Nov 15, 2009

MAKRUH MEMBERI SALAM!!!!


(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)


Situasi yang Dimakruhkan Memberi Salam

Walaupun penyebaran salam itu sangat dituntut, akan tetapi ada tempat dan ketikanya kita dimakruhkan mengucapkannya. Adapun keadaan yang dimakruhkan itu antara lain ialah:

1. Memberi salam kepada orang yang sedang buang air. Dalam hal ini, dimakruhkan memberi salam. Sekiranya orang seperti ini diberi salam, tidak wajib ke atasnya menjawab salam tersebut.

2. Orang yang sedang tidur atau mengantuk.

3. Mengucapkan salam kepada orang yang sedang azan, iqamat dan sembahyang.

4. Orang yang makan sedang makanan berada di mulutnya. Sekiranya dia diberi salam ketika itu, maka tidak wajib ke atasnya menjawab salam itu. Akan tetapi jika dia makan tetapi tidak ada makanan dalam mulutnya, maka tidak mengapa diberi salam dan salam itu wajib dijawab.

5. Ketika sedang khutbah Jumaat. Imam an-Nawawi berpendapat, makruh memberi salam kepada jamaah yang hadir, kerana mereka disuruh untuk berdiam diri mendengarkan khutbah.

6. Orang yang sedang membaca al-Qur’an, menurut pendapat Imam Abu al-Hasan al-Wahidi, adalah lebih afdal tidak memberi salam kepadanya. Jika dia diberi salam, cukup baginya menjawab dengan isyarat. Akan tetapi jika dijawabnya dengan lisan, sambungan bacaan al-Qur’annya dimulai lagi dengan Isti‘adzah

7. Makruh memberi salam kepada orang yang membaca talbiah ketika berihram, kerana memutuskan talbiah itu adalah makruh. Tetapi jika dia diberi salam, maka dijawabnya salam itu dengan lisan (bukan dengan isyarat).

8. Makruh juga hukumnya jika seseorang itu memberi salam dengan mengatakan ‘alaikassalam sungguhpun begitu, wajib dijawab salam tersebut, kerana ianya termasuk dalam kategori salam, sepertimana yang diriwayatkan daripada Abu Jurai al-Hujaimi Radhiallahu ‘anhu, beliau berkata:

Maksudnya: “Aku telah datang kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam lalu aku berkata : Ya Rasulullah! Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Jangan awak katakan “alaikassalam” kerana sesungguhnya ucapan “alaikassalam” itu adalah salam untuk orang-orang yang telah mati.”

(Hadis riwayat Abu Daud dan at-Termizi)

9. Makruh memberi salam dengan isyarat, ini berdasarkan keterangan dari Jabir Radhiallahu ‘anhu bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: “Janganlah kamu memberi salam seperti orang-orang Yahudi, kerana sesungguhnya mereka memberi salam menggunakan dengan kepala, tangan dan isyarat.”

(Hadis riwayat an-Nasa’i)

Adapun larangan ini ditujukan khas bagi sesiapa yang mampu memberi salam tetapi tidak mengucapkannya, kecuali jika ada keuzuran, seperti orang bersembahyang, bisu dan orang yang diberi salam itu jauh jaraknya sepertimana yang diriwayatkan daripada ِAsma’ Radhiallahu ‘anha, beliau berkata:

Maksudnya: “Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam telah melalui dalam masjid dan dalamnya terdapat sekumpulan wanita yang duduk, maka Baginda memberi isyarat salam dengan tangan Baginda.”

(Hadis riwayat at-Termizi)

10. Menentukan salam kepada seseorang atau kumpulan tertentu. Kita ditegah menentukan salam kepada seseorang yang tertentu, kerana salam bertujuan kemesraan, damai dan persaudaraan. Jika menentukan salam, ianya akan menimbulkan buruk sangka serta perasaan iri hati yang membawa kepada permusuhan.

Dari huraian ini, dapatlah disimpulkan bahawa perkara memberi dan menjawab salam itu bukanlah juga mudah, kerana atas tanggapan ia sudah menjadi perkara biasa, tetapi ia mempunyai huraian dan permasalahan yang patut difahami oleh masyarakat kita.

Islam mengajarkan umatnya supaya menanamkan dalam diri dan menjadikan budaya memberi salam sebagai salah satu cara hidup bermasyarakat. Islam menyeru umatnya agar mendoakan saudaranya dengan kesejahteraan. Oleh sebab itu, untuk memupuk amalan memberi salam, kita harus menanamkan budaya memberi salam di kalangan anak-anak kita sejak kecil lagi.

Allah Subhanahu wata’ala telah mengaturkan cara salam untuk umat Islam bagi menunjukkan bahawa agama Islam adalah agama yang penuh kedamaian, ketenteraman dan ketenangan. Dalam hubungan ini Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda :

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menjadikan salam itu sebagai cara penghormatan bagi ummat kita juga sebagai tanda kesejahteraan bagi orang-orang Zimmi yang ada dalam lindungan kita.”

(Hadis riwayat al-Baihaqi)

Nov 6, 2009

tegur menegur.


dari ibnu mas'ud r.a berkata rasullullah s.a.w bersabda:

" sesungguhnya kerosakkan yang mula pertama terjadi pada bani israel iaitu bila seseorang bertemu kawannya dan berkata "wahai kawanku, bertakwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah apa yang engkau lakukan itu kerana perbuatan itu tidak boleh kau lakukan". kemudian pagi harinya, ia bertemu lagi dan kawannya juga sedang melakukan perbuatan terlarang itu tetapi ia tidak mengingatkan nya lagi, bahkan ia mengawaninya untuk makan-makan, minum-minum dan duduk-duduk. bila mereka telah berbuat seperti itu semua, maka Allah mengunci hati masing-masing dari mereka itu. kemudian rasulullah s.a.w membacakan ayat al-Quran yang ertinya

telah dilaknati orang-orang kafir dari bani israel dengan lisan Daud dan Isa putra Maryam. yang demikian itu disebabkan kerana mereka derhaka dan selalu melampaui batas. mereka satu sama lain tidak melarang perbuatan mungkar yang mereka perbuat. sesungguhnya amat buruklah apa yang selalu mereka perbuat itu. kamu melihat kebanyakkan dari mereka tolong menolong dengan orang-orang yang kafir (musyrik). sesungguhnya, amat buruklah apa yang mereka sediakn untuk diri mereka iaitu kemurkaan Allah kepada mereka; dan mereka akan kekal dalam siksaan. sekiranya mereka beriman kepada Allah, kepada nabi yakni Musa dan kepada apa yang diturunkan kepadanya (nabi), nescaya mereka tidak akan mengambil orang-orang musyrikkin menjadi penolong-penolong, tapi kebanyakkan dari mereka adalah orang-orang yang fasik." (5: 78-81)

kemudian beliau bersabda pula:"jangan demikian, demi Allah, kamu sekalian harus mengajak untuk berbuat baik ( amar makruf) dan melarang dari perbuatan mungkar (nahi mungkar) cegahlah orang yang berbuat aniya dan kembalikanlah ia kejalan yang benar serta kamu harus membatasi diri didalam mengajak kebenaran itu (jangan ikut melakukan yang dilarang Allah); atau kalau tidak nescaya Allah mengunci hati masing-masing dari kamu sekalian kemudian Allah akan mengutuk kamu sebagaimana Ia telah mengutuk bani israel". (hadith riwayat Abu Dawud dan at-Tarmidzi)

"jikalau engkau melihat umatku takut berkata kepada orang zalim, "engkau orang zalim" maka ucapkanlah selamat tinggal kepada mereka" (hadith riwayat ahmad dan al-hakim)

credit:komik dakwah dan kuliah..kerja..nikah oleh mas udik abdullah.

KELUASAN FIQH UNTUK PELAJAR & PENGAMAL PERUBATAN



Berikut adalah sedutan dari artikel Tegas Berakidah, Luas Dalam Fekah oleh mantan Mufti Perlis, Dr. Mohd Asri Zainul Abidin. Moga menjadi panduan & manfaat buat semua.
Justify Full
Di sana, saya dalam banyak ucapan menceritakan kepada mereka tentang dua perkara yang penting. Pertama, kejelasan dan ketegasan Islam dalam perkara-perkara akidah. Kedua; keluasan dan kemudahan yang diperuntukkan oleh Islam dalam soal fekah.

Perkara ini perlu dijelaskan kerana dalam kalangan umat Islam, termasuk di Malaysia ada yang begitu longgar dalam akidah tapi begitu sempit dalam perkara fekah. Maka kita tidak hairan jika menemui di Malaysia mereka yang berserban atau berkopiah dan begitu takut untuk terkeluar dari mazhab fekah kebiasaannya, namun dalam masa yang sama dia masih percaya kuat kepada bomoh, atau gurunya dianggap ajaib, atau masih percaya tangkal itu dan ini.

Sepatutnya, dalam isu akidah seseorang hendaklah sensitif dan selalu takut akan segala unsur syirik. Sementara dalam soal fekah, ada keluasan yang diberikan oleh syarak yang boleh kita amalkan, namun ramai orang masih takut dengannya.

Umpamanya, di sebelah Eropah ini, pada musim sejuk seperti sekarang, waktu siang agak singkat. Waktu solat mereka berkejaran dengan waktu kelas atau peperiksaan. Sebenarnya, dalam hal yang seperti ini, mereka boleh mengamalkan solat jamak, tanpa qasar. Sekalipun jika mereka menganggap diri mereka sudah tidak bermusafir, mereka tetap mempunyai peruntukan untuk menjamakkan solat tanpa qasar.

Jamak bermaksud menghimpun dua solat dalam satu waktu, samada pada waktu pertama, atau kedua. Ini bagi solat zohor dan asar, atau maghrib dan isyak. Maka boleh dihimpunkan solat zohor dalam waktu asar, atau sebaliknya. Demikian maghrib dan isyak. Adapun qasar, iaitu memendekkan solat empat kepada dua rakaat, maka ia dikhususkan untuk mereka yang bermusafir. Sementara jamak, boleh untuk dilakukan oleh mereka yang sakit, ketakutan, terlalu sibuk, hujan, terlalu sejuk, musafir dan segala kesusahan yang lain.

Dalam hadis Muslim, daripada Sa’id bin Jubair meriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas, katanya: “Rasulullah s.a.w bersolat Zuhur dan ‘Asar secara jamak di Madinah tanpa sebab ketakutan atau musafir”. Kata Abu Zubair: “Aku bertanya Sa’id mengapa Rasulullah s.a.w berbuat demikian?”. Jawabnya: “Aku pun pernah bertanya Ibn ‘Abbas seperti mana engkau bertanyaku, jawab Ibn ‘Abbas: “Kerana baginda mahu agar umatnya tidak beban”.

Maka bagi yang kesuntukan masa, seperti pelajar, atau doktor bedah, atau ahli parlimen, atau polis yang bertugas menjaga lalu lintas, atau mereka menjaga jentera yang sukar untuk ditinggalkan, maka peruntukan jamak ada dalam hadis ini untuk mereka. Namun malangnya di Malaysia, ada yang sanggup meninggalkan solat apabila masuk hospital atas alasan sukar untuk solat.

Apa tidaknya, fekah yang diajar diajar begitu sukar kerana ditokok tambah berbagai hukum lain yang memayahkan. sehingga disuruh sesiapa yang sakit tidak mampu berwuduk sepenuhnya untuk wuduk separuh dan bertayamum sebakinya. Orang sihat pun hanya berwuduk, tiba-tiba yang sakit disuruh wuduk dan tayamum.

Para pelajar di sini mempunyai masalah kerana anjing begitu banyak. Ramai yang membawa anjingnya ke sana sini. Jalan menjadi kotor dengan najis anjing yang berselerakan. Berselisih dan bersentuh dengan anjing bukan perkara luar biasa. Demikian juga dengan daging babi yang amat digemari oleh ‘orang puteh’. Kefahaman fekah tempatan kita menjadikan sesetengah pelajar kita begitu gusar dalam masalah ini.

Saya telah memberikan beberapa jawaban untuk mereka menceritakan kepelbagaian pandangan sarjana Islam berhubung dengan nilai najis kedua haiwan berkenaan dan bagaimana kita dapat mengambil manfaat dari keluasan fekah Islam dalam hal-hal tersebut. Apa yang penting mereka perlu tegas dalam akidah dan ambil kemudahan fekah yang diberikan syarak.

Nov 4, 2009

What is ikhtilat?

Apakah itu ikhtilat? Adakah lelaki langsung tidak memandang wanita dengan menundukkan pandangan sehingga hampir terlanggar tiang? Ketika berprogram, adakah harus diasingkan antara lelaki dengan perempuan supaya terjaga? Allah Maha Bijaksana menjadikan makhluk berpasang-pasang; lelaki dan wanita, bumi dan langit, siang dan malam, syaitan dan malaikat, gunung dan lembah, matahari dan bulan, begitulah seterusnya. Banyak hikmah dalam kejadian alam yang perlu direnung dan dijadikan bukti keagungan Allah. Satu contoh dalam kejadian manusia, Allah jadikan wanita bersifat lembut dengan nisbah 9/10 malu dan 1/10 akal, manakala lelaki 9/10 akal dan 1/10 malu.

Atas kelebihan akal inilah, Allah menjadikan kaum lelaki penjaga bagi kaum wanita. Begitu juga dalam apa jua masalah, Allah menyamakan 2 wanita dengan 1 lelaki; contohnya dalam hal penyaksian.Walaupun kurang berakal, namun wanita ada sifat malu. Kerana ada malulah, wanita dipandang mulia. Kalaulah wanita tiada malu, habislah dunia ini. Begitu juga lelaki, meskipun kurang malu namun mereka mempunyai akal yang dapat memikirkan kesan dan sebab-akibat sesuatu perkara. Kalaulah lelaki tiada akal, dunia akan jadi kucar-kacir. Begitulah kebijaksanaan Allah untuk menjaga keharmonian alam.




Namun apa dah jadi pada masa ini. Wanita sudah tidak ada perasaan malu lagi; bebas bergaul tanpa batas, bebas keluar hingga larut malam. Manakala lelaki pula sudah tidak menggunakan akal lagi malah merosakkannya pula. Fikirkanlah kesan buruk yang akan menimpa masyarakat jika fitrah kejadian ini sudah diabaikan.

Saya menyarankan ikhtilat adalah baik lelaki atau wanita, masing-masing tidak melayan perasaan sehingga menghanyutkan diri. Mereka jadi tidak tenang dan gusar, tidak melakukan apa-apa gerak kerja, ataupun jika dilakukan itu pun kerana si dia. Si lelaki tidak akan berjalan berdekatan si wanita, begitu juga tidak akan berjalan belakang si wanita. Ini sangat pantang. Jika mahu berjalan bersebelahan sekalipun, ia mesti dalam jarak yang jauh untuk menjaga perasaan. Si wanita tidak akan keterlaluan dalam melembutkan suara sehingga mampu menggoda dan meransang, dan tidak menunjukkan aksi-aksi yang boleh menimbulkan rasa yang kurang baik dalam hati wanita.

Kedua-duanya tidak akan tenggelam dalam percintaan sehingga bahasa SAYANG menguasai menyebabkan hidup tidak tenang dan tenteram. Ikhtilat dengan tidak berada berdekatan seperti berhadapan dengan secara dekat semasa mengadakan mesyuarat apatah lagi berpegangan tangan dan berjalan di waktu malam. Ikhtilat adalah SAD ZARAIE, satu kaedah pencegahan sebelum berlaku sesuatu yang tidak diingini berdasarkan slogan
Contohnya, couple secara Islamik itu sebenarnya hanya 1 alasan bagi sesiapa. Ianya mungkin nampak agak baik,walhal tujuannya tetap sama dan ianya tetap salah. Niat baik itu tidak pernah menghalalkan cara. Yang batil tetap batil. Yang haq tetap haq. Allah pernah berfirman :

“Dan (juga) kaum Ad dan Tsamud, dan sungguh telah nyata bagi kamu (kehancuran mereka) dari (puing-puing) tempat tinggal mereka. Dan syaitan menjadikan mereka memandang baik perbuatan-perbuatan mereka, lalu ia menghalangi mereka dari jalan (Allah), sedangkan mereka adalah orang-orang yang berpandangan tajam.” (Surah Al-Ankabut,29:38)

Telah ternyata dalam surah ini bahawa apa sahaja yang kita lihat hanyalah hiasan syaitan Yang hanya membutakan bukan hanya mata jasadi tetapi juga mata hati..masyaAllah..di harap kita dijauhkan dari lembah kemaksiatan ini.

JANGAN SEKALI KAMU DEKATI ZINA.



Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji. Dan suatu jalan yang buruk. (QS. 17:32)

Di sini Allah Subhanahu wa Ta’ala menjelaskan tentang kejinya zina, kerana kata “fahisyah”maknanya adalah perbuatan keji atau kotor yang sudah mencapai tingkat yang tinggi dan diakui kekejiannya oleh setiap orang yang berakal, bahkan oleh sebagian banyak binatang. Sebagaimana disebutkan oleh Imam Bukhori dalam kitab shohehnya, dari Ami bin Maimun Al Audi, ia berkata : “Aku pernah melihat – pada masa jahiliyah – seekor kera jantan yang berzina dengan seekor kera betina, lalu datanglah kawanan kera mengerumuni mereka berdua dan melempari keduanya sampai mati.”

Kemudian Allah Subhanahu wa Ta’ala juga memberitahukan bahwa zina adalah seburuk buruk jalan, kerana merupakan jalan kebinasaan, kehancuran dan kehinaan di dunia, siksaan dan azab di akhirat.

Kenapa perlu si lelaki sentiasa bertemu si wanita atas alasan rindu dan sayang seolah-olah mereka tidak punya masa untuk mencurahkan rindu kepada Tuhan yang Maha Esa dan untuk perjuangan. Kenapa dihabiskan duit si dia terlalu banyak sedangkan duit untuk perjuangan langsung tidak dihulurkan. Saya mengingatkan kepada yang asyik bercinta. Bercinta harus, tetapi lemas haram. Bercinta harus, tetapi sekiranya anda makin hilang fungsi sebagai hamba, maka ia haram. Berhubungan dengan wanita, atau dengan lelaki, adalah dengan tujuan untuk saling lengkap-melengkapi dan untuk memudahkan urusan. Jika magnet itu teransang, maka salurlah dengan cara yang paling baik – yakni kahwin. Wanita yang sepatutnya malu dah tiada malu lagi; lelaki yang sepatutnya berakal dah hilangkan akal mereka.

Oct 13, 2009

TIKA DAN SAAT ITU

Assalamualaikum wbt. Terdahulu memohon maaf kepada saudari ……. kerana telah menciplak artikel saudari tanpa meminta izin. Saya menulis bukan kerna inginkan nama disanjung…dan jika boleh tidak mahu dicaci. Tetapi untuk setiap perjuangan pasti ada cacian…dan setiap cacian akan saya terima dengan sebuah senyuman.

Kadangkala saya tidak faham….mengapa saya perlu dicaci…dan mungkin dibenci? Sebab musabab adalah sangat tidak jelas…Saya menegur apabila melihat adanya permasalahan.

Baiklah saya akan menceritakan sedikit kisah di belakang tabir. Pada suatu hari sedang saya membaca buku, tiba-tiba saya mendapat satu sms berbunyi “ Eh achmed….di Poland tiada dakwah ke?” Saya membalas,” Kenapa cakap begitu pulak?” Beliau lantas menjelaskan tentang sebuah blog yang dibaca….

Tika dan saat itu hati saya begitu terasa…bumi Poland tanpa usrah…hati saya begitu terpukul….terpanggil untuk menperjelaskan salah faham yang berlaku..lantas saya menulis artikel terdahulu. Saya ikhlas melindungi nama baik IPIP dan Poland…tidak tersangka ianya membawa kepada rasa kurang selesa……..

Dan biarlah sekiranya saya dibenci…namun untuk menjaga nama mereka yang saya anggap sebagai saudara, bukan sekadar cacian…lebih dari itu sanggup saya terima…



by achmEd

Oct 11, 2009

2 Kisah Dalam 1 by AchmEd

Kisah 1…



Semakin hari semakin terbuku rasa ini di hati. Entahlah….semuanya telah pun diikuti...usrahdaurahmukhaiyyam...dan pabila amalan-amalanku telah mula menjadi tabiat bukan sekadar taklid ..namun rasa ini masih ingkar terubat. Lebihkah aku kalau hendak dibandingkan dengan orang lain?


Lebihkah aku sekiranya merasakan pemahaman islamku lebih mendalam berbanding pelajar-pelajar yang masih hijau dalam usrahnya. Nah….walaupun ku cuba menunduk…tetapi rasa itu tetap ada….sedangkan rasa itulah yang menyebabkan syaitan yang direjam tercampak keluar surga…samakah aku dgn makhluk itu?(7:12)….atau…pemahamanku terhadap islam masih terkapai dan masih terbuntu.


Mungkin aku seharusnya bukan di tempat ini…mungkin aku tidak seharusnya dipandang tinggi sekalipun...mungkin mereka yang masih kuanggap hijau jauh lebih baik dariku. Allah tidak memandang sejauh mana ilmuku…ilmu hanya pelengkap fikrah. Pernah aku terfikir mampukah aku untuk mengawal rasa ini sekiranya aku dipandang sebagai seorang ustaz…yang mapan ilmu akhiratnya..ditambah pula kelayakkan akademik yang melengkapkan aku sebagai seorang doktor.


Aduh….sungguh tinggi di mata masyarakat. Tidak seperti ‘electrician’ mahupun ‘wireman’…yang pada hematku hanya penempel-penempel watak dalam masyarakat. Terlalu jauh aku dari landasanNya….


Dan aku kembali berdoa untuk menghindarkan rasa itu.



Kisah 2…



Aku seorang pelajar yang baru sahaja tiba di bumi yang sungguh asing bagiku. Segalanya serba baru. Dan aku di sini, untuk tujuan yang satu, menyempurnakan amanah yang diberi…moga suatu hari InsyaAllah akan dikecapi. Namun begitu apabila tiba di bumi Poland, aku merasa serba tidak kena. Tidak seperti yang pernah ku dengar…. Para pelajar Islam di bumi Poland yang sangat kuat aktiviti usrahnya….Argghhh…bagiku itu hanya omong-omongan…yang mungkin benar atau tidak…Aku terus dan terus bersabar..menanti akan adakah kakak-kakak yang sudi menjadi naqibah.


Kini aku ibarat budak yang terperangkap dalam tangki air. kalau tidak ku cari cepat-cepat jalan keluarnya, akan lemas dan mati. Aku tidak mahu imanku mati di sini. Kalau termati, susah nak dihidupkan balik!

Aku mula mencari alternatif-alternatif baru dengan membaca blog-blog Islamiah. Namun perasaan itu tidak sama dengan menerima secara terus dari naqibah. Terlalu menyesal menolak ajakan naqibahku yang terdahulu untuk membuat usrah online sebelum ke sini dahulu.


Aku terlalu cemburu melihat sahabat-sahabat yang makin dekat dengan Allah apabila belajar di luar negara. kalau dulu tidak berhijab, kini telah berjinak-jinak. Kalau dulu tudungnya jarang, sekarang legap dah… bidang 60 lagi. Kalau dulu selalu tinggal solat, sekarang qiamullail tak pernah tinggal….Alhamdulillah.

Dan apabila suatu hari kesabaran ku sudah ke kemuncaknya….aku pergi bertemu dengan sister Lianah (ketua muslimah). Aku pantas bertanya, “Akak, bilakah akan diadakan usrah? Macam lambat sangatlah pulak”.


Sister Lianah tersenyum, dan mulutnya mula berbicara, “Adik…. islam ini untuk semua…dan datangnya saja secara 'tadarruj' iaitu berperingkat-peringkat..adik sedar atau tidak sebenarnya usrah di Poland telah pun bermula…tapi kat sini…kalau boleh kita nak semua orang join usrah…kalau boleh akak tak nak ada tertinggal seorang pun dari adik-adik akak untuk join usrah. Semuanya mad’ u bagi akak. Tidak semua orang macam adik, yang dah mantap imannya dan dah kerap ikut usrah. Jadi kami kat sini kene bermula secara berperingkat.

“Akak terangkan sedikit mengenai prinsip usrah yang seharusnya ditekankan. Prinsip ini seharusnya dijalankan secara berperingkat. Yang pertama, taaruf, iaitu berkenal-kenalan. Akak perlu kenal adik-adik akak terlebih dahulu…dan itu telah pun kita jalankan kat bumi Poland ini… Perasan tak?


“Second ialah tafahum iaitu memahami, jadi akak perlu faham kelakuan dan peribadi adik-adik akak. Dan yang ketiga takaful, iaitu bantu-membantu… Semuanya telah kita lakukan secara tidak rasmi…bukan dalam kumpulan usrah….insyaAllah bila kita dah bermula dengan kumpulan usrah, ini akan memudahkan kita.”


“Kalau adik nampak, kita telah pun jalankan program pembangunan akademik untuk membantu (takaful) adik-adik. Mungkin adik masih tak jelas, tapi kami di sini insyaAllah akan sentiasa ikhlas kat adik-adik semua. Kami memang inginkan acuan komuniti Malaysia yang bertakwa pada Allah…insyaAllah…”.


NUKILAN dari AchmEd...

Oct 2, 2009

Ahlan Wasahlam Wamarhaban Bikum

Assalamualaikum w.b.t

Selamat datang kepada adik2 muslimin dan muslimat ke bumi Poland. Untuk pengetahuan adik2, kami disini telah menubuhkan persatuan Ikatan Pelajar Islam Poland (IPIP).

Tujuan persatuan ini ditubuhkan adalah untuk menjaga kebajikan dan kerohanian pelajar islam di Poland. Dengan ini, kami di pihak IPIP sangat berbesar hati menerima kehadiran adik2 baru disini.

Segala aktiviti2 yang akan diadakan akan diberitahu melalui yahoo group. Untuk pengetahuan semua juga, kami juga mempunyai blog (
http://ikatanpelajarislampoland.blogspot.com/) untuk memberi peluang kepada semua untuk berkongsi cetusan idea. Adik2 juga dialu2kan untuk berkongsi idea dan karya di blog kita. Segala karya boleh dihantar kepada email saya sendiri. (adenine_0907@yahoo.com)

Akhir kata, Selamat Hari Raya dan Maaf zahir Batin dari pihak IPIP. Semoga ukhuwah fisabilillah akan terjalin di antara kita.
Jazakumullah khukhairan kathira.

Wassalam,
Nor Hadarina Mohamad
Setiausaha,
Persatuan Ikatan Pelajar Islam Poland (IPIP) 09/10