Feb 23, 2015

Weekly IPIPnews Wrap-up (18/2/2015-23/2/2015) ~ IKATAN PELAJAR ISLAM POLAND

DALAM NEGARA :

TAHUN BARU CINA DISAMBUT MERIAH DALAM SEMANGAT 1MALAYSIA


KUALA LUMPUR: Tahun Baharu Cina disambut bukan hanya oleh masyarakat Tionghua namun turut dikongsi pelbagai lapisan masyarakat di negara ini dalam semangat 1Malaysia.
Penganjuran rumah terbuka yang sinonim dengan budaya masyarakat majmuk di Malaysia bagi mengeratkan tali keakraban sesama rakan dan kenalan, turut diadakan di negeri-negeri.Rumah terbuka itu dihadiri ribuan tetamu yang menikmati pelbagai juadah dan persembahan tarian singa sempena sambutan Tahun Kambing yang dijangka membawa banyak kemakmuran dan tuah.Suasana meriah dirasai dengan kehadiran masyarakat pelbagai kaum sejak awal lagi dengan pelbagai juadah antaranya sate, roti jala, dan buah limau.
Tinjauan Bernama mendapati kawasan tarikan pelancong antaranya Bandar Hilir dan Jonker Walk meriah dengan hiasan sambutan Tahun Baharu Cina serta kunjungan pelancong dari dalam dan luar negara.
Di Kelantan, sambutan dibuat secara sederhana susulan proses pemulihan susulan kejadian banjir besar yang melanda Kelantan hujung tahun lepas, masih dilakukan.
"Ramai masyarakat Tionghua kehilangan rumah akibat musibah itu menyebabkan mereka menyambut Tahun Baharu Cina secara sederhana," kata Setiausaha MCA Kelantan Datuk Lua Choon Hann kepada Bernama.Beliau berkata MCA turut mengagihkan angpau RM500 kepada kira-kira 500 keluarga masyarakat Tionghua yang terjejas banjir di Gua Musang, Kuala Krai dan Kota Baharu.

PENDIDIKAN TINGGI NEGARA KINI SETARAF DENGAN PERINGKAT ANTARABANGSA - IDRIS JUSOH

BESUT: Pendidikan tinggi negara kini setaraf dengan di negara maju termasuk United Kingdom, Jerman dan Australia dari segi kualiti pendidikan, kata Menteri Pendidikan Kedua, Datuk Seri Idris Jusoh.Katanya, ini dibuktikan dengan terdapat lebih 135,000 pelajar asing sedang mengikuti pengajian di beberapa buah universiti tempatan yang meliputi 10 peratus daripada jumlah pelajar yang berada di pusat-pusat pengajian tinggi di negara ini.
Berdasarkan perkembangan semasa, Malaysia kini menduduki tempat ke-9 daripada 30,000 universiti di seluruh dunia yang menjadi tarikan pelajar asing untuk datang belajar dalam pelbagai bidang pengajian terutamanya dalam bidang Sains Persekitaran, Kejuruteraan, Pertanian dan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT).
Universiti Malaya (UM) kini berada pada kedudukan 151 (meningkat daripada 167) dalam senarai 400 institusi teratas di dunia dalam kajian universiti berprestij QS World Ranking 2014.
QS Quacquarelli Symonds yang berpangkalan di London merupakan pertubuhan yang menilai universiti di dunia menerusi ukuran reputasi akademik, reputasi majikan, nisbah pelajar kepada fakulti, kertas penyelidikan setiap fakulti, petikan setiap kertas, pengantarabangsaan dan program pertukaran pelajar.
Selain itu empat lagi institusi pengajian tinggi Malaysia yang telah meningkatkan kedudukan berbanding pada tahun sebelumnya iaitu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di tempat 259 (tempat 269 tahun 2013) manakala Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di tangga 294 (355), kenaikan mendadak sebanyak 61 anak tangga.Universiti Sains Malaysia (USM) pula berada pada kedudukan 309 dan Universiti Putra Malaysia (UPM) 376.

PELAJAR TAJAAN MARA DIINGAT JANGAN TERBABIT DENGAN IS

SEMPORNA: Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengingatkan semua pelajar di bawah tajaan Majlis Amanah Rakyat (MARA) supaya tidak terbabit dengan kegiatan kumpulan militan IS. Beliau berkata, kumpulan militan IS itu perlu dikutuk sekeras-kerasnya dan bukan diberi sokongan kepada mereka kerana tindakan mereka adalah di luar batas agama.
Beliau diminta mengulas penahanan seorang remaja perempuan berusia 14 tahun baru-baru, yang dipercayai mahu menyertai kumpulan militan itu. Pada 18 Februari, sepasukan polis daripada Bahagian Anti-Pengganas, Cawangan Khas Bukit Aman menahan remaja perempuan itu di Lapangan Terbang Antarabangsa KL kerana dipercayai merancang menyertai IS di Syria. Menurut polis, remaja itu dikesan terpengaruh dengan fahaman ekstremis berkenaan selepas berinteraksi dengan dua individu di laman Facebook, sebelum bertindak nekad mahu meninggalkan negara bagi menyertai kumpulan militan itu.
Menurutnya beliau turut memberi peringatan mengenai perkara itu kepada pelajar-pelajar Malaysia semasa lawatannya ke beberapa universiti luar negara untuk bertemu pelajar tajaan MARA.

TAPAK PENEMUAN FOSIL SEDIA DIJADIKAN DESTINASI PELANCONGAN

KUANTAN: Kerajaan Negeri Pahang bersedia menjadikan kawasan penemuan fosil tumbuhan yang didakwa dari zaman jugra berusia sekitar 146 juta hingga 200 juta tahun di Kota Gelanggi, Jerantut sebagai destinasi baharu pelancongan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin bagaimanapun berkata, perkara itu akan diputuskan selepas menerima laporan lengkap mengenai penemuan fosil tersebut. Mohd Sharkar berkata pihaknya juga akan melihat nilai komersial dalam membangunkan kawasan itu sebagai destinasi pelancongan, menyebabkan pelan tersebut tidak boleh dilakukan secara terburu-buru.
Pegawai Geosains Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia Kelantan, Ahmad Rosli Othman melakukan pencarian fosil tumbuhan yang hidup ketika zaman jura berusia antara 200 juta hingga 146 juta tahun lalu kawasan cerungan potongan bukit di Kota Gelanggi, Jerantut Isnin lalu. - Foto Luqman Hakim Zubir
Pada Sabtu, sebuah akhbar tempatan melaporkan penemuan fosil dalam bentuk serpihan daun, batang dan ranting pada permukaan lapisan batu di simpang Kota Gelanggi oleh Pegawai Geosains Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia Kelantan Ahmad Rosli Othman.


LUAR NEGARA :

KERAJAAN PERANCIS MINTA FACEBOOK, GOOGLE DAN TWITTER PADAM PROPAGANDA PENGGANAS


MENTERI Dalam Negeri Perancis, Bernard Cazeneuve (dua dari kanan) bertemu dengan eksekutif di Google di Mountain View, California, hari ini. Cazeneuve berada di San Francisco untuk bertemu dengan pemimpin-pemimpin Google, Facebook, Microsoft dan Twitter menggesa mereka untuk berkongsi tanggungjawab dalam membanteras ancaman pelampau. - Foto AFP
SAN FRANCISCO: Menteri Dalam Negeri Perancis semalam meminta Google, Facebook dan Twitter untuk bekerja rapat dengan pegawainya dan membuang serta merta propaganda pengganas apabila pihak berkuasa memaklumkan kehadiran mereka di laman sosial itu susulan insiden serangan pengganas di Paris yang menyebabkan 20 orang maut, termasuk tiga lelaki bersenjata, awal bulan lalu.
Pada 7 Januari lalu, dua lelaki bersenjata membunuh 12 orang dan mencederakan 11 yang lain dalam satu serangan di bangunan akhbar Charlie Hebdo di Paris. Sementara itu, lelaki bersenjata ketiga pula membunuh seorang anggota polis wanita pada hari berikutnya dan membunuh empat orang lagi yang dijadikan tebusan di sebuah pasar raya Yahudi di Paris. Polis berjaya menembak mati ketiga-tiga lelaki bersenjata berkenaan.
Dalam pada itu, jurucakap Twitter dan Facebook berkata, mereka boleh menghentikan bahan yang mengandungi unsur keganasan tetapi tidak memaklumkan sama ada akan memenuhi permintaan menteri itu untuk bekerjasama secara langsung dengan pihak berkuasa Perancis.

MH17: PBB ULANG DESAKAN KEBERTANGGUNGJAWABAN

KUALA LUMPUR: Draf resolusi terbaharu Majlis Keselamatan mengenai keadaan di Ukraine mengulangi penegasan mendesak kebertanggungjawaban pihak-pihak yang bertanggungjawab terhadap penembakan pesawat MH17.
Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Datuk Hussein Haniff, berkata Malaysia dan beberapa negara mengalu-alukan penerimaan untuk melaksanakan peraturan gencatan senjata (Resolusi 2202) mengenai situasi di Ukraine. Penerimaan resolusi ini akan menzahirkan sokongan kuat Majlis Keselamatan dan masyarakat antarabangsa terhadap langkah-langkah yang diambil oleh pihak-pihak terbabit untuk melaksanakan urusan gencatan senjata yang dipersetujui pada 12 Februari.
Hussein berkata, konflik di timur Ukraine telah berlarutan terlalu lama dan mengorbankan terlalu banyak nyawa orang awam yang tidak berdosa termasuk 298 penumpang pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 dari Amsterdam ke Kuala Lumpur yang ditembak jatuh di kawasan konflik pada 17 Julai 2014.
"Kami memuji usaha berterusan pihak Sekretariat untuk memanfaatkan penggunaan teknologi moden dalam operasi pengaman dan menggalakkan DPKO (Jabatan Operasi Pengaman) untuk terus mengkaji peluang-peluang bagi menggunakannya dalam semua operasi," katanya dalam satu kenyataan pada Perbahasan Umum Sesi Substantif Jawatankuasa Khas mengenai Operasi Pengaman 2015 di Ibu pejabat PBB, New York.

IS BAKAR HIDUP- HIDUP 43 TEBUSAN DI ANBAR

RAMADI: Militan Negara Islam (IS) membakar hidup-hidup 43 orang di satu lokasi di barat wilayah Anbar, Iraq lapor agensi berita China, Xinhua, hari ini.
Terdahulu, militan berkenaan menculik 43 rakyat Iraq dari suku Sunni Albu-Obeid di bandar perang Al-Baghdadi, kira-kira 200 kilometer dari barat laut ibu kota Baghdad, kata sumber itu.
Mereka yang diculik dipercayai polis tempatan dan ahli kumpulan separa tentera, Sahwa yang disokong kerajaan, kemudiannya dipindahkan ke bandar militan berdekatan Heet.
Militan berkenaan kemudian meletakkan mangsa yang diculik itu dalam sangkar besi dan membakar mereka. -Agensi

30 MAUT DALAM SERANGAN UDARA DI NIGER

NIAMEY, Niger: Kira-kira 30 hadirin satu majlis pengebumian terbunuh selepas sebuah pesawat yang tidak dikenali menyerang sebuah kampung di Niger berhampiran sempadan Nigeria.
Serangan itu berlaku ketika Niger terbabit dalam tindakan negara serantau memerangi militan Boko Haram yang berpangkalan di Nigeria. Keganasan kumpulan militan itu sudah mengorbankan lebih 13,000 orang sejak enam tahun lalu.
Tidak diketahui siapa yang melancarkan serangan udara itu tetapi Nigeria menafikan ia bertanggungjawab.Bagaimanapun, seorang pemimpin tempatan yang menyatakan bahawa 37 orang maut manakala 20 lagi cedera dalam serangan itu, mendakwa Nigeria bertanggungjawab.

No comments:

Post a Comment