Feb 6, 2013

Balik kampung!

Salam 'alaikum. Salam buat semua.


Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka – dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah -, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya).Orang-orang yang demikian sifatnya, balasannya ialah keampunan dari Tuhan mereka, dan Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan yang demikian itulah sebaik-baik balasan (bagi) orang-orang yang beramal.

[Ali-Imran (3) : 135-136]


Setiap dari kita; saya, anda, dia, mereka, semua punya satu zon masa. Zon masa yang walau apa pun terjadi, sejauh mana kita harapkan, kita tak akan mampu mengubahnya.

Zon masa inilah yang kita sebutkan sebagai masa lalu. Dan di dalam zon masa inilah tersimpan pelbagai rahsia, pelbagai cerita.

Dan kadang-kala, kerana terlalu berpaut pada zon inilah, seseorang insan itu menjadi kecewa, lantas tidak membuka hatinya untuk melihat ke arah zon masa yang berada di hadapannya.

Allah itu Maha Pengampun. Allah itu Maha Penyanyang.

Dan rahmat Allah itu tidak terbatas luasnya. Sentiasa menanti untuk mengampuni, untuk memaafkan.

Yang tidak mampu memaafkan mungkin hanyalah manusia, insan yang turut punya dosa.

Maka janganlah kita berputus asa mencari jalan pulang.



Seorang telah melakukan satu dosa, lalu dia berkata: "Wahai Tuhanku, ampunilah dosaku".
Lalu Allah berfirman: "Hamba-Ku melakukan dosa dan dia mengetahui bahawa baginya Tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya (dalam riwayat lain ditambah: Aku ampunkan dosanya)".

Kemudian dia kembali melakukan dosa yang lain, dia berkata: "Wahai Tuhanku, aku telah melakukan dosa, ampunilah dosaku".
Lalu Allah berfirman: "Hamba-Ku melakukan dosa dan dia mengetahui bahawa baginya Tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya (dalam riwayat lain ditambah: Aku ampunkan dosanya)".

Lalu dia melakukan dosa sekali lagi, dia berkata: "Wahai Tuhanku, aku telah melakukan dosa, ampunilah dosaku".
Lalu Allah berfirman: "Hamba-Ku melakukan dosa dan dia mengetahui bahawa baginya Tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya, maka Aku ampunkan hamba-Ku ini, buatlah apa yang kau mahu Aku ampunkan engkau".
[HR Bukhari dan Muslim]


Bukanlah tujuan hadith ini untuk menggalak manusia melakukan dosa, tetapi menceritakan hal seorang hamba yang bertaubat bersungguh-sungguh, namun dia gagal mengawal dirinya lalu tetap terjatuh ke dalam dosa tersebut. Dan siap kali dia bertaubat itulah, Allah mengampuni dosanya itu.

Maka tiadalah bermakna kata-kata "tak guna bertaubat kalau asyik buat dosa je".
Lagi pun, kita kan insan. ;)

Jom balik kampung! (baca: bersungguh-sungguh mencari jalan pulang agar dapat ke syurga. Fanatisme syurga!)






Rujukan: Mengemudi Bahtera Perubahan Minda, oleh Dr Maza


Penulis:
Shahida Zahar
Pelajar tahun 4
Medical University of Warsaw

No comments:

Post a Comment