Nov 12, 2012

Fasal Pertama Asas-Asas Islam


Bismillahirrahmanirrahim..

Buku bertajuk Asas-Asas Islam karangan Abu’l A’la Al-Maududi, seorang ulama’ dan aktivis terkenal dunia islam pada abad ke-20 menjadi pilihan IPIP untuk dijadikan buku pertama yang akan dikongsikan dalam ruangan ‘bedah buku’. Ianya terbahagi kepada tujuh fasal kesemuanya dan pada kali ini kita akan menelusuri fasal yang pertama iaitu Agama Islam.

FASAL PERTAMA : AGAMA ISLAM

Pernahkah anda semua tertanya-tanya mengapa ya agama ini dinamai islam?
Sewaktu di zaman persekolahan dahulu,kita ada mempelajari mengenai agama-agama dan kepercayaan yang terdapat dalam dunia. Nama agama-agama tersebut kebanyakannya diambil bersempena nama orang yang mengasaskannya ataupun diambil bersempena dengan bangsa/ummat yang tertentu. Contohnya agama Buddha yang diambil daripada nama pembawanya iaitu Gautama Buddha , agama yahudi yang diambil bersempena dengan nama kabilah Yahuda dan banyak lagi.

Namun islam sememangnya istimewa. Melalui namanya sahaja telah terserlah bahawa agama ini datangnya dari Yang Maha Pencipta, bukannya dibuat-buat, direka-reka oleh manusia kerana ianya tidak dinamakan berdasarkan nama rasul yang membawanya yakni Nabi Muhammad s.a.w, namun diberi nama islam disebabkan oleh maksud yang terkandung dalam  perkataan ‘islam’ itu sendiri iaitu tunduk dan patuh kepada perintah Maha Pemerintah dan larangan-Nya tanpa bantahan.

Hakikatnya,segala sesuatu yang berada dalam alam ini semuanya tunduk dan patuh pada ketetapan-ketetapan yang telah ditentukan oleh yang menciptakannya yakni  oleh Yang Maha Pencipta,Allah swt. Buktinya? Lihatlah pada penciptaan-penciptaan alam di sekeliling kita.Matahari, bulan dan planet-planet yang mana setiap satunya beredar pada jalan-jalan yang telah ditetapkan untuk mereka,tidak berlanggar antara satu sama lain.

Dan Dialah yang menciptakan malam dan siang ,matahari dan bulan.Masing-masing beredar pada garis edarnya.(Al-Anbiya,21: 33)

Masa umpamanya.Telah tertakluk oleh ketetapan Yang Maha Mencipta, Allah swt untuk ianya hanya mempunyai sekadar 24jam dalam sehari,tidak lebih mahupun kurang walaupun  sesaat.Lihatlah pula pada penciptaan manusia ,ketetapan untuk bernafas menggunakan gas-gas tertentu yakni oksigen dan menghembuskan karbon dioksida bukanlah ditetapkan oleh manusia itu sendiri,namun oleh Allah swt.
Sesungguhnya, jika diteliti dengan mata akal dan mata hati,kita akan mendapati seluruh makhluk yang ada di alam ini menyerah dan tunduk kepada penciptanya. Bahkan manusia yang tidak mengenal Allah dan mengingkari tanda-tanda kebesaran Allah sebenarnya sama ada ia sedar mahupun tidak,adalah seorang Muslim dari segi fitrah yang telah difitrahkan padanya,kerana terdapat juga sisi-sisi daripadanya yang bergerak,berjalan dan  hidup atas ketetapan-ketetapan Allah swt.

Manusia itu istimewa daripada makhluk-makhluk yang lain kerana diberi  akal untuk membuat pilihan sama ada mahu memilih islam dan menyempurnakan islamnya ataupun memilih untuk tidak tunduk dan patuh pada hukum-hukum syara’ yang akhirnya akan menyebabkan mereka jatuh ke lembah kekufuran.
Maka beruntunglah bagi mereka yang membuat pilihan pertama,yakni yang memilih untuk menyempurnakan islamnya. Mereka inilah golongan-golongan yang menggunakan nikmat akal fikiran yang diberikan Allah dengan sebaik-baiknya.Tiadalah yang tinggal lagi sekarang di dalam kehidupan mereka itu melainkan kebenaran kerana ia terikat dengan hukum Allah dan telah memilih Allah sebagai urusannya. Segala perlakuan,ketetapan dan sudut pandang mereka telah berubah dan semuanya disandarkan semata-mata kepada Allah. Taqwanya  mereka kepada Allah membantu memandu mereka dalam melalui hari-hari di dunia dan mencegah mereka dari menggunakan ilmu yang ada ke jalan yang tidak diredhai Allah. Lalu Allah mengganjari mereka dengan membuka pintu kemuliaan dan kesempurnaan di masa depan.

Sementara itu,bagi golongan manusia yang memilih untuk tidak tunduk dan patuh kepada ketetapan-ketetapan Allah,mereka ini dinamakan sebagai kufur.Mereka tidak mahu mengakui bahawa adanya pencipta kepada segala apa yang ada di alam ini.Tiadalah kezaliman yang lebih teruk melainkan kufur kepada Allah kerana mereka telah meletakkan fitrah tersebut di tempat yang tidak wajar ditambah pula dengan kezaliman yang mereka lakukan pada qalbu mereka sendiri  iaitu memaksa qalbu mereka yang sebenarnya difitrahkan untuk membesarkan  dan mencintai Allah, berada dalam kesesatan dan kegelapan.Tidak mungkin akan ada lagi kekederhakaan dan pengkhianatan yang lebih besar daripada ini.

Maka, sangatlah penting untuk kita menyedari bahawa setiap sesuatu yang ada di alam ini adalah milik Allah swt . Tidak sedikit pun Allah bergantung mahupun berhajat kepada makhluk-makhluknya,sebaliknya kitalah (makhluk  dan hamba) yang sebenar-benarnya berhajat dan bergantung kepada-Nya untuk setiap perkara.Sesungguhnya jika manusia itu beriman,maka iman itu adalah untuk kepentingan mereka sendiri dan sekiranya mereka memilih untuk kufur,maka natijahnya akan ditimpakan pada diri mereka juga. Penyesalan dan kegagalan akan menyeliputi diri mereka sepanjang kehidupan di dunia dan juga akhirat kelak. Segala ilmu yang ada padanya adalah sia-sia kerana ilmu tersebut tidak digunakan untuk mengenal Penciptanya.Ilmu yang tidak membawa kita mengenal Allah,mana mungkin membawa kita mengenal yang lainnya dengan haq .Di akhirat nanti, segala sesuatu yang digunakan oleh manusia yang kufur ini di dunia akan menempelaknya dek kerana kezalimannya dalam menggunakan mereka sewaktu di dunia dahulu dengan cara yang bertentangan dengan fitrahnya.Sungguh,buruk sekali kesudahan bagi orang-orang yang kufur.
 Suka untuk saya berkongsi sedikit petikan dari buku ini mengenai pekerti seorang lelaki yang benar dan sempurna islamnya:

Dibersihkannya kalbunya daripada sangkaan yang salah, dibersihkan fikirannya daripada angan-angan yang jahat. Dipejamkan matanya daripada melihat kekejian. Ditulikan telinganya daripada mendengar yang buruk-buruk. Dipelihara lidahnya daripada memperkatakan sesuatu yang berlawanan dengan kebenaran . Ia memilih mati kelaparan daripada diisinya perutnya dengan rezeki yang haram . Ditahannya tangannya daripada berbuat zalim dan memperkosa hak orang lain. Ia tidak melangkahkan kakinya ke jalan yang jahat . Ia tidak menundukkan kepalanya di hadapan kebatilan meskipun badannya disalib atau dikerat-kerat.Segala cita-cita dan hajatnya tidaklah dibawa ke alam nyata dengan melalui kejahatan,kezaliman dan permusuhan. Yang paling dimuliakannya ialah yang hak, berkata benar dan berlaku jujur. Ia tidak kedekut terhadap dirinya dan hartanya pada jalan yang hak. Dalam pandangannya , yang paling dimurkainya ialah kezaliman, dusta dan khianat.Ia tidak rela menggunakan sifat-sifat ini dan tidak mahu memilih jalan ini disebabkan takut mudarat menimpa dirinya.

Pekerti seperti inilah yang membawa manusia mencapai kemenangan bukan sahaja di dunia , malah di akhirat kelak. Kemenangan dan kenikmatan ini hanyalah dirasai oleh manusia yang benar-benar tunduk dan patuh kepada fitrah dan ketetapan-ketetapan oleh Yang Maha Pencipta, Allah swt.
Wallahu’alam…
Nantikan perkongsian mengenai fasal kedua pula,insyaAllah pada masa yang akan datang..
Wassalam..




Penulis:
Aiman Nor Nasarudin
Pelajar Perubatan Tahun 4
Medical University of Warsaw

No comments:

Post a Comment