Jan 23, 2015

WEEKLY IPIP NEWS WRAP UP (17/1/15 - 23/1/15)

DALAM NEGARA


JUMLAH MANGSA BANJIR DI SABAH DAN SARAWAK MENINGKAT










KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir di Sabah dan Sarawak yang ditempatkan di pusat pemindahan dilaporkan meningkat walaupun cuaca di beberapa tempat dilaporkan baik pagi ini.Setakat 8 pagi ini, jumlah mangsa banjir di kedua-dua negeri itu mencecah 8,880 orang, meningkat sebanyak 1,468 orang berbanding malam tadi.Jumlah keseluruhan mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan di negeri-negeri terjejas banjir ialah 9,212 orang berbanding 7,517 orang, malam tadi.

Di SABAH, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 5,577 orang daripada 1,743 keluarga berbanding 4,118 orang daripada 1,198 keluarga, malam tadi.Pegawai Daerah Beaufort Mohd Shahid Othman berkata jumlah mangsa banjir di enam pusat pemindahan di daerah itu meningkat kepada 1,442 orang daripada 466 keluarga berbanding 1,310 orang daripada 423 keluarga malam tadi.

Di SARAWAK, walaupun cuaca dilaporkan bertambah baik namun fenomena air pasang besar menjadi faktor kepada peningkatan mangsa banjir daripada 3,076 malam tadi kepada 3,303 pagi ini.Jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sarawak berkata Samarahan mencatatkan jumlah mangsa banjir tertinggi iaitu 1,397 orang di enam pusat pemindahan diikuti Limbang (1,219 orang di enam pusat pemindahan); Kuching (379 orang di satu pusat pemindahan); Miri (225 orang di satu pusat pemindahan) dan Mukah (83 orang di satu pusat pemindahan).



AINAA AMANDA TERUJA DAPAT TANGAN BIONIK












PENDANG: Jelas terpancar kegembiraan di wajah Ainaa Amanda Shahzali, 7 tahun, yang menerima set tangan mekanikal (bionik) daripada seorang ahli perniagaan, baru-baru ini.Ibunya, Habibah Hassan, 42, berasa amat terharu dan berbesar hati kerana ada insan yang bermurah hati untuk menderma set tangan mekanikal tersebut kepada anaknya.


Menurutnya, Amanda pada mulanya agak takut apabila melihat gambar tangan mekanikal tersebut menerusi internet. Namun sejurus menerima set tangan tersebut dan selepas memakainya, dia mula berasa selesa dan menyukainya.Kata Habibah lagi, buat masa ini Amanda tidak memakainya di sekolah kerana bimbang akan menarik perhatian kanak-kanak lain, apatah lagi kini Amanda baru saja selesa dengan keadaan tanpa tangan.

Amanda menerima set tangan mekanikal itu semalam daripada ahli perniagaan Sujana Mohd Rejab, 47 tahun, yang bersimpati dengan nasib Amanda setelah mengetahuinya menerusi khabar.


KAWASAN 460 HEKTAR UNTUK BINA RUMAH MANGSA BANJIR DI KUALA KRAI DAN GUA MUSANG













KOTA BHARU:Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata daripada jumlah itu, sebanyak 360 hektar tanah dikenal pasti di Kuala Krai manakala 100 hektar lagi di Gua Musang.Menurutnya perkara itu dipersetujui oleh kerajaan Pusat dan kerajaan Kelantan pada mesyuarat khas pelan tindakan pasca banjir yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Putrajaya semalam.

Kerajaan Pusat mengumumkan dua model rumah setingkat tiga bilik bernilai RM48,000 seunit bagi pembinaan semula rumah mangsa banjir yang musnah sepenuhnya.Rumah itu mempunyai tiga bilik tidur, ruang makan, ruang tamu, satu tandas dan satu bilik mandi.

Sementara itu, Mohd Amar berkata kerajaan Kelantan akan membina 600 unit rumah kekal itu melalui dana yang disumbangkan pelbagai pihak di kawasan berkenaan manakala bakinya akan dibina kerajaan Pusat."Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) akan membiayai pembinaan 300 unit rumah manakala selebihnya daripada dana," katanya.

Menurutnya mangsa yang sebelum ini mendiami tanah rizab sungai tidak akan dibenarkan membina rumah di kawasan terbabit.Beliau juga berkata kerajaan Pusat bersetuju memberi bantuan antara RM5,000 dan RM10,000 kepada mangsa yang mengalami kerosakan rumah.

19,960 EPAL GALA,GRANNY SMITH DISITA DI SARAWAK















BALIK PULAU: Kementerian Kesihatan setakat ini telah menyita sebanyak 19,960 biji epal jenis Gala dan Granny Smith bernilai RM82,000 di Kuching dan Sibu, Sarawak.Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata epal keluaran syarikat Bidart Brothers, dari Bakersfield, California, Amerika Syarikat itu dikhuatiri dicemari bakteria "Listeria monocytegenes".

Menurut beliau, usaha proaktif memantau penjualan epal jenis berkenaan akan diteruskan sehingga isu itu selesai sepenuhnya.Beliau menasihati orang ramai yang termakan epal berkenaan supaya segera membuat pemeriksaan kesihatan sebagai langkah berjaga-jaga.Hilmi, yang juga Anggota Parlimen Balik Pulau, berkata antara tanda awal gejala serangan penyakit bawaan makanan itu ialah sakit kepala, muntah, demam dan kekejangan pada leher.

"Masyarakat diminta jangan panik kerana bukan semua epal bahaya hanya epal dari syarikat itu sahaja dikhuatiri tercemar," katanya.Sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada Kementerian Kesihatan melalui Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) atau Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) terdekat atau melalui laman web http://fsq.moh.gov.my atau facebook BKKM www.facebook.com/bkkmhq.

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dilaporkan telah menyekat kemasukan epal jenis Gala dan Granny Smith dari Amerika Syarikat ke Malaysia kerana dipercayai tercemar oleh bakteria Listeriosis.


LUAR NEGARA 


RAJA ARAB SAUDI,RAJA ABDULLAH ABDULAZIZ MANGKAT












RIYADH: Raja Abdullah bin Abdulaziz mangkat pada Jumaat, menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh istana diraja.Putera Mahkota Salman turut diumumkan sebagai pengganti mewarisi tahkta negara yang terkenal dengan hasil minyak.Raja Abdullah yang mula menaiki takhta pada tahun 2005 menggantikan abang tiri baginda, Raja Fahd, menerima rawatan di hospital sejak beberapa minggu kerana gering akibat jangkitan paru-paru.

Sementara itu, adik tiri Raja Abdullah,  Muqrin, yang berusia dalam lingkungan 60-an, bakal diangkat sebagai putera mahkota.Fahd, Abdullah dan Muqrin merupakan putera-putera kepada pengasas Arab Saudi moden iaitu Raja Abdulaziz yang telah mangkat pada tahun 1953.

Dalam perkembangan berkaitan, ramai pemimpin negara dunia menyampaikan rasa sedih dan ucapan takziah kepada keluarga diraja Arab Saudi.Perdana Menteri Malaysia Datuk Sri Najib Tun Razak juga melalui akaun Twitternya menyampaikan rasa hiba atas kemangkatan Baginda.Begitu juga dengan Presiden AS Barack Obama yang mewakili rakyat negaranya menzahirkan rasa dukacita dan ucapan takziah atas kemangkatan Abdullah.

4 DIDAKWA BANTU PENGGANAS DALAM INSIDEN SERANGAN PASAR RAYA DI PARIS.











PARIS: Mahkamah Perancis mendakwa empat suspek atas tuduhan membantu seorang lelaki bersenjata ketika serangan di sebuah pasar raya Yahudi di Paris baru-baru ini.Menurut pendakwa, Francois Molins, empat lelaki itu, yang berusia di antara 22 dan 28 tahun, telah didakwa dan ditahan pada Selasa malam.

Tiga daripada mereka disyaki telah membeli "peralatan" untuk Amedy Coulibaly, yang menembak mati seorang polis wanita pada 8 Januari dan membunuh empat orang dalam satu drama tebusan di sebuah pasar raya Yahudi keesokan harinya.

Suspek dari pinggir bandar Paris itu dikenal pasti sebagai Willy P., Christophe R., Tonino G. dan Michael A. Mereka didakwa dengan "konspirasi pengganas untuk mencederakan orang ramai."

Salah seorang daripada mereka turut didakwa memiliki senjata, kata Molins.


JEPUN TIDAK AKAN TUNDUK KEPADA KEPADA PENGGANAS.












BEIRUT: Kumpulan militan Negara Islam (IS) mengancam untuk membunuh dua tebusan warga Jepun dalam tempoh 72 jam jika tidak menerima wang tebusan berjumlah AS$200 juta. Ugutan tersebut disiarkan melalui sebuah rakaman video semalam.

Tokyo walau bagaimanapun, enggan tunduk kepada permintaan kumpulan pengganas tersebut.
Perdana Menteri Shinzo Abe, yang kini berada di Baitulmaqdis dalam lawatan rasmi ke Asia Barat, mendesak kumpulan militan itu segera membebaskan dua tebusan tersebut tanpa dicederakan.

Beliau ketika itu baru saja menghadiri mesyuarat dengan Presiden Palestin Mahmud Abbas bagi menangani krisis tersebut.

Dalam video yang disiarkan dalam laman web militan tersebut, anggota kumpulan berpakaian hitam yang berdiri di antara tebusan Kenji Goto dan Haruna Yukawa, dilihat mengacukan pisau dan menghalakannya ke kamera.

Bercakap dalam bahasa Inggeris loghat Amerika Selatan, militan tersebut mengatakan bahawa wang tebusan yang diminta adalah untuk bantuan bukan ketenteraan yang dijanjikan Abe bagi menyokong negara-negara tang terjejas dengan kempen menentang IS.

Namun Shinzo Abe berkata Jepun tidak akan tunduk pada kehendak mereka dan akan meneruskan janji asalnya untuk membawa bantuan kemanusiaan ke rantau tersebut.

“Saya meminta agar tebusan tidak dicederakan dan segera dibebaskan. Komuniti antarabangsa tidak akan bergerak di bawah telunjuk pengganas dan perlu dipastikan kita dapat bekerjasama,” kata Abe dalam sidang media di Baitulmaqdis.

PARLIMEN XINJIANG CHINA RESMI HARAMKAN AZAN,SOLAT,HIJAB DAN SIMBOL ISLAM












Urumqi: Pihak berkuasa Xinjiang semalam mengharamkan pemakaian purdah di bandar raya ini, langkah yang dilihat akan mencetuskan lebih banyak kekacauan di wilayah bergolak itu.
Pengumuman itu dibuat ketika China meningkatkan sekatan terhadap penggunaan pakaian yang melambangkan keagamaan, kononnya bimbang terhadap peningkatan fahaman pelampau Islam.

Ramai pakar berkata, pengharaman purdah serta hukuman keras yang dikenakan ke atas aktivis Islam mencetuskan lagi kemarahan penduduk Uighur, golongan majoriti di wilayah berkenaan.
Pengharaman itu akan dilaksanakan sebaik ia diluluskan oleh Parlimen Xinjiang.

Wanita Uighur secara tradisinya mengamalkan ajaran Islam yang sederhana tetapi sejak kebelakangan ini semakin ramai dilihat mengikut cara pemakaian wanita Arab Saudi dan Pakistan yang menutup seluruh anggota mereka, kecuali mata.

Bulan lalu, pihak berkuasa Xinjiang mengharamkan amalan agama di bangunan kerajaan dan orang ramai dilarang memakai pakaian yang ada kaitan dengan agama.
Ogos lalu, Karamay, sebuah bandar di barat laut wilayah itu mengharamkan wanita bertudung dan lelaki berjanggut menaiki bas.



No comments:

Post a Comment