Nov 12, 2012

Cinta Oh Cinta


Anda tahu tak?

    Tahu apa?
Ada yang sangat-sangat sayang kat anda.
     Ye ke?                                                                            
Iya. Dia sayang anda lebih daripada segalanya di dunia ini menyayangi anda. Lebih daripada ibu bapa, keluarga, BFF anda, rakan-rakan anda. apatah lagi 'buah hati' anda sendiri. 
     Eh? Siapa?  
La, anda tak tahu ke?
Dia tidak pernah terlepas pandang melihat anda.
Dia selalu bagi macam-macam hadiah kepada anda.
Dia sentiasa berada dekat dengan anda.
Dia tahu segala perasaan, keadaan anda.
Dia tahu segala-galanya mengenai anda. 
     Ada ke macam tu? Tak percayalah.
Tak percaya ke?
Kan banyak surat cinta anda dapat kan? Kenapa tak caya ni? Eh, baca tak surat-surat cinta tu?
     Surat cinta? Eh, mana ada.
Ada. Tahu tak siapa ni? 
     Er, macam bagi quiz pulak. Kenapa tak tahu nih? Beritahu jelah!







Dialah Allah. Ar-Rahman, Ar-Rahim. Tuhan Yang Maha Esa, Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Yang Maha Melihat, Maha Mengetahui.

Tidakkah anda membaca surat cinta-Nya? Kitab Al-Quran yang diturunkan buat pedoman kita, manusia, makhluk yang amat dikasihi-Nya?
    Hurm..
Dialah Allah yang telah mengurniakan kita segala nikmat yang kita dapat rasai, dapat kita nikmati di muka bumi ini. Yang mencipta bumi ini untuk kemudahan kita, manusia.


 “Dan bumi sesudah itu dihamparkan (untuk kemudahan penduduknya). Dia mengeluarkan dari bumi itu airnya dan tumbuh-tumbuhannya dan gunung-ganang pula dikukuhkan letaknya (di bumi) sebagai pancang pasak yang menetapkannya (semuanya itu) untuk kegunaan kamu dan binatang-binatang ternakan kamu.” (An-Naziaat 79:30-33) 

Nikmat yang Allah beri kita terlampau banyak, tidak terhitung.

''Dan jika kamu menghitung nikmat Allah (yang dilimpahkannya kepada kamu), tiadalah kamu akan dapat menghitungnya satu persatu; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.''(Al-Nahl 16:18)

Nikmat kasih sayang, nikmat rezeki, dan yang paling penting, nikmat Islam dan nikmat iman yang perlu kita berusaha untuk mendapatkannya dan mengekalkannya. Bayangkan betapa banyaknya nikmat tersebut, udara yang kita hirup, kasih sayang manusia yang dikurniakan Allah, rezeki kita sehari-hari, empat musim yang kita rasai, keindahan bumi ini, baju yang kita pakai, makanan yang kita makan, rumah tempat tinggal kita.. banyak lagilah 

Dialah Allah yang berada sangat dekat dengan kita.

''Dan demi sesungguhnya, Kami telah mencipta manusia dan Kami sedia mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, sedang (pengetahuan) Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya''(Qaaf 50:16)

Dialah Allah yang mengetahui segala-galanya tentang kita.
Tidak kira di mana kita berada, di ceruk bumi mana, di kawasan sesunyi mana, Allah sentiasa ada bersama, melihat kita.

''Dialah yang telah menciptakan langit dan bumi dalam enam masa, kemudian Dia bersemayam di atas Arasy; Dia Mengetahui apa yang masuk ke bumi serta apa yang keluar daripadanya dan apa yang diturunkan dari langit serta apa yang naik padanya dan Dia tetap bersama-sama kamu di mana sahaja kamu berada dan Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan.''(Al-Hadid 57:4) 

Dialah Allah yang sentiasa berada dekat, tahu segala-galanya mengenai kita, yang sentiasa membalas permintaan kita

''Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah) bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepadaKu, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah)Ku dan hendaklah mereka beriman kepadaKu, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.''(Al-Baqarah 2:186) 




Lihatlah betapa sayangnya Dia kepada kita, makhluknya. Walhal Allah sedikit pun tidak memerlukan kita, kita yang sangat-sangat memerlukannya.

Kita?
Betapa kasihnya kita kepada Dia yang sangat-sangat menyayangi kita?

Jika ada orang memberi hadiah kepada kita, kita sangat-sangat menghargainya.
Jika ada orang menolong kita semasa kita ditimpa kesusahan, kita akan mengingati pertolongannya.
Jika ada orang yang sentiasa mengambil berat tentang kita, kita akan menyenanginya.
Jika orang yang sama sentiasa memberi hadiah, menolong, mengambil berat, kita akan menyayanginya, bahkan mencintainya.

Kenapa tidak kita mencintai ALLAH yang sentiasa mengurniakan kita bermacam nikmat, menolong kita, yang mengetahui tentang kita, yang memakbulkan permohonan kita? Kenapa tidak kita mencintai Allah? Kenapa tidak membalas kasihNya?


''Dan di antara manusia ada orang-orang yang mengambil selain Allah untuk dicintainya; mereka mencintainya sebagaimana mereka mencintai Allah. Sedangkan orang-orang yang beriman amat dalam cintanya kepada Allah''
(Al-Baqarah 2:165)





Penulis:
Sakina Othman
Pelajar Perubatan Tahun 3
Jagiellonian University, Krakow

No comments:

Post a Comment