Feb 1, 2016

[AMARGlobal] AMAR WEEKLY WRAP UP (25/01/2016-01/02/2016)


DALAM NEGARA

Kementerian Luar sahkan pelajar Malaysia maut dilanggar kereta api di London



KUALA LUMPUR: Kementerian Luar mengesahkan seorang pelajar Malaysia, Muhamad Aaron Maseri meninggal dunia selepas dilanggar kereta api bawah tanah (TUBE) di Stesen Marble Arch di London pada pukul 6.20 petang Selasa waktu tempatan.


Menurut sebuah portal, Muhamad Aaron pada ketika sebelum kejadian dikatakan dalam perjalanan pulang dari universiti ke rumahnya dan seorang diri pada waktu itu.

Jelas portal itu lagi, ambulans dan bomba tiba di stesen berkenaan pada pukul 6.26 petang.

Pelajar Malaysia maut kemalangan motosikal di India



KUALA LUMPUR: Kementerian Luar Negeri mengesahkan bahawa seorang pelajar Malaysia, S. Uthaya Kumar meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya di Chitradurga, Karnataka, India pada 27 Januari.


Dalam satu kenyataan Kementerian Luar menjelaskan, mendiang Uthaya merupakan pelajar tahun ketiga tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPA) di Kolej Perubatan Manipal Melaka (MMMC) - Kampus Manipal Campus.

"Mendiang meninggal dunia apabila motosikal yang diboncengnya terlibat dalam kemalangan maut dengan sebuah bas antara jam 11.00 malam ke 12.00 tengah malam di Chitradurga.

"Lokasi kemalangan terletak kira-kira 600 kilometer barat dari Chennai. Mendiang telah meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Kerajaan Chitradurga," jelas kenyataan itu.

Pengubahsuaian Bajet 2016: Jaminan pendidikan tidak akan terjejas



PUTRAJAYA: Dalam pembentangan pengubahsuaian Bajet 2016 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) 28 Januari, isu pendidikan turut disentuh.

Beliau mengumumkan mengenai empat program tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang akan diteruskan iaitu:

1) Program Biasiswa Nasional bagi 20 pelajar terbaik lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk melanjutkan pengajian ke universiti terkemuka seluruh dunia.

2) Program Khas Kejuruteraan bagi 200 orang pelajar ke Jepun, Korea, Jerman dan Perancis.

3) Program Lepasan Bursary bagi 744 orang pelajar, pengajian peringkat ijazah pertama di IPTA dan IPTS dalam negara.

4) Pengambilan baru 8,000 pelajar untuk diberikan biasiswa bagi pengajian yang ditetapkan di peringkat ijazah pertama dalam negara.

Dewan Negara lulus usul TPPA



KUALA LUMPUR: Malaysia kini bersiap sedia untuk menganggotai pakatan perdagangan terbesar dunia apabila ia mendapat kelulusan Dewan Negara untuk menyertai Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).


Pada persidangan khasnya, Dewan Negara meluluskan usul menyokong penyertaan Malaysia dalam TPPA, berdasarkan undi suara.

Sebanyak 21 Senator membahaskan usul itu, yang dibentangkan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, yang menurut beliau, akan meningkatkan lagi daya saing Malaysia di peringkat serantau dan global.

Dalam ucapan penggulungannya di Dewan Negara, Mustapa berkata TPPA yang telah ditandatangani boleh disemak semula dalam tempoh tiga tahun selepas ia diratifikasikan.

Tiada virus Zika di Malaysia - Kementerian Kesihatan



KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan tiada virus Zika dikesan di negara ini, namun langkah pencegahan perlu diambil bagi mengurangkan risiko penularan virus berkenaan.


Menurut Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Datuk Dr Lokman Hakim Sulaiman, buat masa ini Zika dikesan di benua Amerika Selatan dan Amerika Tengah, namun Malaysia mempunyai densiti nyamuk aedes iaitu nyamuk pembawa virus Zika.

Beliau turut menasihatkan rakyat Malaysia yang pulang dari benua berkenaan yang mempunyai gejala demam dan bintik-bintik hendaklah melaporkan diri ke pusat kuarantin kesihatan atau pejabat kesihatan berhampiran semasa tiba di Malaysia.

Menurutnya, penyakit ini hanya menyebabkan demam yang ringan serta bintik-bintik (rashes) di badan, sakit sendi dan tidak menyebabkan kematian.

"Namun Kementerian memandangnya dengan serius sebab ia telah dikaitkan dengan kejadian "microcephaly" iaitu kelahiran bayi dengan kepala/otak mengecil dan juga dikaitkan dengan gejala saraf iaitu sindrom "Guillain-Barre," katanya lagi.

Malaysia, Arab Saudi jalin kerjasama pertahanan - Hishammuddin



KUALA LUMPUR: Dalam usaha mengukuhkan kerjasama pertahanan terutama dalam bidang sains, teknologi dan industri, kerajaan Malaysia menjalin kerjasama dengan kerajaan Arab Saudi.


Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Timbalan Putera Mahkota Arab Saudi yang juga Menteri Pertahanan, Muhammad bin Salman memeterai memorandum persefahaman (MoU) mewakili negara masing-masing.

Upacara menandatangani perjanjian berlangsung pada Rabu bersempena lawatan kerja Hishammuddin ke Arab Saudi.

Dalam satu kenyataan, Hishammuddin berkata beliau dan rakan sejawatan dari Indonesia dan Brunei juga menghadap Raja Salman Abdulaziz Al Saud.

Beliau berkata mereka membincangkan cabaran seperti ancaman yang dicetuskan oleh kumpulan pengganas Daish bukan sahaja terhadap keselamatan negara-negara tetapi juga terhadap nilai-nilai Islam.

Harga runcit bagi RON95, RON97, diesel turun



KUALA LUMPUR: Harga runcit petrol RON95, RON97 dan diesel masing-masing turun 10 sen, 20 sen dan 25 sen berkuatkuasa Isnin.


Bermula jam 12 tengah malam Ahad, harga baharu bagi RON95 ialah RM1.75 seliter, RON97 pada RM2.05 seliter, manakala diesel pula ialah RM1.35 seliter.

Naib Presiden Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia, Khairul Annuar Abdul Aziz berkata harga petrol dijangka akan terus menurun dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

Penurunan harga petrol itu dilihat susulan kejatuhan harga minyak mentah dunia.

Belum ada keputusan kursus yang digugur dari tajaan Mara - Ismail Sabri



KOTA MARUDU: Majlis Amanah Rakyat (MARA) masih belum memutuskan secara terperinci kursus pengajian yang akan 'digugurkan' daripada mendapat tajaan dalam penghantaran pelajar ke universiti di luar negara.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kementerian dan Mara masih berbincang dan meneliti perkara itu termasuk pendekatan pengajian berkembar dengan universiti luar negara bagi pelajar tajaan MARA.

"Kita belum ada keputusan khusus (bidang pengajian yang akan dikurangkan). Bagaimanapun di peringkat awal, mungkin kita buat program berkembar iaitu dua tahun di luar negara dan dua tahun dalam negara," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Panjang Kampung Tinangol di sini pada Ahad.

Ismail Sabri berkata MARA akan mengkaji semula dasar penghantaran pelajar tajaannya ke luar negara bagi menyelaraskannya dengan hasrat kerajaan menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan di rantau ini.

Katanya menerusi dasar baharu itu nanti, hanya sebahagian pelajar terpilih sahaja akan dihantar belajar ke luar negara manakala selebihnya akan ditempatkan di universiti di negara ini.

LUAR NEGARA

Thailand kuarantin 33 orang selepas warga Oman positif MERS



BANGKOK: Pihak berkuasa kesihatan Thailand meletakkan seramai 33 orang dalam kuarantin pada Selasa selepas seorang warga Oman yang sedang mahu menerima rawatan di hospital negara itu didapati positif Sindrom Pernafasan Virus Korona Asia Barat (MERS-CoV).


Lelaki berusia 71 tahun itu tiba di Thailand pada Jumaat dengan demam yang tidak dapat dirawat oleh para doktor di Oman.

Sekurang-kurangnya 40 orang didapati pernah berada dekat dengannya, termasuk 22 penumpang dalam pesawat yang dinaikinya, dua pemandu teksi, empat petugas hotel, 11 petugas hospital dan seorang saudara.

Ribut "Snowzilla" ragut puluhan nyawa



NEW YORK: Salji terburuk yang membawa bersama Ribut Jonas atau dikenali "Snowzilla" sejak Jumaat lepas di sebahagian besar negeri Amerika Syarikat (AS) telah meragut sekurang-kurangnya 29 nyawa di 11 negeri.

Sehingga kini, kawasan di timur negara itu sudah mula pulih daripada fenomena alam tersebut walaupun masih terdapat beberapa kawasan kekal lumpuh berikutan cuaca dan ribut bersalji.

Di New York City, kerja-kerja membersihkan longgokan salji giat dijalankan pihak berkuasa selepas larangan perjalanan ke kota raya itu yang dikenakan sejak Sabtu ditarik balik.

Bagaimana pun Datuk Bandar New York Bill de Blasio berkata, keadaan mungkin kembali buruk dan sukar diramalkan.


Tak mampu beli, kanak-kanak Afghan pakai 'jersi Messi' beg plastik



VIRAL di media sosial rakaman gambar seorang kanak-kanak lelaki yang memakai baju ala-ala jersi bintang bolasepak Argentina, Lionel Messi yang diperbuat daripada beg plastik.


Memetik laporan NDTV, kanak-kanak itu dikenali sebagai Murtaza Ahmadi dan berasal dari wilayah Ghazni, Afghanistan.

Dia dikatakan seorang peminat setia Messi.

Murtaza yang berusia lima tahun itu digambarkan memakai baju berjalur biru dan putih yang diperbuat daripada beg plastik dengan nama serta nombor Messi tertera di belakang 'jersi' berkenaan.

Daish gagal kembangkan ideologi di selatan Thailand, kata pakar



BANGKOK: Cubaan militan Daish untuk menyebarkan ideologi mereka dalam kalangan umat Islam di wilayah selatan Thailand yang mengalami pergolakan, tidak berhasil.

Seorang pakar mengenai hal ehwal selatan Thailand, Prof Dr Jaran Maluleem memberitahu sebab utama Daish gagal menawan hati dan minda umat Islam ialah kebencian penduduk terhadap kekejaman yang dilakukan mereka.

Jaran, yang menyandang jawatan profesor sains politik di Thammasat University, Bangkok, berkata usaha Daesh untuk merekrut umat Islam Thailand sebagai anggotanya bermula tahun lepas.
"Dan setiap yang bernyawa tidak akan mati kecuali dengan izin Allah, sebagai ketetapan yang telah ditentukan waktunya..." 
-Quran(3:145)

Dalam kenangan: Enam pelajar maut di luar negara dalam tempoh seminggu

Dalam kenangan: Enam pelajar maut di luar negara dalam tempoh seminggu

No comments:

Post a Comment