Feb 20, 2013

Magis?


Dia faham dan yakin yang Allah memang punya kuasa untuk menghidupkan yang mati. Tiada ragu-ragu, tiada goyah. Namun dia masih mahu melihat bukti di depan mata, agar hatinya dapat tenang. Justeru Allah Yang Maha Pengasih memperkenankan permintaan hambaNya, Ibrahim ‘alayhi salam. Tapi sebelum itu disuruh hambanya berusaha; Ibrahim diminta mencincang empat ekor burung, meletakkan mereka di bukit-bukit berbeza, dan selepas itu memanggil mereka. Begitu banyak usaha yang dituntut daripada hambanya walaupun pada hakikatnya menghidupkan yang mati boleh dilakukanNya sekelip mata.


“Dan (ingatlah) ketika Ibrahim berkata, “Ya Tuhanku, perlihatkanlah kepadaku bagaimana Engkau menghidupkan orang mati.” Allah berfirman, “Belum percayakah engkau?” Dia (Ibrahim) menjawab, “Aku percaya, tetapi agar hatiku tenang (mantap).” Dia (Allah) berfirman, “Kalau begitu ambillah empat ekor burung, lalu cincanglah olehmu kemudian letakkan di atas masing-masing bukit satu bagian, kemudian panggillah mereka, niscaya mereka datang kepadamu dengan segera.” Ketahuilah bahawa Allah Mahaperkasa, Mahabijaksana.”   (Al-Baqarah, 2:260)


Maryam ibu Musa ‘alayhi salam sedang sakit mahu melahirkan. Kudrat yang lemah memaksanya untuk hanya bersandar pada sebatang pohon kurma. Tiada seorang pun manusia yang berada bersamanya ketika itu. Allah yang Maha Berkuasa menghantar Jibril untuk menolong Maryam yang semakin lemah. Namun, Maryam masih perlu berinisiatif menggoncang pohon kurma yang disandarinya untuk mendapatkan kurma yang boleh dijadikan sumber tenaga. Usaha masih lagi dituntut daripada Maryam. Walaupun pada hakikatnya pertolongan itu boleh diberikanNya sekelip mata.


“Kemudian rasa sakit akan melahirkan memaksanya (bersandar) pada pangkal pohon kurma, dia (Maryam) berkata, “Wahai, betapa (baiknya) aku mati sebelum ini, dan aku menjadi seorang yang tidak diperhatikan dan dilupakan.” Maka dia (Jibril) berseru kepadanya dari tempat yang rendah, “Janganlah engkau bersedih hati, sesungguhnya Tuhanmu telah menjadikan anak sungai di bawahmu. Dan goyanglah pangkal pangkal pohon kurma itu ke arahmu, niscaya (pohon) itu akan menggugurkan buah kurma yang masak kepadamu. Maka makan, minum, dan bersenang hatilah engkau…”   (Maryam, 19:23-25)


UjianNya datang untuk mendidik. Agar setelah selesai ujian, hambaNya lebih mengenali pencipta diri. Ayyub ‘alayhi salam tidak terkecuali, pelbagai ujian diatur untuk hamba terpilih ini. Penyakit yang dihidapi Nabi Ayyub tidak sembuh-sembuh, hinggalah dia berdoa. Namun Allah Yang Maha Pemberi masih lagi menuntut sedikit usaha daripada Ayyub berupa satu hentakan kaki. Walaupun pada hakikatnya kesembuhan daripada penyakit itu boleh diberikanNya sekelip mata.


“Dan ingatlah akan hamba Kami Ayyub ketika dia menyeru Tuhannya, “Sesungguhnya aku diganggu setan dengan penderitaan dan bencana.” (Allah berfirman), “Hentakkanlah kakimu; inilah air yang sejuk untuk mandi dan untuk minum.”   (Sad, 38:41-42)


Mari belajar daripada kisah-kisah Al-Quran yang mulia. Usaha itu yang dipandang Allah, kesannya nanti, magis atau tidak, terpulang pada kebijaksanaanNya.


Wallahu’alam



Penulis: 

Noor Syazana Shahar
Pelajar perubatan tahun ke lima
Medical University of Warsaw




No comments:

Post a Comment