Nov 26, 2012

Asas-asas Islam: Fasal 3


Fasal ketiga – Kenabian
Singkatan sejarah kenabian - Kenabian Muhammad saw - Tetapnya kenabian Muhammad - Kesudahan kenabian - Dalil-dalil mengenai kesudahan kenabian.

Singkatan sejarah kenabian

Salasilah keluarga manusia bermula dengan penciptaan seorang manusia, Adam, yang kemudiannya, Allah menciptakan isteri untuknya dan kemudian daripada dua orang ini, manusia berkembang-biak, berselerak, mendiami pelusuk bumi.

Adam ‘alaihissalam yang telah diangkat darjatnya oleh Allah, dan dijadikanNya Rasul yang pertama di bumi, diperintahkanNya untuk mengajarkan Islam kepada zuriatnya. Ertinya, hendaklah diterangkannya bahawa bagi kamu dan bagi seluruh alam ini tiada tuhan melainkan Tuhan yang esa. Maka janganlah kamu mengabdikan diri dan jangan minta tolong melainkan kepadaNya. Jangan kamu sujud melainkan kepadaNya. Dan jangan kamu pergunakan hari-hari kehidupan kamu melainkan bersesuaian dengan keridhaanNya. Hendaklah kamu berlaku adil dan beramal salih. Jika kamu lakukan yang demikian itu akan dibalasiNya kamu dengan balasan bagi orang baik. Dan jika kamu membangkang untuk ta’at  kepadaNya akan diganjaniNya kamu dengan ganjaran bagi orang jahat.

Masa berlalu, anak cucu Adam yang taat akan taat mengabdikan diri kepada Allah dan mentaati perintahNya, manakala anak cucu Adam yang zalim akan melupakan fungsinya dan bertindak mengikut hawa nafsu sendiri. Kejahilan manusia akhirnya menyebabkan manusia yang berpecah-pecah ke seluruh pelusuk bumi mencipta kepercayaan agama dan syariat masing-masing.

Oleh sebab itu, Allah yang Maha Pengasih dan Maha Mengetahui mengutus para nabi dan rasulNya kepada setiap umat untuk memperbetul aqidah manusia supaya kembali mengabdikan diri kepada Allah yang satu. Tidak ada satu tempat pun yang mana di sana terdapat sekumpulan manusia, yang Allah tidak mengutuskan nabi atau rasul kepadanya. Umat manusia ketika itu belum ada kapal terbang, kapal laut, mahupun kereta untuk mereka bergerak dan menyebarkan risalah islam kepada umat manusia di tempat lain. Maka, setiap umat itu dengan kejahilan dan kebatilannya yang tersendiri didatangkan nabi atau rasul kepada mereka untuk mengajar dan memperbetul jahiliyah yang spesifik di kalangan umat tersebut. Dengan masa dan perkembangan teknologi, manusia akhirnya mula menjelajah ke negeri-negeri sekitar, mula berdagang ke negeri lain dan membuka sempadan-sempadan baru.

Bangsa Arab mempunyai sifat berani, mahu ke depan, tidak gentar dan takut, pemurah, pemegang janji, merdeka berfikir dan berpandangan, menyukai kemerdekaan dan kebebasan, mereka dulukan kemerdekaan dan kebebasan itu daripada sesuatu yang lain, kuduk mereka tidak tunduk kepada bangsa asing, dalam urat-uratnya mengalir jiwa perjuangan mati-matian untuk mencapai cita-cita. Mereka hidup tiada mengenal kemewahan dan kesenangan. Memanglah tiada diragukan bahawa pada mereka banyak kejahatan - kemungkaran. Tetapi pokok-pangkal kejahatan itu kerana kesunyian daripada pimpinan Rasul Allah sejak seribu lima ratus tahun, dan tiada pemimpin yang memberikan mereka yang berjuang meninggikan budi pekerti mereka dan yang mengajar mereka tamaddun dan kemajuan. Kejahilan telah tersebar di kalangan mereka disebabkan mereka hidup dalam kebebasan di kawasan gurun berabad-abad lamanya. Kehampaan mereka telah sampai kepada peringkat kejahilan kerana tiada seorangpun sejak dahulu yang menghaluskan sifat-sifat mereka dan mengeluarkan mereka daripada kegelapan kebinatangan untuk menuju cahaya kemanusiaan.

Kemudian, layangkanlah pandangan anda kepada Bahasa Arab. Apabila anda membaca bahasa ini dan anda pelajari kesusasteraanya, nescaya nyatalah bagi anda tanpa sedikit pun keraguan, bahawa tidak mungkin di dunia ini ada satu bahasa yang lebih munasabah daripada bahasa ini untuk mengeluarkan fikiran-fikiran yang tinggi, menjelaskan makna-makna ilmu ketuhanan yang halus dan mengesankan ke dalam kalbu. Dengan sedikit ayat bahasa ini ia boleh menerangkan tajuk-tajuk penting dan memberi kesan yang mesra ke dalam hati. Bahasa yang seperti inilah yang diperlukan oleh makna makna Al-Qur’an Al-Karim.

Tetapnya kenabian Nabi Muhammad saw

Dan di tengah-tengah bangsa Arab itu­, Allah takdirkan untuk lahir seorang manusia ‘ummi untuk memimpin dan mengeluarkan bangsa Arab ini daripada kegelapan kepada cahaya kalimah La Ilaha Illa Allah. Di tengah-tengah bangsa Arab yang tidak tahu membaca dan menulis, yang hidup dalam kabilah dengan semangat assabiyahnya, yang merampas harta saudara sendiri, yang minum arak, yang berzina, Allah takdirkan untuk lahir seorang lelaki yang al-amin, yang pemalu, yang baik budi pekertinya, yang terpelihara daripada perbuatan-perbuatan keji di kalangan kaumnya, yang membela anak yatim dan janda, yang memberi makan orang miskin dan musafir, fikirannya cerdas, nuraninya tidak dipengaruhi dengan penyembahan berhala oleh kaumnya. Lelaki inilah yang ketika umurnya 40 tahun, ketika menyendiri – mengasingkan diri daripada haru-biru kejahilan masyarakatnya, menerima wahyu kenabian daripada Allah melalui perantaraan Jibril. Lelaki inilah yang berdakwah kepada kaum kerabatnya untuk mengesakan Allah tetapi ditentang dengan hebat. Lelaki inilah yang tidak pernah berputus-asa untuk menyebarkan kalimah hak – La Ilaha Illa Allah walaupun dikecam dan diugut oleh kerabat sendiri. Lelaki inilah yang menyantuni mereka yang pernah menyakitinya dengan akhlak yang baik, yang memaafkan mereka yang pernah membunuh dan meratah jantung pak ciknya.

Lelaki inilah nabi Allah, Muhammad saw, yang Allah lengkapinya dengan sisi kesempurnaan akhlak, kesabaran dan ketabahan yang tidak kenal erti putus asa.

Kesudahan kenabian

Hakikat kenabian adalah nabi-nabi itu tidak dilahirkan setiap hari, sesuka hati tanpa keperluan dan tidak semestinya perlu adanya nabi untuk setiap umat itu pada setiap masa. Adanya para nabi dan rasul diutus  kepada umat manusia kerana manusia lalai dan lupa, menukar dan menyeleweng ajaran yang dibawa oleh nabi mereka.

Ajaran nabi-nabi sebelum ini terhenti kerana kewafatan nabi dan penyelewengan kitab  dan ajarannya. Sebaliknya, syariat yang dibawa oleh Nabi Muhammad saw masih 'hidup' sejak 1400 tahun lalu sehingga sekarang. Al-Quran masih dapat dijumpai dan dibaca dalam bentuknya yang asal seperti 1400 tahun lalu. Hadis-hadis dan sunnah Nabi Muhammad saw diabadikan dalam kitab-kitab hadis dan sirah yang kita baca sehingga ke hari ni. Kita masih boleh mencontohi gerak-geri dan keperibadian nabi walaupaun baginda telah wafat. Hal ini membatalkan keperluan untuk Allah mengutuskan seorang lagi nabi selepas Nabi Muhammad saw.

Tiada akan diutus seorang Nabi melainkan kerana salah satu danipada tiga sebab yang berikut ini: 
  1. Bahawa pengajaran Nabi yang terdahulu telah menjadi kabur dan telah nyata keperluan manusia akan kedatangan seorang Nabi untuk kali yang lain.
  2. Atau pengajaran Nabi yang terdahulu itu tidak sempuma, maka perlulah disempurnakan.
  3. Atau pengajaran Nabi yang terdahulu itu kepada suatu umat yang khas, sedangkan umat yang lain atau semua umat berhajat akan kedatangan Nabi yang diutus seperti itu. 
Dewasa ini ketiga sebab itu tidak ada dijumpai:
  1. Pengajaran Nabi Muhammad s.a.w. adalah hidup. Di tangan kita sentiasa ada wasilah yang boleh kita pelajari pada setiap masa berkenaan dengan agamanya s.a.w., mengenai setiap petunjuk yang dibawanya dan sisi Allah dan mengenai setiap jalan kehidupan yang dibentangkannya. kepada manusia, dan jalan-jalan apakah yang dilarangnya manusia melaluinya. Jika petunjuknya sentiasa hidup, maka tiadalah hajat kepada nabi yang lain untuk memperbaharu dan membentangkannya kepada manusia untuk kali yang lain.
  2. Manusia telah mendapat pengajaran Islam yang sempurna dengan kenabian Muhammad s.a.w. Pada masa ini tiada keperluan lagi untuk menambah atau mengurangi pengajaran itu. Juga tiada dijumpai sesuatu kelemahan yang boleh membuka jalan kepada kelahiran seorang nabi sesudahnya s.a.w. Dengan demikian gugur pulalah sebab yang kedua.
  3. Adalah kenabian Muhammad s.a.w. untuk seluruh alam. Ia tiada terhad untuk sesuatu umat sahaja, atau untuk sesuatu zaman sahaja. Oleh sebab itu tiada keperluan bagi sesuatu bangsa untuk mendapat Nabi yang khas dan sisi Allah. Dengan demikian gugur pulalah sebab yang ketiga.
Oleh kerana itu Nabi Muhammad s.a.w. dipanggilkan: Kesudahan segala Nabi. ini bererti: Ia adalah Nabi yang datang paling akhir.






Penulis:
Nurul Amira Mohd Noor
Pelajar Perubatan Tahun 5
Medical University of Warsaw

No comments:

Post a Comment