dan menegurku tika ku lelah mengejar cita dan impian ini...


No comments:

Post a Comment