Apr 8, 2016

Ahlan Wa Sahlan Rejab..



Ahlan Wa Sahlan Rejab...

    Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW. 

    Bulan Rejab sudah tiba. Maka, apabila bulan Rejab tiba, kita makin hampir kepada bulan yang sangat mulia iaitu bulan Ramadhan. Mengikut kiraannya akan berbaki selama 60 hari sehingga pada bulan Ramadhan. Pembaca mungkin akan tertanya-tanya akan kenapa tajuk pada hari ini tidak menggambarkan isi kandungan yang akan diceritakan.

    Penulis sengaja menekan perihal bulan Ramadhan pada bulan Rejab ini kerana penulis sedar bahawa ramai umat manusia terutamanya yang menganut Islam sekadar sibuk menceritakan akan perihal kelebihan-kelebihan pada bulan Rejab.

    Dewasa ini, jika kita lihat, terdapat banyak hadis-hadis palsu yang telah dicipta dan menjadi amalan sesetengah umat Islam dan bulan Rejab juga tidak terkecuali dengan perihal ini dimana terdapat banyak hadis-hadis palsu yang mengaitkan kelebihan-kelebihan di bulan Rejab.


إِنَّ كَذِبًا عَلَىَّ لَيْسَ كَكَذِبٍ عَلَى أَحَدٍ ، مَنْ كَذَبَ عَلَىَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ
Sesungguhnya berdusta atas namaku tidaklah sama dengan berdusta pada selainku. Barangsiapa yang berdusta atas namaku secara sengaja, maka hendaklah dia menempati tempat duduknya di neraka.” 


   Penulis tidak mahu bercerita panjang mengenai hadis-hadis palsu di bulan Rejab kerana para pembaca boleh merujuknya di halaman Facebook - Kempen Semak Hadis. Akan tetapi, penulis ingin mengajak para pembaca untuk berfikir dan sedar bahawa dengan datangnya bulan Rejab ini bermakna kita sudah ada persiapan rapi serta matlamat yang jelas untuk mengharungi bulan Ramadhan. 

Kenapa?

Setiap persiapan untuk mencapai satu matlamat tidak boleh diselesaikan dalam masa satu hari. Kadang-kadang ia hampir memakan masa berbulan atau tahun. Sama juga kita sebagai seorang pelajar. Kita ingin mendapat result yang sangat cemerlang akan tetapi persiapannya hanyalah 3 hari sebelum hari peperiksaan. Maka matlamat yang telah kita buat tidak akan tercapai. 

Sama juga dengan situasi bulan Ramadhan. Semasa bulan Ramadhan semakin hampir, kita baru terhegeh-hegeh untuk membuat checklist apa amalan yang perlu kita buat ketika di dalam bulan Ramadhan. Pada masa itu, diri kita tidak mempunyai persiapan yang sangat mencukupi untuk kita beristiqamah dengan semua checklist, jadinya muncullah angan-angan tahi ayam. Checklist yang telah dibuat hanya diletak ditepi sudut dan akhirnya tiada perubahan pada diri sendiri selepas Ramadhan.

Satu kerugian yang amat besar kepada kita.


Para pembaca yang dirahmati Allah,

Kenapa persiapan itu pada bulan Rejab? Al Imam Ibnu Rejab bin Hambali menulis di dalam kitab beliau bahawa bulan Rejab ini adalah pembukaan kepada bulan-bulan kebaikan dan bulan-bulan barakah iaitu bulan Syaaban dan Ramadhan. Sebahagian ulama, antaranya Sheikh Abu Bakar Al-Warra' juga menyebut, “Bulan Rejab bulan bercucuk tanam, bulan Syaaban bulan untuk mengairi, dan bulan Ramadhan ialah bulan mengambil hasilnya.” Oleh sebab itu, seseorang tidak boleh mengambil hasil jika tanamannya tidak subur. Bagaimana untuk mengairi tanaman jika tidak bercucuk tanam?
    
Maka, apa yang perlu kita buat?


KIta perlu sedar bahawa persiapan yang bakal kita lakukan bukan hanya menunggu datangnya bulan Ramadhan. Tetapi persiapan disini adalah mempersiapkan bekal untuk bekal di bulan Ramadhan. Tujuan mempersiapkan bekal ini bermaksud untuk mengoptimalkan ibadah kita pada bulan yang didalamnya terdapat malam lebih dari 1000 bulan. Ada beberapa hal yang penting untuk dipersiapkan antara lain adalah sebagai berikut:
Pertama : Persiapan Ruhiyah. Rasulullah memberikan contoh kepada kita untuk senantiasa mempersiapkan diri untuk menyambut puasa. Aisyah pernah berkata, “Rasulullah SAW tidak pernah berpuasa sunnah di satu bulan lebih banyak daripada bulan Sya’ban. Sungguh, beliau berpuasa penuh pada bulan Sya’ban”. (HR. Bukhari).

Ibadah lain juga harus dipersiapkan seperti perbanyakkan tilawah, qiamulail, solat fardhu bejemaah di masjid, al-ma’tsurat kubra pagi dan petang. Bukan bermakna semua itu dibuat pada bulan Sya'ban, akan tetapi bulan Rejab dan Sya'ban lah masa warming up sehingga memasuki Ramadhan. Ia akan melatih kita untuk melakukan pelbagai amalan tersebut dan mejadi satu habit untuk kita di bulan Ramadhan.

Kedua: Persiapan Jasadiyah. Untuk memasuki Ramadhan kita memerlukan fizikal yang lebih kuat. Ini kerana, jika fizikal kita tidak kuat, maka segala amalan-amalan yang ingin lakukan itu tidak dapat dilakukan secara optimum.


عَنْ أَبِيْ هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : اَلْـمُؤْمِنُ الْقَـوِيُّ خَـيْرٌ وَأَحَبُّ إِلَـى اللهِ مِنَ الْـمُؤْمِنِ الضَّعِيْفِ، وَفِـيْ كُـلٍّ خَـيْـرٌ ، اِحْـرِصْ عَـلَـى مَا يَـنْـفَـعُـكَ وَاسْتَعِنْ بِاللهِ وَلَا تَـعْجَـزْ ، وَإِنْ أَصَابَكَ شَـيْءٌ فَـلَا تَقُلْ: لَوْ أَنِـّيْ فَعَلْتُ كَانَ كَذَا وَكَـذَا ، وَلَـكِنْ قُلْ: قَـدَرُ اللهِ وَمَا شَاءَ فَعَلَ، فَإِنَّ لَوْ تَـفْـتَـحُ عَمَلَ الشَّيْطَانِ
Dari Abu Hurairah Radhiyallahu ‘anhu , beliau berkata, Rasûlullâh Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, Mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dicintai Allâh Azza wa Jalla daripada Mukmin yang lemah; dan pada keduanya ada kebaikan. Bersungguh-sungguhlah untuk mendapatkan apa yang bermanfaat bagimu dan mintalah pertolongan kepada Allâh (dalam segala urusanmu) serta janganlah sekali-kali engkau merasa lemah. Apabila engkau tertimpa musibah, janganlah engkau berkata, Seandainya aku berbuat demikian, tentu tidak akan begini dan begitu, tetapi katakanlah, Ini telah ditakdirkan Allâh, dan Allâh berbuat apa saja yang Dia kehendaki, karena ucapan seandainya akan membuka (pintu) perbuatan syaitan.

Oleh itu, sebagai penutup bicara, penulis ingin mengajak semula para pembaca untuk kita sedar akan hampirnya kita kepada Ramadhan dan janganlah kita melepaskan peluang yang sudah terhidang ini. Semoga amalan-amalan yang kita lakukan diredhai Allah dan senantiasa istiqamah terhadapnya. 

InsyaAllah...









No comments:

Post a Comment