Feb 25, 2014

Buatmu teman




Bismillahirrahmanirrahim.

Daripada Abu Hamzah Anas bin Malik r.a,pembantu RasulullahSAW,baginda bersabda,
  
Maksudnya : “Tidak beriman (secara sempurna) seseorang kamu hingga dia mencintai saudaranya sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri."
[Riwayat al-Bukhari,Muslimdan Ahmad]

Perempuan solehah hiasan dunia,
Penyejuk mata penawar hati;
Cinta itu fitrah manusia,
Cinta kerana Allah yang kekal abadi.

Burung kecil terbang bebas,
Di langit biru milik Illahi;
Cinta itu terlalu luas,
Cinta kepada kawan tidak terkecuali.

Biarpun tidak cantik rupawan,
Asalkan punya hati yang mulia;
Berkawan bukan kerana Tuhan,
Persahabatan hanyalah sia-sia.

Jiwa bersih hati pun tenang,
Tetap bahagia apapun situasi;
Di waktu susah mahupun senang,
Kawan sejati tetap disisi.

Hidup ini penuh cabaran,
Penuh ranjau dan juga dugaan;
Jika salah kita betulkan,
Kawan terbaik memberi sokongan.

Dunia ini ciptaan Tuhan,
Cantik dan indah tidak terhingga;
Jika benar cintakan kawan,
Tariklah mereka sama ke syurga.

Di waktu senang dan saat genting,
Sentiasa sabar dan juga ceria;
Kawan yang baik amatlah penting,
Mendekatkan kita kepada Dia.

“Sesungguhnya orang mukmin itu bersaudara,kerana itu damaikanlah antara kedua saudaramu (yang berselisih) dan bertakwalah kepada Allah agar kamu mendapat rahmat”
[Surah Hujurat : 10]

“Dan jadikanlah untukku seorang pembantu daripada keluargaku.(Iaitu) Harun,saudaraku.Teguhkanlah pendirianku dengan sokongannya.Dan jadikanlah dia sekutu dalam urusanku.Supaya kami banyak bertasbih kepada Engkau.Dan banyak mengingati Engkau.Sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui keadaan kami.”
[Surah Taha : 29 – 35]

Terima kasih Ya Allah untuk Harun yang Kau kurniakan kepada kami.=)

Penulis,


Mya
Medical University of Warsaw

No comments:

Post a Comment