Dalam pada itu, Mohamed Thajudeen memberitahu, operasi memusnahkan kebun sayur haram di Cameron Highlands akan dimulakan semula selepas kerja-kerja tersebut dihentikan seketika sejak 26 Disember lalu kerana kekangan cuaca tidak baik, selain keadaan jalan yang licin menyukarkan tugas pembersihan.

“Pihak kami akan bermesyuarat Selasa ini untuk melihat sama ada keadaan mengizinkan untuk kita meneruskan kembali tugas-tugas pemusnahan kebun sayur haram itu,’’ katanya.
Sementara itu, beliau berkata, MKN akan membuat taksiran kerugian secara keseluruhan akibat banjir besar yang melanda negara selepas keadaan pulih sepenuhnya.


Kata beliau, pihaknya akan menganalisis semua situasi termasuk nilai kemusnahan rumah penduduk bagi tujuan pembinaan semula membabitkan tiga kategori iaitu penilaian kemusnahan rumah secara total, rumah rosak yang tidak boleh diperbaiki dan rumah separuh rosak boleh diperbaiki.
Jelasnya, ini termasuk kerosakan kemudahan awam lain seperti dewan orang ramai, masjid, sekolah, jalan raya, jambatan dan sebagainya yang belum dapat dipastikan tahap kemusnahannya kerana masih ada tempat ditenggelami air.
“Pada ketika ini kita sudah pun membuat penilaian kerosakan rumah secara berperingkat-peringkat di tempat-tempat yang sudah pulih kerana keutamaan kita adalah membaik pulih rumah.
“Selepas keadaan semuanya pulih, kita akan mulakan kerja-kerja pembaikan dan menilai kerugian selewat-lewatnya dalam tempoh seminggu,’’ katanya.