HATYAI - Seorang lelaki rakyat Malaysia ditemui mati di dalam bilik sebuah hotel di Hatyai, menurut jurucakap Polis Hatyai Mej Pol Somkiart Khamsuwang.

Menurutnya, pekerja hotel menemui Leong Ting Shung, 61, kira-kira 2 petang (waktu tempatan) semalam dalam keadaan bogel di dalam bilik air dan memaklumkan kepada pihak berkuasa.

"Hasil pemeriksaan awal, polis tidak menemui sebarang kesan luka pada tubuh mangsa," katanya dan menambah, jasad mangsa akan dibedah siasat di hospital berhampiran.

Menurut pihak hotel, kata Somkiart, mangsa merupakan pelanggan tetap dan kerap menginap di hotel berkenaan jika berkunjung ke Hatyai untuk mendapatkan rawatan bagi penyakit dihidapinya. - Bernama

Operasi bersepadu kesan helikopter AS350

helikopter

KUCHING - Satu gerakan bersepadu mencari dan mendapatkan semula bangkai helikopter AS350 yang terhempas di Sungai Batang Lupar kira-kira 250km dari sini, akan dilaksanakan Khamis ini.

Timbalan Pengarah (Operasi) Maritim Wilayah Sarawak, Kapten Maritim, Newton Julak anak Nangkai berkata, ia dirancang hasil mesyuarat khas bagi menyelaras operasi mencari anjuran Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), di Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin (KOMTAS) Muara Tebas dekat sini pagi ini.

Beliau berkata 20 pegawai daripada pelbagai jabatan dan agensi terbabit dalam mesyuarat itu, antaranya Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), polis, Jabatan Laut, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Maritim Malaysia.

Dalam tragedi 5 Mei lepas, helikopter jenis Eurocopter AS350, yang dinaiki lima penumpang serta juruterbang, dipercayai terhempas di Sungai Batang Lupar di Sebuyau, dan sehingga kini badan utama pesawat itu masih belum ditemui.

Namun kesemua enam mangsa - Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon dan suaminya, Asmuni Abdullah, pengawal peribadi Noriah, Ahmad Sobri Harun; Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad;

Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Sundaran Annamalai; serta juruterbang warga Filipina Rudolf Rex Ragas berjaya ditemukan.

Culik: Rundingan bebas empat rakyat Malaysia diteruskan

PDRM

KOTA KINABALU - Rundingan untuk membebaskan empat rakyat Malaysia yang diculik oleh sekumpulan lelaki bersenjata di perairan Ligitan, berhampiran Semporna pada 1 April lalu masih diteruskan, kata Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim.

Katanya kerajaan Malaysia bersama pihak polis masih meneruskan rundingan dengan kerajaan dan pihak berkuasa Filipina serta berharap rundingan itu berjaya sekaligus berhasil membebaskan empat mangsa culik berkenaan.

alam kejadian kira-kira 6.15 petang pada 1 April lalu, empat rakyat Malaysia berumur 21 hingga 34 tahun merupakan antara sembilan kru kapal tunda sedang dalam perjalanan balik dari Filipina ke Malaysia.

Mereka ialah Wong Teck Kang, 31; Wong Hung Siong, 34; Wong Teck Chii, 29, dan Johnny Lau Jung Hien, 21, diculik lapan lelaki bersenjata yang memintas kapal tunda dinaiki mereka di perairan Ligitan, berhampiran Semporna, manakala kru lain masing-masing warga Indonesia dan Myanmar dibebaskan. - Bernama


LUAR NEGARA:

Lebih 50 maut disambar petir

Lebih 50 maut disambar petir


DHAKA - BANGLADESH. Lebih 50 maut di seluruh Bangladesh akibat dipanah petir dalam tempoh dua hari lalu, kata polis.
Memetik laporan BBC, kebanyakan mangsa yang meninggal dunia adalah petani yang sedang bekerja di sawah padi.
Mangsa lain termasuk dua orang pelajar di Dhaka yang maut dipanah petir ketika bermain bola sepak manakala seorang remaja lelaki meninggal dunia ketika memetik buah mangga.

23 menteri lelaki, Kabinet baharu tanpa wanita

23 menteri lelaki, Kabinet baharu tanpa wanita

BEBERAPA jam selepas Rousseff digantung tugas, Temer mengumumkan barisan Kabinet baharu dibarisi 23 menteri lelaki berkulit putih walaupun Brazil mempunyai 107 juta penduduk wanita.
Ia adalah kerajaan pertama tanpa wanita sejak 1979.
Dalam satu kenyataan, blogger rangkaian media arus perdana, Folha de Sao Paulo, Manoela Miklos menyifatkan ketiadaan wanita sebagai dimensi simbolik.
Ketua Turus, Eliseu Padilha memberitahu, mereka tidak dapat mencari calon wanita sesuai untuk menyertai Kabinet baharu itu.

Jika UK keluar EU pun, tidak jejas Malaysia

Bendera Britain

LONDON - BRITAIN. Keputusan United Kingdom (UK) untuk kekal atau keluar daripada Kesatuan Eropah (EU) tidak akan mempunyai kesan secara langsung ke atas Malaysia, kata Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke UK, Datuk Ahmad Rasidi Hazizi.

Beliau berkata, ini kerana asas yang teguh telah terbina dalam hubungan dua hala di antara kedua-dua negara.

“Kita telah membina asas yang kukuh dalam hubungan dengan UK, malah dengan EU sendiri juga. Hubungan rakyat dengan rakyat serta kerajaan dengan kerajaan adalah kukuh, oleh ia tidak akan memberi kesan penting ke atas kita," katanya.

Sementara itu, dilaporkan satu pungutan suara akan diadakan pada 23 Jun ini untuk memutuskan sama ada Britain perlu keluar atau kekal dalam EU dengan kajian terbaru menunjukkan jumlah yang sama menyokong tindakan berkenaan.

“Kita tidak tahu apa akan terjadi kepada dunia jika ini berlaku tetapi hubungan kita sangat baik," kata Ahmad Rasidi yang menjelaskan bahawa Malaysia masih menjadi sebahagian daripada Komanwel dan ia turut mempunyai hubungan dua hala dengan negara-negara EU.

Jika ia kekal (dalam EU), ia akan menjadi status quo tetapi kita akan membuat pelarasan kepada apa sahaja keadaan," katanya kepada media Malaysia baru-baru ini menjelang lawatan kerja Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke UK. - Bernama

Dihukum penjara, sebat jika periksa telefon suami

Dihukum penjara, sebat jika periksa telefon suami

RIYADH - ARAB SAUDI. Wanita Arab Saudi berdepan risiko penjara dan disebat jika disabitkan bersalah memeriksa telefon suami tanpa pengetahuan dan kebenaran.

Ia tidak tertakluk dalam undang-undang Syariah negara itu, sebaliknya dilihat sebagai melanggar urusan peribadi, lapor Agensi.
Menurut peguam Mohammed Al-Temyat, yang memperkenalkan diri sebagai anggota Program Keselamatan Keluarga kerajaan Arab Saudi, wanita boleh dihadapkan ke mahkamah jika saman difailkan terhadap mereka.

Jawatankuasa itu ditubuhkan pada 2005 untuk memperbaiki akses kepada perkhidmatan sosial.
Tiada hukuman diperuntukkan untuk kesalahan itu kerana ia tidak tertakluk dalam undang-undang Islam, sebaliknya hukuman boleh dikenakan menurut budi bicara hakim, bermakna mereka boleh dipenjarakan.

Israel terima pakai dasar 'tembak bunuh'

Israel terima pakai dasar 'tembak bunuh'

RAMALLAH - PALESTIN. Saksi mendakwa rejim Zionis telah menerima pakai dasar 'tembak bunuh' ketika bertempur dengan penduduk Palestin.
Menurutnya, tentera Israel bertindak kejam menembak mati dua penduduk Palestin termasuk seorang wanita hamil di pusat pemeriksaan Qalandiya selepas mangsa didakwa cuba menikam anggota bertugas.
"Kedua-dua mereka  tidak memahami amaran dalam bahasa Hebrew yang dilaungkan tentera rejim Zionis ketika dia dan adiknya memasuki kawasan larangan tersebut," jelasnya.
Difahamkan, dasar kejam tersebut telah menyebabkan 'hukuman luar undang-undang' ke atas beberapa penduduk Palestin.  - Press TV

Perkataan 'lepak', 'teh tarik' kini dalam kamus Oxford

air

PERKATAAN slanga Malaysia seperti 'lepak', 'teh tarik' dan juga 'wah' kini diiktiraf oleh kamus Oxford Bahasa Inggeris.

Menurut satu laporan Straits Times Singapura, Kamus Oxford Bahasa Inggeris  (OED) dalam kemas kini Mac 2016 telah memasukkan beberapa perkataan yang dipinjam dari bahasa Cina dan Melayu yang digunakan terutamanya oleh rakyat Malaysia dan Singapura.

Ini termasuk ungkapan-ungkapan seperti 'lepaking' (gelandangan), 'blur' (digunakan untuk menentukan orang yang lambat dalam memahami sesuatu), 'sabo' (untuk gurauan, untuk mencederakan seseorang atau sesuatu, mengenakan orang), dan 'shiok' (besar, sejuk, sedap, hebat).

Di samping itu, perkataan 'pasar basah', 'char siu' (hidangan daging babi panggang), 'chilli crab' (ketam hidangan manis dan pedas) turut disenaraikan dalam kemas kini terbaharu ini.

Beberapa perkataan lain yang biasa digunakan di Singapura seperti 'sotong' (stereotaip digunakan untuk menentukan orang bodoh, kekok, atau jahil) dan 'HDB' (Lembaga Pembangunan Perumahan) yang digunakan untuk kira-kira menentukan kawasan perumahan awam yang dibina dan diuruskan oleh kerajaan Singapura.