Nov 23, 2015

[AMARGlobal] AMAR WEEKLY WRAP UP(16.11.2015~22.11.2015)



DALAM NEGARA

286 mangsa banjir di Perak



Sebanyak 286 mangsa banjir daripada 82 keluarga masih ditempatkan di pusat pemindahan setakat 11 pagi(20 November 2015), kata Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak Yahya Madif.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 167 orang daripada 52 keluarga adalah dari Daerah Hilir Perak, membabitkan Kampung Lorong Mesra, Batu 9, Lorong Kedah dan Kampung Baru Batu 8, ditempatkan di pusat pemindahan Sekolah Kebangsaan Changkat Jong.

Kawasan itu masih dinaiki air setinggi 2.99 meter, katanya ketika dihubungi.

Yahya berkata terdapat pengurangan jumlah anggota keluarga berikutan ada yang hanya mendaftar namun tidak berada di pusat pemindahan terbabit.

Najib, Abe bincang gelombang kedua Dasar Pandang Ke Timur



KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membincangkan gelombang kedua Dasar Pandang Ke Timur semasa mesyuarat dua hala dengan rakan sejawatannya dari Jepun, Shinzo Abe, di sini.

Menurut seorang pegawai, hubungan usaha sama berasaskan dasar itu harus sesuai dengan Wawasan 2020 Malaysia serta matlamat Jepun untuk mencergaskan semula ekonomi selain mengukuhkan pembabitan negara itu dengan ASEAN.

Najib mengumumkan dasar 2.0 semasa lawatan rasmi ke Korea Selatan pada Disember tahun lepas.

Mesyuarat dua hala itu yang berlangsung selama 40 minit, turut menyentuh mengenai bidang seperti kerjasama pertahanan, maritim, kereta api berkelajuan tinggi serta pembaharuan dalam Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNSC).

Ujian DNA akan sahkan identiti mayat mangsa culik, Bernard Then - KPN



KUALA LUMPUR: Ujian DNA akan dibuat bagi mengesahkan sama ada mayat tanpa kepala yang ditemui di Indanan di Kepulauan Jolo, Selatan Filipina, pada Rabu adalah Bernard Then Ted Fen, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar. 
Beliau berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mendapatkan sampel DNA daripada keluarganya untuk dihantar ke Filipina, secepat mungkin.

"Kita sedang berusaha mendapatkan DNA keluarga mangsa untuk dihantar ke Filipina, selain menunggu DNA mayat terbabit daripada negara berkenaan.
"Mayat terbabit kini ditempatkan di sebuah hospital di Pulau Indanan," katanya selepas Majlis Penganugerahan Pingat Kedaulatan Negara di sini.
Then yang berasal dari Sarawak diculik kumpulan militan Abu Sayyaf bersama pengurus restoran, Thien Nyuk Fun, 50, dari Restoran Ocean King Seafood di Sandakan, 15 Mei lalu.Then dipercayai dipenggal oleh kumpulan itu kira-kira jam 4 petang Selasa di kepulauan Jolo, manakala Thien pula dibebaskan pada 8 November lalu.

71 tangkapan dalam operasi pemerdagangan manusia di Perak



IPOH: Sebanyak 71 tangkapan dilakukan menerusi operasi Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 (Akta 670) oleh kontinjen polis Perak dalam tempoh lima tahun.


Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata polis Perak menjalankan 35 operasi di pelbagai lokasi sepanjang tempoh itu dengan 26 tangkapan tahun ini, 15 tangkapan (2014), tujuh tangkapan (2013), 10 tangkapan (2012) dan 13 tangkapan (2011).

Zambry juga berkata Memorandum Persefahaman Malaysia dan Thailand yang diadakan pada 2010, telah menggariskan suatu bentuk kerjasama antara kedua-dua negara bagi membendung serta membasmi jenayah ini, khususnya bagi negeri yang bersempadan dengan Thailand termasuk Perak.

Pemimpin Asean tandatangan Deklarasi KL



KUALA LUMPUR - Pemimpin 10 negara Asia Tenggara menandatangani deklarasi bersejarah bagi pembentukan Komuniti Asean menjelang 31 Disember 2015 yang menggariskan ketetapan untuk meningkatkan integrasi di rantau yang mempunyai populasi lebih 600 juta.


Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selaku pengerusi Asean 2015, disertai pemimpin sembilan lagi negara Asia Tenggara dalam menandatangani Deklarasi Kuala Lumpur 2015 bagi Pembentukan Komuniti Asean.‎

Mereka juga menandatangani Deklarasi Kuala Lumpur bagi Asean 2025: Maju Bersama, dokumen yang menggariskan hala tuju komuniti itu untuk 10 tahun akan datang.

Selain Najib, dokumen itu ditandatangani oleh Sultan Brunei Darussalam, Sultan Hassanal Bolkiah; Perdana Menteri Kemboja Hun Sen; Presiden Indonesia Joko Widodo; Perdana Menteri Laos, Thongsing Thammavong; Presiden Myanmar, U Thein Sein; Presiden Filipina, Benigno S. Aquino; Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien‎ Loong; Perdana Menteri Thailand, Prayut Chan-o-cha dan Perdana Menteri Vietnam, Nguyen Tan Dung.

Ditubuhkan selepas 48 kewujudan perkumpulan itu, Komuniti Asean berteraskan tiga tonggak iaitu Komuniti Politik dan Keselamatan Asean, Komuniti Ekonomi Asean dan Komuniti Sosio-Budaya Asean.

Malaysia tidak perlu terikat cadangan LGBT Obama - Nasharudin



PETALING JAYA: Malaysia tidak perlu terikat dengan cadangan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama mengenai dasar kerajaan yang membolehkan pasangan sejenis untuk berkahwin, kata Ketua Pegawai Eksekutif Gerakan Kesederhanaan Global (GMM), Nasharudin Mat Isa.

Beliau berkata sebagai sebuah negara berdaulat dan merdeka, Malaysia mempunyai hak untuk mentadbir dan mengurus negaranya sendiri.

Nasharudin turut menyifatkan kenyataan Obama itu sebagai satu campur tangan urusan pentadbiran negara ini.
"Namun sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat, Malaysia perlu berpegang kepada pendirian kita, iaitu Perlembagaan Persekutuan.

"Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan menyatakan Agama Islam sebagai agama rasmi dan sebagai sebuah negara berdaulat, kita tidak perlu terikat dengan cadangan pihak luar," kata Nasharudin di sini.

Perhimpunan bantah penindasan Barat dan Zionisme di Kedutaan AS



KUALA LUMPUR: Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) mengadakan perhimpunan bantah penindasan Barat dan Zionisme sempena kehadiran Presiden Amerika Syarikat Barack Obama di ibu negara.


Perhimpunan turut diadakan sebagai bantahan kepada Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).

“Kita akui negara dunia memerlukan perdagangan antarabangsa tetapi kita tidak boleh sama sekali kompromi apabila menandatangani sebuah perjanjian yang akhirnya kita (Malaysia) menunduk dan menjadi negara yang sangat lemah.

“Kita perlu ingat Malaysia adalah sebuah negara yang mempunyai maruahnya, dan apabila TPPA ditandatangani ia adalah satu perkara yang sangat memalukan,” kata pengasas SAMM Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard.

Semua 20 universiti awam setuju larang hisap vape di universiti



KANGAR: Semua 20 universiti awam bersetuju agar penggunaan vape atau rokok elektronik dan rokok diharamkan di kampus masing-masing, kata Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh.

Beliau berkata keputusan itu dicapai bersama oleh Naib-naib Canselor di 20 universiti awam berkenaan yang bermesyuarat Jumaat lepas.

"Walaupun sebelum ini ada naib canselor yang mengumumkan pengharaman menghisap vape dan rokok dalam kawasan universiti, saya menyifatkan keputusan bersama ini adalah tepat kerana universiti adalah zon hijau.

"Dahulu, hanya rokok yang diharamkan dihisap (di universiti), sekarang kita perluaskan kepada vape atau rokok elektronik," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kejohanan Sukan Institusi Pendidikan Malaysia (SIPMA) ke-6 di Dewan 2020 di sini.

Beliau berkata universiti diberi kuasa autonomi dan berhak menentukan hukuman atau tindakan terhadap mereka yang melanggar peraturan tersebut dan kerajaan tidak akan campur tangan.

LUAR NEGARA

Serangan hotel di Mali: Lebih 20 maut, jumlah baki tebusan berjaya dibebaskan



BAMAKO: Tindakan pasukan keselamatan yang menyerbu sebuah hotel mewah yang ditawan sekumpulan penyerang di Bamako, Mali telah mencetuskan pertempuran hingga angka kematian kini meningkat ke 27 orang, lapor Reuters.


Kebanyakan daripada 170 tebusan di Hotel Radisson Blu itu merupakan warga asing dan seorang pegawai rasmi dari Belgium adalah antara yang terkorban.

Kira-kira selepas sembilan jam drama serangan itu berlaku, Menteri Keselamatan Mali berkata tiada lagi tebusan yang terperangkap di dalam bangunan hotel itu.

Sebelum itu, puluhan tebusan yang masih hidup telah dibebaskan dengan bantuan pihak berkuasa tempatan.

Dalam kejadian yang berlaku pagi jumaat itu, serangan dilakukan oleh 10 lelaki bersenjata yang dipercayai anggota militan menawan 140 tetamu hotel dan 30 pekerjanya.

Tujuh maut helikopter terhempas dalam glasier New Zealand



WELLINGTON: Enam penumpang dan seorang juruterbang maut apabila helikopter yang mereka naiki terhempas ke dalam lohong glasier di New Zealand akibat cuaca pada Sabtu, lapor AFP.

Helikopter pesiaran itu menjunam ke kawasan Fox Glacier, yang merupakan tapak pelancongan popular di pantai barat South Island, dalam keadaan cuaca mendung dan hujan lebat.

Pasukan paramedik dan penyelamat kawasan tanah tinggi yang berada di lokasi kemalangan mengesahkan tiada yang selamat dalam tragedi berkenaan.

#PrayforSyria: 'Keganasan bukan satu jawapan'



Pada 16 November 2015 yang lalu kita dikejutkan dengan tindakan Perancis mengebom kubu kuat kumpulan militan IS di Syria sebagai tindak balas selepas serangan terancang kumpulan itu mengorbankan 129 nyawa di Paris.

Perancis menghantar pesawat pejuangnya yang menggugurkan lebih 20 bom di kubu kuat IS di Raqa pada Ahad, sekali gus mengisyaratkan tekad kerajaannya menentang kumpulan itu.

Nampaknya, tindakan itu mengundang pelbagai reaksi daripada masyarakat di seluruh dunia.

Di media sosial, rata-rata pengguna menentang tindakan Perancis kerana menurut mereka keganasan tidak pernah menjadi jawapan untuk sesuatu masalah.

“Barang siapa yang membunuh seorang manusia, bukan karena orang itu (membunuh) orang lain, atau bukan karena membuat kerusakan di muka bumi, maka seakan-akan dia telah membunuh manusia seluruhnya. Dan barang siapa yang memelihara kehidupan seorang manusia, maka seolah-olah dia telah memelihara kehidupan manusia seluruhnya”. (QS. 5 : 32). 



No comments:

Post a Comment