Jan 13, 2013

Asas-asas Islam: Fasal 6 & 7


Alhamdulillah,setinggi-tinggi kesyukuran kita panjatkan pada Allah swt atas segala nikmat dan kurniaannya yang tidak terhingga pada kita . InsyaAllah, pada minggu ini kita akan meneruskan lagi kupasan buku Asas-Asas Islam, karangan Sayyid Abu Al-Ala Al- Mawdudi.


Fasal Keenam : Agama dan Syariah
·         Perbezaan antara agama dan syariah

Sepanjang perjalanan kita menelusuri buku ini, kita disajikan dengan penerangan mengenai agama islam dan kini insyaAllah, kita akan melihat pula pada apa itu syari’ah. Namun sebelum itu, eloklah sekiranya kita ‘revise’ kembali apa itu agama islam.

Agama islam = Beriman akan Zat Allah swt, akan sifat-sifatnya dan akan hari kiamat mengikut cara yang ditunjukkan oleh para nabi, beriman pada kitab-kitab Allah dan membenarkannya, tidak mengikuti jalan selain yang diterangkan dalam kitab-kitab Allah, mengikut rasul-rasul Allah yang benar dan juga mengesakan Allah dan tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu dalam mengibadati-Nya.

Dan ‘syariah’ pula adalah cara-cara beribadat, asas-asas kehidupan yang bermasyarakat, undang-undang yang mengatur perhubungan antara hamba-hamba berkenaan dengan muamalat dan pemerintahan dan sempadan antara halal dan haram.

Sejak permulaan, semua nabi dan rasul membawa agama yang satu iaitu islam . Namun Allah menurunkan syari’ah-syari’ah yang berbeza pada setiap umat bagi nabi-nabi tersebut sesuai dengan keadaan umat pada ketika itu. Perbezaan  ini, tidak lain tidak bukan adalah bertujuan untuk memelihara umat-umat  tersebut supaya senantiasa berada dalam batas-batas undang-undang Allah dalam setiap perkara yang mereka lakukan.

Syari’ah yang diturunkan Allah kepada nabi terakhir,nabi Muhammad saw kepada kita pula adalah sebuah syari’ah yang sempurna , yang menerangkan cara ibadat, asas-asas kehidupan, undang-undang, muamalat, batas-batas halal dan haram yang sesuai untuk realiti manusia pada ketika itu sehinggalah hari kiamat nanti.

·         Perantara untuk mengenal hukum syariah
Bagaimana kita ingin tahu mengenai syaria’ah-syari’ah Allah yang perlu kita lakukan sepanjang kehidupan kita di atas muka bumi ini?
Allah swt Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang tidak pernah tinggalkan kita terkapai-kapai tanpa petunjuk-Nya, bukan?  J
Oleh sebab itulah Allah menurunkan wahyu-Nya ( al-quran) dan Rasulullah saw (sunnah). Al-quran dan sunnah lah yang menjadi rujukan pada kita dalam mengetahui syari’ah-syari’ah Allah. Al-quran adalah perkataan Allah manakala sunnah pula adalah riwayat-riwayat yang datang daripada Rasulullah saw. Sesungguhnya, Rasulullah saw itu adalah cermin kepada al-quran,keterangan dan manifestasi al-quran. Oleh itu,segala perkataan,perbuatan Rasulullah saw semasa hidup baginda diperhatikan sehabis baik oleh para sahabat,dan mereka menyampaikan menyampaikan pada sahabat yang lain yang tiada pada masa itu dan mereka catatkan dalam kitab-kitab dengan menyebutkan nama-nama perawinya. Melalui cara inilah, kita kenal akan sunnah-sunnahnya walaupun tidak pernah bersua dengan Rasulullah saw.  Antara kitab-kitab yang terkenal adalah yang disusun oleh Imam Al-Bukhari, Imam Muslim, Imam Malik, Imam At-Tarmizi, Imam Abu Daud, Imam Ibnu Majah dan Imam An-Nasai

·         Fiqh

Undang-Undang yang diambi dari hukum-hukum al-quran dan al-sunnah dikenali sebagai fiqh. Fiqh adalah berhubungan dengan amal manusia yang zahir sahaja.

 Imam-Imam besar muslimin telah menyusun undang-undang islam ini berdasarkan al-quran dan al-sunnah secara terurai, dalam kitab-kitab supaya dapat menjadi rujukan para muslim dalam menjalani kehidupan mengikut garis panduan syari’ah Allah. Di awalnya, ramai ulama’ yang menyusun kitab-kitab fiqh ini,namun yang diikuti oleh kebanyakan muslim  pada masa ini adalah empat mazhab sahaja.

1-Fiqh Hanafi : Disusun oleh Imam Abu Hanifah
2-Fiqh Maliki : Disusun oleh Imam Malik ibn Anas ra
3-Fiqh Syafi’I : Disusun oleh Imam Muhammad ibn idris Asy- Syafi’i
4-Fiqh Hanbali: Disusun oleh Imam Ahmad bin Hanbal

Tidak dinafikan bahawa terdapat beberapa perbezaan di antara mereka, namun ianya adalah perbezaan fitriyah yang mana akan berlaku apabila beberapa orang menguraikan sesuatu perkara dan berusaha untuk mengenal hakikat. Namun, disebabkan mereka adalah imam-imam yang baik, benar dan wara’ , maka kaum muslimin meng’iktikadkan kebenaran para imam ini dan mempercayainya sebagai hak.

·         Tasawwuf

Tasawwuf pula lebih kepada sesuatu yang berkaitan dengan hati dan membahas perilakunya.

Satu contoh mudah untuk membezakan fiqh dan juga tasawwuf.
Kita lihat dari sudut kesempurnaan ibadah kita,dan di sini kita ambil contoh ibadah solat.
Secara fiqhnya, sempurnalah solat seseorang itu apabila telah sempurna wuduknya, mengikut cara yang betul, solat mengadap kiblat, menunaikan segala rukun solat dan membaca semua bacaan yang wajib dibacanya. Namun jika dari kaca mata tasawwuf, kesempurnaan solat itu tidak hanya perlu mempunya perkara-perkara di atas namun ditambah dengan sejauh mana hati kita itu taat,ikhlas beribadah pada-Nya . Sejauh mana solat itu mencegah kita dari melakukan perkara-perkara mungkar.


Fasal Ketujuh : Hukum-Hukum Syariah
·         Asas-Asas Syariah
Manusia itu hadir ke dunia dengan dibekalkan dengan pelbagai kelengkapan berupa kuasa-kuasa yang mana setiap satunya menuntut untuk digunakan dengan sebaiknya.Terdapat banyak kuasa yang dibekalkan dan salah satunya ialah kuasa untuk menjadi khalifah di muka bumi. Dan untuk menggunakan kuasa-kuasa tersebut, Allah kurniakan perantara-perantara yang akan membantu pelaksanaannya, seperti tubuh badan kita, akal fikiran, haiwan, tumbuhan, sumber-sumber alam yang lain di sekitar kita.
Dunia ini Allah jadikan untuk manusia supaya ia dapat dimanfaati. Oleh itu, disinilah datangnya syari’ah Allah untuk memastikan manusia itu dapat melaksanakan keperluan dan kuasa-kuasa tersebut, mendapatkan manfaat sepenuhnya daripada apa yang telah Allah sediakan di dunia ini namun semestinya tanpa memudaratkan manusia-manusia lain dan juga perantara-perantara yang lain. Pada segi manfaat dan mudarat, syari’ah meletakkan bahawa hendaklah kita menanggung mudarat yang kecil untuk manfaat yang besar dan hendaklah kita meninggalkan manfaat yang ringan untuk mengelakkan mudarat yang besar. Namun, jika dilihat kembali, penglihatan manusia itu terbatas dan tidak mungkin ia mengetahui keseluruhan akan yang mana satu manfaat dan mana satu mudarat. Maka, disinilah Allah Yang Maha Alim menetapkan peraturan-peraturan yang benar dan sempurna untuk rujukan manusia.

·         Hak-Hak Dan bahagiannya yang empat
Bagi setiap manusia, ada 4 hak yang mana telah menjadi kewajipan bagi setiap muslim untuk betul-betul mengenalinya dan menunaikannya dengan ikhlas,amanah dan benar. Hak-hak tersebut ialah:
1-      Hak-hak Allah
2-      Hak-hak peribadi
3-      Hak-hak hamba
4-      Hak-hak yang di bawah kekuasaannya di dunia ini iaitu sesuatu yang dapat digunakan untuk mendapat manfaat

·         Hak-Hak Allah
Apakah dia hak-hak Allah yang wajib kita laksanakan?
Yang pertama: Beriman kepadanya, tidak menyekutukan-Nya dengan apa pun. Hak ini tertunai apabila kita beriman dengan kalimah tauhid ‘La ilaha illa Allah’ dengan sebenar-benarnya
Yang kedua: Mengakui sepenuhnya akan kebenaran dan petunjuk yang datang daripada-Nya iaitu yang disampaikan  melalui Rasulullah saw.
Yang ketiga: Ditaati. Hak ini tertunai apabila kita kita mengikut undang-undang yang telah ditetapkan Allah.
Yang keempat: Dipertuan. Wajib ke atas setiap manusia untuk menunaikan segala yang diwajibkan-Nya .
Oleh kerana hak kepada Allah ini adalah hak yang paling utama, maka untuk menunaikannya wajiblah manusia itu mengorbankan hak-haknya yang lain hingga kepada satu had yang tertentu bagi melaksanakannya. Allah telah letakkan batas-batas hak-Nya sehingga untuk melaksanakan sesuatu hak Allah, tidak akan dikorbankan hak-hak yang lain melainkan terhad pada satu batas yang tidak dapat diubah lagi.
Kita ambil analogi zakat misalnya. Adalah menjadi kewajipan kita untuk melaksanakannya namun  Allah tidaklah mewajibkannya melainkan ke atas orang yang memiliki harta yang cukup nisabnya. Disini jelas kita lihat bagaimana Allah letakkan hak-Nya di situ namun batas-batas yang Allah adakan pada ibadah zakat itu tidak mengorbankan hak manusia malah melindungi hak peribadi bagi muslim yang tidak berkemampuan.
Pengorbanan paling besar terhadap hak-hak manusia yang ditunaikan oleh manusia adalah dalam jihad. Manusia mengorbankan dirinya, hartanya, diri orang lain, semata-mata mengharapkan keredhaan Allah.Terdapat banyak tingkat jihad dan salah satu yang selalu menjadi bualan adalah jihad peperangan.  Namun, dalam hal jihad ini pun, Allah meletakkan batas-batas yang seharusnya diikuti oleh manusia dalam melaksanakan hak Allah. Contohnya, tidak memerangi selagi tidak diperangi, melaksanakan janji yang telah dijanjikan pada pihak lawan, tidak membunuh manusia melainkan yang memang betul-betul mesti dibunuh dan banyak lagi.


InsyaAllah,itu sahaja buat kali ini. Semoga kita sama-sama dapat menambahkan ilmu kefahaman kita mengenai agama islam . Moga kita semua menjadi muslim yang sebenar-benarnya dari sudut lahiriahnya dan juga batinnya.
Wallahu’alam..



Penulis:
Aiman binti Nor Nasarudin
Pelajar perubatan tahun 4
Medical University of Warsaw

No comments:

Post a Comment