Jan 3, 2013

ALLAH juga cemburu


Allah juga ‘cemburu’. Berdasarkan hadis yang diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a. dari Nabi s.a.w., sabdanya"Sesungguhnya Allah Ta'ala itu cemburu dan kecemburuan Allah Ta'ala itu ialah apabila seseorang manusia mendatangi atau mengerjakan  apa-apa yang diharamkan oleh Allah atasnya." (Muttafaq 'alaih).

Sudah tentu Allah ‘cemburu’, tetapi Allah ‘cemburu’ apabila manusia mula melakukan apa yang dilarang oleh-Nya. Dan kita pula masih lagi alpa dengan maksiat dan dosa. Kita juga masih leka dengan keasyikan dunia. Mestilah Allah ‘cemburu’. Kita masih tidak sedar akan balasan Allah. “Dan apabila dikatakan kepadanya: "Bertaqwalah engkau kepada Allah, timbullah kesombongannya dengan (meneruskan) dosa (yang dilakukannya itu). Oleh itu padanlah ia (menerima balasan azab) neraka jahannam dan demi sesungguhnya, (neraka jahannam itu) adalah seburuk-buruk tempat tinggal.” (Al-Baqarah 2:206)

Semestinya anda tertanya-tanya , mengapa perkataan cemburu itu mesti dikurung dalam (‘). Kita perlu memberi perhatian mengenai hal ini kerana ‘cemburu’ Allah tidak sama seperti cemburu kita apabila orang yang kita sayangi menduakan kita. Cemburu Allah tidak sama seperti cemburu kita apabila ibu bapa kita melebihkan adik-beradik lain.

Tidak ada perasaan cemburu ataupun terkilan di sini. Bahkan Allah sendiri tidak mengharapkan kita melaksanakan perintahnya, seperti yang Allah sebutkan, "Ini ialah dari limpah kurnia Tuhanku, untuk mengujiku adakah aku bersyukur atau aku tidak mengenangkan nikmat pemberian-Nya. Dan (sebenarnya) sesiapa yang bersyukur maka faedah syukurnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi masalah kepada Allah), maka sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya, lagi Maha Mulia." (Surah An Naml: 40)

‘Cemburu’ Allah ini sebenarnya menunjukkan kebesaran cinta-Nya terhadap kita sebagai hamba. Dia sedikit pun tidak terjejas dengan kelalaian kita. Tetapi, adakah kita meletakkan cinta kita kepada-Nya? Kecintaan kita terhadap Allah itu sepatutnya lebih tinggi daripada segala nikmat yang kita ada kerana fitrah kita untuk menagih kecintaan Allah. Apabila kita meletakkan ‘Ilah’ yang lain daripada-Nya dalam hati kita, sudah pasti Allah ‘cemburu’, kerana Allah sayangkan kita. 

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud "(Walaupun demikian), ada juga di antara manusia yang mengambil selain dari Allah (untuk menjadi) sekutu-sekutu (Allah), mereka mencintainya, (memuja dan mentaatinya) sebagaimana mereka mencintai Allah, sedang orang-orang yang beriman itu lebih cinta (taat) kepada Allah"(2:165)

Dan dalam masa kita masih lalai terhadap-Nya, Allah masih memberi rahmat-Nya kepada kita. Katakanlah (Wahai Muhammad): "Wahai hamba-hamba-Ku yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa, sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (Az-Zumar: 53).

 Lagi Allah berfirman, “Dan tetapkanlah untuk kami kebaikan dalam dunia ini dan juga di akhirat, sesungguhnya kami kembali (bertaubat) kepadaMu.” Allah berfirman: "Azab-Ku akan Aku timpakan kepada sesiapa yang Aku kehendaki, dan rahmat-Ku meliputi tiap-tiap sesuatu, maka Aku akan menentukannya bagi orang-orang yang bertaqwa, dan yang memberi zakat, serta orang-orang yang beriman kepada ayat-ayat Kami.'' (Al-A'raf 7:156)

Ketika segala masalah besar datang menimpa, pintalah pertolongan daripada Allah. Sesungguhnya, kecintaan Allah membuat segala masalah kelihatan kecil kerana Dia ingin kita berasa mulia sebagai hamba-Nya. Wallahualam.






Penulis: 
Fadhi Azmi
Pelajar perubatan tahun tiga
Medical University of Warsaw

No comments:

Post a Comment