Jan 18, 2016

[AMARGlobal] AMAR WEEKLY WRAPUP (12/1/2016-18/1/2016)

DALAM NEGARA :


TPP beri kelebihan tembusi pasaran Amerika Latin:

TPP

KUALA LUMPUR: Pengeluar produk pengacuan suntikan plastik, Selia-Tek Holdings Sdn Bhd, menyasarkan penembusan luar negara yang lebih luas dengan memanfaatkan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP). Ada potensi besar untuk produk perubatan pakai buang di negara ini, dan Selia-Tek sudah pun mewujudkan jenama berkualiti yang sudah terkenal.
Kini, Selia-Tek mengeksport produknya ke Amerika Syarikat, Jepun, Hong Kong, Singapura, Australia dan Kemboja dengan hasil tahun lepas bernilai RM49 juta. Akmar berkata menerusi potensi yang dicetuskan oleh TPP, syarikat itu juga juga menyasarkan untuk menambah peratusan sumbangan hasilnya daripada eksport daripada 20 peratus pada masa ini kepada 35 hingga 40 peratus tahun ini.

Selia-Tek, syarikat milik keluarga ini juga mempunyai kepentingan dalam industri tenaga dan kereta api. Eksport peranti perubatan Malaysia ke Peru meningkat kepada RM31.62 juta sepanjang Januari-November 2015 berbanding RM22.45 juta dalam tempoh yang sama pada 2014. Nilai eksport ke Mexico juga meningkat kepada RM54.36 juta dalam tempoh terbabit berbanding RM31.86 juta sebelumnya.
Akmar percaya Malaysia akan memperoleh banyak manfaat daripada TPP, dan muncul sebagai destinasi pelaburan pilihan utama dunia, manakala syarikat tempatan, termasuk Selia-Tek, akan mendapat manfaat daripada kesan limpahannya. Negara bukan anggota TPP juga sudah mengenal pasti Malaysia sebagai destinasi yang menguntungkan bagi menubuhkan pangkalan mereka di rantau ini, katanya. Selain Malaysia, Peru dan Mexico, anggota TPP lain ialah Singapura, Brunei, New Zealand, Chile, Amerika Syarikat, Australia, Vietnam, Kanada dan Jepun.
Beliau juga berkata TPP merupakan satu-satunya perjanjian perdagangan  melibatkan Malaysia yang mempunyai fokus khusus ke atas Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS). Selain mengharmonikan standard peraturan dan meningkatkan tahap daya saing, TPP juga boleh membantu PKS berjimat ke atas perbelanjaan logistik berdasarkan mekanisme cukai sifar kastam atau perdagangan bebas yang dicadangkan, katanya.
Dalam Bab 24 TPP, aanggota juga menyuarakan komitmen untuk mewujudkan laman web mesra pengguna yang disasarkan kepada PKS untuk memberi maklumat mudah diakses kepada perkongsian itu dan cara firma kecil boleh memanfaatkannya.



Malaysia terima pelaburan tambahan AS$100 bilion:

TPP

KUALA LUMPUR: Malaysia dijangka menerima pelaburan tambahan lebih AS$100 bilion (RM440 bilion) menerusi pelaksanaan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) menjelang 2027, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Katanya unjuran pelaburan masuk itu adalah hasil kajian sebuah firma perunding, PricewaterhouseCoopers, berkenaan manfaat TPP kepada Malaysia.
"Kita minta PricewaterhouseCoopers buat kajian. Kajian menyatakan pada 2027, pelaburan tambahan mungkin meningkat lebih AS$100 bilion dengan adanya TPP," katanya pada sidang media selepas sesi Taklimat Manfaat TPP di sini hari ini.
Katanya banyak tohmahan yang dilemparkan kepada TPP sebelum ini adalah tidak tepat dan tanpa berdasarkan fakta yang benar.
"Sebahagian tohmahan dan kebimbangan mengenai TPP yang dibuat sebelum teks penuh TPP dikeluarkan pada 5 November tahun lepas adalah berdasarkan 'cakap-cakap. Tapi selepas keluar teks, banyak pihak yang mula berpuas hati.
"Malangnya beberapa kritikan yang dibuat selepas teks dikeluarkan, tunjukkan mereka tak baca teks. Jangan buat dakwaan berdasarkan emosi. (Dakwa) jual negara, jual kepada US, jual syarikat Malaysia, ini semua emosi," katanya.
Mustapa berkata soal pelaburan masuk dan keluar dari Malaysia bukanlah sesuatu perkara yang baharu buat Malaysia kerana negara telah lama bersikap terbuka dalam perkara itu.
"Dulu Malaysia ni (negara) kecil sahaja, tetapi kini pelaburan kita di luar negara RM600 bilion berbanding pelaburan asing yang masuk RM500 bilion (sehingga suku ketiga 2015). Kita ada daya tahan, syarikat Malaysia berjaya di luar negara, kita ada kemampuan. Tetapi yang bercakap (dakwaan) seolah-olah pelaburan asing ini benda baharu, dan kita tidak ada pelaburan di luar negara," katanya.
Katanya pihak yang mengkritik TPPA perlu berlaku adil dengan menyemak fakta berdasarkan teks yang dihebahkan dan bukan berdasarkan maklumat yang tidak betul.
Mustapa berkata Malaysia mendapat banyak faedah daripada keterbukaan dalam globalisasi ekonomi tetapi dalam masa yang sama bersedia untuk menangani permasalahan yang mungkin berlaku akibat keterbukaan itu.


Universiti pertama guna tenaga angin jana elektrik:

kincir angin

DUNGUN: Universiti Teknologi Mara (UiTM) Terengganu bakal menjadi universiti awam pertama di negara ini yang menggunakan tenaga angin bagi menjana tenaga elektrik untuk kegunaan kampus itu.
Rektornya, Prof Madya Dr Abdol Samad Nawi berkata projek dengan kerjasama tenaga pakar dari agensi swasta itu akan meminimumkan penggunaan serta pembayaran bil tenaga elektrik.
Menurut Abdol Samad, pihaknya menjangkakan penjimatan pembayaran bil tenaga elektrik antara 40 hingga 50 peratus sebulan apabila motor kincir angin siap dibina bagi menghasilkan tenaga elektrik.
"Saya dah buat pengiraan dan sememangnya penggunaan tenaga ini menjimatkan kos perbelanjaan. Contohnya sekarang, sebulan kami bayar RM360,000 kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB). Jumlah ini boleh dikurangkan 50 peratus (RM180,000) sekiranya menggunakan tenaga angin.
"Kami harap ia akan jadi projek perintis kepada universiti awam lain terutamanya di Pantai Timur," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Abdol Samad berkata penggunaan tenaga angin itu bukan sahaja dapat diperbaharui malah menjimatkan sumber tenaga yang ada dalam negara.
"Saya berjumpa Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman dan beliau bersetuju dengan cadangan projek itu. Kami merancang melaksanakan projek di bawah model Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI)," katanya.
Beliau berkata pihaknya akan mengatur pertemuan bersama Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh mengenai urusan pelesenan daripada Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) bagi mengeluarkan 1 Megawatt tenaga untuk menjalankan projek itu.
"Untuk mengeluarkan tenaga itu, kami kena dapatkan lesen yang dikeluarkan KeTTHA. Kami cuma mahu 1 Megawatt dan jika KeTTHA luluskan lesen untuk keluarkan satu Megawatt, kami boleh laksanakan projek ini," katanya. - Bernama

Aedes lebih agresif dalam cuaca panas:

denggi nyamuk aedes

MELAKA - Ketika negara menghadapi cuaca panas dengan kehadiran fenomena El Nino rakyat menghadapi satu lagi 'bencana' iaitu‎ penularan penyakit demam denggi apabila nyamuk aedes pembawa penyakit itu mengalami perubahan tingkah laku dan kitaran hayat.
Pengarah Kesihatan Melaka, Datuk Dr Ghazali Othman berkata cuaca panas itu‎ mendorong nyamuk aedes menjadi lebih agresif dan mempunyai kitaran hayat yang lebih pendek berbanding biasa.
"Kalau dahulu kitaran hayat bagi seekor nyamuk adalah seminggu tapi mungkin ia akan kurang daripada tujuh hari dalam cuaca panas ini dan tabiatnya untuk menggigit lebih agresif.
"Sehubungan itu masyarakat sekeliling perlu berjaga-jaga dengan menjaga kebersihan di kawasan kediaman kita dan tidak menjadikan kawasan kediaman tempat
pembiakan nyamuk aedes," katanya kepada Bernama di sini.
Sebanyak 73 kes demam denggi dicatat di Melaka antara 3 hingga 9 Januari lepas meningkat berbanding 48 kes dalam tempoh sama tahun lepas.
Dr Ghazali berkata selain kawasan kediaman, tapak pembinaan di negeri ini juga diingatkan supaya sentiasa menjaga kebersihan dan menggunakan bahan pencegah jentik-jentik sekiranya mereka perlu menyimpan takungan air di kawasan tersebut.
Beliau berkata kerajaan negeri dan jabatannya juga sedang giat menjalankan langkah membanteras demam denggi di negeri ini dengan menjalankan pemeriksaan di premis dan kawasan wabak aktif serta melakukan semburan kabut di kawasan tersebut.
"Jabatan Kesihatan Melaka juga menegeluarkan 800 kompaun berjumlah RM400,000kepada 760 pemilik premis individu dan tapak pembinaan di negeri itu yang
membiarkan premis mereka menjadi tempat pembiakan Aedes sepanjang tahun lepas," katanya.
Dr Ghazali berkata daripada jumlah itu, 387 premis di kawasan daerah Melaka Tengah, Alor Gajah (235) dan Jasin (138).

Imigresen perketat keselamatan pintu masuk negara:

Imigresen Malaysia
KUALA LUMPUR - Jabatan Imigresen memperketatkan kawalan keselamatan di pintu masuk negara bagi memastikan setiap individu yang tiba adalah pelawat tulen.
Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mustafa Ibrahim berkata, perkara itu dilakukan susulan insiden pengeboman di Jakarta, Indonesia pada 14 Januari lepas serta tangkapan individu berkaitan ancaman pengganas oleh polis.
"Selain itu, prosedur pemeriksaan biasa dan pengambilan data biometrik turut dilakukan. Pegawai Imigresen berhak membuat pemeriksaan lebih teliti jika melihat individu yang disyaki atau diragui.
"Individu yang meragukan akan berhadapan tindakan Notis Tolak Kemasukan (NTL) di bawah Seksyen 8 Akta Imigresen 1959/63 atau ditahan untuk siasatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Mustafa berkata, seramai 68,363 individu dikenakan NTL sepanjang tahun lepas. 
Sehubungan itu beliau meminta orang ramai memberi kerjasama yang baik sepanjang pemeriksaan dilakukan.
"Imigresen memohon semua pihak tidak menjadikan isu jika berhadapan dengan situasi seperti terpaksa beratur lama untuk pemeriksaan kawalan keselamatan.    
Perlu diingatkan kawalan keselamatan negara adalah perkara yang menjadi keutamaan," katanya.
Beliau berkata lebih 124 juta pemeriksaan pergerakan keluar dan masuk direkodkan sepanjang 2015.
"Kami tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang berpotensi memberi ancaman kepada keselamatan negara," katanya. - Bernama


Polis nafi wujud senarai lokasi serangan militan IS:

PDRM
KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak pernah menyebut secara spesifik lokasi yang menjadi sasaran pengganas.
Ketua Komunikasi Korporat PDRM, Datin Asmawati Ahmad, berkata, pihaknya mendapati pelbagai kenyataan dibuat melalui rangkaian komunikasi sosial yang menyebut secara khusus beberapa lokasi yang kononnya telah disahkan menjadi sasaran kumpulan pengganas untuk melakukan serangan di Malaysia.
“Masyarakat dinasihati agar tidak mudah percaya dan berhenti dari berkongsi berita yang boleh membangkitkan keresahan.
“PDRM memandang berat sebaran berita sebegini kerana ia telah membangkitkan kegusaran dan ketakutkan masyarakat secara keterlaluan,” katanya dalam satu kenyataan,hari ini.
Katanya, polis telah mempertingkatkan pengawasan dan kawalan keselamatan di tempat tumpuan awam selaras dengan saranan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.
“Tindakan yang diambil oleh PDRM di seluruh Negara adaah selaras dengan arahan Ketua Polis Negara, peningkatan jumlah keanggotaan pegawai polis di lokasi tumpuan awam itu adalah bertujuan member keyakinan kepada masyarakat bahawa PDRM sentiasa dalam kesiapsiagaan,” katanya.


PDRM tingkat keselamatan negara susulan letupan Jakarta:

SHAH ALAM - Polis mengeluarkan amaran keselamatan peringkat tinggi di seluruh negara susulan kejadian letupan bom yang berlaku di Jakarta, Indonesia, hari ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, pihaknya sudah mengerahkan anggota berjaga-jaga bagi memastikan keselamatan rakyat negara ini terjamin.
“PDRM telah mengeluarkan amaran berjaga-jaga peringkat tinggi. Kawalan keselamatan di kawasan-kawasan umum seperti pusat beli-belah dan tumpuan pelancong serta tindakan berjaga-jaga akan di kawasan sempadan akan dilaksanakan bagi menghalang kemungkinan berlaku kemasukan elemen pengganas.
"Kawasan yang disyaki ada kaitan dengan aktiviti pengganas akan dipantau dengan teliti,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Siri letupan dan bunyi tembakan senjata api yang menggegarkan Jakarta hari ini dilaporkan meragut enam nyawa termasuk seorang anggota polis.
Dalam pada itu, PDRM memberi jaminan bahawa anggotanya di seluruh negara sentiasa berjaga-jaga dan kami sentiasa memantau dengan teliti perkembangan terbaharu bagi memastikan keselamatan rakyat terjamin.

Dua pengebom berani mati sah rakyat Malaysia:

PETALING JAYA - Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein hari ini mengesahkan dua pengebom berani mati yang terbabit dalam kejadian serangan militan di Iraq dan Syria baru-baru ini adalah rakyat Malaysia.
"Sebelum ini ada seorang rakyat kita terbabit dalam serangan bom. Sekarang dua orang lagi. Setakat ini tiga rakyat Malaysia terbabit dalam kes serangan bom.
"Mereka ini bukan sahaja tidak takut untuk mati tetapi berhasrat untuk melakukan sesuatu perkara yang orang tidak terfikir hendak buat," katanya pada sidang media selepas merasmikan majlis penerimaan pesawat kedua A400M dan Hangar A400M di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia di Subang dekat sini.
Hishammuddin bagaimanapun tidak mengulas lanjut berhubung identiti kedua-dua pengebom itu.
Semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata polis masih menunggu laporan rasmi pengesahan identiti dua pengebom berani mati dalam kejadian di Iraq dan Syria yang didakwa rakyat Malaysia.
Menurut laporan berita Isnin lepas, dua rakyat Malaysia meletupkan diri mereka sendiri, menyebabkan lebih 30 orang di Syria dan Iraq maut.
Mohd Amirul Ahmad Rahim, 26, yang berasal dari Terengganu, meletupkan bom yang berada padanya dalam sebuah kereta semasa pertempuran di kubu kumpulan pengganas Daesh di Raqqa, Syria pada 29 Disember, menurut laporan itu.
Mohamad Shazwan Mohd Salim, 31, yang melaksanakan misi pada malam 3 Jan, ialah seorang daripada tujuh pengebom berani mati yang menyusup ke pusat latihan polis di pangkalan tentera Speicher, kira-kira 160km ke utara Baghdad, Iraq.
Menyentuh mengenai pengubahsuaian Bajet 2016, Hishammuddin berkata ia tidak akan menjejaskan aset atau perolehan Kementerian Pertahanan
"Ia tidak akan menjejaskan perancangan kami kerana saya dimaklumkan bajet dibentangkan tahun lepas sebahagian besarnya merupakan projek-projek yang telah kami komited.
"Contohnya, pesawat A400M yang kami terima hari ini," katanya.
Menyentuh mengenai kes tembak membabitkan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Kelantan baru-baru ini, Hishammuddin berkata kes berkenaan diserahkan sepenuhnya kepada polis.
Dalam kejadian pada 7 Januari lepas, seorang lelaki tempatan maut selepas terkena tembakan anggota tentera yang bertugas di sebuah pos kawalan di Rantau Panjang, Pasir Mas. - Bernama


LUAR NEGARA :

Militan IS culik 400 orang awam

Militan IS culik 400 orang awam

BEIRUT - LEBANON. Kumpulan militan IS menculik sekurang-kurangnya 400 orang awam selepas merampas kawasan baharu dalam serangan ke atas timur bandar Deir Ezzor, di Syria, menurut kumpulan pemantau, semalam.
Pengarah Pusat Pemerhati Hak Asasi Syria, Rami Abdel Rahman memberitahu, berita itu disiarkan selepas militan melancarkan serangan besar-besaran ke atas sebahagian besar kawasan kerajaan, yang meragut sekurang-kurangnya 85 nyawa orang awam dan 50 tentera.
"Selepas menyerang Deir Ezzor kelmarin, IS menculik sekurang-kurangnya 400 penduduk dari kejiranan al-Baghaliyeh. Semua diculik adalah Sunni termasuk wanita, kanak-kanak dan ahli keluarga pejuang pro rejim. Mereka kemudiannya dibawa ke kawasan lain di bawah kawalan IS," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memaklumkan, kira-kira 15 hingga 20 kematian telah dicatatkan di bandar sama akibat kebuluran dan kekurangan zat makanan di kalangan kanak-kanak.
PBB turut memberi amaran bahawa 200,000 penduduk di bandar itu menghadapi kekurangan makanan serius dan keadaan yang semakin merosot. - Agensi

Wabak ebola berakhir di Afrika Barat: WHO

Wabak ebola berakhir di Afrika Barat: WHO

NEW YORK - AMERIKA SYARIKAT. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan wabak ebola sudah berakhir, kelmarin, selepas tiada kes jangkitan baharu dilaporkan di Liberia.
Pengarah Penilaian Risiko dan Tindak Balas Kemanusiaan, Rick Brennan memaklumkan ia adalah peristiwa dan langkah penting yang menandakan Liberia, Sierra Leone serta Guinea kini bebas daripada virus pembawa maut tersebut.
"Tetapi, masih terdapat risiko kemunculan semula wabak ebola pada masa akan datang," katanya.
Difahamkan, pengumuman itu dibuat selepas tiada kes jangkitan baharu dilaporkan sepanjang tempoh 42 hari lalu, susulan daripada pelbagai langkah diambil kementerian kesihatan termasuk melakukan ujian ebola ke atas mayat mangsa selain pengawasan rapi ke atas kes jangkitan  mencurigakan.
Bagaimanapun, pihak berkuasa mengesahkan kematian terbaharu di Sierra Leone beberapa jam selepas WHO mengisytiharkan Afrika Barat terbabit kini bebas ebola.
Hasil ujian dilakukan ke atas mayat mangsa di u

Tembakan, letupan gegar Jakarta

Tembakan, letupan gegar Jakarta


JAKARTA - INDONESIA. [DIKEMASKINI] Beberapa siri letupan mengegarkan Jakarta hari ini dan laporan mengatakan tembakan senjata api masih kendengaran.
Polis Indonesia mengesahkan seorang anggota polis dan tiga orang awam maut selepas beberapa letupan berlaku di sebuah pondok polis berdekat pusat membeli-belah Sarinah.
Polis juga mengesahkan penyerang telah menggunakan beberapa buti bom tangan.
Jumlah penyerang terlibat masih gagal dipastikan.
Saksi mengatakan polis kini mengepung kawasan tersebut dan terpaksa berlindung di belakang kenderaan akibat tembakan.
Menurut jurucakap Persatuan Bangsa-bangsa bersatu, Jeremy Douglas mengatakan terdapat enam letupan berlaku.
"Tembakan masih berlaku sekarang," kata Jeremy kepada wartawan.
Satu letupan juga dilaporkan berlaku di sebuah kafe Starbucks berhampiran tempat kejadian.
Wartawan Reuters mengatakan polis sedang menyasarkan sasaran mereka ke seorang lelaki yang berada di bumbung sebuah bangunan.


Serangan Jakarta: Dalang dikenal pasti


Serangan Jakarta: Dalang dikenal pasti

JAKARTA - INDONESIA. Polis Indonesia telah mengenal pasti tiga daripada lima penyerang serangan berdarah di Jakarta kelmarin, dengan mendakwa dalang salah seorang daripada mereka adalah anggota kumpulan militan IS.
Pihak berkuasa menamakan Bahrun Naim, seorang rakyat tempatan dipercayai berada di Raqqa, Syria sebagai penyelaras disyaki.
Agensi berita Reuters melaporkan, Bahrun yang dihubungi pada 24 November lalu, berkata, terdapat lebih daripada cukup penyokong IS untuk melancarkan serangan di Indonesia.
Tiga lelaki dipercayai terlibat serangan turut ditahan di Cipayung, dekat Depok.
Sementara itu, Ketua Polis Jeneral Badrodin Haiti memberitahu seorang penyerang dikenali sebagai Afif Sunakim yang dilihat membawa senjata dan beg sandang pernah dipenjara tujuh tahun kerana menghadiri kem militan di Aceh.
Menurutnya, pihaknya percaya terdapat ahli kumpulan lain telah membantu dalam melancarkan serangan meragut tujuh nyawa dan mencederakan 25 yang lain.
"Sudah pasti ada orang lain di sebalik serangan itu. Siapa yang membeli bahan letupan? Siapa memasang peranti tersebut? Siapa yang memantau serangan? Kesemua mereka adalah suspek," katanya.
Serangan di luar Sarinah Mall berakhir apabila dua penyerang terbunuh selepas meletupkan diri dan tiga lagi maut ditembak. - Agensi

Letupan gegar Istanbul, 10 maut

An ambulance arrives at the scene in the Sultanahment district, Turkey.
 
SULTANAHMET - ISTANBUL. Seramai 10 orang awam dilaporkan maut dalam satu letupan di lokasi popular pelancongan berhampiran Masjid Biru di sini, sebentar tadi.
Seramai 15 orang awam yang lain cedera dan sedang dirawat, kata kenyataan dari Pejabat Gabenor Istanbul.
Terdapat laporan media tempatan mengatakan pengebom berani mati adalah dalang kejadian tersebut.
Pihak polis kini mengepung kawasan berkenaan kerana khuatir berlaku letupan kedua.
Istanbul sebelum ini pernah digegarkan dengan dua serangan pengebom berani mati di Ankara, Oktober lepas.
Dalam kejadian tersebut, 100 nyawa dilaporkan terkorban angkara pengebom berani mati militan IS.

OIC kutuk serangan berdarah di Istanbul

OIC kutuk serangan berdarah di Istanbul

JEDDAH - ARAB SAUDI. Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengutuk sekeras-kerasnya serangan pengebom berani mati di tempat pelancongan popular di tengah Istanbul, Turki, kelmarin.
Setiausaha Agung OIC, Iyad Ameen Madani menyifatkan serangan itu sebagai tindakan keganasan dan berharap pihak bertanggungjawab melancarkan serangan tersebut ditangkap dan dibawa ke muka pengadilan.
"OIC mengutuk semua tindakan keganasan dalam apa jua bentuk dan manifestasi," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, pihak berkuasa Turki dilaporkan menahan tiga warga Rusia yang disyaki mempunyai hubungan dengan kumpulan militan IS, susulan pengeboman yang meragut 10 nyawa di Dataran Sultanahmet yang terletak berhampiran Masjid Biru dan Hagia Sophia itu.
Lapor agensi berita Dogan, polis turut merampas dokumen dan cakera padat di kediaman suspek.
Perdana Menteri Turki, Ahmet Davutoglu sebelum ini menuduh pengeboman itu didalangi IS.
Canselor Jerman, Angela Merkel mengesahkan sembilan rakyatnya terkorban dalam insiden itu.
Menurut laporan AFP, manakala seorang lagi mangsa yang maut  dikenal pasti sebagai rakyat Peru.
Sehingga semalam, tiada pihak tampil mengaku mendalangi serangan terbabit.

Ratusan rakyat Syria perlu rawatan segera

NEW YORK - AMERIKA SYARIKAT. Sekurang-kurangnya 400 rakyat Syria perlu segera dipindahkan dari Madaya untuk menerima rawatan perubatan.
Menurut Duta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), usaha itu perlu selepas konvoi bantuan menyampaikan bekalan pertama ke situ.
PBB telah meminta Kerajaan Syria membenarkan 400 rakyatnya keluar dari Madaya melalui udara, di mana anggota perubatan agensi sukarela Doctors Without Borders (MSF) memberitahu, seramai 28 orang meninggal dunia akibat kebuluran sejak 1 Disember lalu.
"Mereka perlu dipindahkan malam ini (kelmarin) untuk dirawat dengan segera dan mahu kebenaran daripada Kerajaan Syria untuk membawa semua mangsa keluar," menurut Duta New Zealand, Gerard van Bohemen.
Sementara itu, Duta Sepanyol Roman Oyarzun berkata, 15 anggota majlis dimaklumkan oleh Ketua bantuan PBB, Stephen O’Brien bahawa 400 rakyat Syria berkenaan dalam kondisi yang sangat kritikal dan keadaan akan menjadi lebih buruk jika tidak dipindahkan segera.
Difahamkan, beberapa jam sebelum itu konvoi 44 trak penuh dengan bekalan makanan, susu bayi, selimut dan bekalan lain telah memasuki Madaya, yang berada dalam kepungan tentera Presiden Bashar al-Assad selama enam bulan.
Menurut PBB lagi, pihaknya menghadapi kesukaran untuk menyampaikan bantuan kepada kira-kira 4.5 juta rakyat Syria yang tinggal di kawasan sukar dimasuki termasuk hampir 40,000 di 15 kawasan dikepung. - AFP

No comments:

Post a Comment