Apr 21, 2015

WEEKLY IPIP NEWS WRAP UP (14/4/2015-20/4/2015) - IKATAN PELAJAR ISLAM POLAND

DALAM NEGARA

95 Ditahan disyaki terbabit dengan IS

SERDANG: Polis menahan 95 rakyat Malaysia yang berpotensi menjadi pengganas dan terlibat dalam kumpulan militan IS setakat ini, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Bilangan itu bertambah daripada 93 orang kepada 95 orang. Pihak polis sedang melakukan pemantauan terhadap individu dan kumpulan yang disyaki terlibat dalam IS melalui media sosial dan alam maya yang menjadi saluran komunikasi antara ahli kumpulan militan. Sementara itu, Interpol Global Complex for Inovation Inauguration yang berpusat di Singapura akan meningkatkan kerjasama antara Asia dan membantu ASEANAPOL dalam memerangi jenayah siber di rantau ini. Jenayah siber menjadi cabaran baharu kepada polis dan badan penguat kuasa lain di rantau ini dan kewujudan Interpol boleh membantu ASEANAPOL.

 "Komitmen negara ASEAN dan Asia harus diterjemahkan bukan sekadar peralatan tetapi juga memberikan latihan kepada pegawai dan anggota polis di negara di rantau ini. "Kita juga boleh berkongsi maklumat dan laporan siasatan kerana penjenayah mempunyai rangkaian antarabangsa dan ini perlu ditangani secara dalam negara tetapi rantau," -Zahid Hamidi - BERNAMA


673 rakyat Malaysia dibawa keluar dari Yaman

KUALA LUMPUR: Sejumlah 673 rakyat Malaysia di Yaman telah dibawa keluar dari empat bandar di negara berkenaan iaitu Sana'a, Hodeidah, Aden dan Hadramawt, sehingga kini. Kementerian Luar, dalam satu kenyataan, menyatakan mereka terdiri daripada 153 orang di Sana'a dan Hodeidah, 67 orang dari Aden dan 453 orang dari Hadramawt. Bagaimanapun, masih terdapat 215 rakyat Malaysia di Yaman iaitu 38 orang di Sana'a, 176 orang di Hadramawt dan seorang di Hodeidah.

"Sehubungan itu, kerajaan ingin menggesa rakyat negara ini yang masih berada di Yaman untuk menimbang semula keputusan mereka untuk kekal di negara itu yang sedang bergolak," menurut kenyataan itu.

 Sementara itu, 67 rakyat Malaysia yang dibawa keluar dari Aden kelmarin dijangka tiba di Kuala Lumpur hari ini melalui dua penerbangan dari Jeddah. Seramai 25 orang dijangka tiba di tanah air dengan penerbangan Sri Lankan Airlines UL314 pada 2.05 petang ini manakala baki 42 melalui penerbangan Emirates Airlines EK346 pada 3.05 petang. Malam tadi, 176 rakyat Malaysia tiba di Kuala Lumpur dengan penerbangan komersial iaitu 74 orang dengan penerbangan Qatar Airways QR852 pada 8.50 malam dan 102 orang dengan penerbangan Oman Air WY821 pada 11.35 malam.






Denggi: 36,611 kes dengan 119 kematian dicatat diseluruh negara

BUKIT MERTAJAM: Sebanyak 36,611 kes demam denggi direkodkan di seluruh negara bagi tempoh Januari hingga semalam berbanding 27,177 kes dalam tempoh sama tahun lalu. Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya, berkata ia membabitkan 119 kematian berbanding 94 kematian untuk tahun sebelumnya. Bagaimanapun, katanya, kes denggi mula menunjukkan penurunan apabila 1,600 kes dicatatkan dalam tempoh dua bulan ini iaitu pada Mac dan April berbanding 3,500 kes dalam tempoh sama tahun lalu.

 "Selangor masih kekal menjadi negeri tertinggi mencatatkan kes denggi diikuti Perak, Johor dan Pulau Pinang," katanya pada program 'Jom Ganyang Aedes' dengan melawat dari rumah ke rumah pesakit yang pernah menghidap denggi di Taman Guar Perahu Indah, dekat sini, hari ini. - BERNAMA


GST adalah harus, tegas Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan


PUTRAJAYA: Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan hari ini sekali lagi menegaskan bahawa pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) adalah harus selagi terdapat keperluan dan maslahah untuk negara dan rakyat. Pengerusinya, Prof Emeritus Tan Sri Abd Shukor Husin, berkata pelaksanaan sistem cukai baharu itu bagaimanapun perlu berpandukan kepada enam parameter syarak yang digariskan jawatankuasa tersebut. Antaranya, kata beliau, kerajaan komited bahawa tujuan kutipan adalah untuk melaksana dan meningkatkan syariat Islam. Ia juga harus bersandarkan syarat bahawa kerajaan memerlukan sumber kewangan untuk pembangunan umum seperti membina jalan raya, membantu orang miskin atau membina hospital. Cukai yang dikutip hendaklah juga hanya untuk memenuhi maslahah dharuriyat dan hajiyat iaitu memenuhi tanggungjawab sosial dan kepentingan rakyat dan negara, katanya pada sidang media selepas mesyuarat Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan di sini. 

"Harus, selagi bebanan cukai dikutip secara adil, cukai dibelanjakan untuk maslahah ummah bukan untuk maksiat dan agihan cukai hendaklah bertepatan, adil dan mengikut pandangan ahli ulama atau pakar semasa dan setempat" katanya.

 Abd Shukor menolak dakwaan bahawa keputusan jawatankuasa itu berkenaan GST adalah berdasarkan hujah yang longgar dan tidak menepati hukum syarak kerana bersandarkan kepada maslahah. Katanya selain mendapat pandangan ulama, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira laporan intensif yang disediakan kumpulan penyelidik dari kalangan pakar syariah dan ekonomi dari Universiti Teknologi MARA. Abd Shukor juga berkata jawatankuasa itu turut mengambil maklum mengenai laporan ketirisan perbelanjaan kerajaan seperti dilaporkan dalam Laporan Audit Negara. Namun, katanya, mereka (jawatankuasa itu) hanya bertanggungjawab dalam memberi pandangan mengenai GST. Ditanya apakah jawatankuasa itu akan mengeluarkan fatwa baharu jika kerajaan gagal memenuhi syarat yang digariskan, Abd Shukor berkata kerajaan perlu diberi peluang sehingga setahun (laksana CBP) sebelum penilaian semula dibuat. - BERNAMA


Gempa kuat 6.5 Richter landa Taiwan




KUALA LUMPUR: Satu gempa bumi kuat melanda wilayah Taiwan hari ini, di 123 kilometer tenggara Keelung, Taiwan dan 2,014 km timur laut Kudat, Sabah. Jabatan Meteorologi Malaysia dalam satu kenyataan berkata gempa bumi berukuran 6.5 pada skala Richter itu berlaku pada jam 9.42 pagi. Tiada ancaman tsunami dikesan tetapi jabatan itu akan terus memantau rapi kejadian berkenaan, kata kenyataan itu lagi. - BERNAMA


LUAR NEGARA

Boko Haram culik lebih 2000 orang  wanita- Amnesty


DAKAR: Kumpulan Boko Haram menculik lebih 2,000 gadis dan wanita sejak tahun lalu dan menjadikan mereka sebagai tukang masak, hamba seks dan askar selain membunuh mereka yang enggan berbuat demikian, menurut Amnesty International.

 Laporan 90 muka surat berdasarkan puluhan temubual dengan saksi dan mangsa yang dapat melarikan diri oleh kumpulan hak asasi manusia itu dikeluarkan setahun selepas kumpulan militan itu menculik lebih 220 pelajar perempuan di Chibok, penempatan pedalaman di timur laut Nigeria. 
Penculikan itu mencetuskan kemarahan masyarakat antarabangsa tetapi sebahagian besar daripada gadis dan wanita berkenaan masih hilang biarpun negara Barat berikrar untuk mengesan mereka dan Chad berusaha merundingkan pembebasan mereka. 

Pemimpin Boko Haram, Abubakar Shekau, mendakwa gadis berkenaan sudah "dikahwinkan" dengan pejuangnya. 

Laporan Amnesty itu menyatakan Boko Haram sering menculik gadis dan wanita selepas menawan sesebuah pekan dan menahan mereka di rumah atau lokap. Seorang gadis berusia 19 tahun memberitahu Amnesty bagaimana dia diculik pada satu majlis perkahwinan bersama pengantin perempuan dan kakak pengantin lalu ditahan di sebuah kem latihan di Madagali bersama ratusan pejuang wanita. 

"Saya adalah antara gadis yang dilatih untuk menembak. Saya juga dilatih menggunakan bom dan menyerang kampung," katanya yang beberapa kali dirogol secara bergilir-gilir oleh anggota kumpulan militan itu. 

Boko Haram dipercayai sudah membunuh ribuan mangsa dalam kempen keganasan sejak enam tahun lalu. Namun, tentera Nigeria bersama tentera negara jiran - Chad, Cameroon dan Niger - baru-baru ini berjaya menawan semula wilayah yang dirampas Boko Haram. - Reuters

Mesir, Arab Saudi bincang gerakan ketenteraan di Yaman


ADEN: Majlis Keselamatan PBB mengenakan sekatan senjata menyasarkan pemberontak Houthi yang menguasai sebahagian besar Yaman ketika pertempuran di selatan negara itu kian sengit. Mesir menyatakan ia dan Arab Saudi sudah berbincang mengadakan "gerakan ketenteraan" dengan negara Teluk lain susulan perbincangan mengenai kemajuan kempen serangan udara ke atas puak Houthi sejak tiga minggu lalu.

 Kenyataan Pejabat Presiden Mesir itu menunjukkan bahawa anggota pakatan negara Arab itu mungkin melancarkan gerakan di darat susulan serangan udara atau sekurang-kurangnya menunjukkan kekuatan di sempadan. Beberapa negara Arab mengebom kedudukan puak Houthi dalam usaha membantu pasukan militia yang menahan kemaraan kumpulan itu dan unit tentera yang setia dengan bekas presiden yang digulingkan, Ali Abdullah Saleh. Resolusi Majlis Keselamatan PBB itu juga menuntut puak Houthi berhenti bertempur dan berundur dari kawasan yang ditawan, termasuk ibu negara Sanaa.

Penyakit misteri ragut 18 nyawa di Nigeria



LAGOS: Satu penyakit misteri yang membunuh pesakit dalam tempoh 24 jam sudah meragut 18 nyawa di sebuah bandar di tenggara Nigeria."Seramai 23 orang (dijangkiti) dan 18 kematian dicatatkan," kata Pesuruhjaya Kesihatan Ondo, Dayo Adeyanju.

 Jurucakap kerajaan untuk negeri itu, Kayode Akinmade, sebelum itu menyatakan angka kematian ialah 17 orang."Seramai 17 orang mati akibat penyakit misteri ini sejak ia merebak awal minggu ini di bandar Ode-Irele town," kata Akinmade kepada AFP. 

Akinmade berkata, penyakit itu yang simptomnya termasuk pening, kabur penglihatan dan pengsan, membunuh mangsa dalam tempoh sehari selepas dijangkiti. Ujian makmal sehingga kini menunjukkan ia bukan Ebola atau jangkitan virus lain. - AFP

Morsi berhadapan hukuman mati


KAHERAH: Bekas Presiden Mesir, Mohamed Morsi, berhadapan hukuman mati Selasa ini berhubung pertuduhan menghasut pembunuhan penunjuk perasaan dalam keputusan pertama perbicaraan hampir dua tahun selepas beliau digulingkan. Beliau juga berhadapan hukuman mati dalam dua lagi kes, termasuk dituduh mengintip untuk kuasa asing dan melarikan diri dari penjara semasa rusuhan menentang Presiden Hosni Mubarak pada 2011. Keputusan perbicaraan dua kes itu ialah pada 16 Mei depan. 

Menurut pakar perundangan, hukuman mati terhadap presiden pertama Mesir yang dipilih menerusi pilihan raya bebas itu tidak boleh ditolak kerana hakim sebelum ini menjatuhkan hukuman berat terhadap pemimpin Ikhwanul Muslimin. Morsi digulingkan oleh ketua tentera pada masa itu tetapi kini presiden, Abdel Fattah al-Sisi, pada 3 Julai 2013 selepas tunjuk perasaan di jalanan terhadap pemerintah beliau selama setahun. Pihak berkuasa baharu pada masa itu kemudian bertindak terhadap penyokong Morsi sehingga menyebabkan lebih 1,400 orang terbunuh dan ribuan lagi dipenjara. Ratusan penyokong beliau sudah dijatuhi hukuman mati selepas perbicaraan besar-besaran singkat yang disifatkan PBB sebagai "tidak pernah berlaku dalam sejarah". Pada November tahun lalu, sebuah mahkamah menggugurkan pertuduhan bunuh ke atas Mubarak berhubung kematian ratusan penunjuk perasaan pada 2011. 

Rejim Sisi popular dalam kalangan rakyat Mesir yang muak dengan kemelut politik yang berlarutan selama empat tahun tetapi kumpulan hak asasi menyatakan ia lebih menindas berbanding pemerintahan Mubarak. Keputusan Selasa ini membabitkan kes yang mana Morsi dan 14 tertuduh lain, termasuk tujuh yang masih bebas, didakwa membunuh tiga penunjuk perasaan dan menyeksa beberapa lagi dalam pertempuran di depan Istana Presiden pada 5 Disember, 2012. Peguam bela menyatakan tiada bukti Morsi menghasut dalam pertempuran itu dan kebanyakan mereka yang terbunuh adalah ahli Ikhwanul Muslimin. Andainya Morsi terlepas hukuman bunuh, beliau masih berhadapan hukuman penjara seumur hidup. - AFP 



No comments:

Post a Comment