Feb 29, 2016

[AMARGlobal] AMAR WEEKLY WRAP UP (22/02/2016-29/02/2016)



DALAM NEGARA


Lima pelajar MRSM Tun Ghafar Baba bawa usul ke PBB


SEPANG: Peluang untuk membentangkan kertas kerja di Persidangan Model Sekolah Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu (NHSMUN) 2016 menjadi platform terbaik untuk membawa suara Malaysia di pentas antarabangsa.

Usaha ini digalas lima anak muda dari Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Tun Ghafar Baba (TGB), Jasin dengan membawa lima kertas kerja yang meliputi isu politik dan ekonomi antarabangsa untuk dibentangkan bermula 2 Mac ini.

Mereka yang terdiri daripada Ahmad Arman Al-Huzaifi Sakir Husein, 17; Mustafa Zoher, 17; Muhammad Iqmal Yusaini, 17; Dania Kamal Aryf, 17, dan Fairuz Nur Hannah Lokman, 17, bakal bersama-sama dengan lebih 3,500 delegasi dari seluruh dunia untuk membentangkan idea menerusi kertas kerja mereka di ibu pejabat Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).

Ahmad Arman yang mengetuai delegasi ini menyifatkan peluang mewakili Malaysia kali ini sebagai satu penanda aras baru dalam sistem pendidikan negara.

Najib rasmi Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur


KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak merasmikan Pusat Transit Gelandangan bernilai RM3 juta di Jalan Pahang pada Sabtu.

Pusat penginapan setinggi tiga tingkat itu dilengkapi dengan pelbagai kemudahan asas, antaranya ruang penginapan yang dapat memuatkan sejumlah 250 orang.

Pembinaan Pusat Transit berkeluasan 1,319 persegi itu merupakan inisiatif tanggungjawab sosial korporat beberapa agensi kerajaan termasuk Kementerian Wilayah Persekutuan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Malaysia Resources Corporation Bhd (MRCB).

Projek Pusat Transit Gelandangan itu dilaksanakan susulan lawatan mengejut Najib pada Julai 2014 bagi meninjau keadaan golongan itu di sini.

Kerajaan Persekutuan peruntuk RM360 juta dalamkan Sungai Sarawak


KUCHING: Kerajaan Persekutuan memperuntukkan sejumlah RM360 juta bagi projek pengorekan Sungai Sarawak untuk mempertingkat akses ke Pelabuhan Kuching.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata usaha mendalamkan sungai itu juga bertujuan membolehkan kapal-kapal lebih besar dapat berlabuh di pelabuhan berkenaan.

"Saya dapat melihat bahawa Pelabuhan Kuching ini mampu menjadi pelabuhan antarabangsa yang lebih penting pada masa depan apabila wujudnya lebih banyak kegiatan perkapalan," katanya pada sidang media sejurus tiba bagi lawatan kerja ke Sarawak.

Mengulas lanjut, Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan Sarawak Datuk Seri Michael Manyin berkata, kedalaman Sungai Sarawak antara empat hingga tujuh meter ketika ini adalah jauh lebih rendah daripada ketetapan piawaian antarabangsa.

Usaha pengorekan itu akan membolehkan kedalaman sungai tersebut mencecah antara 12 hingga 14 meter, katanya.

Gempa bumi lemah di Tasik Kenyir, gegaran dirasai di Kuala Berang



KUALA LUMPUR: Gempa bumi lemah bermagnitud 2.7 pada skala Richter dikesan di Tasik Kenyir, Terengganu, Selasa malam (23 Februari).

Jabatan Meteorologi Malaysia dalam kenyataan berkata gegaran boleh dirasai di Kuala Berang.

Pusat gempa bumi itu terletak di 5 darjah Utara dan 102.9 darjah Timur, iaitu 16km Barat Daya dari Kuala Berang.

Menurut kenyataan itu, tiada ancaman tsunami berikutan gempa yang berlaku pada 9.25 malam itu, namun agensi itu sedang memantau perkembangan dan akan memaklumkan sebarang maklumat terkini

Jalan raya akan 'ditutup' untuk program lumba 'halal' mat motor - Tengku Adnan


KUALA LUMPUR: Kerajaan akan berbincang untuk mewujudkan program khas membolehkan penunggang motosikal tegar atau 'mat motor' berlumba secara sah di jalan raya sekitar ibu kota.

"Mungkin kita boleh ambil sehari atau dua hari dalam seminggu dan kita buat macam program KL Bebas Kereta, tetapi ini untuk motosikal sahaja di mana mereka boleh berlumba pada waktu siang atau malam.

"Kita akan tutup jalan-jalan terpilih di sekitar Kuala Lumpur untuk dijadikan litar mereka berlumba sementara pihak berkuasa akan kawal dan siapkan ciri-ciri keselamatan seperti penghadang dan sebagainya," kata Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor selepas merasmikan pembukaan jalan dan jambatan menghubungkan Kampung Batu Muda dengan Taman Metropolitan Batu, Kuala Lumpur.

Ditanya mengapa tidak diwujudkan litar khas untuk mereka berlumba tanpa menganggu penggunaan jalan raya oleh orang ramai, Tengku Adnan menyatakan bahawa terdapat usaha sebelum ini tetapi gagal.

Pesawat TUDM buat pendaratan cemas, semua anak kapal selamat


KUALA LUMPUR: Sebuah Pesawat pengangkut Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) jenis CN235 telah membuat pendaratan kecemasan berhampiran pantai Kuala Selangor sekitar jam 8.50 pagi 26 Februari lalu.

Menurut TUDM dalam kenyataan pada Jumaat, pesawat yang berpangkalan di PU Subang itu telah mendarat di Pantai Asam Jawa.

Pesawat yang membawa lapan orang anak kapal juga dilaporkan selamat dengan dibantu oleh nelayan tempatan yang berada di kawasan tersebut.

Kotak hitam pesawat CN235 telah ditemui dan akan dihantar ke Bandung, Indonesia untuk dianalisa.

Keputusan SPM 2015 diumum 3 Mac


PUTRAJAYA: Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2015 akan diumumkan pada 3 Mac depan (Khamis).

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam kenyataan berkata calon boleh mendapatkan keputusan peperiksaan SPM di sekolah masing-masing selepas pukul 10 pagi, manakala calon persendirian akan dimaklumkan melalui pos atau menghubungi Jabatan Pendidikan Negeri tempat mereka mendaftar.

Menurutnya, seramai 440,682 calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan itu di 3,501 pusat peperiksaan di seluruh negara.

LUAR NEGARA


Pasukan penyelamat Nepal temui bangkai pesawat Tara Air


KATHMANDU: Pasukan penyelamat pada Rabu (24 Februari) menemui bangkai pesawat yang membawa 23 penumpang dan anak kapal yang hilang di kawasan pergunungan di Nepal, kata Menteri Kebudayaan, Pelancongan dan Penerbangan Awam, Aananda Prasad Pokharel.

Kata beliau, pesawat jenis Twin Otter ditemui di daerah barat Myagdi dengan mayat-mayat yang bergelimpangan di kawasan itu.

Pihak polis Nepal juga mengesahkan bahawa semua penumpang dan anak kapal terkorban dalam insiden berkenaan.

Tentera telah mengerahkan sebuah helikopter dan satu pasukan yang akan berjalan kaki untuk ke Myagdi, sebuah daerah pergunungan sekitar 220 kilometer (160 batu) barat Kathmandu, selepas penduduk tempatan melaporkan melihat bangkai yang berkemungkinan pesawat Tara Air.

Syarikat penerbangan itu berkata pesawat itu membawa tiga anak kapal dan 20 penumpang - seorang warga China dan seorang warga Kuwait, manakala penumpang yang lain adalah warga Nepal dan dua adalah kanak-kanak. 

Tara Air berkata pesawat Twin Otter telah terputus hubungan dengan kawalan trafik udara lapan minit selepas berlepas dari bandar pelancongan Pokhara pada awal Rabu.

Pengeluar coklat Mars antarabangsa tarik balik jualan produk


VEGHEL: Pengeluar coklat Mars antarabangsa menarik balik jualan produk keluarannya, Mars dan Snickers serta coklat mini Milky Way di 55 negara di Eropah selepas kepingan plastik dijumpai di dalam produk tersebut.

Produk yang terjejas adalah produk-produk dengan tarikh luput sebelum 19 Jun 2016 hingga 8 Januari 2017.

Menurut syarikat Mars Chocolate dalam satu kenyataan, produk yang ditarik balik adalah yang dibuat di kilang Mars di Veghel, Belanda, yang turut dieksport ke luar negara.

Kepingan plastik yang ditemui dalam coklat tersebut dikhuatiri boleh menyebabkan pelanggan tercekik.

Syarikat itu berkata, senarai penuh produk yang terjejas dapat dilihat di laman www.mars.de

Li-Fi: Teknologi akses internet guna cahaya, 100 kali lebih pantas daripada Wi-Fi


MADRID: Menghubungkan telefon pintar ke akses internet menggunakan cahaya adalah kaedah terbaharu yang ditawarkan oleh teknologi Li-Fi, selain ia turut mempunyai kelajuan sehingga 100 kali ganda berbanding Wi-Fi.

Syarikat teknologi Perancis, Oledcomm melakukan satu demonstrasi teknologi Li-Fi berkenaan di Kongres Mobil Sedunia di Barcelona, dengan meletakan sebuah telefon pintar di bawah cahaya lampu. Telefon berkenaan kemudiannya memainkan video.

Kelebihan terbesar Li-Fi atau ketepatan cahaya (light fidelity) adalah kelajuan cahayanya.
Teknologi berkenaan menggunakan frekuensi yang dihasilkan daripada mentol LED, yang berkerdipan lebih ribuan kali dalam satu saat, untuk menyalurkan maklumat melalui udara.

Bagaimanapun penganalisis mempunyai pandangan berbeza, dengan berpendapat Li-Fi sukar menggantikan teknologi Wi-Fi.

“Ia bergantung bagaimana teknologi Wi-Fi berevolusi pada tahun-tahun yang berikutnya. Teknologi tersebut hanya boleh berada dalam peringkat makmal sahaja pada ketika ini,” kata Ketua Penganalisis Firma PwC, Jim Tully.

Jelasnya lagi, Li-Fi mempunyai kelemahan apabila ia hanya mampu berfungsi jika sesebuah telefon pintar atau peralatan lain diletakkan betul-betul di bawah cahaya, dan tidak boleh menembusi dinding.

Gempa bumi 5.4 magnitud landa Mindanao, Filipina


SEBUAH kejadian gempa bumi sederhana berukuran 5.4 pada skala Richter berlaku di Mindanao, Filipina pada jam 5.06 petang, Ahad (28 Februari).

Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia, (METMalaysia), pusat gempa dikenal pasti di kedalaman 189 kilometer di bawah permukaan laut, dan terletak kira-kira 160 kilometer tenggara Bandar Koronadal, Filipina.

METMalaysia memaklumkan, lokasi berkenaan terletak 793 kilometer timur laut Semporna, Sabah dan tiada amaran tsunami dikeluarkan setakat ini.

Katakanlah(Muhammad) "Siapakah yang dapat menyelamatkan kamu dari bencana-bencana di darat dan di laut, ketika kamu berdoa kepada-Nya dengan rendah hati dengan suara yang lembut (dengan mengatakan: "Sesungguhnya jika Dia menyelamatkan kami dari (bencana) ini, tentulah kami menjadi orang-orang yang bersyukur"".
AQ(6:63)

No comments:

Post a Comment