Feb 26, 2013

Anda mahu jadi yang mana?




Pernahkah anda berhadapan dengan keadaan yang mana terdapat ramai sangat manusia di sekeliling anda?Ya, maksud saya ramai,banyak,berduyun-duyun,berpusu-pusu,berbondong-bondong dan perkataan-perkataan yang mempunyai makna yang sewaktu dengannya.

Seringkali apabila berada dalam keadaan dan suasana seperti ini, ianya mengingatkan saya akan ramainya manusia yang Allah ciptakan di dalam dunia ini . Menurut US Cencus Bureau, populasi penduduk dunia pada tarikh ini,24 Februari 2013 adalah 7,068,369,344 orang. Ramai bukan? Ini belum lagi ditambah dengan bilangan manusia yang pernah hidup dan sudah meninggal semenjak dari zaman Nabi Adam a.s, terdahulu. Pastilah angkanya jauh lebih besar jika kita jumlahkan kesemuanya.



  

Dalam kalangan manusia-manusia yang ramai ini, Allah ceritakan pada kita melalui al-quran, bahawa mereka akan terbahagi kepada beberapa golongan. Mari kita lihat contoh beberapa golongan yang Allah telah ceritakan dalam surah al-hajj, ayat 56-59.

Ayat 56:
Kekuasaan pada hari itu ada pada Allah, Dia memberi keputusan di antara mereka. Maka orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan berada dalam syurga-syurga yang penuh kenikmatan.

Ayat 57:
Dan orang-orang kafir dan yang mendustakan ayat-ayat Kami,maka mereka akan merasakan azab yang menghinakan.

Ayat 58:
Dan orang-orang yang berhijrah di jalan Allah,kemudian mereka terbunuh atau mati, sungguh, Allah akan memberikan kepada mereka rezeki yang baik(syurga). Dan sesungguhnya Allah adalah pemberi rezeki yang terbaik.

Ayat 59:
Sungguh, Dia (Allah) pasti akan memasukkan mereka ke tempat masuk (syurga) yang mereka sukai. Dan sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, Maha Penyantun.

Di dalam empat ayat ini, Allah menceritakan mengenai 3 golongan manusia.

Pertama, orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan. Mereka ini, di hari kebangkitan kelak, Allah ganjari keimanan dan amalan-amalan kebajikan mereka semasa di dunia dengan syurga-syurga yang penuh dengan kenikmatan.

Golongan kedua pula adalah golongan orang-orang yang kafir dan mendustakan ayat-ayatNya. Dan kepada mereka, Allah telah sediakan balasan azab yang menghinakan, yang tidak terperi peritnya, setimpal dengan perbuatan-perbuatan mereka yang mengingkari Allah semasa kehidupan mereka di dunia dahulu.

Dan golongan yang ketiga, adalah orang-orang yangg berhijrah di jalan Allah, kemudian terbunuh atau mati. Pada golongan ini, Allah bukan sahaja menjanjikan ganjaran syurga dan kenikmatannya semata-mata, namun istimewanya, Allah memberi pilihan untuk mereka memilih antara syurga-syurga yang telah tersedia.

Oleh itu, yang mana pilihan anda? tepuk dada, tanya iman ;)





Penulis:

Aiman Nor Nasaruddin
Pelajar perubatan tahun ke empat
Medical University of Warsaw





1 comment: