May 13, 2015

WEEKLY IPIP NEWS WRAP UP (5/5/2015-12/5/2015) - IKATAN PELAJAR ISLAM POLAND~


DALAM NEGARA

Gempa Terkini: Kedutaan di Kathmandu Kenal Pasti Rakyat Malaysia yang Terlibat Dalam Gempa Magnitud 7.3 di Nepal, 12 Mei




KATHMANDU: Gempa bumi kuat bermagnitud 7.3 gegar Nepal 12.35 tengah hari 12 Mei, dua minggu selepas gempa magnitud 7.8 yang telah meragut lebih 8,000 nyawa pada 25 April lalu.


KUALA LUMPUR: Kedutaan Malaysia di Kathmandu sedang mengambil langkah-langkah perlu untuk mengenal pasti sama ada rakyat Malaysia terlibat dalam gempa bumi terkini yang melanda Nepal.


Kementerian Luar dalam kenyataan berkata gempa bumi 7.3 pada skala Richter itu menggegarkan Nepal pada kira-kira jam 12.35 tengah hari waktu tempatan (3.05 petang waktu Malaysia). 

"Kementerian akan terus memantau keadaan. Kami ingin menegaskan bahawa adalah penting bagi semua rakyat Malaysia yang berhasrat untuk melawat negara itu supaya menghubungi Kedutaan Malaysia di Kathmandu. "Ini akan membantu Kedutaan menyediakan bantuan konsular yang diperlukan kepada rakyat Malaysia di luar negara," kata kenyataan itu.


 Gempa bumi hari ini berlaku dua minggu selepas gempa bumi kuat berukuran 7.8 magnitud melanda Nepal pada 25 April. - BERNAMA


Gempa Nepal: Seorang Rakyat Malaysia disahkan Maut




KUALA LUMPUR: Seorang rakyat Malaysia disahkan maut selepas dilapor hilang ketika gempa bumi kuat melanda Kathmandu, Nepal, 25 April lalu. 

Pemangku Duta Besar Malaysia ke Nepal, Fadli Adilah, dalam satu kenyataan di laman Facebook rasmi Kedutaan Malaysia di Kathmandu mengesahkan kematian Raj Anthony.

 Pengesahan itu dibuat selepas mengadakan rundingan dengan wakil keluarga mendiang Anthony, yang tiba di Kathmandu bagi mengesahkan jenazah, hari ini.

 "Kami juga akan membantu keluarga untuk prosedur dan urusan seterusnya," katanya. Pihak kedutaan di sana turut mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang. 


Mendiang dilapor hilang di Lembah Pergunungan Lanting, Kathmandu 24 April lalu dan mayatnya ditemui bersama sherpal (pemandu arah) yang turut maut.




Nahas Helikopter Pakistan: Isteri Pesuruhjaya Tinggi Malaysia Maut


KUALA LUMPUR: Kementerian Luar mengesahkan isteri Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Pakistan, Datin Habibah Mahmud antara perwakilan asing yang terkorban dalam nahas helikopter MI-17 milik tentera Pakistan yang terhempas di kawasan Lembah Naltar, Pakistan awal pagi tadi.

 Dalam satu kenyataan, kementerian itu berkata helikopter itu sedang membawa diplomat asing dan isteri mereka dalam satu program rasmi kerajaan Pakistan.

 "Dalam nahas itu, Duta Besar Norway, Belanda dan Filipina, serta isteri kepada Duta Besar Indonesia turut dilaporkan meninggal dunia. "Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Pakistan, Datuk Dr Hasrul Sani Mujtabar dilaporkan turut tercedera dan sedang dirawat di Hospital Gilgit," katanya. Kenyataan itu turut berkata, punca kejadian masih lagi dalam siasatan dan laporan penuh nahas ini akan diberitahu kelak.


EKONOMITabung Haji Jual Semula Tanah dibeli daripada 1MDB di TRX

KUALA LUMPUR: Tabung Haji (TH) memutuskan untuk menjual semula satu plot tanah di Tun Razak Exchange (TRX) yang dibeli daripada 1Malaysia Development Bhd (1MDB) pada pertimbangan RM188.5 juta sebelum ini.

TH dijangka meraih keuntungan lebih RM5 juta daripada penjualan plot tanah itu seluas 1.56 ekar. Pengerusi TH, Datuk Abdul Azeez Rahim, berkata setakat ini sudah ada tiga pihak sedia membeli tanah ini dan urusan jual beli tanah ini akan dilaksanakan TH minggu depan. 

Katanya, keputusan penjualan itu juga sudah diputuskan dan dipersetujui semua ahli Lembaga Pengarah TH. "Kita pegang tanah ini sebulan saja dan kita sudah setuju untuk jual semula dengan sedikit keuntungan yang akan kita peroleh," katanya pada sidang media di Menara TH, pagi ini. Mengikut Azeez, TH juga akan dapat semula 100 peratus wang yang dibayar kepada 1MDB untuk pembelian tanah itu.

 Mengulas lanjut beliau berkata, Azeez berkata, keputusan menjual semula tanah dibuat atas nasihat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bagi mengelak penyebaran fitnah secara berterusan, selain meredakan persepsi kurang baik dalam kalangan pendeposit.

Dalam pada itu, Azeez menjelaskan sekali lagi, pembelian tanah di TRX dibuat atas keputusan komersial dan bukan untuk 'bailout' atau menyelamatkan 1MDB. Penilaian dilakukan berdasarkan harga semasa oleh penilai profesional Jones Lang Wootton. Abdul Azeez berkata, tawaran penjualan tanah berkenaan dibuat oleh 1MDB pada April 2013 pada harga RM220 juta dan selepas dua tahun dan dua sesi penilaian, ahli lembaga pengarah sebulat suara setuju dengan pembelian itu yang dimuktamadkan bulan lalu. Pembelian tanah berkenaan, katanya, diunjurkan berpotensi memberikan pulangan keuntungan sebanyak sembilan peratus setahun, menepati sasaran pulangan pelaburan Tabung Haji sekurang-kurangnya enam peratus setahun.

Jika dilihat kepada nilai pembangunan kasar tanah berkenaan pada RM828 juta, ditolak kos pembangunan kasar sebanyak RM650.5 juta, Tabung Haji mampu memperoleh keuntungan sebanyak RM177.5 juta.

Penilaian tanah berkenaan pada RM2,774 sekaki persegi adalah lebih rendah berbanding beberapa transaksi yang dilakukan di kawasan berhampiran yang melebihi RM3,000 sekaki persegi. 

Abdul Azeez memberi jaminan kepada pendeposit bahawa simpanan mereka dijamin penuh oleh kerajaan dan wang yang digunakan untuk pelaburan adalah agihan dana mengikut peruntukan aset yang telah diluluskan oleh lembaga pengarah, iaitu sekitar RM11 bilion. 

Hingga kini, katanya, Tabung Haji sudah melabur RM5.6 billion daripada peruntukan itu. Pulangan daripada pelaburan berkenaan digunakan untuk subsidi dan pengurusan haji selain pengagihan keuntungan melalui hibah bonus tahunan di mana Tabung Haji telah membayar purata lebih enam peratus sepanjang tempoh 10 tahun kebelakangan ini. Tabung Haji menganggarkan subsidi haji tahun ini berjumlah sekurang-kurangnya RM120 juta dengan subsidi bagi setiap jemaah dianggarkan sebanyak RM7,290 bagi mengekalkan kos jemaah menunaikan haji pada RM9,980 berbanding kos sebenar yang berjumlah RM17,270.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/53847


Isu PATI: Malaysia berbincang Dengan Bangladesh dan Myanmar



PUTRAJAYA: Malaysia akan mengadakan perbincangan segera dengan Bangladesh dan Myanmar bagi mencari penyelesaian berhubung kebanjiran Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) Rohingya dan Bangladesh di Langkawi.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Alwi Ibrahim berkata pihaknya mendapati wujud elemen penyeludupan migran ekoran kerelaan PATI dari kedua-dua negara berkenaan untuk datang ke Malaysia. 

Selain itu pihak Thailand juga akan dibabitkan dalam perbincangan bersama Dhaka dan Yangon susulan kes-kes penyeludupan migran menerusi sempadan Malaysia-Thailand membabitkan PATI Rohingya serta Bangladesh. 

Mengikut Alwi seramai 1,158 PATI Rohingya dan Bangladesh terdiri daripada 993 lelaki, 104 perempuan dan 61 kanak-kanak tiba di Langkawi sejak 10 Mei lalu. "Daripada jumlah itu, seramai 486 orang adalah warga Myanmar manakala 672 orang warga Bangladesh," katanya. Alwi berkata semua PATI berkenaan dipindahkan secara berperingkat mulai hari ini (12 Mei) ke Depoh Tahanan Imigresen Belantik, Kedah. 

Proses pemindahan itu membabitkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM); Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM), Polis Marin dan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM). Kementerian Dalam Negeri hari ini juga mengadakan Mesyuarat Penyelarasan Antara Agensi membabitkan Kementerian Luar Negeri; Majlis Keselamatan Negara (MKN), Polis DiRaja Malaysia (PDRM); JIM dan APMM bagi membincangkan isu kebanjiran PATI itu. 

Hasil siasatan awal polis, kumpulan PATI ini mendakwa ditawarkan oleh ejen di negara masing-masing untuk bekerja di Malaysia dengan menjanjikan pendapatan yang lebih baik. - BERNAMA

Kedah: Denda dan Penjara Jika Tidak Solat Jumaat, bermula 1 Jun

ALOR SETAR: Bermula 1 Jun ini, umat Islam yang tidak menunaikan solat Jumaat sebanyak tiga kali berturut-turut boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 13 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014, kata Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK). 

Ketua Pegawai Penguat Kuasa JAIK Syeikh Ahmad Fisol Omar berkata mereka yang didapati bersalah boleh disaman tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya. Perkara mengenai kegagalan menunaikan solat Jumaat itu termaktub dalam Rang Undang-Undang Kesalahan Jenayah Syariah (Kedah Darul Aman) 2014, yang diluluskan sidang Dewan Undangan Negeri tahun lepas. 

Syeikh Ahmad berkata, JAIK mengadakan jelajah di 12 daerah di negeri ini untuk memberi penerangan kepada pihak yang boleh membantu dalam menguatkuasakan undang-undang itu. "Poster dan pekeliling tentang undang-undang itu turut diedarkan kepada 568 masjid di seluruh Kedah," katanya. Beliau berkata, orang awam boleh mendapatkan borang aduan ketidakhadiran solat Jumaat itu di pejabat-pejabat agama daerah dan maklumat pelapor akan dirahsiakan. - BERNAMA



LUAR NEGARA


Thailand timbang Buka Pusat Untuk Pelarian Rohingya


BANGKOK: Thailand akan berbincang dengan jirannya dan pertubuhan antarabangsa berhubung kemungkinan menubuhkan pusat bagi masyarakat Rohingya yang diselamatkan daripada kegiatan pemerdagangan manusia, kata Perdana Menteri Prayuth Chan-ocha. 


Prayuth berkata beliau menganggap pemerdagangan manusia membabitkan masyarakat Rohingya sebagai jenayah merentas sempadan dan oleh itu, pertubuhan antarabangsa perlu terbabit sama. 

Para pegawai Kementerian Luar Thailand sedang berbincang untuk menyelesaikan isu itu di peringkat ASEAN, walaupun Thailand sendiri perlu menangani masalah mengenainya di peringkat dalam negeri, katanya. 

Katanya, agensi antarabangsa sudah menghubungi Thailand mengenai usaha menyelesaikan masalah pemerdagangan manusia dengan secepat mungkin berdasarkan undang-undang antarabangsa. - BERNAMA


Fenomena El Nino Capai Kemuncak Tahun ini


SYDNEY: Biro Ramalan Cuaca Australia hari ini memberi amaran fenomena El Nino, yang boleh mencetuskan suhu melampau membawa maut, akan mencapai kemuncaknya tahun ini. 

El Nino dikaitkan dengan kemarau di Australia dan berlaku apabila pertukaran angin yang berlegar di perairan Pasifik mula lemah dan suhu permukaan laut meningkat. Ia adalah kemunculan pertama sistem cuaca itu dalam masa lima tahun. 

El Nino dijangka bermula pada 2014 dan pegawai berkata ia 'hampir terlepas' tetapi kini melanda Pasifik buat kali pertama sejak Mac 2010. "Permulaan El Nino di Australia pada 2015 agak awal berbanding sebelum ini. Selalunya El Nino berlaku antara Jun dan November.

"Keadaan El Nino yang berpanjangan bermakna sesetengah kawasan lebih terdedah kepada suhu lebih panas dan kering," kata jurucakap Neil Plummer ketika mengumumkan keadaan itu. Di Australia, El Nino dikaitkan dengan hujan di bawah paras purata dan suhu lebih panas di kebanyakan kawasan di negara itu dan risiko tinggi kebakaran hutan, terutama di bahagian negara itu yang sudah mengalami kemarau. 

Ia juga dijangka menyebabkan keadaan lebih kering di Papua New Guinea, Indonesia dan sebahagian Asia Tenggara, dan hujan lebat di timur Pasifik dan negara Amerika Selatan, meningkatkan kemungkinan banjir dan tanah runtuh. Fenomena itu mencetuskan kekecohan kepada petani dan pasaran pertanian antarabangsa. - AFP

Pemberontak Yaman terima Cadangan Genjatan Senjata oleh Arab Saudi

SENAA: Tentera Yaman yang membantu kumpulan pemberontak Huthi hari ini menyatakan menerima cadangan Arab Saudi untuk gencatan senjata minggu depan. "Berikutan usaha negara sahabat untuk mewujudkan gencatan senjata kemanusiaan yang akan menamatkan sekatan dan membenarkan kapal komersial memasuki pelabuhan Yaman serta membenarkan bantuan kemanusiaan masuk, kami mengumumkan persetujuan kepada gencatan senjata kemanusiaan," kata jurucakap pemberontak, Kolonel Sharaf Luqman,

Arab Saudi sebelum ini mengumumkan gencatan senjata atas dasar kemanusiaan di Yaman mulai Selasa. Menteri Luar Arab Saudi, Adel al-Jubeir, selepas mesyuarat menteri negara Teluk di Paris memutuskan gencatan senjata itu akan berkuatkuasa mulai jam 11 malam Selasa ini selama lima hari dan mungkin dilanjutkan bergantung kepada keadaan. 

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut mengingatkan tentera bersekutu bahawa sekatan laluan untuk penghantaran makanan dan bahan api menjejaskan usaha penyaluran bantuan, sekali gus mengancam nyawa ribuan kanak-kanak Yaman. 

"Gencatan senjata ini akan ditamatkan jika Huthi dan sekutunya tidak berpegang kepada persetujuan yang dicapai...inilah masanya Huthi membuktikan mereka mengambil berat hal ehwal masyarakat dan warga Yaman keseluruhannya," kata Jubeir dalam sidang medianya sebelum ini. -AFP.


Liberia diisytihar Bebas Ebola

MONROVIA: Liberia diisytiharkan bebas Ebola selepas 42 hari tanpa kes baharu, kata pasukan bantuan perubatan Medecins Sans Frontieres (MSF), tetapi pemantauan tetap dipertingkatkan selagi wabak itu masih membelenggu negara jiran Guinea dan Sierra Leone. 

Angka kematian akibat Ebola di tiga negara berkenaan hingga kini adalah 11,005 sejak wabak itu melanda pada Disember 2003, kata Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).

Hampir separuh daripada angka kematian direkodkan di Liberia apabila wabak itu memuncak pada Ogos dan Oktober tahun lalu sehingga mencetus panik di seluruh dunia. 

Amerika Syarikat (AS) menghantar beratus-ratus tentera untuk membina klinik rawatan di negara itu yang diasaskan golongan hamba yang bebas di AS. Dibantu tentera AS, kerajaan pimpinan Presiden Ellen Johnson mempertingkatkan kempen kesedaran di seluruh negara untuk mengekang gejala Ebola yang tersebar menerusi hubungan fizikal dengan penghidap. Mengikut MSF, 42 hari adalah dua kali ganda tempoh inkubasi virus Ebola, tetapi pihaknya akan hanya berasa selamat apabila ketiga-tiga negara berkenaan mencatat rekod yang sama. Justeru, Ketua Misi MSF di Liberia, Mariateresa Cacciapuoti, menggesa kerajaan Liberia meningkatkan pemantauan bagi mengelakkan kemasukan secara haram penduduk dari Guinea dan Sierra Leone ke negara itu. - Reuters


No comments:

Post a Comment