May 21, 2015

TANGISAN ROHINGYA



Sekiranya kita melakukan tinjauan di kalangan umat Islam hari ini dan bertanyakan tentang umat islam yang tertindas,nescya kita akan mendapat jawapan Palestin,Afghanistan,Iraq,Chechnya dan sebagainya.Namun tidak ramai di kalangan kita yang menginsafi terhadap permasalahn umat Islam Rohingya.

Selama beberapa dekad, orang-orang Rohingya telah menjadi mangsa pelanggaran hak asasi manusia yang sistematik dan meluas di tangan junta tentera Myanmar (Burma). Dalam satu laporan terbaru yang dikeluarkan oleh Pusat Hak Asasi Manusia Ireland (ICHR), seorang pakar undang-undang hak asasi manusia antarabangsa mendakwa bahawa kekejaman massa yang dilakukan oleh kerajaan junta tentera terhadap minoriti Rohingya yang tinggal di daerah Barat Myammar mungkin merupakan antara jenayah terhebat terhadap kemanusiaan di abad ini.
Permasalahan mereka telah telah diabaikan selama bertahun-tahun dan tiada sebarang tindakan yang sistematik telah dilakukan untuk membantu mereka meneruskan kehidupan sebagai masyarakat manusia yang normal.
SEJARAH MUSLIM ROHINGYA
Orang Rohingya adalah satu kumpulan etnik beragama Islam di utara Negeri Rakhine yang terletak di Barat Burma. Kebanyakan populasi Rohingya tertumpu di dua buah bandar utara Negeri Rakhine (dahulunya dikenali sebagai Arakan). Sejarah orang Rohingya bermula dari awal kurun ke-7 di Negeri Arakan yang menjadi penempatan bagi pedagang-pedagang Arab yang beragama Islam.Orang Rohingya memiliki persamaan fizikal, bahasa dan budaya seperti orang Asia Selatan, terutamanya orang Benggali. Malahan, sesetengah orang Rohingya yang menetap di Arakan adalah keturunan orang Arab, Parsi dan Pashtun yang berhijrah ke Arakan semasa era pemerintahan Empayar Mughal.

Amnesty International melaporkan etnik Rohingya terus menerus menderita akibat pencabulan hak
kemanusiaan oleh junta tentera Myanmar sejak tahun Kepada Myanmar, Rohingya ialah pendatang dari Bangladesh, mereka bukan sebahagian daripada 137 minoriti di negara itu. Orang Rohingya adalah bangsa tanpa Negara kerana Myanmar tidak mengiktiraf mereka sebagai salah satu dari 137 minoriti di Negara tersebut dan Bangladesh juga enggan menerima mereka.
Gerakan pembebasan orang Rohingya disekat dengan keras .Mereka juga tertakluk pada pelbagai bentuk pemerasan dan pencukaian sembarangan; penyitaan tanah; pengusiran paksa dan pemusnahan rumah; dan sekatan kewangan ke atas perkahwinan. Orang Rohingya terus menerus dipaksa menjadi buruh dalam pembinaan jalan raya dan di kem-kem tentera walaupun jumlah buruh paksa di utara Negeri Rakhine telah menurun sejak sedekad yang lalu.


Pada tahun 1978, dianggarkan seramai 200,000 orang Rohingya telah melarikan ke Bangladesh berikutan operasi Nagamin’ (‘Raja Naga’) tentera Myanmar. Secara rasmi kempen ini mensasarkan pemeriksaan setiap individu yang tinggal dalam negeri tersebut, menandai warganegara dan orang asing bertepatan dengan undang-undang dan mengambil tindakan terhadap orang asing yang menyusup masuk ke dalam negara secara haram". Kempen ketenteraan ini disasarkan secara terus kepada orang awam, dan mengakibatkan pembunuhan, rogol dan pemusnahan masjid serta penindasan agama secara besar-besaran."



Semasa 1991-92, satu gelombang baru orang Rohingya yang dianggarkan berjumlah suku juta orang telah melarikan diri ke Bangladesh. Mereka melaporkan tentang buruh paksa di samping hukuman mati terus, penyeksaan dan rogol. Orang Rohingya dipaksa bekerja tanpa bayaran oleh tentera Myanmar di projek-projek infrastruktur dan ekonomi, lazimnya dalam keadaan yang teruk. Banyak pencabulan hak-hak kemanusiaan lain berleluasa dalam konteks buruh paksaan orang awam Rohingya oleh pasukan keselamatan.


Selepas bertahun-tahun melalui siri penderitaan yang panjang dan besar, mereka mula mengambil bot-bot kecil ke laut terbuka dengan harapan untuk mendarat di suatu tempat sebagai pelarian politik, ekonomi dan agama.
Ada di kalangan mereka yang berjaya mendarat di Thailand, Malaysia, Indonesia dan sebahagiannya di Australia. Namun kebanyakan mereka telah ditolak mentah-mentah oleh kebanyakan negara ini.
Bahkan ramai di kalangan ‘orang bot’ yang mendarat di Thailand telah dihalau semula ke laut dalam bersama sampan mereka yang telah dicabut enjinnya agar mereka terus hanyut terkapai-kapai tanpa hala tuju. Sebahagian daripada mereka terdampar di Malaysia, Indonesia dan Australia tetapi ribuan di kalangan mereka yang telah mati lemas atau kebuluran di tengah laut.

Tiada siapa yang mahukan mereka . Bahkan negara-negara yang mendakwa mewakili umat Islam juga tidak mahu mereka, sekali gus membuktikan bahawa seolah-olah umat ini ‘tidak ada harga’ kepada mereka.
Umat Islam Rohingya telah memohon diberikan status ‘Pelarian Sementara  Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sehingga negara-negara lain bersetuju untuk mengambil mereka buat sementara. Indonesia dikatakan akan mempertimbangkan permohonan mereka untuk tinggal di Acheh buat sementara. Masyarakat wilayah Nanggro Acheh Darussalam telah bersepakat dan bekerjasama di antara satu sama lain bagi meringankan keperitan dan bebanan yang dihadapi oleh pelarian Rohingya yang terdampar di perairan Acheh Timur.



Terkini, Filipina bersedia terima Rohingya.Kerajaan Filipina secara rasminya menjadi 'kerajaan pertama' di rantau ini yang bersetuju untuk menerima kehadiran pelarian Rohinga yang 'terkini'.Namun jumlah sebenar yang dipersetujui untuk diterima belum ditetapkan lagi.Selain itu, Perdana Menteri Turki mengumumkan bahawa kerajaan Turki mengirimkan kapal angkatan tentera laut Turki bagi menyampaikan bantuan kemanusiaan kepada para pelarian Rohingya yang tersangkut di beberapa kawasan perairan antarabangsa.


Isu Rohingya adalah isu umat Islam sejagat. Mereka telah ditindas buat sekian lamanya dan kini sebahagian daripada mereka telah pun mendarat di Malaysia bagi mendapatkan perlindungan dan bantuan kemanusiaan daripada saudara seaqidah mereka.Sentiasalah mendoakan keselamatan dan masa depan mereka serta mengambil tahu perkembangan semasa terhadap keperitan umat yang berpanjangan ini.


Ingatlah, bahawa mengambil tahu dan mempunyai kepedulian terhadap orang lain terutamanya saudara seaqidah adalah sesuatu yang sangat dituntut oleh agama Islam yang luhur ini sebagaimana sabda Rasulullah saw yang bermaksud,

“Barangsiapa tidak mengambil berat tentang urusan umat Islam, maka bukanlah mereka daripada kalangannya”

Dari Nu’man bin Basyir r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda:
Perumpamaan orang-orang mukmin dalam hal saling mencinta, saling mengasihi dan saling menyayang, bagaikan sebuah tubuh. Apabila salah satu anggota tubuh merasa sakit, maka seluruh tubuh merasa sakit, tidak dapat tidur dan terasa demam.”
Hadith riwayat Muslim


Jom, peduli ummah…..



CREDIT TO : ANGEL PAKAI GUCCI,DR ZAINUR RASHID ZAINUDDIN 

No comments:

Post a Comment