Mar 24, 2015

WEEKLY IPIP NEWS WRAP UP ( 17/3/2015 - 24/3/2015 ) - IKATAN PELAJAR ISLAM POLAND

DALAM NEGARA:

Hudud Kelantan dilulus sebulat suara

KOTA BAHRU: Rang Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) atau hudud diluluskan sebulat suara pada persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan (DUN) Kelantan.Rang undang-undang itu dipersetujui semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), termasuk 12 ADUN Barisan Nasional (BN).Keputusan itu sekali gus menjadikan 37 pindaan daripada 71 fasal dengan empat pindaan utama itu terpakai.
Terdahulu, seramai empat ADUN membahaskan rang undang-undang berkenaan iaitu ADUN Tawang, Hassan Mahmood, ADUN Kok Lanas, Datuk Mohd Alwi Che Ahmad, ADUN Melor, Dr Yusnan Yusof dan ADUN Salor, Datuk Husam Musa.

Tambang komuter naik 1 Mei


KUALA LUMPUR: KTM Berhad (KTM) hari ini mengumumkan kadar tambang baharu bagi perkhidmatan KTM Komuter dengan peningkatan sehingga RM7.10 berkuat kuasa 1 Mei. KTM dalam satu kenyataan berkata perbezaan kadar tambang sehala yang baharu berbanding tambang sedia ada adalah bergantung kepada jarak perjalanan daripada satu stesen ke stesen yang lain.
Ia berkata pelarasan tambang itu dilaksanakan selepas mendapat kelulusan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang kadar baharunya turut dikecualikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (CBP). Kali terakhir KTM melaksanakan pelarasan tambang ialah pada Februari 2003.
Pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Hamid Albar hari ini turut mengumumkan penyelarasan kadar tambang teksi dan kereta sewa antara 20 hingga 67 peratus berkuat kuasa serta merta manakala pada mulai 15 Mei, tambang bas ekspres akan naik 22.6 peratus.
Kenaikan tambang dibuat selepas mengambil kira keperluan pihak pengusaha yang terbeban dengan kenaikan harga kos termasuk kos penyelenggaraan serta demi kepentingan orang ramai yang menggunakan perkhidmatan itu.
Pantau aset tentera laut asing di Laut China Selatan
KUALA LUMPUR: Kerajaan sentiasa memantau kehadiran aset dan anggota tentera asing di Laut China Selatan bagi menjamin kedaulatan dan keselamatan negara.Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Abd Rahim Bakri, berkata pelbagai inisiatif telah dilaksanakan dalam usaha menangani isu pertikaian maritim oleh pelbagai negara termasuk yang membabitkan negara kuasa besar seperti China di kawasan Laut China Selatan.
Selain itu, konsultasi bulanan yang dipengerusikan Panglima Angkatan Tentera Malaysia membabitkan pelbagai agensi seperti Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Peguam Negara dan Kementerian Luar Negeri juga diadakan bagi memaklumkan perkembangan terkini berkenaan kehadiran aset-aset tentera asing.
"Dalam mengatasi isu di Laut China Selatan, ia memerlukan pertimbangan dan diplomasi yang tinggi kerana membabitkan banyak pihak yang berkepentingan apatah lagi membabitkan kuasa besar dalam perebutan di Laut China Selatan.

LIMA'15 catat rekod kunjungan tertinggi

LANGKAWI: Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2015 (LIMA '15) dijangka mencatat rekod kehadiran pengunjung awam tertinggi sepanjang 13 edisi penganjurannya, mencecah 130,000 orang menjelang akhir petang ini.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata sasaran positif itu berdasarkan kepada jumlah 96,681 pengunjung awam yang direkod mengunjungi LIMA semalam.

LUAR NEGARA:

Pesawat GERMANWINGS terhempas di selatan Perancis

MARSEILLE: Sebuah pesawat Airbus yang dikendalikan syarikat penerbangan tambang rendah anak syarikat Lufthansa, Germanwings terhempas di selatan Perancis ketika dalam perjalanan dari Barcelona ke Duesseldorf, kata polis dan pegawai penerbangan.
Akhbar tempatan, La Provence menyebut pesawat itu membawa 142 penumpang, dua juruterbang dan empat krew.Germanwing dan Lufthansa tidak dapat dihubungi untuk mengulas.

Lee Kuan Yew meninggal dunia

SINGAPURA: Bekas Perdana Menteri pertama Singapura, Lee Kuan Yew dan pemimpin yang bertanggungjawab mengubah sebuah negara kerdil di Asia Tenggara kepada pusat perdagangan dan kewangan global meninggal dunia pada usia 91 tahun, kata Pejabat Perdana Menteri.
Lee, seorang peguam lulusan Cambridge disifatkan sebagai pemimpin yang bertanggungjawab menjadikan Singapura sebagai salah sebuah negara terkaya berdasarkan pendapatan per kapita yang tinggi.
Mendiang adalah pengasas pertama Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang memerintah Singapura sejak 1959 dan mengetuai negara itu berpisah daripada Malaysia pada 1965. - Reuters
BIODATA
Lee Kuan Yew
16 September 1923: Lee dilahirkan di Singapura, kemudiannya tanah jajahan British.
1942-45: Mendapat pendidikan di Raffles College tetapi tergendala akibat penjajahan Jepun di Singapura pada Perang Dunia II.
1946: Pergi ke England dan mengikuti pengajian undang-undang di Universiti Cambridge, dikenali dengan panggilan Harry, nama panggilan oleh datuknya.
1947: Berkahwin secara rahsia dengan Kwa Geok Choo, rakan pengajian di Cambridge.
1950: Kembali ke Singapura.
1954: Bantu Parti Tindakan Rakyat, menjadi setiausaha agung parti.
1955: Menang kerusi dewan undangan, tubuh firma undang-undang Lee & Lee bersama isterinya.
1959: Lee menjadi Perdana Menteri Singapura selepas Parti Tindakan Rakyat menang besar dalam pilihan raya umum. Britain memberi Singapura kuasa mentadbir sendiri dalam semua urusan kecuali pertahanan dan hal ehwal luar negara.
1963: Lee mengumumkan Singapura merdeka sepenuhnya daripada Britain, menyertai Malaya untuk tubuh Persekutuan Malaysia.
1965: Singapura berpisah dari Malaysia.
1968, 1976, 1980: Di bawah pimpinan Lee, parti pemerintah menang semua kerusi dalam pilihan raya Parlimen.
1990: Selepas Singapura menikmati lebih dua dekad pertumbuhan ekonomi yang pesat, Lee letak jawatan sebagai perdana menteri. Mendiang dilantik sebagai menteri kanan dan semakin berpengaruh.
2004: Anak lelakinya, Lee Hsein Loong menjadi perdana menteri Singapura ketiga.
2011: Letak jawatan menteri Kabinet dan letak jawatan dari jawatankuasa eksekutif Parti Tindakan Rakyat selepas prestasi parti itu merosot sedikit.
5 Ferbuari 2015: Dimasukkan ke hospital kerana alami radang paru-paru yang teruk.
23 Mac 2015 - Lee meninggal dunia di Hospital Besar Singapura.

Liberia siasat mangsa baru jangkitan Ibola

MONROVIA: Pegawai kerajaan Liberia segera menjalankan siasatan bagaimana seorang pesakit terbaharu dijangkiti virus maut Ebola selepas beberapa minggu tiada kes jangkitan dicatatkan di negara itu.Liberia sebelum ini menjadi negara paling ramai mencatatkan kematian akibat Ebola membabitkan 4,200 orang daripada lebih 10,000 kes kematian yang direkodkan di seluruh wilayah Barat Afrika.Kali terakhir kes Ebola dilaporkan di Liberia pada 5 Mac lalu dan sehingga ini sudah 42 hari negara itu dikategorikan bebas Ebola.Namun pada Jumaat lalu, pegawai berkata seorang pesakit dikenal pasti positif Ebola dan ia sekali gus mencetuskan kebimbangan baru kepada negara itu.
Malah pesakit terbabit juga dikatakan tidak berhubung dengan mana-mana mangsa jangkitan Ebola dan mengakui tidak pernah keluar melawat negara jiran yang dijangkiti wabak itu sama ada di Sierra Leone atau Guinea.Pemangku Pasukan Pengurusan Kes Ebola Liberia, Dr Francis Kateh, berkata pihak berkuasa kini mengkaji kemungkinan pesakit terbabit pernah menemui seseorang dari luar Liberia atau melakukan hubungan seks dengan mangsa yang terselamat.


No comments:

Post a Comment