Jan 31, 2015

Weekly IPIPnews Wrap-up (25/1/2015-31/1/2015) ~ IKATAN PELAJAR ISLAM POLAND

DALAM NEGARA :

MANGSA BANJIR DI SERAWAK MENINGKAT

SABTU, 31 JANUARI 2015 @ 9:39 AM

KUCHING: Jumlah mangsa banjir di negeri ini meningkat sedikit kepada 58 orang daripada 14 keluarga setakat 8.30 pagi ini berbanding 48 orang daripada 12 keluarga malam tadi.
Jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sarawak berkata, dua pusat pemindahan masih beroperasi, iaitu di Dewan Masyarakat Beluru, Bakong, Miri yang menempatkan 30 mangsa daripada enam keluarga dan Balai Raya Sebauh, Bintulu yang menempatkan 28 orang daripada lapan keluarga.
Sementara itu, jurucakap Bilik Operasi Banjir Pejabat Daerah Kecil Beluru, Ricky Bayang, ketika dihubungi untuk mengesahkan bilangan mangsa yang berada di pusat pemindahan berkata, keadaan banjir di Bakong bertambah baik dengan air Sungai Bakong semakin surut.
PELAN PEMBANGUNAN PENDIDIKAN MALAYSIA UNTUK PENGAJIAN TINGGI JADI TERAS TRANSFORMASI PENDIDIKAN NEGARA
RABU, 28 JANUARI 2015 @ 11:59 PM
KUALA LUMPUR: Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pengajian Tinggi) 2015-2025 yang akan diumumkan Mac ini, akan menjadi teras ke arah mentransformasi dan meningkatkan mutu pengajian tinggi negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, pelan pembangunan tersebut telah dibentangkan dalam mesyuarat mingguan Kabinet pada Rabu.
"Insya-Allah, saya yakin ia - Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pengajian Tinggi) - akan memacu peningkatan prestasi pengajian tinggi negara," kata perdana menteri dalam catatan terbarunya di laman Facebook dan Twitternya, Rabu malam.
Ahad lepas, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof Datuk Dr Asma Ismail berkata pelan tersebut dijangka diumumkan Mac ini dan antara lain bertujuan mentransformasi dan meningkatkan standard pendidikan tinggi negara.
"Pelan ini akan menentukan bentuk graduan yang kita mahu lahirkan, selain menggilap bakat pelajar dan juga pensyarah," kata Dr Asma.
MALAYSIA ISYTIHAR MH370 SATU KEMALANGAN
KHAMIS, 29 JANUARI 2015 @ 6:24 PM
PUTRAJAYA: Malaysia hari ini secara rasmi mengumumkan kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 sebagai satu kemalangan.
Perkara itu diumumkan oleh Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Azharuddin Abdul Rahman menerusi pengumuman khas mengenai kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 di RTM1, sebentar tadi.
"Kami secara rasmi mengisytiharkan pesawat MH370 sebagai satu kemalangan berdasarkan Standard of Annexes 12 dan 13 Chicago Convention," katanya.
Dengan pengisytiharan itu, kerajaan memahami ia suatu yang sukar kepada semua waris 239 penumpang dan anak kapal.
"Tanpa mengguris perasaan setiap ahli keluarga mangsa yang terkorban, pengumuman ini diharapkan mampu memberi bantuan yang mereka perlukan, termasuk proses pampasan.
"Kami juga memahami bahawa MAS bersedia untuk meneruskan dengan kadar segera proses pampasan, dengan kesediaan waris untuk mengambil tindakan," katanya.
KESATUAN GURU TIDAK SOKONG CADANGAN ROTAN ANAK SEBAGAI KESALAHAN JENAYAH
SELASA, 27 JANUARI 2015 @ 8:47 PM
PUTRAJAYA: Kongres Kesatuan Guru Dalam Perkhidmatan Pendidikan (KKGDPP) tidak bersetuju dengan cadangan menetapkan tindakan merotan anak sebagai kesalahan jenayah dalam undang-undang kanak-kanak yang baharu.
Presidennya, Datuk Mohamed Sabri Mohd Arsad berkata, kongres itu berharap cadangan tersebut dikaji secara menyeluruh terutama dari aspek budaya dan agama masyarakat Malaysia sebelum dibentangkan di Parlimen.
"Kami berpendapat di Malaysia kita gabungkan budaya dan agama dalam mendidik anak-anak dan saya lihat banyak pihak juga tidak menyokong akta yang menjadikan ibu bapa sebagai sasaran.
"Bahkan di sekolah pun ada prosedur operasi standard (SOP) dalam menghukum pelajar yang bukan mendera tetapi berdasarkan kesalahan pelajar," katanya kepada pemberita selepas pertemuan KKGDPP bersama Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pendidikan di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas cadangan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk memasukkan peruntukan yang lebih terperinci mengenai tindakan yang boleh menyebabkan kecederaan fizikal atau mental kepada kanak-kanak termasuk perlakuan merotan dalam Rang Undang-Undang Kanak-Kanak bagi menggantikan Akta Kanak-kanak 2001.


LUAR NEGARA :
RIBUAN KUCING DISELAMATKAN DARI MENJADI HIDANGAN
Jumaat, 30 JANUARI 2015 @ 5:08 AM



Hanoi: Ribuan kucing yang diseludup dari China untuk dijadikan hidangan berjaya diselamatkan, kata polis semalam.Hidangan daging kucing dianggap istimewa di Vietnam dan penduduk setempat menggelarnya sebagai “harimau kecil.”Jurucakap polis semalam berkata, mereka menahan sebuah lori sedang dalam perjalanan ke ibu negara Vietnam pada Selasa lalu.“Ketika diperiksa kami mendapati bahagian belakang lori berkenaan penuh dengan kucing.“Secara keseluruhan kucing itu seberat 3,000 kilogram,” katanya.Kerajaan sudah mengharamkan daging kucing untuk dijadikan hidangan di Vietnam, namun ia masih disajikan dengan meluas di beberapa restoran tertentu.Kata jurucakap itu, pemandu lori mengaku dia membawa kucing itu dari wilayah Quang Ninh yang bersempadan dengan China.“Menurut undang-undang, semua kucing ini sepatutnya dilupuskan tetapi kami masih memikirkannya kerana jumlah yang terbabit adalah sangat banyak,” katanya dalam satu kenyataan.Imej yang didedahkan media tempatan menunjukkan kucing itu berada dalam keadaan amat menyedihkan.Ia dikurung dalam sangkar buluh yang sempit dan disusun berhimpit-himpit antara satu sama lain. 
MALAYSIA, THAILAND SETUJU KONGSI MAKLUMAT RISIKAN UNTUK KESELAMATAN SERANTAU
KUALA LUMPUR: Malaysia dan Thailand bersetuju berkongsi maklumat risikan bagi memastikan kestabilan dan keamanan rantau ini.
Ini adalah antara hasil perjumpaan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dengan Perdana Menteri Thailand Jeneral Prayut Chan-o-cha, di Bangkok hari ini.
Hishammuddin berkata, mereka mengadakan perbincangan mengenai kerjasama pertahanan, persediaan dan pengurusan dalam menghadapi bencana serta risiko keselamatan tertentu yang dihadapi oleh kedua-dua negara hari ini.
Dalam satu kenyataan hari ini, menteri itu berkata, mereka juga menyentuh topik ancaman kumpulan militan Islamic State di rantau ini.
Beliau berkata, kedua-dua mereka bersetuju ASEAN yang kuat, berjaya dan bersatu bukan hanya untuk keperluan ekonomi tetapi juga dari segi keperluan strategik.
"Sejarah dan persamaan kami perlu diketengahkan untuk berkembang lagi dan mengukuhkan ikatan antara kedua-dua negara dan negara anggota ASEAN yang lain, kata Hishammuddin.
ASEAN terdiri daripada Brunei, Cambodia, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam
24 HILANG, BOT DARI BANGLADESH KE MALAYSIA KARAM
DHAKA: Sebuah bot nelayan yang sarat dengan migran Bangladesh yang dikatakan hendak ke Malaysia karam dibadai ombak besar hari ini dan 24 penumpang masih hilang, kata polis.
Pihak berkuasa sudah menyelamatkan 32 wang Bangladesh di Teluk Benggal selepas bot itu karam kira-kira 2.5 kilometer dari pantai, tetapi ramai yang masih hilang.
"Penumpang yang terselamat beritahu kami ada kira-kira 60 orang dalam bot itu. Semua penumpang adalah warga Bangladesh dan mereka menuju ke Malaysia secara haram menerusi laut," katanya.
Anggaran mengenai jumlah penumpang tidak sama, apabila sebuah stesen TV swasta, Somoy dalam laporannya menyebut ada 100 penumpang ketika bot itu karam berhampiran pulau Kutubdia.
Bot itu dipukul ombak besar tidak lama selepas meninggalkan Chittagong, sebuah bandar pelabuhan di selatan negara itu.
Beribu-ribu warga miskin Bangladesh termasuk pelarian etnik Rohingya meninggalkan Myanmar untuk ke Malaysia setiap tahun dengan melalui perjalanan laut yang berbahaya sejauh 3,200 kilometer.
CHINA TERUSKAN KERJASAMA DENGAN MALAYSIA, AUSTRALIA DALAM PENCARIAN MH370
KHAMIS, 29 JANUARI 2015 @ 9:44 PM
BEIJING: China akan terus bekerjasama rapat dengan kerajaan Malaysia dan Australia dalam pencarian dan siasatan terhadap insiden MH370 serta menawarkan semua perkhidmatan yang perlu kepada keluarga penumpang untuk melindungi hak dan kepentingan mereka.
"Susulan insiden, Malaysia telah menggerakkan usaha penting dalam mencari pesawat, menjalankan siasatan dan menyampaikan rasa simpati kepada keluarga penumpang," kata jurucakap Kementerian Luar China China Hua Chunying hari ini.
Australia dan kebanyakan negara lain serta pertubuhan antarabangsa juga memberi sokongan dan bantuan yang signifikan kepada usaha mencari pesawat dan operasi lain, kata beliau melalui akaun Weibo rasmi Kementerian Luar.
"Hari ini, berdasarkan data satelit yang sedia ada mengenai pesawat dan hasil operasi pencarian setakat ini dan mematuhi peruntukan konvensyen antarabangsa yang berkaitan, Malaysia telah mengisytiharkan MH370 sebagai satu kemalangan," kata beliau.
Beliau berkata kerajaan China merakamkan kesedihan mendalam atas kesengsaraan penumpang pesawat malang Penerbangan MH370 selepas pengumuman yang dibuat Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (DCA) hari ini.
Hua berkata, China juga merakamkan simpati yang mendalam dan takziah yang tulus ikhlas kepada keluarga mereka.
"China dengan ini merakamkan penghargaan ikhlas dan ucapan terima kasih atas semua usaha ini," katanya, sambil menambah bahawa Presiden China Xi Jinping dan Perdana Menteri Li Keqiang dan pemimpin yang lain telah beberapa kali memberi arahan penting untuk memastikan bahawa setiap usaha yang mungkin dijalankan untuk menjejaki pesawat.
Hua berkata China juga berharap untuk bertindak bagi komitmen yang terkandung dalam kenyataan itu, untuk memenuhi obligasinya membayar pampasan, melindungi hak-hak yang sahih dan kepentingan anggota keluarga dan menyediakan sokongan dan bantuan kepada mereka.
"Kami juga menyeru pihak Malaysia untuk terus komited dalam misi pencarian dan usaha sissatan dan memaklumkan kepada anggota keluarga mengenai perkembangan terkini," katanya.
Hari ini, Penerbangan MH370 secara rasmi diisytiharkan sebagai kemalangan di bawah peraturan antarabangsa, dan bahawa semua 239 penumpang dan kru yang berada dalam pesawat itu dianggap telah mati.

No comments:

Post a Comment