Feb 4, 2015

kenali ISIS

 Nama ISIS atau ISIL tetiba popular dan menjadi sebutan harian media apabila mereka didakwa menakluk Mosul pada 10 Jun 2014. ISIL (Islamic State in Iraq and Lavent) atau juga dikenali sebagai ISIS (Islamic State in Iraq and Syria).

 Fakta menarik tentang ISIS,
ISIS dikatakan dianggotai tidak lebih dari 1000 orang mampu mampu mengalahkan 30,000 tentera anggota Iraq yang terlatih oleh Amerika. keanggotaan ISIS diseluruh Iraq pada akhir 2012 dianggarkan 2500 orang.
Keadaan umat Islam diseluruh dunia yang ditindas, dizalimi bahkan dibunuh tanpa ada pembela pula menyebabkan wujudkan kekosongan dalam keberanian melawan musuh Islam. Umat Islam ketandusan `hero’. Sebab itu bilamana ada saja sesiapa atau segolongan yang berani melawan musuh Islam atas nama Islam, ramai umat Islam dengan mudah menyokong mereka tanpa mengenali siapakah `hero’ itu sebenarnya. Ini berlaku sejak kejayaan revolusi Iran. Iran tiba-tiba menjadi kiblat pejuang Islam sehinggalah mereka kenal siapakah Syiah sebenarnya. Begitu juga tidak kurang yang menyokong Saddam Hussin melawan Amerika dalam Perang Iraq Pertama dan Kedua. Dia menjadi hero kerana berani melawan Amerika walaupun dia sendiri seorang yang zalim terhadap rakyatnya. Kini konflik di Iraq begitu teruk dan bercelaru sehingga seolah-olah tiada harapan untuk umat Islam Iraq. Tiba-tiba nama `ISIS’ keluar sebagai pembebas dari kerajaan Syiah Maliki. Ramai yang terus menyokong tanpa mengenali siapakah ISIS.
 
Sejarah ISIS
Kebanyakkan analisa mengatakan ISIS berasal dari kumpulan `al Qaeda in Iraq’ (aQI) yang ditubuhkan setelah Amerika menakluk Iraq pada 2003. Diketuai oleh Abu Musab Al Zarqawi, yang berasal dari Jordan, aQI mengambil pendekatan yang keras bahkan kekadang menyalahi syara’ seperti membunuh secara kejam tanpa bicara sesiapa yang disyaki menjadi tali-barut Amerika, cuba menggagalkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Iraq dengan menculik dan membunuh aktivis kemanusiaan serta melakukan serangan untuk melagakan Sunni dan Syiah di Iraq. Fahaman mereka yang keras langsung menolak Syiah sebagai kafir. Tindakan ekstrim ini menyebabkan mereka ditolak oleh rakyat Iraq bahkan tidak dipersetujui oleh pimpinan Al Qaeda Global (aQG) termasuk Osama bin Laden sendiri. Hubungan aQI dengan aQG mulai renggang dan akhirnya diputuskan pada Februari 2014.

Zarqawi terbunuh dalam serangan udara Amerika pada Jun 2006 dan diganti oleh Abu Ayyub Al Masri yang kemudiannya menguna-pakai nama Islamic State of Iraq (ISI). Namun Abu Ayub pula terbunuh dalam operasi US-Iraq pada April 2010. Kepimpinan ISI diganti oleh Abu Bakar al Baghdadi yang kini menjadi ketua ISIS. Apabila krisis Syria bermula pada 2011 dan sempadan Syria-Iraq yang tidak terkawal akibat perang, ISI meluaskan cita-citanya ke Syria dan mula mengguna-pakai nama `Islamic State in Iraq and Syria’ (ISIS). Namun kemasukan ISIS ke Syria tidak dipersetujui oleh kumpulan Jabat An Nusra yang mewakili alQaeda Global di Syria. Kedegilan ISIS membawa kepada pertempuran antara kedua pihak dan menyebabkan ISIS semakin terasing di kalangan mujahidin Iraq dan Syria.
Umumnya ISIS mempunyai hubungan buruk dan ditentang oleh hampir ulama’, masyarakat dan semua kumpulan pembebasan Iraq samada yang berasaskan Islam, syiah, sekular, kabilah mahupun bekas anggota Baaths seperti Islamic Army of Iraq, HAMAS of Iraq, Brigade Revolusi 1920, Jamaa Ansar al-Sunnah, Tentera Mujahiddin dan Tentera al Mahdi.
 
Inikah Islam yang dibawa aQI / ISIS …….
Rekod penglibatan ISIS dalam keganasan sangat panjang. Bermula dari alQaeda in Iraq, kemudiannya Islamic State of Iraq dan seterusnya menjadi Islamic State in Iraq and Levant, sikap melampau ISIS dan keganasan mereka semakin jauh dari Islam. Samada dalam bentuk pengeboman kereta ditempat awam, pembunuhan tokoh dan ulama’, penculikan wanita dan aktivis kemanusiaan, hukuman tanpa bicara, pembunuhan kejam dengan memeotong kepala dan menembak mangsa yang tidak berdaya senarai kekejaman mereka hampir tiada penghujung. aQI secara terbuka membunuh ulama’ Sunni yang berani mempersoalkan mereka. Antaranya Sheikh Hamza Abbas Al-Issawi, Mufti dan Pengerusi Majlis Ulama Falujjah dibunuh oleh aQI pada tahun 2005. Antara ulama’ lain yang menerima nasib yang sama adalah Sheikh Abdul Aleem al Sa’di Mufti Ramadi, Sheikh Shawkat al-Sa’ab, Sheikh Kamal al-Tikriti dan Sheikh Omar Sa’ed Horan. Seorang lagi ulama’ besar Iraq, Sheikh Mahdi al-Sumaidaie cedera parah dalam percubaan membunuh beliau pada Ogos 2012. Mufti Besar Sunni Iraq, Sheikh Khaled al-Mulla dalam wawancara al-Mayadeen TV pada 1 Julai 2014, dengan tegas mendakwa aQI atau ISIS telah membunuh lebih 300 ulama’ Sunni.

Pada 25 Oktober 2009, pengeboman di Baghdad membunuh 155 nyawa dan mencederakan lebih 720 orang. Pada 8 Disember sekali lagi Baghdad dibom membunuh 127 nyawa dan mencederakan 448 orang. ISIS, atau ketika itu ISI, mengaku bertanggungjawab.
ISIS juga tidak teragak-agak untuk membunuh sesiapa saja, termasuk ulama’, yang menentang mereka. ISIS dipercayai terlibat dalam serangan bom chlorine pada March 2007 yang membunuh 8 dan ratusan cedera di Fallujah dan Ramadi dimana pemimpin tempatannya menentang aQI. Sebulan sebelumnya satu letupan bom berhampiran sebiah masjid di Fallujah telah membunuh 35 orang. Imam di masjid tersebut diketahui menentang ISIL. ISIL juga didakwa membunuh pemimpin kumpulan mujahiddin lain yang mereka. Mereka juga dipercayai terlibat dalam serangan bom sebuah masjid di Baaquba yang membunuh 28 orang termasuk pemimpim kumpulan Hamas of Iraq dan 1920 Brigades. ISIL juga cuba melagakan antara golongan Sunni dan Syiah dengan menyerang tempat suci golongan Syiah.


Sebaik mengisytiharkan `Khilafah Islam’, satu sumber yang dipetik dari media Turki memetik seorag wakil ISIS, Abu Turab al Mugaddasi mengatakan mereka akan menakluk Arab Saudi dan akan memusnahkan Kaabah. Ini kerana mereka mendakwa umat Islam pergi ke Mekah untuk menyembah batu, bukannya Allah. Tidak sampai seminggu mendirikan `daulah’ mereka telah memusnahkan sekurang-kurangnya 4 maqam ulama’ Sunni yang didakwa sebagai sumber khurafat serta 6 masjid Syiah.

ISIS juga dalam tempuh peperangan terbaru ini dilaporkan telah mengeluarkan `fatwa’ meminta semua keluarga menyerahkan anak perempuan mereka kepada anggota ISIS untuk memberi khidmat sex. Arahan ini didapati didalam risalah-risalah yang ditemui di di Mosul dan Tikrit.
 
Pengisytiharan Khilafah Islam
ISIS berterusan melakukan perkara yang pelik dan tidak dapat diterima oleh umat Islam umumnya. Pada 29 Jun 2014 bersempena 1 Ramadhan 1435, ISIS telah mengisytiharkan berdirinya Khilafah Islam di kawasan yang dikuasai mereka dari timur Syria hingga ke utara Iraq. Namum sebahagian besar kawasan ini adalah padang-pasir dan tidak berpenghuni. Pemimpin ISIS, Abu Bakar Al-Baghdadi dilantik sebagai `khalifah’ mereka. Mereka juga mengeluarkan fatwa mewajibkan seluruh umat Islam di dunia melafazkan bai’ah (taat setia) kepada mereka. Pengistiharan kahlifah ini juga bererti semua jamaah Islam dan kumpulan mujahiddin hendaklah dibubarkan kerana semua umat Islam mesti berada dibawa satu khalifah.
Sebenarnya ini bukan perkara baru di Iraq. Pada tahun 2007, Abu Musab al Zarqawi, bekas pemimpin aQI yang ketika itu memimpin gerakan ‘Tauhid dan Jihad di Mesopotamia’ telah pernah mengisytiharkan penubuhan Negara Islam di Iraq.
Negara Islam memang menjadi idaman setiap muslim dan gerakan Islam. Tetapi pengisyiharan Negara Islam oleh kumpulan yang membawa imej penganas, pembunuh dan mempunyai rekod kemanusiaan yang buruk hanya merosakkan agenda Negara Islam.
Pengisytiharan ini juga tidak membawa apa-apa kebaikan dan tidak menyelesaikan sebarang masalah umat Islam bahkan masyarakat dunia kini melihat Islam melalui kacamata `Negara Islam’ yang kasar, ekstrim, tanpa undang-undang dan tidak berperikemanusiaan. Perbuatan ini hanya memberi keuntungan dan menjadi hujah kepada mereka yang menentang Islam.
Persatuan Ulama Sedunia (International Union of Muslim Scholars - IUMS) yang dipengerusikan oleh Sheikh Yusuf Qardawi dalam kenyataan pada 4 Julai 2014 menolak pengistiharan tersebut sebagai tidak sah, tidak realistik dan tiada sandaran hukum Islam
 
IPIP menyeru supaya setiap daripada kita untuk lebih mendalami tentang isu ISIS ini supaya kita dapat menjadi agen penyebar maklumat yang benar kepada sehabat handai dan ahli keluarga seterusnya masyarakat sekeliling. Dan marilah kita bersama menjadi Muslim yang mengamalkan ajaran Islam yang benar supaya warga dunia dapat melihat dari kacamata Islam yang membawa mesej kasih sayang,keamanan dan kesejahteraan. Akhir pesanan, jom menjadi individu muslim bergerak dan saling mensejahterakan bumi ini.
 
 
 
Sumber rujukan :IKRAM Malaysia

No comments:

Post a Comment