Feb 20, 2013

CERPEN : Masihkah ada ruang untukku?



Matanya merah dek tangisan yang sejak tadi enggan berhenti. Dadanya terasa sesak, seolah-seolah seluruh masalah dunia diletakkan ke atas pundaknya. Walaupun cuba dikawal hati yang terasa sakit, namun dia kalah. Matanya bertakung lagi dengan mutiara-mutiara jernih sambil ditemani bantal yang ditekup ke muka, risau rakan-rakan serumah sedar akan keadaannya.

Allah. Kalimat itu diulang berkali-kali. Hatinya sebu lagi. Mengapa nama itu hanya diingatinya saat kesusahan datang menjengah? Di mana nama itu saat kesenangan menerpa? Dia malu sendiri. Namun, semakin malu semakin mahu dia mendekati Tuhannya. Kalimat itu diulang lagi. Allah. Allah. Allah. Dan ketika itulah telefon bimbitnya berbunyi.

Ahh. Dalam tangis terukir juga senyuman kecil di bibirnya. Sahabatnya. Seolah-olah sahabat itu tahu keadaannya. Dia sedar sendiri. Apa-apa saja mungkin pada Allah. Tanpa sebarang bentuk interaksi sekalipun, jika Allah mahu menghubungkan, pertalian itu tetap akan terjalin. Sahabat itu berada beribu-ribu batu jauhnya dari dia. Suara sahabatnya itu pun sudah berbulan tidak didengari, sekadar instant messages yang menjadi penghubung antara mereka.

Namun, sahabatnya itu seakan dapat merasa apa yang sedang dialaminya saat ini. Tanpa sebarang penjelasan, sahabat itu seolah-olah memahami derita yang dibendungnya. Baris demi baris ayat berbaur semangat diberikan kepadanya. Keikhlasan sahabatnya yang ingin dia kembali menjadi dia yang riang seperti dulu dapat dirasa. Sayang sahabatnya yang benar-benar menginginkan yang terbaik untuknya turut dapat dirasainya. Sungguh, saat itu hanya Allah yang tahu betapa dia bersyukur dikurniakan sahabat seperti itu.

Telefon bimbitnya berbunyi lagi. Lantas butang baca ditekan. Dan dia terpana dengan mesej terbaru dari sahabatnya itu. Dia jadi malu sendiri. Malu, yang membangkitkan semangat. Malu, yang membuatkan dia tersengih pula kali ini. Nah, teguran demi teguran Allah beri untuknya hari ini! Mahu terus membiarkan diri tersungkur, atau mahu bangkit menyahut cabaran yang mendatang?

Siapa dia untuk terus merenung nasib, mempersoalkan satu demi satu ketetapan Allah ke atasnya? Dia bukan siapa-siapa. Dia bukan pejuang hebat di Palestin yang saban hari memburu syahid. Dia bukan juga hafiz yang menghafaz al-Quran dari al-Fatihah sehingga ke an-Naas. Di mata manusia, dia mungkin bukan siapa-siapa. Namun, di mata Allah, dia masih ada masa untuk mengubah itu semua.

"Sahabatku, jika kenyataan bahawa engkau masih mampu bernafas menghirup udara Allah saat ini tanpa sebarang kesukaran tidak dapat menggembirakan engkau, aku tidak tahu apa lagi yang boleh membuatkan kau kembali riang. Sekurang-kurangnya, kita masih hidup, masih punya kesempatan untuk meraih cinta dan taubat-Nya, bukan?"

Siapa kata manusia hanya perlu menunggu takdir datang menyapa? Takdir itu letaknya di hujung usaha manusia. Apa guna duduk menongkat dagu jika sekadar mahu menyalahkan takdir satu persatu? Apa guna menangis berbaldi-baldi jika saat susah baru Tuhan diingati? Kita masih punya kesempatan, selagi nyawa masih dikandung badan. Setialah sehingga ke hujung nyawa pada setiap perintah-Nya. Biar mati menghirup haruman dari syurga, jangan pula di kubur merintih mahu pulang ke dunia.




Penulis:

Narshiela Saad.
Pelajar perubatan tahun ke empat
Medical University of Lodz

No comments:

Post a Comment