Jan 18, 2014

sambutan maulidur rasul



Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih
 Serta salam dan selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w
Alhamdulillah berkat kesabaran dan kesungguhan Nabi Muhammad s.a.w dan para sahabat kita masih dapat merasai nikmat iman dan islam hingga ke hari ini.

Diriwayatkan oleh Anas bin Malik ra,dari Nabi Muhammad s.a.w,bahawa baginda bersabda :
"Tidaklah sempurna iman salah seorang diantara kalian sehinga aku lebih dicintainya melebihi orang tuanya,anaknya,dan segenap umat manusia"
(Hadis riyawat Bukhari dan Muslim)

Pada tanggal 12 Rabiulawal saban tahun mengikut perkiraan tahun Hijrah,umat Islam masa kini meraikan sambutan Maulidur Rasul iaitu hari kelahiran nabi terakhir,Nabi Muhammad s.a.w.Pelbagai aktiviti diadakan bagi memperingati hari kelahiran baginda antaranya seperti ceramah agama dan perarakan sambil berselawat.Malahan,di Malaysia,pada tarikh berkenaan telah ditetapkan sebagai hari cuti bagi rakyat Malaysia.

Biarpun Maulidur Rasul disambut pada tarikh 12 Rabiulawal,namun demikian,terdapat perbezaan pendapat dikalangan ulama mengenai tarikh kelahiran baginda.Ada yang berpendapat baginda dilahirkan pada 8,9,atau 17 Rabiulawal,ramai juga yang berpendapat pada 12 Rabiulawal.Malah,ada juga yang menyatakan kelahiran baginda adalah dalam bulan Ramadhan berdasarkan hujah-hujah tertentu.

Biarpun terdapat perbezaan pendapat mengenai tarikh kelahiran Nabi Muhammad s.a.w,namun demikian para sejarahwan tidak berselisih pendapat mengenai lahirnya nabi terakhir tersebut.Perbezaan pendapat dan kesukaran untuk mengetahui tarikh sebenar kelahiran baginda adalah disebabkan tindakan para sahabat yang tidak meraikan hari tersebut biarpun mereka merupakan golongan yang sangat rapat dan hidup di zaman baginda.Tiada sebarang perayaan mahupun ibadah khusus dilakukan oleh para sahabat pada hari Maulidur Rasul kerana baginda sendiri tidak meraikan hari tersebut.

Kelahiran Nabi Muhammad s.a.w merupakan peristiwa penting berlaku dalam sejarah.Hal ini demikian kerana,kelahiran baginda merupakan permulaan tersebarnya agama Allah diatas muka bumi dan membebaskan umat manusia yang telah sekian lama berada dalam belenggu jahiliyyah.Oleh itu,biarpun sambutan Maulidur Rasul bukanlah merupakan satu sunnah,namun demikian mengetahui dan mengingati sejarah baginda serta mengikut ajaran baginda merupakan satu perkara wajib.Maka tidak menjadi satu kesalahan bagi kita untuk mengingati Rasulullah,berselawat ke atas baginda,mengadakan dan mendengar ceramah mengenai perjuangan baginda pada hari yang dikatakan hari kelahiran baginda.Namun begitu,janganlah kita hanya mengingati dan mengamalkan ajaran baginda pada hari tersebut semata-mata,sebaliknya perlulah berterusan setiap hari.

Hari kelahiran Nabi Muhammad s.a.w merupakan hari yang amat istimewa dan sambutan yang sebenar-benarnya adalah merupakan satu bentuk  kepada ketakwaan yang dituntut iaitu untuk mengingati junjungan mulia Nabi Muhammad s.a.w. Oleh hal yang demikian, sambutan Maulidur Rasul perlulah sejajar dan selaras dengan kehendak serta tuntutan syariat. Kita perlu melakukan amalan sunat seperti memperbanyakkan berzikir mengingati Nabi Muhammad s.a.w.  Sambutan Maulidur Rasul tidak seharusnya dicampur-adukkan dengan segala perkara and perbuatan yang sia-sia serta berunsurkan maksiat. Perkara perkara ini tentunya hanya akan mencemarkan nilai dan kesucian sambutan yang sebenar-benarnya



Allah berfirman dalam Surah Al-Mukminun yang bermaksud: "Sesungguhnya berjayalah orang yang beriman, iaitu mereka yang khusyuk dalam solatnya; dan mereka yang menjauhkan diri daripada perbuatan dan perkataan yang sia-sia."

Namun apa  yang lebih dikhuatiri adalah sambutan ini sekadar menjadi perayaan adat atau budaya dan bukan lagi satu bentuk ibadat bagi memperingati junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.Keterbiasan menyambut maulidur rasul saban tahun boleh menyebabkan sambutan ini menjadi sekadar ikutan ataupun keterbiasaan bagi golongan yang tidak benar-benar faham akan hikmah disebalik sambutan ini diadakan.Antara hikmah sambutan ini diadakan adalah untuk menyemarakkan rasa cinta dan sebagai satu cara menzahirkan rasa cinta kepada Rasulullah.Malah,sambutan ini juga merupakan satu inisiatif untuk mengetahui dan mengingati perjuangan baginda dengan lebih mendalam disamping dapat mengeratkan ukhuwah.

Namun demikian,mengingati Rasulullah merupakan kewajipan yang bukanlah hanya perlu dizahirkan pada hari-hari tertentu.Kecintaan terhadap Rasulullah akan lebih sempurna jika kita mengamalkan dan menghidupkan sunnah-sunnah baginda dalam kehidupan seharian.Hal ini secara tidak langsung mengajar kita mengamalkan Islam yang sebenar.


Allah berfirman dalam surah Al-Imran ayat 31 yang bermaksud: Katakanlah (Muhammad),"Jika kamu mencintai Allah,ikutilah aku,nescaya Allah mencintaimu dan mengampuni dosa-dosamu."Allah Maha Pengampun,Maha Penyayang.


Penulis,

Mya
Medical University of Warsaw

No comments:

Post a Comment